Perkara yang tak sepatutnya berlaku ini akan berlaku kalau kaki casting dan kaki bottom join bersama dalam satu trip. Maklum sajalah teknik memancing yang berbeza. Kaki bottom biasanya akan menyamar dan menyorok sehabis mungkin untuk mengendap kelah. Tau-tau datang kaki casting dengan bersahaja baling gewang ke spot yang sama. Silap-silap bukan saja akan kumpau bahkan akan berlaku insiden yang lebih buruk.
Biasanya bermula dari rumah lagi, malas nak pikul sawit banyak-banyak. Bawak sawit bajet ngam-ngam untuk kegunaan sendiri saja. Kemudian bila nak trekking ke lubuk dari campsite pun bajet lagi. Sudahnya masa masa umpan habis dibuat rasuah dan umpan tapi ikan belum buka mulut.
Ads
Adakalanya kekili dan joran memang dah sempurna tetapi aksesori lain seperti mata kail, perambut dan batu ladung tertinggal, atau silap bawa yang tak bersesuaian. Untung-untung nasib dapatlah pinjam daripada rakan-rakan yang lain. Tetapi kalau rakan-rakan lain pun bawa alatan yang cukup untuk kegunaan sendiri saja, maka sendiri mau ingatlah apa akan jadi.
Ads
Biasanya dalam kepala pemancing dah terbayang suana lubuk, ikan-ikan dan kejayaan yang akan dicapai sebelum hari trip lagi. Sebaliknya apabila tiba hari kejadian dan melihat lubuk tidak sebagaimana yang dibayangkan, semangat terus down. Belum start pancing pun dah patah semangat memang berkemungkinan besarlah akan pulang dalam kekumpauan.
Ads
Dua lokasi yang cukup seronok untuk tidur ialah di laut dan hutan. Susah nak komen bab tidur ni sebab memang ada pemancing yang tak boleh nak ubat tabiat suka tidur bila dah tiba di lokasi memancing. Kalau korang bersedia untuk kumpau atau langsung tak kisah kalau kumpau bolehlah membuta sepanjang waktu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sebagai ibu bapa, pastinya bukan mudah untuk meyakinkan anak-anak anda meminati sesuatu perkara. Kanak-kanak masa kini lebih cenderung terhadap gajet berbanding aktiviti-aktiviti luar seperti memancing. Jadi, kami berasa terpanggil untuk kongsi beberapa tip untuk mengajar anak-anak anda memancing.
Jadikan ia mudah difahami untuk permulaan, janganlah anda menjadi begitu teknikal dengan anak-anak anda. Jangan sesekali bercerita tentang teknik-teknik yang susah untuk mereka fahami. Cukuplah sekadar ajar anak anda mengisi umpan dan merasai tarikan ikan. Risau pula jika ia menjadi terlalu teknikal, mereka akan hilang minat.
Biarkan anak-anak lakukan kesilapan Kesilapan masa menaikkan ikan memang perkara biasa bagi mereka yang baru nak menjinakkan diri dalam aktiviti ini. Jangan sesekali marah anak-anak anda jika mereka lakukan kesilapan. Seeloknya, beritahu mereka apa kesilapan yang telah dilakukan dan tunjukkan cara sebenar dalam versi yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Jadikan aktiviti ini seronok untuk anak-anak yang baru mengenal aktiviti luar, penting untuk ibu bapa menjadikan aktiviti ini lebih santai dan menyeronokkan. Selitkan unsur-unsur permainan sewaktu memancing dan galakkan mereka untuk berimaginasi bagi menarik minat mereka.
Sokongan dan galakan sokongan dan galakan memang penting untuk menguatkan mental anak-anak kita, apatah lagi bila ikan belum menjamah umpan. Sentiasa memberikan kata-kata semangat dan terapkan nilai positif dalam diri mereka. Jika mereka mendapat strike, teruslah memberikan sokongan agar keyakinan mereka meningkat untuk menaikkan ikan.
Jangan syok sendiri jika anda membawa anak-anak keluar memancing, janganlah anda jadi syok sendiri dan memancing sendirian. Waktu ini seharusnya menjadi waktu untuk anda kurangkan fokus terhadap joran sendiri dan lebihkan fokus untuk mengajar anak anda teknik-teknik mudah sewaktu memancing.
Terapkan aspek-aspek keselamatan kepada anak-anak aspek keselamatan memang menjadi perkara utama yang harus dititikberatkan sewaktu melakukan aktiviti luar. Perkara ini sangat penting untuk mengelakkan kes-kes kecederaan. Almaklumlah, keterujaan kanak-kanak ni lain macam sikit.
Abadikan kenangan mereka bersama ikan penting untuk ibu bapa membawa kamera bersama-sama sewaktu memancing. Apabila anak-anak anda mendapat ikan, ambillah gambar mereka bersama hasil tangkapan untuk menaikkan lagi semangat mereka.
Bawa mereka memancing sewaktu cuti sekolah Untuk memastikan minat ini berterusan, keraplah membawa mereka keluar memancing sewaktu cuti sekolah. Dengan ini juga, pengalaman dan ilmu mereka akan lebih bertambah.
Berdekatan dengan rumah keluarga saya di Mersing, terdapat sebatang sungai yang masih jernih airnya. Di sinilah setiap kali ada masa terluang apabila pulang bercuti ke kampung, saya akan menggunakan peluang keemasan yang ada untuk memancing sang jenggo.
Biasanya saya menggunakan umpun-umpun sebagai umpan jenggo yang paling mujarab. Atau paling tidak saya gunakan anak udang air payau sebagai umpan.
Malam itu bertemankan abang sepupu saya, Matros, kami mendayung sampan perlahan-lahan menuju ke lubuk yang terletak berhampiran perdu pokok nipah. Malam itu cuaca agak indah dengan bulan mengambang penuh.
Kami tidak perlu menggunakan lampu suluh untuk sampai ke lubuk yang dituju. Cukup dengan panduan cahaya bulan yang memantul indah di atas permukaan air sungai yang beriak tenang.
“Sunyi pulak malam ini Mie,” kata Matros kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai. Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya.
Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Matros terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan.
Selepas itu, saya dan Abang Matros bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit.
Abang Matros memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Matros mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Mie!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Matros. Mulut abang Matros terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Mie. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Matros lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Matros seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Matros juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Matros tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Matros seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan.
Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”. Selepas itu, baru abang Matros ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah tiga bulan berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing sang jenggo pada waktu malam.
Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu sang jenggo!
Pokok gajus atau lebih popular dengan nama pokok jambu golok di Pantai Timur Semenanjung hidup subur di sepanjang pantai. Pokok jambu yang dianggap unik kerana bijinya berada di luar ini ada cerita tersendiri dengan musim mencandat sotong.
Apa persamaan jambu golok atau buah gajus dengan mencandat sotong? Ramai yang tidak mengetahui bahawa sotong dan jambu golok berkongsi musim yang sama.
Tatkala musim mencandat sotong itulah pokok gajus akan berbuah. Mungkin disebabkan persamaan inilah maka terhasilnya menu masak lemak sotong dengan buah jambu golok yang cukup popular di Terengganu.
Bahan-bahannya:
Beberapa biji jambu golok
Beberapa ekor sotong (saiz sederhana)
Secawan santan pekat
Dua ulas bawang merah
2 biji cili merah
Secubit garam
Sesudu gula
Cara memasak:
Buah jambu golok (yang masak atau matang) di potong halus. Kemudian direbus sehingga empuk.
Setelah itu, angkat dan toskan jambu golok tersebut sehingga buah tersebut sejuk. Kemudian ramas-ramaskan buah tersebut sehingga keluar airnya (hilang rasa kelat buah).
Masukkan santan serta masukkan bawang merah yang telah dihiris ke dalam periuk dengan api sederhana.
Tambah setengah cawan air agar kuahnya tidak terlalu pekat.
Kemudian masukkan sotong yang telah dibuang kulit selaputnya serta di potong bulat. Masukkan jambu golok yang telah diramas tadi serta masukkan cili merah yang di hiris, gula dan garam. Gaulkan seketika kemudian tutp api serta sedia untuk dihidangkan.
Cadangan hidangan; buat sambal belacan dan goreng ikan gelama pekasam dan makan ketika nasi masih panas-panas!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...