Setiap kali pulang ke kampung halaman mertua di Sungai Petani, Kedah, saya sering meluangkan masa untuk memancing di Segantang Garam yang terletak di Merbok, kira-kira 45 minit dari pekan Kuala Ketil.

 

Kebiasaannya, sepupu isteri saya, Sopi akan menjadi peneman saya. Sebelum ke lokasi, saya akan melengkapkan dahulu keperluan mengisi perut seperti mi segera, roti, biskut, air mineral dan sebagainya.

 

Trip Siakap Segantang Garam

 

Paling penting adalah bekalan umpan seperti udang, sotong dan ikan kembung yang dibeli di pasar dan juga udang hidup untuk ikan sasaran ikan siakap, jenahak dan kerapu.

 

Setelah semuanya lengkap, kami terus ke destinasi dan dijemput oleh Pak Ndak. Seorang pengusaha ikan dalam sangkar yang ramah. Kami akan bermalam di atas sangkarnya.

 

Perjalanan bot hanya memakan masa 5-10 minit dari jeti. Setibanya di atas sangkar, kami disambut dengan hembusan angin yang mendamaikan.

 

Tanpa membuang masa kami terus menyediakan peralatan kami, membuat perambut pelbagai jenis dan terus melabuhkan umpan ke dasar di sekitar sangkar.

 

Trip Siakap Segantang Garam

IKLAN

 

Pada awalnya kami dihiburkan dengan gelama dan duri yang banyak mengena. Tak lupa juga ‘miss call’ yang banyak membuatkan kami huru-hara sebentar. Manakala umpan hidup pula silih berganti ditukar kerana kerap dikutis anak-anak ikan yang nakal.

 

Malam kian melabuhkan tirainya, suasana hening begitu damai sesekali ditemani bunyi bot dan unggas berterbangan. Di sangkar ini, terdapat kemudahan seperti bilik solat, bilik air, dapur untuk memasak dan tempat tidur di atas sangkar ini.

 

Generator pula akan dipasang sehingga jam 12 malam, dan sesudah itu, kami ditemani lampu gas dan ubat nyamuk.

 

Malam makin lewat, umpan hidup yang dihidangkan masih belum terusik. Hati dah mula gusar.

 

Trip Siakap Segantang Garam

IKLAN

 

“Mana la hang pi ikan oii… mai la jamah sikit…” gumam sepupu saya.

 

Tak lama kemudian hujung rod miliknya terus melendut dan srrrreettt… terdengar nyaring kekili milik Sopi. Lantas cepat sahaja, dia menyambar rod dan terus mengarau, mangsa terus melakukan pecutan.

 

Sopi cuba mengawal dan pada ketika itulah perkara tak dijangka berlaku. Kekili milik Sopi terbelit pada salah satu jaring ikan yang digantung berhampiran tiang ketika mengubah posisi. Menyebabkan kekilinya sangkut dan drag terkunci.

 

Trip Siakap Segantang Garam

 

Tusss… akhirnya ikan itu berjaya melepaskan diri bersama anting-anting di bibirnya. Disyaki ikan siakap yang meragut umpannya. Sopi pasrah sambil menyiapkan perambut seterusnya. Perjuangan harus diteruskan!

IKLAN

 

Dia meneruskan konsentrasi pada pancingnya. Kesabarannya berbalas apabila sekitar jam 2 pagi itu, dia mendapat sambaran. Ikan yang dilayannya semakin berada dalam genggaman.

 

Sekali lagi dia diuji, ikannya tersangkut di antara tong pelampung sangkar. Mujurlah tidak begitu jauh. Dengan bantuan sauk, ikan berjaya dinaikkan dan Sopi tersenyum puas.

 

Sehingga keesokannya, topik siakap menjadi perbualan kami. Mata kami tidak terlepas dari memerhatikan kurungan yang menyimpan ikan tersebut.

 

Trip Siakap Segantang Garam

 

Tak cukup dengan itu, ikan ditambat menggunakan tali. Takut jika ia melompat dan melepaskan diri. Kami tak mahu berputih mata!

 

Setibanya Pak Ndak pagi itu, menandakan waktu memancing sudah tamat. Dan hasil pada hari itu, siakap, duri dan gelama dibawa pulang.

 

Setibanya di jeti, kami dijemput oleh isteri dan anak saya. Ternyata mereka gembira dengan hasil kali ini. Syukur Alhamdulillah, rezeki untuk seluruh keluarga kami.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI