Boleh dikatakan kawasan kota tinggi, johor menjadi antara kawasan yang terkenal dengan port rumah rakit yang sering menjadi pilihan kaki pancing malaysia. Antara yang sering menjadi bahan bualan kaki pancing ialah Rakit Air Bintan.
Rakit Air Bintan terletak di Tanjung Serindit, Ladang Sungai Papan, Kota Tinggi Johor. Mula beroperasi sejak 5 tahun yang lalu. Rumah rakit ini sering kali menjadi pilihan kaki pancing dari serata Malaysia kerana lokasinya yang sangat strategik iaitu dikelilingi karang hidup yang juga menjadi kawasan ikan bermain.
Bersesuaian dengan konsep “keselesaan anda keutamaan kami”, kemudahan yang ada di rakit ini boleh dikatakan serba mencukupi. Televisyen, tempat tidur, dapur, tandas, lampu elektrik, kerusi, dan rod holder semuanya telah disediakan untuk kemudahan dan keselesaan kaki pancing yang bertandang ke sini.
Ads
Menurut pemilik rakit yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Azmi, di sini terdapat 3 pilihan rakit untuk kaki pancing iaitu rakit siakap, rakit daun baru dan rakit tebal pipi yang kesemuanya berkedalaman 40 – 58 kaki mengikut pasang surut air.
“Boleh dikatakan setiap rakit mempunyai keunikan dan reka bentuk yang tersendiri yang bersesuaian dengan kehendak kaki pancing masa kini. Ikan yang ada di sini juga tidak kurang hebatnya.
Ads
Spesies gred A seperti siakap, kerapu, jenahak, kurau, merah, tebal pipi, dan talang menjadi antara tangkapan buat pemancing yang berkunjung ke sini”, tambahnya lagi.
SPORT PILIHAN
Kunjungan penulis ke sini penulis amat percaya bahawa rumah rakit ini memang boleh menjadi antara port memancing yang wajar diketengahkan kepada yang meminati aktiviti pancingan di rumah rakit ataupun kelong.
Ads
Meskipun berdepan dengan keadaan air yang kurang cantik dan cuaca yang tidak menentu sewaktu kunjungan ke sini, penulis masih berjaya menaikkan beberapa ekor ikan duri dan sembilang bersaiz hidangan selain dapat menjamu mata dengan panorama indah rumah rakit yang dikelilingi paya bakau ini.
Apa yang pasti, jika anda ketandusan idea tentang port mana yang harus anda cuba, penulis syorkan Rakit Air Bintan sebagai lokasi yang boleh anda cuba. Mana tahu, mungkin hasil yang lebih baik akan menanti ketibaan anda nanti.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama.
Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi.
Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu.
Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok.
Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu.
Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan.
Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai.
Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan.
Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan.
Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan.
Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail.
Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti.
Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu.
Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung.
Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, rakan bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin.
Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut.
Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan.
Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik seorang rakan menjerit minta dikarau. Pantas beliau mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail.
Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya.
Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya rakan yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa.
Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air.
Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai.
Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan.
Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas.
Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan.
Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
(Catatan: Muhammad Faiz)
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Timuran dengan kelajuan melebihi 60 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter dijangka melanda perairan Condore, Reef North, Layang-Layang, barat Palawan, Tioman, barat Labuan, Reef South dan Bunguran sehingga Ahad ini.
Situasi sama turut dijangka berlaku di perairan Labuan, pedalaman dan pantai barat Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor Timur.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, angin kencang Timuran berkelajuan 50 hingga 60 km/j dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur Samui sehingga Ahad ini.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, angin kencang Timuran dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan barat Samui dan Sulu sehingga Ahad ini iaitu keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Bernama
Kesempatan berhari raya di rumah kakak yang paling sulung atau kak long yang menetap di Kampung Banting, Sabak Bernam saya manfaat sepenuhnya bagi mengisi salah satu hobi yang agak sekian lama terpaksa saya pendamkan berikutan kekangan masa. Saya sememangnya gemar memancing namun jarang berpeluang untuk melaksanakannya. Justeru, apabila beraya di rumah kakak pada hari raya ketiga, saya berpakat dengan kakak nombor dua atau kak ngah dan suaminya untuk beraya di tepi muara yang tidak jauh dari rumah kak long.
Perjalanan ke lokasi atau spot memancing haruslah meredah sedikit lorong jalan tanah merah yang berbatu dan sedikit sempit yang ditumbuhi pokok renek meliar yang mampu mencalar-balarkan kenderaan. Sampai sahaja di lokasi memancing, tanpa berlengah saya persiapkan kelengkapan memancing dan segera melontar umpan udang segar ke tali arus muara. Ketika itu arus sedang bergerak surut dengan agak laju juga. Tidak sampai lima minit menunggu, seekor ikan gelama bersaiz kecil berjaya saya naikkan. Tidak lama kemudian seekor ikan belukang dengan saiz yang kecil turut sama berjaya dinaikkan. Kira-kira lima belas minit kemudian, secara tiba-tiba joran direntap kasar. Adrenalina dan keghairahan saya meluap-luap kerana sudah sekian merindui permainan sorong tarik dengan ikan ini. Hasilnya saya muncul sebagai pemenang dan berjaya mendaratkan seekor belukang yang agak kasar dalam anggaran berat satu kilogram.
Melihat pada arus yang semakin surut dan para air yang semakin cetek menjauhi tebing, saya berasa kesal pula tidak datang lebih awal. Sementara hasil pancingan pula terus didominasi ikan-ikan yang bersaiz kecil. Hampir satu jam selepas mendaratkan belukang kasar itu, sekali lagi umpan udang segar yang digunakan direntap ganas. Daya tarikan atau daya juang mangsa yang terperangkap pada mata kail juga lebih padu. Namun saya berjaya mengawal joran dan mengatasi kuasa mangsa dan akhirnya seekor lagi belukang yang lebih besar saiznya berjaya saya tundukkan.
Walaupun hajat sebenar saya ialah untuk memancing ikan sembilang atau gemang tidak kesampaian, namun ia sedikit pun tidak mengecewakan saya. Setelah hampir dua jam kami memancing setidak-tidaknya berjaya juga kami daratkan dua ekor ikan belukang bersaiz kasar, sepuluh ekor belukang saiz kecil, empat ekor ikan duri, tiga ekor ikan gerut-gerut dan lima ekor ikan gelama yang juga bersaiz kecil.
Setelah pulang, semua hasil tangkapan walaupun bukan ikan gred tinggi dijadikan lauk-pauk. Ikan-ikan yang kecil digoreng rangup. Ikan belukang bersaiz kasar dimasak asam pedas dan kari. Rasanya sangat fresh dan langsung tidak hanyir. Dan bonusnya kami dapat menikmati telur ikan belukang yang amat lazat rasanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...