Trip memancing di laut sememangnya memberi kepuasan yang lebih kepada para pemancing yang bertaraf ‘hardcore’.
Namun bagi mendapatkan status tersebut bukannya mudah. Masa, kewangan, ketahanan minda untuk mengelakkan mabuk dan juga fizikal perlu ada.
Namun semua kaki pancing pasti bermula dari bawah. Dan dengan itu satu trip pengenalan telah diaturkan bagi memberi peluang kepada kawan-kawan yang baru nak berjinak dengan ikan air masin.
Selalunya kawan-kawan ni kalau bercerita pasal pancing di kolam asyik mem’bangau’ je. Jadi harapnya taklah mem’bangau’ di laut nanti.
Trip telah diaturkan pada awal bulan dan bot telah ditempah awal-awal lagi. Seramai 11 orang kaki pancing yang rata-ratanya bekerja di bawah satu bumbung bertolak menaiki bas ke Mersing pada jam 11 malam.
Ads
Tiba di Mersing waktu pagi air masih surut maka kami meronda dahulu di kawasan bandar mencari bekalan makanan, ais dan umpan. Jam 12 tengah hari baru air mulai pasang dan bot bertolak ke kawasan Pulau Besar untuk memulakan sesi pancing.
Dalam pada itu ubat tahan muntah telah dibekalkan pada setiap orang untuk mengelakkan mabuk laut. Maklumlah kebanyakan pemancing baru ‘first timer’ memancing di laut. Rugilah dah bayar bot tapi tidur je, apa pun tak dapat.
Setelah satu jam perjalanan, tekong bot pun melabuhkan sauh dan tanpa berlengah, terus sahaja set pancing diturunkan. Oleh kerana bot tiada ‘rod holder’ kami hanya boleh menggunakan satu set pancing je seorang.
Sebagai permulaan masing-masing main ‘apollo’ je tapi ikan kunyit yang banyak tetap menceriakan hati. Sabiki saiz 8 hingga 10 dipertaruhkan, asal turun sahaj mesti penuh ikan kunyit melekat di mata apollo. Ada juga rakan yang cuba memancing dasar berumpankan hirisan sotong, ikan kembung dan udang.
Ads
Dalam sibuk melayan ikan kunyit dan kerapu, terdengar ‘drag’ berbunyi nyaring mengeluarkan tali. Member yang dari tadi melayan ‘apollo’ mengawal mesin pancingnya takut tali putus.
Kuat manalah sangat perambut ‘apollo’ beli di kedai. Pelik, apa jenis ikan yang kuat menarik mata apollo ni, sehinggalah aksi tarik menarik berlangsung selama setengah jam sebelum kelibatnya dilihat apabila membuat lompatan akrobatik di udara.
“Kapal selam!”.
Ads
Cepat-cepat kami menggulung tali untuk memberi laluan kepada member tadi. Semakin dekat dengan bot, semakin kuat ia membuli dengan membuat junaman ke bawah bot.
Pendek kata ke kiri ke kanan member saya ni mengawal tali. Bila saja berada dekat dengan tepi bot cepat-cepat tekong menggancu aruan tasik naik ke atas bot.
Tamat sudah perjuangan dan pembulian. Aruan tasik seberat 14kg berjaya dinaikkan dengan berumpankan ‘apollo’. Sebanrnya ikan ini telah menelan 2 ekor ikan kunyit yang memang dah melekat di mata ‘apollo’ tadi. Inilah dikatakan rezeki!
Aktiviti diteruskan dengan harapan murah rezeki nak dapat lagi aaruan tasik berumpankan ‘apollo’. Tetapi kerapu dan kunyit juga yang mengena.
Sesi pancingan selama 2 hari 1 malam ditamatkan dengan tangkapan yang boleh dianggap memuaskan bagi pemancing laut berstatus ‘beginner’ tanpa tragedi mabuk laut dan muntah yang teruk. Satu petanda trip memancing laut perlu dibuat lagi pada masa akan datang!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bagi kaki casting di ibu kota, boleh kena parkinson kalau lama tak pergi casting. Lebih-lebih lagi jika asyik sibuk dengan kerja dan juga takde spot memancing berdekatan yang ingin diterjah.
Walaupun ada pilihan casting di kolam berbayar, tetapi ia adalah terhad beberapa jam selain caj yang mahal. Takkan la nak kerap lepaskan gian di kolam berbayar. Boleh kopak poket jadinya.
Jadi nak tak nak terpaksalah fikirkan mana spot memancing yang ‘wild’ yang boleh diterjah. Antaranya memancing peacock bass dan toman di Tasik Prima, Puchong, mencari sebarau cenonet di Kuala Kubu Bahru atau melayan tarpon di Sabak Bernam.
Bagi geng casting, rata-ratanya mereka tidak menolak spesies apa yang ingin dicari, asalkan ia menyambar umpan tipu sudah cukup memadai walaupun ia hanyalah spesies haruan.
Bagi yang berani, tahukah anda, spesies ini masih boleh dijumpai dan sebenarnya dekat sahaja dengan penempatan asalkan rajin mencarinya.
Bahkan, ramai yang tidak menjangka ia sebenarnya ada dan mendiami di kawasan yang tidak pernah difikirkan selama ini.
Misalnya di sepanjang Sungai Damansara atau Klang, terdapat spot-spot yang berpotensi didiami spesies ini. Cuma nak atau tak nak sahaja menjengahnya.
Spot tepi sungai
Bagi sekumpulan geng casting di ibu kota yang penulis temui ini, haruan adalah antara spesies wajib masuk senarai mereka buru.
Namun, mereka bukanlah geng tapau bawa balik, sebaliknya lebih kepada ‘asal casting, janji hilang ketar tangan’ dan jika ada keperluan sahaja ia akan dibawa balik.
Antara spot terbaru yang dikunjungi penulis bersama mereka mereka adalah memancing di Sungai Damansara. Pada awalnya penulis ralat juga, memikirkan ada ke haruan?
Tetapi selepas pergi bersama mereka, barulah penulis tahu, rupa-rupanya spot yang diterjah mereka adalah sebuah lopak berhampiran tebing sungai berkenaan.
Lopak air seluas gelanggang bola keranjang tersebut terbentuk apabila air Sungai Damansara melimpah semasa air besar atau banjir kilat, sehinggalah membentuk lopak yang akhirnya menjadi lokasi ikan berkumpul bila air Sungai Damansara kembali ke paras normal.
Sayangnya, ketika kunjungan tersebut, lopak air berkenaan dipenuhi oleh pokok kiambang yang menyebabkan ruang untuk melontarkan jump frog agak sukar.
Ini disebabkan, sudah lama tidak berlaku kenaikkan paras air @ banjir, sekaligus menyebabkan tumbuhan berkenaan membiak dengan cepat.
Haruan Sungai Damansara
Oleh kerana, kunjungan kami lebih dari lima orang, terpaksalah, pokok kiambang berkenaan dibuka dengan cara menariknya dengan kayu. Sangat meletihkan, tetapi apa boleh buat kata mereka, nak casting punya pasal.
Selepas beberapa lopak dan laluan dibuka, kami menunggu lebih kurang setengah jam sebelum memulakan casting.
Zul menjadi orang pertama mendapat sambaran. Berkat kesabarannya casting dan terus casting, akhirnya haruan pertama berjaya dinaikkan. Tidak lama kemudian, seekor lagi haruan berjaya diperolehi olehnya. Memang champion betullah!.
Tidak lama kemudian, Zam berjaya memperolehi satu sambaran, tetapi gagal dinaikkan kerana mata kail tidak tertacap kemas, menyebabkan ia terlepas ketika sedang mula hendak di heret keluar dari celahan pokok kiambang berkenaan.
Melihat keadaan itu, bukan mudah sebenarnya casting berulang-ulang kali di tempat yang sama sambil memujuk haruan agar keluar dari celah pokok kiambang sekaligus tergoda dengan umpan tipu yang digunakan.
Ujar Wan, salah seorang geng casting tersebut yang kerap menerjah spot seperti ini berkata, setiap spot boleh berubah fizikalnya bergantung selepas ia ditenggelami atau dilimpahi air sungai.
Malah di spot yang sama, tahun lalu, dia pernah memperolehi ikan ketutu bersaiz hampir 2kg selain ikan keli. Ada masanya spot berkenaan di penuhi ikan tilapia hitam dan juga ikan bandaraya.
Selalunya, jika banyak ikan tilapia hitam, ia tidak akan bertahan lama kerana pasti akan mengundang kehadiran geng menjala.
Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Wan, ada benarnya katanya kerana apa yang penulis perhatikan memang pot ini telah lama menjadi spot ikan haruan yang penulis percayai
hanyut semasa air besar sebelum ia ‘sangkut’ di lopak berkenaan dan terus bermastautin di situ.
Ini berdasarkan saiz haruannya yang boleh tahan selain haruan juvenil yang diperolehi tanda ia telah membiak di situ.
Sukar dimasuki
Cuma pada pandangan penulis lagi, bukan mudah untuk menjejaki spot-spot begini walaupun ia dapat dilihat dari jalan besar. Antaranya kesukaran dan keselamatan kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan.
Dan spot yang penulis kunjungi ini juga bukanlah mudah untuk sampai, walaupun nampak dekat dari jalan raya.
Ini kerana, kawasan untuk masuk ini telah dipagar oleh penternak lembu dan yang paling digeruni adalah banyaknya anjing garang yang dipelihara bagi menjaga lembu-lembu berkenaan.
Pendek kata, kalau sorang-sorang nak terjah jangan cari pasal lah beb, sebab, kalaulah anjing tersebut terlepas ikatannya, tak ke naya jadinya.
Menjelang tengahari beberapa ekor haruan lagi berjaya diperolehi. Jadilah buat lepas gian ‘ketar tangan’ ujar geng casting yang membawa penulis menerjah ke spot haruan Sungai Damansara berkenaan.
Salah satu spot pancingan kegemaran saya adalah di mukim Serendah. Terdapat sebuah lombong yang agak besar dan gelap airnya di sini yang banyak dihuni oleh toman-toman agresif. Dua kali kunjungan saya ke lombong ini belum lagi mengecewakan.
Kali pertama saya bersama seorang rakan berjaya mendaratkan seekor toman bujang yang gelap skema warnanya dan mencecah 10kg timbangan menggunakan lip grip hanya dengan kaedah mengilat dari tebing sahaja. Kunjungan kali kedua, saya ditemani seorang lagi rakan menduga dengan menaiki bot pula dan dipacu oleh thruster 55lb.
Dengan cara ini kami berpeluang untuk menyelongkar setiap sudut lombong tersebut yang terhad untuk diakses dari tebing. Kali ini banyak toman bujang berskala 1-2kg yang rakus menghentam gewang selaman dalam berjaya kami daratkan. Tangkapan bonus bagi kunjungan kedua ini adalah seekor induk toman yang begitu gemuk dan sihat.
Namun, satu pengalaman baru yang saya perolehi sebelum berjaya mendaratkan induk toman ini adalah sebaik sahaja balingan pertama ke arah timbulan kumpulan anaknya, timbulan yang seterusnya kumpulan anak tersebut telah berpecah menjadi tiga.
Agak sukar untuk mengesan kedudukan sebenar induknya di kalangan tiga kumpulan anak yang telah berpecah. Oleh itu, cara yang paling mudah dan efektif adalah dengan menunggu sahaja induknya timbul bersama anak-anaknya kemudian barulah gewang dihantar.
Kegembiraan bersama rakan
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pengilat.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit). Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Setelah bersarapan di jeti awam, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan.
Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot.
Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
Kami menaiki boathouse Sahabat Alam untuk masuk ke Royal Belum. Sebanyak 3 bot fiber ditempah oleh penganjur untuk keluar memancing.
Selesai meletakkan barang masing-masing, ahli trip sibuk mempersiapkan kelengkapan sambil bersuai kenal sesama mereka.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas.
Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini.
Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan.
Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing.
Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing.
Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju.
Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan keempat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain.
Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook.
Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong.
Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut.
Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa pula sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot.
Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka.
Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper.
Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah.
Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman.
Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi.
Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan
sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran.
Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali. Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa.
Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun.
“Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku.
Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan.
Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik.
Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot.
Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang.
Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya.
Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut.
Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain.
Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau.
Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini.
Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram.
Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung.
Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ.
Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan.
Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat.
Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
PENUTUP
Trip kali ini dianggap berjaya dan menyeronokkan. Kebanyakan ahli trip berpuas hati dan gembira dengan perjalanan program yang diatur.
Tekong-tekong dari boathouse Sahabat Alam amat mesra dan penginapan juga selesa.
Semua yang hadir ingin datang lagi ke sini malah ada yang telah berkira-kira tarikh yang sesuai pada masa akan datang. Jika ada kesempatan, saya juga ingin ke sini lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...