Setelah bersarapan di jeti awam, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan.

Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot.

 

Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.

 

Kami menaiki boathouse Sahabat Alam untuk masuk ke Royal Belum. Sebanyak 3 bot fiber ditempah oleh penganjur untuk keluar memancing.

Selesai meletakkan barang masing-masing, ahli trip sibuk mempersiapkan kelengkapan sambil bersuai kenal sesama mereka.

 

HARI PERTAMA

 

Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas.

Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini.

Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.

 

Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan.

Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing.

 

Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing.

Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju.

Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.

 

Port ketiga dan keempat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain.

Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook.

Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.

 

Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong.

Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut.

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.

 

Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa pula sudah agak lewat petang.

 

Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot.

IKLAN

Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.

 

Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka.

Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper.

 

Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah.

Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.

 

Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman.

Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.

 

MISI DITERUSKAN

 

Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi.

 

Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.

 

IKLAN

Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan

sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.

 

Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran.

Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali. Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa.

Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun.

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

“Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.

Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku.

Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan.

 

Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik.

Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot.

Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.

 

Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang.

Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya.

Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut.

 

Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain.

Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.

 

SESI PETANG HARI KEDUA

IKLAN

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau.

Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini.

 

Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram.

Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.

 

Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung.

Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.

 

HARI TERAKHIR TRIP

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ.

Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.

 

Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan.

Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.

 

Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.

 

Trip Retro – Kenangan Lama Di Royal Belum

 

Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat.

Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.

 

PENUTUP

 

Trip kali ini dianggap berjaya dan menyeronokkan. Kebanyakan ahli trip berpuas hati dan gembira dengan perjalanan program yang diatur.

Tekong-tekong dari boathouse Sahabat Alam amat mesra dan penginapan juga selesa.

Semua yang hadir ingin datang lagi ke sini malah ada yang telah berkira-kira tarikh yang sesuai pada masa akan datang. Jika ada kesempatan, saya juga ingin ke sini lagi.

(Catatan: Mohd Nabil)

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI