Persiapan dibuat ala kadar kerana tempoh memancing agak singkat. Merujuk kepada waktu yang terluang, kami menukar rancangan dari memancing ke Ko Adang ke Ko Bulon, antara pulau kecil yang tidak tersenarai sebagai marine park.

 

Aktiviti memancing di sini bebas sehingga rapat ke arah pulau. Malah jarak Ko bulon ini lebih dekat dari Ko Adang yang memakan masa lebih dari 5 jam dari jeti manakala Ko Bulon hanya mengambil masa dua jam perjalanan.

 

Setidak-tidaknya masa memancing lebih panjang dari membuang waktu semasa bot bergerak. Rata-rata bot di sini hanya bergerak tidak lebih dari 7 knot kerana kos minyak menjadi faktor penghalang.

 

Tidak semua yang turut serta dalam trip ini adalah kaki pancing. Ikut kerana tiada pilihan lain ketika itu. Jadi joran yang reel yang dibawa hanya untuk kegunaan 6 pemancing.

Daripada tiada apa yang hendak dilakukan di darat lebih baik naik bot tengok kami memancing. Dari tengok baik cuba-cuba sekali belajar memancing.

 

Memandangkan kami tidak membawa sebarang bekalan umpan, tekong mengemudi bot ke kawasan unjam-unjam bot pukat cerut berada. Walaupun mengambil masa agak lama sedikit namun itu pilihan yang kami ada.

 

Aktiviti persiapan memancing untuk muka baru menjadi lebih mudah kerana set joran untuk yang baru ingin merasa aktiviti memancing dipasang dengan mata apollo.

Setelah diberi sedikit penerangan ringkas pancing apollo, mereka kelihatan mudah memahami tunjuk ajar yang diberikan.

 

IKLAN

Tekong turut membantu apabila memancing dalam keadaan bot bergerak, sukar untuk melontar apollo ke sasaran. Cara terbaik ialah melabuhkan sauh.

Dalam keriuhan mereka apollo umpan, saya sempat hulurkan seekor selayang hidup ke arah unjam sambil membantu pemancing lain menanggalkan ikan pada mata apollo.

 

Sambil pada itu awak-awak bot banyak meringankan tulang mengikat apolo dua mata untuk geng pancing ini. Umpan hirisan ikan yang dilabuhkan ke dasar cepat menjerat kerapu purata saiz 500 gram.

 

Dari pancing apollo kemudiannya ramai menukar ke apollo dua mata berumpankan hirisan ikan setelah hasil lebih besar jemu dengan ikan apollo, kerapu dan anak merah suman pula menjadi sasaran.

 

Sementara itu umpan ikan selayang hidup sejengkal dihanyutkan di belakang bot akhirnya menghasilkan bunyi pengera kekili yang dinantikan-nantikan.

Dari ikan apollo, anak kerapu, kini tumpuan mereka beralih kepada ikan yang sedang menggonggong selayang hidup. Melihat corak larian peringkat permulaan, ikan sudah diduga. Tidak lama aksi akrobatik di udara menyerlahkan semangat juang belitong ini.

IKLAN

 

Selepas belitong pertama dinaikkan, banyak lagi kelibat belitong lain di permukaan sekitar. Masing-masing memasang keinginan mencuba kelainan aksi pancing dari dasar ke permukaan.

Jadi akur dengan hajat dia orang saya sibuk seketika mengajar mereka menyiapkan teknik memancing belitong.

 

Dari pasang mata kail, cangkuk umpan, cara menyembat belitong sehingga teknik melayan. Bermulalah suasana kecoh selepas satu persatu berjaya menawan belitong buat kali pertama. Tinggal tekong dan awak-awak sahaja yang tertumpu kepada pancing dasar.

 

Saya terpaksa mengalah melepaskan semua set pancing kepada mereka. Bagi peluang kepada muka baru merasai apa yang pernah saya rasa sebelum ini. Semua yang turut serta hari itu dapat merasa peluang melayan aksi belitong sehingga terasa letih.

 

IKLAN

Ada yang dapat seekor dah puas, ada yang tak jemu-jemu melayan belitong sehingga keadaan reda menjelang petang.

Aktiviti memancing berhenti seketika setelah masing-masing sudah puas dan mengendurkan seketika ketegangan urat lengan sambil menikmati ringkas juadah yang siap dimasak.

 

Bila belitong berhenti menyerang umpan hanyut, yang bertenaga sambung memancing dasar pula. Cuaca panas dengan keadaan laut yang tenang membuka ruang kepada muka baru memancing sepuas-puasnya.

Tiada yang mabuk laut hari itu lebih-lebih lagi minda mereka dihanyutkan dengan keceriaan suasana pancing yang sungguh produktif.

 

Sementara mereka menumpukan ikan dasar, kali kedua saya memasang umpan selayang hidup dan sekali lagi dibiarkan hanyut jauh ke belakang bot.

Jeritan penggera kekili berbunyi lagi tidak lama selepas itu dan kali ini larian ikan menjunam sedikit ke dasar. Pecutan ikan ini berbeza dengan pecutan belitong kerana bentuk badan yang berlainan.

 

Tidak lama bertarung, ikan yang dihajati sebelum ini akhirnya muncul juga. Tenggiri tunggal menjadi penutup episod santai di Ko Bulon kerana waktu mancing singkat akan melabuhkan tirainya.

 

Perjalanan balik dan bakal tiba di jeti pasti serentak dengan waktu matahari mula tenggelam di sebelah barat tanda sebagai akhirnya waktu dinihari.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI