Umpan kini berada di dalam aplikasi   
Umpan kini berada di dalam aplikasi   
Home Berita Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

Sudah beberapa kali saya mengikut Kapten memancing di kawasan selat ini menggunakan sampan milik beliau. Untuk kunjungan terbaru ini dicatatkan sebagai tatapan untuk pembaca mengenai persekitaran memancing di kawasan yang terlalu hampir dengan kapal dagang dan kontena bagak.

 

Entah kenapa hari itu umpan kehabisan namun perancangan tetap diteruskan juga. Pagi berempat bergerak tanpa bekalan umpan sama sekali. Kapten bersahaja memacu bot ke arah boya sempadan laluan kapal dalam pagi yang agak sedikit berolak. Ikan yang dicari di boya tidak muncul-muncul.

 

Sukar hari itu untuk mendapatkan umpan ikan tamban, mana-mana sahaja hanya plata dan cencaru. Usaha mencari ikan tamban berterusan sehingga akhirnya dapat juga dalam jumlah lebih kurang 10 ekor. Cukuplah untuk memancing seketika dan habis bekalan cari lagi, itu saranan Kapten.

 

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

Kemudian Kapten membawa kami ke lokasi tumpuan beliau memancing sejak akhir-akhir ini. Lubuk tersebut seperti kawah kecil sedalam 180 kaki dengan tebing dasar sedalam 140 kaki.

 

Tatkala menyiapkan kelengkapan perang, terpandang beberapa buah kapal cukup comel besarnya melintasi hanya beberapa meter dari kedudukan kami. Tak perasan kehadiran kapal kerana bunyi enjinnya terlalu senyap. Kapten buat tak kisah saja sambil memasang dua ekor ikan plata hidup pada pancing stail apollonya.

 

Beliau sebenarnya cukup arif dengan selok-belok pergerakan kapal dagang yang mundar-mandir di kawasan tersebut dengan bantuan GPS. Paparan pada skrin GPS jelas mengesan kedudukan kami yang agak selamat dari laluan kapal sempadan.

 

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

IKLAN

Susah dan berbahaya kalau memancing di sini tanpa mengetahui selok-belok laluan khusus untuk kapal dagang. Bila tekong buat tak endah, kami pun teruskan sahaja menyiapkan perambut. Bila ditanya Kapten, pakai apa sahaja perambut asalkan kuat.

 

Beliau menggunakan 80lb perambut apollo dua mata perambut, kami pula menggunakan satu perambut dua mata kail memandangkan saiz tamban agak besar. Berlatarbelakangkan irama muzik 60-an dari radio milik tekong, kami mula menunggu sentuhan ikan di dasar.

 

Bila hampir memasuki koordinat ‘strike’ Kapten akan bersuara memberi arahan supaya kami ‘standby’. Tali dihulurkan lagi dalam beberapa meter bagi mengelakkan umpan merentasi kawah terlalu ke atas.

 

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

Untuk itu ladung perlu sentiasa terseret di dasar sambil umpan akan melayang sedikit 1 meter dari dasar. Teknik ini amat berkesan bagi mengelakkan tali pancing tersangkut karang atau sebarang objek di dasar tempat ikan gemar menyepi.

 

Dalam beberapa detik setelah kapten melaung amaran berjaga, satu joran mengena. Walaupun agak kasar di permulaan babak, namun separuh air ikan sudah keletihan untuk menarik keluar tali dari gelendong kekili elektrik. Seekor kerapu untuk babak permulaan sudah dikira baik.

IKLAN

 

Selang beberapa detik ketika koordinat sampan mula keluar dari kawah kami menerima strike kedua. Kali ini mainan ikan agak bertenaga sehingga berjaya memberhentikan putaran kekili buat seketika. Nasib perambut 80lb yang disarankan dapat mengekang ikan sebelum ia tewas menampakkan merah di permukaan air.

 

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

5.5 kg merah untuk strike kedua. Ini kira sudah bagus. Bila sampan sudah jauh terkeluar dari kawah, kami mengulangi semula laluan asal supaya sampan akan melewati lubuk sasaran. Di pusingan kedua dengan baki beberapa ekor tamban, rentak yang sama di guna pakai.

 

Kali kedua bila bot masuk kawah, dua strike mengena dalam selang beberapa detik. Hasilnya satu tewas dan satu lagi ditewaskan. Takpe seri… kami mengulanginya lagi untuk pusingan ketiga. Kebetulan umpan tamban mati baki digunakan semuanya. Harapan terakhir.

 

Pusingan ketiga laluan disasarkan sedikit berbeza namun masih mengharungi kawah yang sama. Di pusingan ketiga, kena lagi ragutan kasar daripada pemangsa dasar. Yang kami pasti ikan spesies ikan merah mengikut cara mainannya dan di koordinat tersebut ikan jenahak amat jarang sekali diperolehi.

IKLAN

 

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

Entah mengapa di pertengahan perlawanan tiba-tiba sahaja tiada lagi tegangan tali, pemangsa yang melawan sudah tidak meloloskan diri…. Bila rabut kali kedua, pasti kawah berkenaan akan kosong, ikan ‘hilang’ mengikuti ‘rakan sekampung’ berpindah ke lokasi lain.

 

Kebetulan umpan juga turut habis memaksa Kapten menghidupkan enjin sampan menuju ke boya merah terletak kira-kira 2 batu nautika dari kedudukan kami.

 

Kebetulan hari itu boya ini cukup meriah dengan ikan selar dan selar kuning. Sedang orang di hadapan mendapatkan anak selar, Kapten di belakang tiba-tiba sibuk mengepam jorannya.

 

Umpan hidup yang dihulurkan disambut sang talang. Teruja juga melihat permainan talang yang sedang digempur Kapten. Beberapa kali lompatan ke udara sebelum ia tewas di birai sampan. Dalam masa mencari umpan hidup, sudah dua ekor talang dapat dijerat Kapten di belakang sampan.

 

Trip Trobek – Bila Otai, Sifu & Master Bergabung

 

Talang bukanlah pilihan untuk trip hari itu, cukup umpan sampan beredar menuju spot pancing kedua terletak kira-kira 4 batu nautika ke arah Timur Laut, satu lagi destinasi kegemaran Kapten.

 

Kedalaman hampir sama dengan koordinat pertama, set dan teknik pancing yang sama diteruskan. Hari sudah agak petang apabila sesi pancing kedua dimulakan. Setelah 45 minit berlalu tiada sambutan dari pemangsa dasar kami kemudiannya berkemas untuk pulang.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI