Kami berempat bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke ibu kota. Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang. Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit. Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan soft frog mini pada hujung joran.
Ads
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi. Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Ads
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau. Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuk ekoran kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak. Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya. Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang.
Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz bocet (kecil).
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Semak dahulu ramalan cuaca sebelum keluar jika tempoh berada di luar agak panjang. Sekarang ini sudah ada banyak aplikasi cuaca yang boleh dimuat turun ke handphone. Jika cuaca dijangka buruk, sebaiknya batalkan saja trip tersebut.
Sekiranya sudah berada di laut atau lain-lain padang pancing, lihat sebarang tanda-tanda kedatangan ribut jika ada. Jika terlihat sebarang tanda, tanya pendapat tekong.
Kalau memancing tanpa guide, korang ambillah tindakan selamat dengan mencari tempat perlindungan yang sewajarnya.
Panduan Ketika Berlakunya Ribut Petir
Masuk ke dalam kabin jika di atas bot, cari bangunan kukuh atau kereta jika memancing di darat. Jangan berteduh di tempat kecil atau di bawah pokok yang terpencil. Jika berlaku kilat dan tiada bangunan kukuh, masuk ke dalam kereta dan tutup tingkap.
Keluar dari bot dan jauhi kawasan berair jika memancing di sungai atau tasik kecil.
Talian telefon dan paip logam boleh mengalirkan elektrik. Hindari daripada menggunakan telefon atau sebarang kelengkapan elektrik. Guna telefon hanya semasa kecemasan. Cabut palam kelengkapan elektrik yang tidak digunakan.
Jangan mandi! Mandi hujan ketika ribut petir di kawasan terbuka samalah seperti menyerah diri untuk disambar kilat dan petir.
Jika memandu di lebuh raya atau jejantas, berwaspada dengan angin kencang. Tutup penyaman udara. Luruan kuasa kilat boleh memberikan beban lebih pada pemampat.
Jika terperangkap di luar bangunan dan tiada tempat berlindung, berteduh di tempat rendah yang tidak banjir yang jauh dari pokok dan pagar. Jika berada di dalam hutan, berteduhlah di bawah pokok yang lebih rendah.
Jika didapati kulit kita terangsang atau rambut kita menegak, berjongkoklah ke tanah. Letakkan tangan di lutut dengan kepala di antara kedua-dua lutut. Jadikan badan sekecil mungkin dan kurangkan daripada menyentuh tanah.
Fenomena air pasang besar hampir setiap tahun berlaku dan kali ini ia tertumpu di utara tanah air. Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan pantai di Kuala Perlis
sehingga Kuala Sanglang sepanjang tempoh fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama 4 hari (sehingga hari ini) supaya tidak terdedah kepada risiko kejadian tidak diingini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar Mohd Farid Ishak berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada anggota untuk menasihatkan orang ramai
agar tidak menghampiri kawasan pantai buat sementara waktu dalam tinjauan air pasang dan ribut kencang.
“Kami mengerahkan anggota untuk melakukan rondaan berkala dan menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan pantai.
Kita kurang bernasib baik pada hari ini kerana sewaktu air pasang besar, hujan lebat sebanyak 10 hingga 11 milimeter yang menyebabkan kawasan ini dinaiki air.
“Tambahan pula dengan kelajuan angin yang dicatatkan pada pukul 1 tengah hari tadi selaju 14KM/J. Kita minta penduduk yang tinggal berhampiran berhati-hati kerana air
pasang yang berlaku sejak Ahad lalu dijangka berterusan sehingga Rabu atau Khamis ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, APM Perlis juga akan sentiasa merekodkan paras air dari semasa ke semasa dan amaran serta-merta akan dikeluarkan untuk langkah berjaga-jaga jika melebihi paras bahaya.
“Kami merekodkan lapan kejadian membabitkan pokok tumbang pada hari ini di beberapa tempat di seluruh Perlis namun tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku,” katanya.
Sebagai pemancing yang berkait rapat dengan aktiviti di laut, fenomena ini tidak boleh dipandang sebelah mata.
Jika boleh dielakkan aktiviti memancing, sebaiknya dielakkan tetapi jika perlu meneruskan juga maka ambillah langkah berjaga-jaga ketika memancing.
Khabar perihal sahabat saya ingin menduga spesies raja muara menarik minat saya untuk menduga spesies yang memang sudah lama tidak saya merasa tarikannya ini.
Tambahan pula lokasinya berdekatan dengan kampung halaman saya, jadi rugi kalau tidak bersama. Spot yang terletak di sebelah utara semenanjung ini sememangnya agak terkenal dengan siakapnya.
Zubir dan Asan, dua orang pemancing dari Kampar dan Gopeng memang berhajat besar untuk menarik spesies ini.
Mungkin kerana kampung halaman mereka yang agak jauh dari laut mengehadkan aktiviti mereka untuk menduga spesies muara ini. Saya pula yang bekerja di sektor swasta di Selangor, bergerak awal pagi terus ke lokasi ini.
Kami tiba awal pagi dan terus ke jeti dan memunggah senjata yang ada. Maklumlah hati sudah tidak sabar. Bagi saya dan Asan, acara casting tentulah menjadi acara wajib. Zubir pula lebih selesa dengan pancingan dasar. Zubir juga menjadi tekong bot kami pada trip kali ini.
Bot sepanjang 13 kaki menjadi sewaan kami memang cukup selesa untuk tiga orang pemancing. Setelah semua keperluan penting siap, Zubir selaku tekong terus memacu bot fiber yang disewa ke spot pilihan.
Tidak perlu menunggu lama, penggayaan sinking pencil Ofmer Wander saya disambut ikan sumpit-sumpit. Nampaknya ikan mula aktif. Air bunga pasang yang dikejar sedang berlaku.
Tidak lama kemudian kumpulan ikan bulan mula menerpa. Strike demi strike saya perolehi dan ikan dapat didaratkan.
Saya menggunakan gewang keluaran Ofmer Wander 50 berwarna pelangi. Memang cukup berkesan gewang ini hinggakan saya tidak mahu menukar gewang lain.
Selepas acara memanaskan badan dengan si bulan, saya berehat sebentar sambil melihat Asan terus menerus dengan acara casting. Lontaran dibuat ke arah tebing yang mempunyai bangkar kayu mati ke arah bot.
Setelah beberapa kali lontaran dilakukan, tiba-tiba satu sedutan yang menghasilkan bunyi ‘BOFF’ agak kuat berlaku ketika popper menghampiri bot.
Asan menjerit gembira bila sang siakap mula menghambur ke udara beberapa ketika selepas merasa dirinya terjerat. Faktor sambaran yang berlaku hampir kepada bot memberi kelebihan kepada Asan untuk mengawal keadaan dengan lebih mudah.
Rezeki akhirnya berpihak kepada kami dengan terdaratnya siakap liar pertama untuk trip kali ini. Dengan berat menghampiri 2 kg, Asan mampu tersenyum lebar.
Zubir terus sabar menggunakan teknik pelampung menggunakan umpan hidup. Apa lagi kalau bukan umpan killer iaitu udang hidup. Lontaran umpan menggunakan pelampung hanya beberapa meter dari bot kami.
Namun, Zubir juga tidak perlu menunggu lama. Teknik hanyutan pelampungnya cepat disapa siakap. Menyedari pelampungnya hilang, rod terus dicapai dan jeritan spool spinning memecah sebentar kesunyian.
Mangsa membuat larian padu setelah mulutnya tercangkuk kail. Zubir melayan karenah ikannya dengan cukup berhati-hati. Maklumlah set ringan dengan tali mono atau tangsi yang digunakan hanya berkekuatan 6 lb.
Memang berani betul untuk melayan siakap liar dengan setting sebegini. Sedang mangsa di hela menuju bot, tiba-tiba ikan ini membuat lonjakan dan gelengan terakhir dan berjaya meluahkan mata kail keluar. Kami semua hanya mampu melihat, tiada rezeki untuk Zubir.
Saya yang masih lagi belum merasai strike, menukar gewang, kali ini Ofmer Original Shad saya pertaruhkan. Air yang cantik tanpa keruh yang kuat ditambah terik matahari pasti menyerlahkan lagi aksi gewang ini.
Lontaran saya lakukan ke sudut tengah muara namun tiada sambutan. Saya berubah posisi dan lontaran dilakukan ke sebelah tebing menghala ke bot. Lontaran ke kawasan bangkar kayu turut dibuat oleh Asan.
Hanya sebelah menyebelah gewang kami beraksi. Maklumlah masing-masing ingin menghanyirkan gewang selaman dalam kami.
Beberapa kali lontaran dibuat sebelum tiba-tiba terasa seperti gewang berlanggar bangkar di dasar muara dan sangkut! Sembatan sederhana saya lakukan dan yes! Akhirnya sambutan berlaku ke atas gelekan gewang selaman dalam saya.
Larian kencang ‘penyamun’ pantas melarikan gewang. Siakap bisik hati saya walaupun belum kelihatan kelibat sang pemangsa muara ini. Tetapi gaya henjutannya menunjukkan angkara sebenar pelaku yang menghentam gewang selaman saya ini sehinggalah satu lonjakan padu ke udara berlaku.
Akrobatik yang berlaku sambil ikan ini membuat gelengan kepala untuk membuang gewang sungguh mempesonakan kami. Namun usaha sang raja sia-sia kerana treble hook tetap tertancap kemas di bibirnya dan di bawah mulut.
Saya melayan ikan ini berhati-hati. Saiz yang agak sedap dilayan ini dikawal sebaik mungkin menggunakan rod Abu Garcia Millenium 2000 sepanjang lapan kaki setengah ini. Seperti aksi melayan rod fly pula rasanya.
Lenturan rod ini agak lembut dan panjangnya membuat tenaga ikan dipindahkan sepenuhnya di tangan saya. Memang mengujakan. Saya dikerah bertahan apabila ikan mula membuat henjutan berkali-kali sehingga ke bawah bot. Kali ini tali sauh menjadi sasaran untuk perisai terakhir.
Rod Abu Millenium meliuk ke tahap ‘L’ menahan asakan bertali arus. Mujur Asan yang berada di hadapan bot pantas bertindak dengan bersedia dengan tangguk.
Sang raja akhirnya berjaya ditangguk setelah penat dipujuk. Alhamdulillah, siakap liar berjaya juga saya modelkan. Rezeki anak isteri, bisik hati saya.
Selain siakap putih yang kami cari, kami juga memasang hasrat untuk cuba menaikkan panglima muara di sini. Siapa lagi kalau bukan ikan siakap merah.
Info yang saya dapati daripada pengusaha-pengusaha bot sewa di sini mengatakan memang terdapat spesies ini namun agak sukar mendapatkannya. Mungkin belum rezeki saya atau ilmu yang belum cukup untuk mendapatkannya.
Saya juga biasa ternampak kelibat anak-anak siakap merah ni bermain-main ketika air pasang berlaku. Maklumlah rumah saya tidak jauh dari muara sungai.
Tetapi telahan beberapa pihak mengatakan yang spesies ini tidak ada di spot yang saya kunjungi ini menaikkan lagi semangat saya untuk mendapatkannya. Mungkin trip selepas ini saya akan menjadikan spesies ini sasaran utama saya pula.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...