Perlukah tekong yang dipilih dipersalahkan jika trip itu gagal? Pastikan tekong sudah bersedia untuk membawa anda ke padang pancing, bukan masa itulah sibuk nak uruskan bot, atau memberi laluan pemancing tersadai di jeti menunggu beberapa jam sebelum tekong memulakan perjalanan. Ataupun alasan bot tidak dapat keluar kerana air surut. Tersadai di pangkalan sedangkan semua ini sudah diberitahu terlebih awal.
Lazimnya kebanyakan tekong adalah nelayan / bekas nelayan yang memiliki pengalaman di laut serta masak dengan perairan setempat. Atas faktor ini hampir separuh darinya adalah veteran dengan istilah lain berumur atau otai. Atas faktor ini juga ramai yang segan untuk mengarahkan tekong berpindah jika hasil negatif, lebih-lebih lagi tekong sedang syok berdengkur di kabin bot.
Masih ramai tekong yang bagus di luar sana sedia menanti golongan pemancing yang inginkan khidmat mereka. Tapi ada juga yang ‘menyimpan’ tekong untuk kegunaan sendiri dan tidak ingin berkongsi maklumat tekong dengan pemancing lain. Begitu pun kelemahan ketara ialah kebanyakan bot tidak didaftarkan sebagai bot pelancong dan undang-undang sedia ada bot berkenaan tidak dibenarkan membawa penumpang / pemancing.
Ads
Yang pastinya ramai tekong bagus adalah nelayan sepenuh masa. Tekong yang biasa membawa golongan pemancing adalah terbaik kerana mereka sudah masak dengan pelbagai kerenah golongan pancing laut.
Tekong juga boleh dijadikan bahan rujukan atau guru sementara di atas bot. Selain teknik memancing, jenis ikan, musim atau cuaca dan pergerakan air boleh dirujuk pada tekong.
Ads
Nota Penting
Kepakaran tekong mengetahui lubuk-lubuk berpotensi adalah nadi utama.
Ads
Kerjasama yang diberikan juga nadi penting bagi seseorang tekong.
Saiz dan keadaan bot yang ditawarkan amat penting untuk menarik minat pemancing.
Kerenah atau perangai tekong turut menjadi penyumbang kejayaan atau kegagalan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Jepp memacu bot dengan laju menuju Lubuk Makan Darah. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dari jeti hanya di isi dengan berbual-bual kosong sambil menyiapkan kelengkapan dalam bot.
Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Jepp amat arif dengan selok belok sungai ini. Dengan hanya berpandukan lampu kepala kecil, dia mampu mengenal pasti laluan mana yang selamat untuk botnya. Maklumlah dia anak jati kampung ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di lokasi. Jam menunjukkan 10 malam dan masing-masing kelihatan tidak sabar mencampak umpan. Kelihatannya hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
“Elok juga tiada orang lain, kita bolot semua ikan yang ada kat lubuk ini,” teriak Basir sambil diikuti tawa dua orang rakannya.
Umpan yang baru dibaling tidak menunggu lama untuk diragut ikan. Atan orang pertama yang beraksi. Setelah 5 minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan.
Tidak lama selepas itu, joran Jepp pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Basir dan Atan berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum diusik dan dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Basir geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,”cadang Jepp.
Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Cadangannya ditolak mentah-mentah oleh rakannya. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Basir dan Atan terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.
Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Atan dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Basir terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan matanya merah Rambutnya panjang dan matanya merenung tajam ke arah mereka bertiga. Jepp dan Atan juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi.
Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Basir ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk Kampung Ulu Cah. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut Pak Ngah Talib iaitu orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ.
Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Atan demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Umpan patin ini terhasil dari bahan-bahan perisa umpan yang digabungkan untuk mendapatkan aroma dominan durian tetapi mempunyai rasa yang variasi. Aroma durian yang kuat dan tengik ini sebenarnya mendorong ikan untuk mendekati umpan sekaligus mengambil dan memakan umpan tersebut.
Untuk menghasilkan gabungan umpan ini perlulah sukatan yang betul dan tepat. Bau dan rasanya tidak boleh terlalu lemah atau kuat.
BAHAN-BAHAN:
2 Botol (saiz sederhana) perisa strawberi Original
1 Botol (saiz sederhana) perisa durian Original
1 Botol kosong (500 ml) untuk campuran umpan.
CARA PENYEDIAAN:
Sediakan sebuah bekas atau botol minuman kosong saiz 500 ml. Tuangkan 2 botol perisa strawberi ke dalam botol kosong ini.
Kemudian tuangkan pula 1 botol perisa durian ke dalam botol tersebut.
Goncang botol campuran perisa strawberi dan durian sehingga campurannya sebati. Sebaiknya biarkan 10 hingga 15 minit umpan ini sebati sebelum digunakan.
NOTA:
Umpan ini boleh digunakan bersama apa saja roti sandwich, roti kentang, serbuk roti, dedak dan juga pelet. Untuk ujian ini pelet 920 menjadi pilihan dan digunakan dengan teknik perambut dua mata kail.
CARA PENGGUNAAN UMPAN:
Rendam dan tos dengan segera 1 kg pelet di dalam bekas bancuhan umpan. Biarkan seketika sehingga pelet menjadi lembut.
Tuangkan umpan durian strawberi (anggaran 10-15 penutup botol) ke atas pelet dan goncang hingga sekata. Biarkan seketika sehingga umpan meresap pada pelet.
Cucuk jajan atau keropok jagung pada mata kail. Kemudian kepal pelet kira-kira segenggam pada kedua-dua mata kail dan pastikan mata kail tergantung kemas di tengah-tengah kepalan pelet.
Habitat dan lokasi untuk pancingan bujuk lazimnya di kawasan parit atau paya di pinggir hutan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah aspek keselamatan. Terutamanya kawasan pinggir hutan yang jauh dari jalanraya atau penempatan. Oleh yang demikian, aspek keselamatan seperti yang disenaraikan di bawah ini harus diutamakan.
Selain pakaian yang tahan lasak dan bersesuaian, pemilihan alas kaki juga penting. Sebaiknya elakkan memakai alas kaki yang banyak mendedahkan bahagian kaki seperti selipar atau sandal. Lebih baik sekiranya memakai bot getah tinggi separas lutut.
Sekiranya gewang atau ikan tersangkut pada sesuatu struktur di dalam air, sebaiknya jangan masuk ke dalam air terutamanya paya yang tidak dikenali pasti tahap kedalaman dan dasarnya. Putuskan saja tali pancing dan anggap saja bukan rezeki.
Berhati-hati dengan tempat berpijak sama ada di bahagian tebing ataupun batang-batang pokok tumbang. Pastikan tebing tempat berpijak itu tanah keras supaya tidak terjerumus ke dalam tanah lembik atau terpijak batang pokok yang reput.
Elakkan dari meniti batang kayu tumbang yang merentangi paya atau anak sungai. Jika tiada pilihan dan perlu meniti juga, selidik dulu tahap keteguhan batang kayu tersebut. Kemudian carilah dahan atau ranting pokok yang panjang sebagai pengimbang atau tongkat.
Sekiranya menggunakan katak sebagai umpan, pastikan katak tersebut disimpan di tempat yang selamat. Menggantung guni yang berisi katak pada pinggang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kerana terdedah kepada serangan ular-ular berbisa yang turut memakan katak.
Sekiranya lubuk memancing jauh ke dalam hutan atau dalam kawasan ladang sawit yang luas, pastikan korang sentiasa ingat di mana korang berada dan jalan keluar. Ia dapat menyelamatkan korang daripada sesat. Lebih berisiko sekiranya korang baru sedar sudah tersesat apabila mencari jalan keluar tatkala hari sudah mula gelap.
Pastikan senjata seperti parang atau pisau ada diikatkan pada badan korang. Dan lebih penting lagi korang harus berani untuk menggunakannya apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti terserempak dengan binatang liar seperti ular, beruang dan sebagainya lagi.
Jangan tamak atau kedekut spot hingga sanggup pergi secara bersendirian. Carilah teman sekurang-kurangnya seorang kerana tiada siapa yang dapat menjangka sebarang kejadian buruk bakal berlaku. Apatah lagi di kawasan hutan terpencil yang terputus hubungan telefon.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...