Admin agak terkejut membaca berita yang disiarkan oleh Berita Harian Online ini. Bukan tak percaya, tapi kenapa musim tengkujuh sahaja barulah ada aktiviti memancing (walaupun lebih kepada teknik menyembat) ikan patin.
Dengan harga yang agak lumayan, kenapa ia tidak dijadikan aktiviti pada waktu-waktu lain sebelum tengkujuh.
Admin percaya harga ikan patin yang di jual sama seperti di Lembah Kelang, dalam masa singkat pasti habis ikan patin di Sungai Klang atau Sungai Dengkil di Lembah Kelang ini.
Jom kita tengok berita balik berita yang menggembirakan kaki pancing di Tumpat, Kelantan ini.
Setiap kali musim tengkujuh, kawasan pintu air Kampung Jubakar Pantai di sini, umpama tapak pesta apabila menjadi tumpuan kaki pancing yang teruja memancing ikan patin.
Ads
Menerusi penggunaan teknik sembat tanpa sebarang umpan, ikan patin yang keluar mengikut arus deras menerusi pintu air itu ditunggu lebih 200 kaki pancing yang membanjiri kawasan terbabit tanpa mengira masa.
Mat Yie berkata, pintu air itu memang menjadi lokasi tumpuan tumpuan kaki pancing di negeri ini setiap tahun.
“Biasanya sekitar dua minggu dalam musim tengkujuh, pintu air ini akan melepaskan arus deras dan sepanjang tempoh itu, lokasi ini tidak sunyi kerana pemancing akan datang tidak kira masa.
Ads
“Saya sendiri, sebaik sahaja pulang memandu lori, terus ke sini untuk menyertai aktiviti ini dan tidak menyangka memperoleh hasil lumayan,” katanya yang berasal dari Kampung Dalam Rhu, di sini.
Hasil tinjauan yang dibuat di kawasan itu mendapati kaki pancing bukan sahaja memancing dari tebing, tapi ada juga yang sangat hampir dengan muka pintu.
Ads
Kawasan sekitar juga dibanjiri orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri bagaimana kaki pancing menyembat batang pancing masing-masing dan akan sama-sama bersorak jika mata kail berjaya menaikkan hasil.
Seorang lagi kaki pancing, Nur Muhammad Rashid, 26, berkata pengalaman menaikkan ikan patin sangat mengujakan pemancing, lebih-lebih lagi jika ikan itu bersaiz besar kerana sudah pasti hasilnya agak lumayan.
“Semua ikan patin yang berjaya disembat pemancing, akan dibeli orang ramai yang sudah sedia menunggu di sekitar kawasan ini pada harga RM10 untuk 1kg.
“Hari ini saya hanya berjaya menyembat patin seberat 3.5kg sahaja dan sudah ada pembeli yang sanggup membayar RM35,” katanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sungai Teluk Intan, Perak tidak asing bagi peminat jenggo atau udang galah sepit biru. Bagi penggemar tarikan gemalainya, sungai ini menjadi tumpuan pemancing kerana udang di sini yang bersaiz 200 gram ke atas.
Tenaga udang galah bersaiz mega ini sering kali menjadi dambaan kerana tarikannya yang padu dan mampu membuat pemancing tepuk dahi jika ia terlepas di pertengahan air.
Jenggo Club telah mengadakan satu program hujung minggu untuk memburu jenggo di sungai ini. Kata sepakat diambil dengan memilih jeti Pak Musa Batu 5, Teluk Intan sebagai jeti pilihan. Ini kerana ia berdekatan dengan R&R Batu 5, Teluk Intan dan berada di sebelah jambatan ke Sitiawan.
Bagi melancarkan acara, jawatankuasa penganjur Jenggo Club yang telah ditugaskan telah menyusun bot mengikut senarai nama penyertaan. Menariknya lagi tentang pancingan di sini adalah kadar sewa bot di sini mengikut saiz enjin berserta minyak dan harga yang dikenakan adalah berpatutan.
Untuk trip ini kami menggunakan 14 buah bot enjin 2 hp, 4 buah bot enjin 5 hp, 3 bot fiber besar dengan enjin 5hp dan sebuah bot besar beserta tekong.
Sebelum bermula, sedikit taklimat telah disampaikan, terutama peraturan dan juga aspek keselamatan serta dan bacaan doa agar segala-galanya berjalan lancar. Program bermula dari pukul 8.30 pagi dan masing-masing menuju ke lokasi pilihan mereka.
Tepat jam 5.30 petang semua peserta berkumpul semula ke jeti dan merekodkan hasil tangkapan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan Insyaallah di masa akan datang akan ada penganjuran yang lebih besar untuk ahli-ahli Jenggo Club. Semoga berjumpa lagi di event akan datang.
Perairan Selat Melaka yang dalam dan berarus laju telah memaksa Kami memilih tarikh air yang hampir mati kerana tiada seorang pun di antara kami mempunyai set memancing elektrik. Hanya ada beberapa kekili multiplier 2 kelajuan (double speed) sahaja dan selebihnya spinning reels termasuk single speed multiplier. Jelas kelihatan sedikit kesukaran menanti kami walaupun trip belum lagi bermula.
Lubuk pilihan lubang-lubang yang mana berpotensi menghasilkan merah, jenahak dan kerapu serta gerut-gerut. Setelah selesai memunggah barang, tepat 9.35 pagi bot mula bergerak meninggalkan jeti untuk ke lubuk pertama yang mengambil masa selama kira-kira sejam setengah.
Masing-masing bersemangat apabila saat sauh dilabuhkan dan serta merta umpan dijatuhkan ke dalam air. Tekong menyarankan hirisan isi ikan kembung. Sotong pula disimpan untuk penggunaan malam hari kelak. Tak sampai 10 minit, tarikan pertama datang dari rakan saya, Jemik. Tiada aksi tarik menarik berlaku kerana hanyalah sang gerut-gerut bersaiz sederhana.
Sekali lagi, joran melengkung. Kali ini giliran Azizan pula menarik. Walaupun agak pening-pening lalat kerana mabuk laut, beliau akhirnya berjaya juga menarik seekor lagi gerut-gerut yang saiznya agak besar sedikit dari tadi. Tidak lama kemudian, masing-masing mula menarik gerut-gerut tak kira depan atau belakang bot dengan pelbagai saiz.
Tekong memutuskan berpindah lubuk selepas hampir 2 jam di situ dan jaraknya sekitar 30 minit perjalanan. Setelah berpusing-pusing di situ, Tekong mengajak ke lubuk lain kerana terdapatnya gangguan jaring di dasar.
Lubuk seterusnya terletak 2 batu dari situ dan dikatakan memiliki spesies merah dan kerapu. Kami tiba ketika air mula lemah. Tanpa menunggu lama, Ramesh yang baru sahaja melabuhkan umpan di tengah bot menahan asakan. Joran mula melentur-lentur ditarik ke bawah dan berdasarkan asakan tersebut, pasti ikan sisik sudah mengena.
LUBUK PELBAGAI PENGHUNI
Aksi tarik menarik agak sukar dikendalikan kerana tali ada-kalanya ditarik keluar di samping penggunaan spinning reels bersaiz sederhana. Akhirnya, sang merah idaman menyerah kalah! Kami semua mula menukar umpan baru dan muncul semangat baru.
Giliran Shan di bahagian depan pula mendapat tentangan sengit selepas selang 5 minit. Beliau cukup berhati-hati kerana menggunakan tali braided 30lb sahaja. Seekor lagi merah bersaiz sederhana tewas. Walaupun saiznya begitu, lariannya amat liar. Lubuk ini nampaknya ada hasil gred A. Sayangnya, tiada lagi tarikan sepanjang kira-kira 20 minit selepas itu.
Saya hanya berjaya menaikkan seekor gerut-gerut comel ketika masing-masing sedang leka menunggu joran direntap kasar. Seekor lagi gerut-gerut muncul dari belakang dipancing oleh Mr.Pen. Nampaknya merah sudah hilang dan diganti dengan gerut-gerut pula. Tekong menyuruh kami menunggu lagi dan bersabar.
Kami berpindah ke lokasi agak jauh selepas itu. Sekali lagi kami berhadapan dengan situasi jaring namun berjaya juga sauh dilabuhkan. Sekali lagi Shan memulakan aksi dengan satu tarikan agak kuat yang berlaku ketika beliau hendak memasukkan joran ke rod holder.
Timbul seekor ikan jenahak yang cacat matanya. Menurut Tekong, jenahak ini mungkin berasal dari Pulau Ketam dan dibuang dari sangkar kerana cacat. Azizan bingkas bangun apabila drag berbunyi selang 15 minit kemudian. Sekali lagi aksi tarik-menarik bermula.
Agak payah mengendalikan peralatan manual kerana faktor kedalaman dan arus namun berjaya juga menaikkan seekor lagi spesies yang sama tiada pula sebarang kecacatan. Kedua-dua ikan tersebut tiada logo hitam seperti kebiasaannya bagi spesies jenahak dan hanyalah bersaiz agak sederhana sahaja.
TUKAR LUBUK
Menjelang lewat petang tiada tangkapan besar seperti yang diharapkan. Masing-masing ada yang sudah tidur berehat di kabin bot. Makan malam disediakan apabila hari mula gelap dan di samping itu, kami berbincang dengan Tekong untuk ke lubuk seterusnya.
Lubuk seterusnya agak jauh sedikit di mana kami tiba di sana dalam tempoh 30 minit. Aksi pertama dimulakan oleh Jacob apabila beliau berjaya menaikkan seekor ikan yu. Selepas itu hampir semua dari kami mendapat gangguan daripada yu. Ada yang dilepaskan kembali dan ada juga yang disimpan.
Tekong menyuruh kami menggulung pancing kerana perlu membetulkan kedudukan bot. Sesekali gerut-gerut dan ikan kecil lain dinaikkan oleh kami di sini. Setelah hampir 1 jam tanpa ikan kasar, kami berpindah lagi.
Tekong memberitahu bahawa lubuk ini ada ikan merah. Tanpa menunggu lama, Alip bingkas merentap joran dan terus sahaja menggulung tanpa tentangan berat. Rupanya seekor tebal pipi tumpas di belakang bot dengan menggunakan umpan hirisan sotong. Dalam pada itu, serangan gerut-gerut masih berterusan hingga ke lubuk ini.
Boleh dikatakan, setiap lubuk kami mendapat spesies ini. Tiba-tiba Alip dilihat sedang menarik sesuatu yang kelihatan tidaklah begitu mencabar namun dragnya sesekali berbunyi juga. Sedang leka melihat Alip sambil memegang kamera, secara tiba-tiba, joran saya menerima asakan sama seperti beliau. Double strike nampaknya namun masih lagi kabur tentang ikannya.
Akhirnya timbul Ikan merah serentak! Kami berdua berjaya menaikkan ikan merah bersaiz remaja. Walaupun tidak begitu besar, faktor kedalaman termasuk daya juangnya membuatkan karauan kami tidak begitu mudah.
Ketika ini, terdapat beberapa ahli telah mula tidur dan ada juga yang ‘tidur-tidur ayam’ kerana telah lewat melepasi tengah malam. Sesekali terjaga, saya sempat bertanya rakan yang masih setia menunggu joran, namun tiada hasil menarik kecuali gangguan ikan kecil serta yu. Ia berterusan sehinggalah muncul matahari.
Selepas sarapan ala kadar, kami sepakat pulang awal ke jeti. Bagi kami, trip ini sukses kerana walaupun sehari semalam, kami tetap mendapat ikan gred A dan yang paling penting, dapat berkumpul dengan rakan pancing.
Saya dari seawal pembabitan dalam teknik mengilat ini begitu teruja memburu toman dan haruan sehinggalah sekarang kerana spesies ini tidak mengira musim mahupun cuaca untuk meligan gewang yang dihulur.
Lokasi yang ingin saya ketengahkan kali ini terletak di pinggiran negeri Selangor dan amat popular di kalangan pengilat serta kaki pancing dasar kerana berada berdekatan Lembah Klang.
Saya bernasib baik kerana telah diperkenalkan spot ini oleh seorang sahabat iaitu Zaini. Kebetulan pula beliau yang tinggal berdekatan dengan kawasan tadahan air ini malah turut mempunyai sebuah bot fiber berserta enjin. Sejak itu kami sering berkunjung ke sini berdua ataupun kadangkalanya ditemani seorang lagi rakan pengilat lain.
Kunjungan kali pertama saya ke kawasan ini disambut dengan hujan seawal jam 9 pagi dan berlarutan hingga ke petang. Namun itu tidak melemahkan semangat kami bertiga pada hari tersebut. Banyak suak berpotensi kami terokai.
Di beberapa suak kami menemui satu kawanan anak toman yang masih kecil dan kelihatan sepasang induk yang mengiringi kawanan tersebut. Tanpa berlengah lagi pelbagai gewang permukaan dan selaman dalam kami hulur namun tidak membangkitkan rasa amarah kedua induk tersebut.
Sehingga tengah hari kami masih lagi belum dapat menaikkan toman gadang kecuali saudara Apit yang berjaya mendaratkan seekor toman bujang berskala 1kg. Apabila perut semakin berbunyi kami mengambil keputusan untuk berehat di satu spot.
Sambil menghampiri spot tersebut kami turut menghantar gewang-gewang permukaan, manalah tahu sekiranya ada pemangsa yang sedang menghendap di sekitarnya. Setelah mendarat di tebing, di satu sudut bereba kayu tumbang saya perhatikan seperti kelibat ikan yang baru disambar oleh sesuatu di dalam air.
Selepas beberapa ketika, seekor tilapia belang bersaiz dua tapak tangan yang hanya tinggal separuh timbul berhampiran reba tersebut dan sejurus itu juga saya terpandang sekilas ikan toman yang begitu besar saiznya timbul bersebelahan tilapia tersebut.
Saya tanpa berfikir panjang terus menghantar gewang Lucky Craft Gunfish 95 yang kebetulan memang siap tersedia. Satu sambaran kuat diperoleh sebaik sahaja gewang tersebut mencecah air namun sambaran tersebut tidak mengenai sasaran. Saya mainkan kembali gewang saya tersebut dan sejurus itu jugalah toman yang sama menyambar sekali lagi dan kali ini tepat mengenai gewang!
Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana hanya mampu bertahan selama 10 saat sahaja di mana shock leader berkekuatan 30lb saya putus begitu sahaja dikekah gigi toman gadang tersebut.
Setelah selesai sesi mengisi perut dan solat, kami menyusuri semula sebahagian lagi kawasan tadahan air ini sambil ditemani basah hujan dan kesejukan. Di satu sudut berstruktur kayu tumbang, Apit yang menggunakan buzzbait menerima sambaran agak kasar. Hampir 2-3 minit perlawanan seekor toman bunga berskala 1.5kg berjaya didaratkan.
Semasa bot perlahan-lahan menyusuri highway dalam perjalanan pulang, mata kami terpandang kepada satu kawanan anak yang agak besar kelompoknya. Zaini dan Apit serentak menghantar gewang namun tidak memperoleh sambaran. Giliran saya pula menghantar pencil Combat Gigantes berwarna kuning apabila kawanan anak toman tersebut menimbul semula.
Sebaik sahaja gewang mencecah permukaan air, 2 ledakan serentak menyambar dan tali utama terus tegang. Hampir 5 minit pertarungan namun akhirnya memihak kepada induk toman tersebut kerana berjaya menyelinap di celahan kayu di dasar tasik malah menguncupkan mata tiga berkekuatan 3X.
Kunjungan Berikutnya
Kebanyakan suak sama pada kunjungan yang lepas, kami ‘repeat’ semula dan turut menemui satu suak baru umpama nursery toman di mana banyak kelompok anak toman kami temui di sini. Kunjungan kali ini berpihak kepada Zaini kerana berjaya mendaratkan dua ekor mama toman berskala 4-5kg. Apit juga berjaya mendaratkan seekor lagi kerandang yang agak kasar. Saya pula akhirnya dapat juga mendaratkan seekor mama.
Kami begitu teruja kerana kunjungan ulangan kali ini membuahkan hasil yang begitu baik. Yang lebih membanggakan adalah kami tidak perlu memandu jauh hingga ke Temenggor ataupun Kenyir untuk mendapatkan hasil yang lumayan sebegini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...