Tak berlengah saya keluarkan set pancing aksi ringan yang tidak digunakan langsung dalam sesi memancing di Tukun Perak.
Mujur juga saya tergerak hati nak satu set ringan itu, kalau tidak memang melopong sajalah tengok ahli trip berpesta ikan cencaru.
Selain cencaru, spesies tenggiri turut banyak mendiami tuas ini. Malah ikan tenggiri sebenarnya adalah spesies sasaran utama ramai pemancing ke tuas Pulau Payar.
Walaupun saiznya tidaklah sekasar mana dengan purata yang didaratkan sekitar 1-3 kilogram sahaja, namun jumlah kehadirannya boleh dianggap agak banyak juga.
Ads
Puas melayan cencaru dengan pelbagai kaedah, saya menukar rentak bermain slow pitch jigging pula. Iyalah, tak sempat nak puas main slow di Tukun Perak.
Selain kehilangan satu set jig, Tukun Perak hanya menghadiahkan seekor kerapu kecil saja. Manalah tahu kerapu boron sebesar tong gas Pulau Payar sedang menanti saya.
Jenuh mengetuk jig di dasar dan percaya tiada spesies bersisik di tuas itu saya menukar tempo karauan. Manalah tahu ia menimbulkan rasa geram tenggiri untuk membahamnya.
Tatkala jig yang dikarau laju tiba di pertengahan, terus ada pemangsa yang menyambar. Namun ia rabut di pertengahan perlawanan apabila berjaya memutuskan kevlar mata kail.
Ternyata pemburu bergigi tajam banyak berlegar di pertengahan air. Percubaan kali kedua juga berpihak kepada pemangsa bergigi tajam.
Cuma kali ini ia lebih pedih di hati apabila melihat ia berjaya memutuskan perambut ketika tiba di permukaan air. Lebih pedih lagi melihat ia bukanlah tenggiri sebaliknya cuma alu-alu.
Walaupun tahu pemangsa yang banyak kali memutuskan kevlar dan leader serta menukunkan jig yang bukan murah harganya itu hanyalah alu-alu, namun saya tidak serik malah terasa sakitnya tuh di sini pula jika tidak dapat menewaskannya.
Ads
Saya usaha juga sehinggalah berjaya mengeluarkan tiga ekor alu-alu di tuas itu.
Lewat senja kami berpindah ke tuas lain pula. Namun hasil di tuas kedua ini tidaklah serancak di tuas pertama.
Setelah beberapa jam tanpa hasil yang menghiburkan, para tekong dan pemilik bot akhirnya sepakat sekata untuk pulang sekali gus menamatkan trip singkat di tuas Pulau Payar.
Perairan Selat Melaka yang dalam dan berarus laju telah memaksa Kami memilih tarikh air yang hampir mati kerana tiada seorang pun di antara kami mempunyai set memancing elektrik. Hanya ada beberapa kekili multiplier 2 kelajuan (double speed) sahaja dan selebihnya spinning reels termasuk single speed multiplier. Jelas kelihatan sedikit kesukaran menanti kami walaupun trip belum lagi bermula.
Lubuk pilihan lubang-lubang yang mana berpotensi menghasilkan merah, jenahak dan kerapu serta gerut-gerut. Setelah selesai memunggah barang, tepat 9.35 pagi bot mula bergerak meninggalkan jeti untuk ke lubuk pertama yang mengambil masa selama kira-kira sejam setengah.
Masing-masing bersemangat apabila saat sauh dilabuhkan dan serta merta umpan dijatuhkan ke dalam air. Tekong menyarankan hirisan isi ikan kembung. Sotong pula disimpan untuk penggunaan malam hari kelak. Tak sampai 10 minit, tarikan pertama datang dari rakan saya, Jemik. Tiada aksi tarik menarik berlaku kerana hanyalah sang gerut-gerut bersaiz sederhana.
Sekali lagi, joran melengkung. Kali ini giliran Azizan pula menarik. Walaupun agak pening-pening lalat kerana mabuk laut, beliau akhirnya berjaya juga menarik seekor lagi gerut-gerut yang saiznya agak besar sedikit dari tadi. Tidak lama kemudian, masing-masing mula menarik gerut-gerut tak kira depan atau belakang bot dengan pelbagai saiz.
Tekong memutuskan berpindah lubuk selepas hampir 2 jam di situ dan jaraknya sekitar 30 minit perjalanan. Setelah berpusing-pusing di situ, Tekong mengajak ke lubuk lain kerana terdapatnya gangguan jaring di dasar.
Lubuk seterusnya terletak 2 batu dari situ dan dikatakan memiliki spesies merah dan kerapu. Kami tiba ketika air mula lemah. Tanpa menunggu lama, Ramesh yang baru sahaja melabuhkan umpan di tengah bot menahan asakan. Joran mula melentur-lentur ditarik ke bawah dan berdasarkan asakan tersebut, pasti ikan sisik sudah mengena.
LUBUK PELBAGAI PENGHUNI
Aksi tarik menarik agak sukar dikendalikan kerana tali ada-kalanya ditarik keluar di samping penggunaan spinning reels bersaiz sederhana. Akhirnya, sang merah idaman menyerah kalah! Kami semua mula menukar umpan baru dan muncul semangat baru.
Giliran Shan di bahagian depan pula mendapat tentangan sengit selepas selang 5 minit. Beliau cukup berhati-hati kerana menggunakan tali braided 30lb sahaja. Seekor lagi merah bersaiz sederhana tewas. Walaupun saiznya begitu, lariannya amat liar. Lubuk ini nampaknya ada hasil gred A. Sayangnya, tiada lagi tarikan sepanjang kira-kira 20 minit selepas itu.
Saya hanya berjaya menaikkan seekor gerut-gerut comel ketika masing-masing sedang leka menunggu joran direntap kasar. Seekor lagi gerut-gerut muncul dari belakang dipancing oleh Mr.Pen. Nampaknya merah sudah hilang dan diganti dengan gerut-gerut pula. Tekong menyuruh kami menunggu lagi dan bersabar.
Kami berpindah ke lokasi agak jauh selepas itu. Sekali lagi kami berhadapan dengan situasi jaring namun berjaya juga sauh dilabuhkan. Sekali lagi Shan memulakan aksi dengan satu tarikan agak kuat yang berlaku ketika beliau hendak memasukkan joran ke rod holder.
Timbul seekor ikan jenahak yang cacat matanya. Menurut Tekong, jenahak ini mungkin berasal dari Pulau Ketam dan dibuang dari sangkar kerana cacat. Azizan bingkas bangun apabila drag berbunyi selang 15 minit kemudian. Sekali lagi aksi tarik-menarik bermula.
Agak payah mengendalikan peralatan manual kerana faktor kedalaman dan arus namun berjaya juga menaikkan seekor lagi spesies yang sama tiada pula sebarang kecacatan. Kedua-dua ikan tersebut tiada logo hitam seperti kebiasaannya bagi spesies jenahak dan hanyalah bersaiz agak sederhana sahaja.
TUKAR LUBUK
Menjelang lewat petang tiada tangkapan besar seperti yang diharapkan. Masing-masing ada yang sudah tidur berehat di kabin bot. Makan malam disediakan apabila hari mula gelap dan di samping itu, kami berbincang dengan Tekong untuk ke lubuk seterusnya.
Lubuk seterusnya agak jauh sedikit di mana kami tiba di sana dalam tempoh 30 minit. Aksi pertama dimulakan oleh Jacob apabila beliau berjaya menaikkan seekor ikan yu. Selepas itu hampir semua dari kami mendapat gangguan daripada yu. Ada yang dilepaskan kembali dan ada juga yang disimpan.
Tekong menyuruh kami menggulung pancing kerana perlu membetulkan kedudukan bot. Sesekali gerut-gerut dan ikan kecil lain dinaikkan oleh kami di sini. Setelah hampir 1 jam tanpa ikan kasar, kami berpindah lagi.
Tekong memberitahu bahawa lubuk ini ada ikan merah. Tanpa menunggu lama, Alip bingkas merentap joran dan terus sahaja menggulung tanpa tentangan berat. Rupanya seekor tebal pipi tumpas di belakang bot dengan menggunakan umpan hirisan sotong. Dalam pada itu, serangan gerut-gerut masih berterusan hingga ke lubuk ini.
Boleh dikatakan, setiap lubuk kami mendapat spesies ini. Tiba-tiba Alip dilihat sedang menarik sesuatu yang kelihatan tidaklah begitu mencabar namun dragnya sesekali berbunyi juga. Sedang leka melihat Alip sambil memegang kamera, secara tiba-tiba, joran saya menerima asakan sama seperti beliau. Double strike nampaknya namun masih lagi kabur tentang ikannya.
Akhirnya timbul Ikan merah serentak! Kami berdua berjaya menaikkan ikan merah bersaiz remaja. Walaupun tidak begitu besar, faktor kedalaman termasuk daya juangnya membuatkan karauan kami tidak begitu mudah.
Ketika ini, terdapat beberapa ahli telah mula tidur dan ada juga yang ‘tidur-tidur ayam’ kerana telah lewat melepasi tengah malam. Sesekali terjaga, saya sempat bertanya rakan yang masih setia menunggu joran, namun tiada hasil menarik kecuali gangguan ikan kecil serta yu. Ia berterusan sehinggalah muncul matahari.
Selepas sarapan ala kadar, kami sepakat pulang awal ke jeti. Bagi kami, trip ini sukses kerana walaupun sehari semalam, kami tetap mendapat ikan gred A dan yang paling penting, dapat berkumpul dengan rakan pancing.
Spesies snakehead atau ikan berkepala ular di malaysia ini terbahagi kepada beberapa keluarga seperti haruan, toman, bujuk, kerandang, haruan palas dan juga runtu atau baram snakehead.
Setiap keluarga spesies ini mempunyai pelbagai sifat memburu yang tersendiri dan saiznya mengikut situasi di sesebuah ekosistemnya.
Namun perkara utama tentang ikan ini adalah, ia bersifat wilayah dan cara makannya yang menyambar.
Teruja dengan spesies bujuk dan haruan palas yang sebenarnya boleh dikategorikan spesies yang semakin sukar di kebanyakan tempat di kawasan semenanjung Malaysia ini,
saya telah dijemput oleh sahabat dari pemburu spesies ini ‘Southern Snakehead’ yang menjadikan spesies kepala ular ini sebagai sasaran utama mereka.
Bahagian selatan tanah air, terutama di kawasan utara dan timur negeri Johor yang masih mempunyai hutan-hutan yang masih dara dan di gazetkan sebagai hutan simpan, spesies ini masih mudah ditemui.
Namun bagi sesetengah tempat spesies bujuk ini semakin pupus dan jarang dilihat di sungai-sungai atau parit sekitar sawah padi.
GILA CARI BUJUK
Sebab apa pemburuan bujuk ada nilainya tersendiri, berbanding spesies snakehead yang lain.
Walaupun spesies ini dalam kategori spesies pemangsa seperti haruan dan toman ia bagi saya adalah spesies yang agak pemalu keluar menyerang di kawasan terbuka.
Spesies ini lebih gemar mendominasi bawah kayu atau di kawasan reba sebagai rumahnya.
Bujuk lebih gemar menunggu mangsanya masuk ke kawasan rumah sebelum membuat serangan.
Keadaan air sungai yang coklat gelap, hampir sama dengan warna kayu mati dan berarus lemah adalah lokasi habitatnya.
Kebiasaannya spesies ini mendiami paya di kawasan hutan-hutan dan juga anak-anak sungai yang jauh di dalam hutan.
Bagi saya, cara makan ikan ini apabila ia terkena umpan memang mengasyikkan. Ia adalah spesies yang kuat meronta dan menggelupur. Inilah keasyikkan memburu bujuk.
Untuk meneroka lubuk lubuk yang berpotensi kenderaan pacuan empat roda ataupun lebih mudah menggunakan motosikal bagi lubuk yang jauh.
Itu pun sekiranya terdapat laluan yang boleh dilalui dengan kenderaan. Jika tidak, jalan kakilah jawabnya.
Perancangan awal dibuat mengenai kelengkapan yang perlu dibawa semasa trip berlangsung dan umpan umpan yang boleh diguna pakai di kawasan ini.
Sahabat saya, Addy dan juga Shah adalah penduga tetap kawasan ini lebih biasa dengan selok-belok hutan manakala dua orang lagi sahabat iaitu Awang dan Steve yang mahir
dalam kajian hutan membuatkan saya lebih yakin memasuki hutan yang sebenarnya kita tidak tahu apakah terdapat binatang buas yang mendominasi kawasan mereka.
NAIK MOTOSIKAL
Seawal jam 9 pagi kami memasuki pintu hutan selepas melalui jalan laluan balak yang sedikit basah dan terdapat becak di beberapa kawasan.
Beberapa kali motosikal kami menggelongsor keluar dari laluan kerana jalan yang agak licin.
Mujurlah tiada sebarang kejadian yang tidak elok berlaku dan selamat tiba di lokasi yang dituju.
Di hilir sungai kawasan balak yang baru di tebang kelihatan kawasan sungai yang cetek yang airnya mengalir sederhana deras.
Bila sahaja nampak air, kami semua memang tidak sabar melontar umpan soft plastic (SP) ke bahagian reba yang berselirat di dalam air.
Addy menerima sambaran pertama selepas tiga kali lontaran SP miliknya disambut oleh seekor haruan palas sekitar 300gram.
Kepala Haruan palas kelihatan agak kecil berbanding haruan biasa dan bentuk badannya lebih cantik dan berkilat.
Bila di amati terdapat sebentuk mata kail di dalam mulutnya mungkin terlepas dari tajur yang dipasang oleh orang asli di kawasan ini.
Kami kemudiannya terus menyusuri anak sungai sambil melontar umpan ke kawasan yang diyakini terdapat spesies yang dicari.
Landskap yang cantik sepanjang sungai membuatkan saya lebih teruja dan menikmati keindahan alam secukupnya.
Adakala kami terpaksa merentasi titian balak yang kecil untuk menyeberang bagi mendapatkan lubuk-lubuk terbaik.
Penggunaan gewang mata kail yang tersimpan atau mata kail tunggal lebih sesuai digunakan kerana di sini kerana akar kayu dan reba yang berselirat mampu membuatkan kami berputih mata.
Walaupun umpan katak, adalah lebih laju untuk mendapatkan spesies ini, bagi saya ia kurang thrill berbanding umpan tiruan.
Pada saya cukuplah dulu-dulu saya dah guna katak hidup semasa memancing di sawah padi, sekarang adalah masa terbaik menggunakan umpan tiruan.
LUBUK CANTIK
Sungai yang lebarnya lebih kurang 4 meter dan adakala surut dan dalam di beberapa kawasan membuatkan kami tertumpu di bahagian yang dalam sahaja kerana kehadiran kami mudah dikesan bagi kawasan yang cetek.
Setelah 1 jam berjalan kami terserempak dengan binaan pondok di atas pokok yang di tinggalkan oleh orang asli atau petugas-petugas hutan di tepi sungai.
Pondok yang dibina tinggi dari tanah lebih selamat berbanding di bawah kerana kehadiran binatang berbisa ataupun binatang buas mampu mengundang bahaya.
Di satu selekoh saya mengamati terdapatnya buih-buih kecil yang banyak di permukaan air. selepas diperhatikan, kelihatan anak-anak bujuk yang masih kecil bermain di atas air.
Saya menghulurkan umpan yang sama seperti digunakan oleh rakan lain, lalu melontarkannya ke arah buih-buih halus dan kawanan anak bujuk tadi.
Jarak saya dengan anak-anak bujuk yang tidak jauh menyebabkan saya hanya mampu mengenjut umpan SP tersebut seperti bermain jig.
Tanpa menunggu lama, satu sedutan dan henjutan kasar dirasakan di hujung rod namun ‘hook up’ yang dibuat tidak kemas dan menyebabkan ibu bujuk melarikan diri.
Puas saya melontarkan SP semula ke arahnya, namun ia tetap culas dan terpedaya. Tidak mengapalah, bukan rezeki saya, jelas saya di dalam hati.
Awang dan Steve bergerak secara berdua di belakang saya memperlihatkan melalui kamera dan telefon bimbit tangkapan beberapa ekor spesies bujuk yang ada di lepaskan semula ke habitatnya bagi menjamin populasi yang semakin berkurangan.
Ujar Awang, bujuk yang paling besar pernah didaratkan di kawasan ini sekitar 1.5 kilogram dan saiz-saiz sekitar 500 gram adalah saiz yang mendominasi kawasan ini.
Selain bujuk, haruan palas dan haruan, ujar Steve pula, terdapat juga spesies lain seperti sebarau dan kelisa.
Namun spesies yang di kategorikan sebagai spesies minoriti ini terpaksa survival hidup bersaing dengan spesies snakehead yang lebih banyak mendiami sepanjang sungai.
Kami meneruskan pancingan hingga ke lewat petang, sambil ada beberapa lokasi, membolehkan penggunaan gewang dilakukan dengan baik.
Kami menamatkan sesi pancingan sebelum matahari terbenam agar perjalanan keluar lebih mudah dan bimbang terserempak dengan binatang buas yang mungkin mengendap mangsanya.
Di lain masa, kami sepakat akan kembali mencari spesies yang sama tetapi menyasarkan spesies yang lebih besar.
Rompin, Pahang dinobatkan sebagai bandar layaran manakala Marang, Terengganu pula sinonim dengan sotongnya. Lantaran dari Tourism Malaysia Terengganu mengambil inisiatif untuk menjulang Dungun sebagai destinasi pancingan tenggiri.
Begitulah yang diimpikan dan disuarakan oleh Cik Zaini Sulaiman selaku Timbalan Pengarah Negeri, Tourism Malaysia, Pejabat Negeri Terengganu. Bagi memperkenalkan potensi pancingan tenggiri di perairan Pulau Tenggol kepada media, Tourism Malaysia Terengganu dengan kerjasama Pok Mud’s Fishing Partner telah mengadakan Pulau Tenggol Tenggiri Challenge 2015.
Selain wakil-wakil dari majalah memancing, Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) turut sama diundang dalam program selama 3 hari 2 malam ini. Bagi menjayakan program ini khidmat tekong tersohor perairan Dungun, Pak Din Ebek dan Tuan Mustafa ditagih untuk memperkenalkan lubuk tenggiri masing-masing.
Sementara segala teknik pancingan tenggiri sama ada teknik hanyut, dasar, casting dan jigging akan dipraktikkan oleh peserta bagi mencapai matlamat.
Potensi perairan Tenggol
Perairan Dungun khususnya berhampiran dengan Pulau Tenggol sememangnya dengan kehadiran spesies bergigi tajam ini dengan skala saiz yang menakjubkan. Malahan, ketika Grand Final GP Joran pada tahun sebelumnya, tenggiri dengan skala bersaiz 10 kg dinobatkan sebagai juara. Lebih kurang dua minggu sebelum program ini dilangsungkan pula diberitakan ada pemancing-pemancing tempatan kenduri tenggiri terbesar mencecah 20 kg.
“Air tengah laju ni payahlah sikit nak cari tenggiri. Tapi Insya-Allah ada…” Salam perkenalan dari Pak Din Ebek ketika kami berlima menyatakan spesies yang menjadi sasaran dalam trip tersebut.
Kalau dah tekong yang bukan setahun dua bergelumang dengan dunia hanyir kata macam tu, maknanya peluang kami nak capai target memang nipis sangatlah tu. Capai target atau tidak sebenarnya tidaklah menjadi persoalan sangat pada kami, peluang dapat memancing berdekatan dengan Pulau Tenggol itu saja sudah cukup menyenangkan hati.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Din Ebek, arus sememangnya laju. Saya yang ingin menguji potensi slow pitch di perairan Pulau Tenggol terpaksa melupakan hasrat tersebut apabila jig seberat 200 gm yang digunakan dengan mudah ditolak arus dan akhirnya tersangkut pada batu karang.
Sementara rakan-rakan lain yang memancing dengan kaedah mikro dan light jigging terpaksalah meneruskan permainan tersebut kerana tiada pilihan.
Saya yang kebetulan turut membawa sama satu set bottom bolehlah memasang strategi lain setelah berputus asa dengan hasil slow pitch. Setelah beberapa kali berpindah lubuk mencari spesies sasaran dan spot yang lemah sedikit arusnya, akhirnya Pak Din Ebek membawa kami ke lubuk yang menjulang namanya dengan gelaran ‘Ebek’.
Hanya menggunakan hand line atau koyan dan berumpankan cumit segar, tidak menunggu lama Pak Din Ebek sudah boleh tersengih dengan hasil yang diperolehinya. Tidak lama selepas itu set pancing dasar yang penulis guna pula disambar dan ternyata masih banyak ebek di lubuk Pak Din Ebek. Sayangnya ekoran arus yang laju hasrat untuk menjerat ebek-ebek tersebut dengan teknik micro dan light sukar untuk dipraktikkan.
Arus laju
Menjelang senja Pak Din Ebek membawa kami ke lubuk tenggiri yang paling popular berdekatan Pulau Tenggol yang sebelum ini banyak tangkapan dengan rekod belasan kilogram. Namun arus di kawasan ini lebih berganda kelajuannya.
Akhirnya kami berpindah dan bermalam di kawasan teluk berarus mati yang kurang berpotensi. Namun seronok juga berjigging ikan lolong dengan teknik micro jigging menggunakan ‘jig api!’
Lewat malam, sebuah lagi bot grup pemancing yang diketuai oleh Pok Mud’s turut sama berlabuh di kawasan ini setelah menghabiskan waktu siang memancing di luar kawasan Pulau Tenggol.
Hari ketiga, tatkala tinggal beberapa jam sebelum meninggalkan Pulau Tenggol, usaha Pak Din Ebek menghanyutkan bot mengelilingi Pulau Tenggol untuk membolehkan kami mengilat, popping dan jigging akhirnya membuahkan hasil.
Penat lelah Joe berjigging tanpa berputus asa akhirnya berjaya mendaratkan seekor tenggiri dengan skala berat 7 kg. Dengan kejayaan itu maka lengkaplah misi Pulau Tenggol Tenggiri Challenge 2015 yang dijayakan. Sekali gus membuktikan walaupun di luar musim dan waktu yang kurang sesuai, tenggiri masih mendiami perairan Pulau Tenggiri dan pastinya akan jadi festival apabila musimnya tiba.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...