Fenomena air pasang besar hampir setiap tahun berlaku dan kali ini ia tertumpu di utara tanah air. Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan pantai di Kuala Perlis
sehingga Kuala Sanglang sepanjang tempoh fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama 4 hari (sehingga hari ini) supaya tidak terdedah kepada risiko kejadian tidak diingini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar Mohd Farid Ishak berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada anggota untuk menasihatkan orang ramai
agar tidak menghampiri kawasan pantai buat sementara waktu dalam tinjauan air pasang dan ribut kencang.
“Kami mengerahkan anggota untuk melakukan rondaan berkala dan menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan pantai.
Ads
Kita kurang bernasib baik pada hari ini kerana sewaktu air pasang besar, hujan lebat sebanyak 10 hingga 11 milimeter yang menyebabkan kawasan ini dinaiki air.
“Tambahan pula dengan kelajuan angin yang dicatatkan pada pukul 1 tengah hari tadi selaju 14KM/J. Kita minta penduduk yang tinggal berhampiran berhati-hati kerana air
pasang yang berlaku sejak Ahad lalu dijangka berterusan sehingga Rabu atau Khamis ini,” katanya.
Ads
Dalam pada itu, menurutnya, APM Perlis juga akan sentiasa merekodkan paras air dari semasa ke semasa dan amaran serta-merta akan dikeluarkan untuk langkah berjaga-jaga jika melebihi paras bahaya.
“Kami merekodkan lapan kejadian membabitkan pokok tumbang pada hari ini di beberapa tempat di seluruh Perlis namun tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku,” katanya.
Peribahasa jangan menilai buku melalui sampulnya sangat menepati senario Kolam Pancing Seri Semabok yang terletak di Lebuh AMJ, Semabok, Melaka. Dengan saiz kolam yang kecil dan gelapnya air tanah gambut, maka tidak hairanlah Kolam Pancing Seri Semabok ini diberi jolokan ‘kolam puaka’. Walaupun pada mata kasar kolam ini kelihatan kecil, jangan sesekali beranggapan penghuni kolam turut sama kecil. Hanya setelah memancing barulah anda akan tahu bahawa penghuni-penghuni kolam bukanlah kecil anak. Malah jauh lebih bagak saiznya berbanding kolam-kolam lebih luas saiznya.
Setelah agak lama menjadi pelanggan setia kolam, pada tahun 2015 Mohd Haidzir Mohd Nordin atau lebih dikenali sebagai Papa Danish mengambil keputusan untuk menyewa kolam secara persendirian dari pemiliknya Adam Hussin. Selepas itu barulah kolam dinaiktaraf sedikit demi sedikit, diubah konsep dan penambahan stok ikan sebelum dibuka kepada publik sebagai kolam pancing komersial.
Bak kata orang kalau dah gila memancing, jauh mana sekalipun tetap nak pergi! Itulah permulaan kepada trip menjejak sang sebarau monster atau badong bagi misi kali ini. Awal-awal lagi perbincangan rapi telah terutama pemilihan gewang dan sesudu sebelum menjejaki ke lubuk ini.
Bukan itu sahaja, tali utama dan leader juga ditukar bagi menghilangkan kegusaran putus ketika bertarung dengan spesies yang belum dapat dijangka saiznya.
Seawal jam 4 pagi dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kami bergerak dari Klang melalui Lebuh raya Karak dan terus ke lokasi. Setibanya ke lokasi yang dituju, kelihatan air berwarna seperti air tebu yang sangat sesuai untuk trip kali ini.
Pada awal pagi, langsung tiada yang sudi menjamah sesudu yang kami lontarkan. Hanya beberapa kali kes rabut berlaku di sebelah atas menuju hulu sungai. Mungkin sebarau saiz kecil yang terpikat dengan sesudu berwarna krom, merah dan emas yang digunakan.
LUBUK PERTAMA
Ketika tiba di sebuah lubuk yang mempunyai jeram, kami terlihat anak-anak ikan melompat di permukaan air serta bertempiaran lari seolah-olah dikejar sesuatu.
Masing-masing mendiamkan diri sambil segera memperkemaskan gewang untuk di lontar ke kawasan anak ikan tadi.
Apabila gewang sesudu Altima 10 gram yang digunakan Ayoi jatuh melayang hampir ke dasar, tali utamanya terus tegang dan joran melentur disentak penghuni. Belum pun sempat Ayoi mengetatkan lagi sistem regangan Shimano Calcutta Conquest nya, spesies yang tidak diketahui itu telah membawa talinya terus ke sudut lubuk yang mempunyai reba akar pokok.
Akhirnya, dia berputih mata kerana sesudu yang dianggap ‘killer’ pada spesies sebarau ini menjadi tukun buat selama-lamanya di dasar sungai berkenaan.
Selepas itu kami berpecah kepada dua kumpulan. Ayoi dan Azrul terus menuju ke hulu manakala saya dan Amin masih setia di kawasan lubuk pertama yang menjadi tempat kejadian rabut di dalam reba-reba kayu.
Amin menghantar Siam Spoon ke arah tebing seberang sungai berkali-kali namun tiada spesies yang sudi menjamah gewangnya. Sambil berbual, Amin sempat berseloroh agaknya ikan-ikan di sini ‘lambat bangun pagi’.
AIR BERUBAH WARNA
Saya dan Amin turun ke hilir secara beransur-ansur sambil membuat balingan ke celahan reba yang diyakini boleh mencetuskan satu sambaran. Di satu kawasan cetek, saya membuat balingan di permukaan air tanpa membiarkan ia jatuh ke dasar dan terus mengarau.
Tiga kali sambaran dari sang sebarau bersaiz 3 jari jelas kelihatan cuba menghentam gewang Bakau berwarna kuning, tetapi ‘miss call’. Balingan kedua ke lokasi sama tidak lagi bersambut.
Dengan semua yang masih belum menyentuh ikan sejak pagi kami meneruskan aktiviti mengilat di kawasan pulau yang terbentuk di tengah sungai. Amin mencuba beberapa kali melontarkan sesudu ke arah rumput di tepian pulau di tengah sungai, tiba-tiba mendapat satu sambaran padu.
Joran Ganko specialized custom berkekuatan 10 lb diasak kuat ke bawah. Dengan tali 14 lb dan sambungan perambut kejutan 30 lb membuatkan Amin sedikit risau dengan tentangan hebat ikan. Dalam beberapa saat, spesies yang belum kelihatan menukar haluan menentang arus dan cuba mudik ke hulu dengan pantas. Melihatkan tebing yang agak tinggi dalam 7 kaki adalah agak mustahil untuk mendaratkan ke atas.
Amin terus turun kesatu bahagian tebing yang boleh di jadikan tangga untuk turun lebih dekat dengan gigi air. Tanpa ‘lips grip’ dan tangguk, saya terus turun ke air membantu mendaratkan ikan ke tebing. Hasilnya boleh dikatakan badong seberat 3.3 kg menjadi lesen kepada joran yang pertama kali
MISS CALL
Pada sebelah petang kami mencuba nasib di sebelah bawah sungai. Ayoi yang beberapa kali rabut berasa amat kecewa walaupun berbagai sesudu ditukar setiap 10 kali balingan. Saya yang menggunakan gewang Surecatch mendapat sambaran di masa tali dalam gelendong kusut. Tanpa menghiraukan kekusutan yang berlaku saya mengarau terus tanpa memberi peluang kepada ikan untuk melarikan gewang ke dalam reba pokok tumbang yang berselirat.
Seekor baung bersaiz sederhana berjaya didaratkan dan ia juga merupakan lesen pertama saya menewaskan spesies ini menggunakan gewang.
Azrul juga dalam diam telah berjaya mendarat beberapa ekor sebarau yang boleh di kategorikan sebagai curut dan di lepaskan semula ke habitat asal. Meskipun hanya seekor sebarau yang berjaya dinaikkan, ia tetap memberikan kepuasan kerana sebarau yang berjaya ditewaskan adalah bertaraf badong. Kami juga pasti akan kembali lagi ke sini dalam masa terdekat.
Kelong Sungai Dinding merupakan antara kelong yang semakin mencipta nama dan meniti di bibir kaki-kaki pancing Malaysia. Memulakan operasi dengan sebuah kelong pada tahun 2010, siapa sangka ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa dan tidak mampu menampung permintaan tempahan di kalangan kaki pancing pada waktu itu.
Oleh yang demikian, kelong yang diusahakan oleh pasangan suami isteri yang mesra dipanggil Puan Lina dan Cikgu Kamarul mengambil inisiatif untuk menambah 2 buah lagi kelong untuk menampung permintaan yang sangat menggalakkan pada waktu itu.
Menurut Puan Lina, sebelum terbinanya kelong ini, beliau hanya bermula dengan nursery ikan di belakang rumahnya, kemudian akibat masalah bekalan elektrik yang kerap terputus, menjadikan beliau menghentikan projek nursery ikan dan terus merancang untuk membina sangkar ikan pada tahun 2009.
Ternyata projek sangkar ikan juga tidak bertahan lama atas faktor persekitaran dan hasilnya yang lambat dituai. Idea terbinanya Kelong Sungai Dinding ini terjadi secara tiba-tiba apabila ada pihak yang ingin menjualkan kelong terpakai (second hand) kepadanya pada waktu itu. Dengan bantuan sedikit modal, mereka memperbaiki kelong itu dan seterusnya terhasillah Kelong Sungai Dinding yang masih kukuh hingga ke hari ini.
Bermula dari itu, sambutan yang diterima memang tidak putus-putus. Semuanya hasil perkongsian dari mulut ke mulut di kalangan pemancing. Ternyata perkongsian “word of mouth” ini mampu menaikkan nama Kelong Sungai Dinding untuk dikenali.
Dan atas sambutan menggalakkan itu, Puan Lina terus mengambil inisiatif menghasilkan sebuah blog untuk mempromosikan lagi Kelong Sungai Dinding.
Bercerita tentang fasiliti, Kelong Sungai Dinding lengkap dengan kemudahan asas sama seperti kelong ataupun rumah rakit yang lain.
Setiap kelong di sini terdapat satu bilik, bilik air, dapur gas, dan juga bekalan air yang dibawa dari darat bersama dengan lampu menggunakan bateri untuk pancingan waktu malam. Untuk sesi memancing, menurut Cikgu Kamarul, waktu yang terbaik memancing di sini ialah ketika air berarus iaitu sewaktu pergerakan air besar ke kecil dan air kecil ke besar.
Ini kerana, pada waktu ini ikan dari laut banyak mudik masuk ke muara untuk mencari makanan. Antara ikan yang boleh dijadikan target di sini ialah jenahak, kerapu, siakap dan pari. Malah untuk lebih membakar kaki pancing berkunjung ke sini, ada rekod pernah menunjukkan kaki pancing menaikkan kerapu seberat 9kg dan pari 10kg di kelong ini. Itu belum lagi ditambah dengan cerita ikan tak dapat dinaikkan dan kes-kes joran terbang di kelong ini.
Diakhir perbualan penulis dengan pasangan suami isteri ini, mereka sempat menyatakan harapan untuk perniagaan yang diusahakan ini. Mereka amat berharap agar pihak tertentu untuk mula melaksanakan undang-undang untuk mengasingkan kawasan zon memancing dan memukat di kawasan Sungai Dinding ini.
Ini bagi memberi lebih ruang kepada pemancing amnya agar bebas memancing dengan tenang tanpa gangguan pukat sekali gus mampu memberikan hasil terbaik buat mereka yang berkunjung ke sini. Ini sekali gus mampu menaikkan industri ‘angling tourism’ di negeri Perak.
Dalam pada masa yang sama juga Puan Lina dan Cikgu Kamarul amat berharap agar kelong yang diusahakan ini mendapat sokongan padu di kalangan kaki pancing Malaysia. Puan Lina juga turut meletak harapan untuk menambah beberapa lagi rumah rakit di masa akan datang untuk menarik lebih ramai kaki pancing berkunjung ke sini terutama pada waktu hujung minggu dan juga cuti persekolahan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...