Pemancing di Malaysia amat beruntung kerana terdapat banyak spot-spot yang berpotensi dan menarik untuk menjalankan aktiviti pancingan khususnya air tawar.

 

Selain dari tasik-tasik empangan dan sungai-sungai utama serta taburan lombong-lombong yang terdapat di sekitar tanah air, pemancing kita turut mempunyai kecenderungan untuk melampiaskan gian bertarung dengan ikan idaman di kolam-kolam komersial.

 

Terdapat banyak kolam berbayar yang diwujudkan bagi menarik minat pemancing-pemancing untuk menduga nasib tidak kiralah sama ada kolam air masin mahu pun air tawar.

 

Kolam Alang Saleh

Kolam Memancing Alang Saleh yang terletak di Rantau, Negeri Sembilan adalah antara kolam air tawar yang menjadi tumpuan kaki pancing terutamanya dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Rantau adalah sebuah bandar kecil yang dihuni kira-kira 8000 orang penduduk.

 

Terletak di antara Seremban dan Port Dickson, Rantau dikelilingi oleh banyak bandar-bandar kecil seperti Kuala Sawah, Siliau, Kg. Sega, Linsum, dan Ayer Kuning, menjadikannya antara bandar utama di Negeri Sembilan.

 

Jarak pemanduan dari Kuala Lumpur juga tidak jauh hanya memakan masa lebih kurang 45 minit melalui lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan serta lebuh raya Kajang Seremban (LEKAS).

 

Secara umumnya, kolam ini mengenakan bayaran masuk serendah RM10 untuk 3 jam (boleh rujuk yuran terkini dengan pihak kolam) dan pemancing boleh memancing di kolam utama berhampiran dengan kaunter pembayaran.

 

Manakala sebuah lagi kolam di bahagian belakang dikhaskan bagi pancingan tangkap dan Lepas (C&R) dengan kadar bayaran RM20 untuk setiap pemancing tanpa sebarang had masa.

 

IKLAN

Kunjungan Ke Kolam CnR

Bagi sesetengah pemancing pasti akan berpersepsi ‘apa kelas main ikan asrama’. Ada juga yang beranggapan bahawa ikan kolam komersial tidak memberi tentangan yang diharapkan.

 

Namun, sekiranya kena dengan kolamnya pasti tanggapan anda akan berubah sama sekali. Salah satu kolam yang saya maksudkan tentulah di kolam Alang Saleh ini sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ikan-ikan di kolam ini memang kuat tentangannya.

 

Telah banyak kes tali utama meletup serta mata kail terkangkang kerana digasak penghuni di sini. Tidak kurang juga dengan kes-kes lost control akibat dibuli oleh gangster-gangster kolam air tawar ini.

 

Tetapi mengapa ikan-ikan di sini begitu kuat? Tidak dapat saya perjelaskan. Mungkin kerana kualiti airnya yang baik, ataupun kerana ikan-ikan di sini sememangnya bersaiz baik.

 

Spesies Target

Semasa kunjungan kami ke sini, kami menyasarkan untuk mengilat ikan pacu sebagai target utama kerana pada kunjungan beberapa rakan sebelumnya, pacu di sini begitu ramah meragut gewang dan saiznya begitu mengujakan.

Kami tiba seawal jam 8.00 pagi dan terus memulakan sesi mengilat. Pada pengamatan kami, banyak ikan yang aktif bermain di permukaan air pada waktu ini.

IKLAN

 

Balingan demi balingan dilakukan, pelbagai gewang telah dicuba namun tiada sebarang sambaran diperolehi selama hampir 2 jam. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk menukar strategi.

Mujurlah saya ada membawa 3 buku roti putih yang pada asalnya untuk dijadikan alas perut kami namun bertukar menjadi ‘insurans untuk mendapatkan strike’.

 

 

 

Memandangkan kami tidak membawa sebarang peralatan untuk membottom dan ikan pula masih lagi terus aktif bermain di permukaan air, kami mengambil keputusan untuk mengapungkan roti dengan mengepalnya pada popper yang berperanan sebagai pelampung.

 

Perubahan taktik membuahkan hasil kerana kami berjaya mendapat sambaran demi sambaran. Patin yang banyak mendominasi tangkapan kami. Perlawanannya begitu menghiburkan dan mendebarkan.

 

Pacu yang menjadi sasaran juga dapat didaratkan dengan saiz yang begitu mengujakan. Kami berpuas hati kerana masing-masing dapat merasai tarikan padu penghuni kolam pada kunjungan kali ini.

 

IKLAN

Patuhi Etika Pemancing

Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat menjalankan aktiviti yang sihat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh sambaran itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan setiap pemancing.

 

Hargailah lapangan pancingan kita tidak kiralah sama ada di kolam-kolam komersial mahu pun di lombong, tasik, sungai mahu pun muara dengan sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata demi keselesaan bersama.

 

 

 

Sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati.

 

Tanamkan inisiatif bagi membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.

Di kolam seperti inilah amalan ‘tangkap dan lepas’ (C&R) dapat diterapkan pada diri setiap pemancing.
Facebook: http://facebook.com/kolampancingalangsaleh

 

 

baca juga Umpan Asas Pancing Patin Kolam ABE

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI