Perairan Sabah sememangnya lokasi kegemaran bagi memburu ikan-ikan yang jarang-jarang bertemu di perairan Semenanjung. Misi tetap diteruskan meskipun kegagalan 4 orang ahli asal yang tidak dapat turut serta atas alasan cuti dan terikat dengan pekerjaan yang tidak dapat pelepasan daripada majikan.

 

Tanpa gantian kami terpaksa menampung sedikit perbelanjaan dan kos tambahan disebabkan kekurangan ahli. Trip selama 4 hari 3 malam ini menggabungkan separuh ahli yang pernah bertandang dan separuh lagi ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Sabah. Di lapangan terbang Kota Kinabalu, kami dijemput oleh pemilik bot dan terus dibawa ke jeti di mana bot sedang menunggu.

 

Perjalanan panjang

Kali ini bot Seastar III dengan tekong Abdol digunakan. Lewat petang bot memperlahankan kelajuan, berlegar seketika sebelum sauh diturunkan ke dasar. Kunjungan pada lewat hari pertama kami disambut dengan angin yang sedikit kurang mesra terhadap pemancing dari Semenanjung.

Apa pun ia tidak mematahkan semangat ramai yang seperti lazim tidak sabar menurunkan set pancing masing-masing setelah sekian lama menunggu untuk merasai ikan laut Sabah.

 

Basung (selayang) bersama ikan kayu atau tongkol menjadi sandaran umpan pada sesi pembukaan. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk ahli yang ingin jigging. Ketika memasang kekili pada joran, Muslim antara yang mula-mula menurunkan set pancing beliau mengena ikan pertama trip ini.

 

Ads

Seekor ibu kerisi menyuntik semangat buat semua. Bacaan kedalaman pada set kekili elektrik yang digunakan ialah 90 meter, masih cetek lagi jika dibandingkan di sesetengah kawasan laut Sabah. Angin nampaknya lebih kuat daripada arus sehingga semua tali hanyut menuju ke tali sauh.

 

Depan sudah jadi posisi belakang, satu situasi sukar untuk memancing. Menjelang senja seekor merah coreng membuatkan Hj Din menjadi orang kedua mendapat hasil. Jarak masa sejam sudah menampakkan ikan kurang di lokasi pertama, memaksa tekong berpindah lubuk.

 

Umpan sotong

Di lubuk kedua, tekong dan awakawak menumpukan usaha mencandat sotong yang kebetulan cukup banyak timbul di permukaan. Lubuk berkenaan juga adalah tempat ikan jenahak dan siakap merah. Walaupun deruan angin semakin bertambah kelajuan, sotong begitu galak mengejar candat twist saiz kecil.

 

Ads

Umpan cantik tapi ikan dasar pula enggan membuka selera. Kutisan dan getuan ikan dengan sotong cumit hidup cukup lama. Namun satu getuan saiz ikan yang menelan sotong boleh dibanggakan. Sehingga awal pagi ikan terus menyepi apabila seekor jenahak skala 7 kg terlucut ketika di permukaan air.

 

Awal malam kedua kami menumpukan usaha mengumpul sotong hidup sebagai bekalan. Basung dan ikan kayu dibiarkan sepi dalam bekas ais. Perambut kekuatan 100 lb dua depa dengan dua mata 5/0 kerana sasaran kali ini bukan yang kecil.

 

Sotong yang baru dapat terus dicangkuk pada perambut yang sedia menanti. Selang beberapa detik kedengaran pemancing hadapan bergaya dengan sekor siakap merah. Kekili elektrik terpakai Digitana SLS Shimano yang baru diuji sebelum ini beberapa kali kecundang akhirnya tidak menghampakan pemiliknya apabila tewasnya seekor kerapu 8.5kg.

 

Selepas kerapu suasana sepi kecuali aktiviti mencandat semakin rancak. Dari jigging, ramai yang memilih untuk turut serta mencandat sotong, menghilangkan rasa jemu menunggu dan letih jigging, baik layan sotong termasuk tekong sekali.

Ads

 

Siakap merah kedua malam tersebut muncul setelah begitu lama menunggu menjadikan ia siakap merah terbesar dalam trip ini. Iffa yang setia menunggu sotong hidupnya disentap ikan boleh tersenyum apabila jenahak kedua muncul lagi dalam selang tempoh sejam lebih. Proses penantian yang cukup menyeksakan dan berkat kesabaran tinggi.

 

Fenomena air merah

Hari-hari terakhir, kawasan laut dipenuhi dengan fenomena air merah menjadikan ia kurang sesuai untuk memancing. Mencari kawasan yang bebas dari air merah menjadi tugas jurumudi kerana harapan meninggi pada hari terakhir. Beberapa ekor kerapu bara berjaya dipancing sebelum kehadiran laut merah melanda.

 

Banyak juga kami dikejutkan dengan strike kasar namun kehilangan hasil kerana perambut sering putus apabila bergesel dengan karang. Nasib sotong yang banyak diperolehi pada malam sebelumnya menjadi umpan pertaruhan apabila malam terakhir tiada sotong di lokasi.

 

 

Harapan seperti malam sebelumnya kalau dapat sotong hidup suspens sikit menunggu strike. Ibu kerisi dan anak kerapu memberi semangat buat yang masih berjaga malam berumpan sotong. Paling seronok ialah menikmati sup kerapu bara oleh ahli trip di malam terakhir tanpa mempedulikan joran di sekeliling.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI