Selain memancing bersama rakan sekepala, kerap juga saya memancing bersama keluarga, lokasi perairannya di Merchong, Pekan, Pahang boleh dianggap destinasi tahunan yang wajib memancing bersama keluarga.
Sebab apa saya pilih Merchong? Tak tahulah kenapa. Agaknya saya sudah serasi dengan perairannya dan juga khidmat tekong yang ada di sana. Lagipun, boleh dikatakan setiap kali trip saya dan keluarga ke sana, hasilnya jarang mengecewakan.
Sempena cuti umum yang lalu, sekali lagi trip keluarga diatur dan seperti biasa, kami akan bertolak awal sehari dari Kuala Lumpur ke Pekan dan akan berehat seketika di Chalet Kampung Merchong sebelum turun ke laut.
Kami menggunakan khidmat tekong Zamri, salah seorang dari enam tekong berpengalaman yang ada di sini. Biasanya, jika turun ke sini, saya tidak menetapkan sebarang target ikan sasaran.
Ads
Apa sahaja ikan yang boleh dibuat lauk saya terima. Lagipun, teknik yang kami gunakan, bottom dan juga pancingan apollo memang untuk memancing spesies demersal dan juga ikan-ikan karang.
Dengan bot fiber kapasiti 6 orang, tekong Zamri membawa ke lubuk-lubuk karang kegemarannya. Sebelum tiba, kami akan mengunjun apollo terlebih dahulu di unjam-
unjam yang terdapat di sini untuk mendapatkan ikan karang sebagai lauk yang boleh dibawa pulang.
Tiba sahaja di lokasi sasaran, tanpa berlengah lagi saya yang menggunakan kekili Daiwa Fream Kix 3500 dan rod Eupro melabuhkan umpan hidup ke bawah.
Tanpa menunggu masa yang lama, kekili berbunyi kuat, memandakan tali ditarik ikan dan serta-merta juga hujung rod saya melentur mencecah permukaan air.
Ads
Nampaknya, kudrat melawan makhluk di bawah sana memang kuat dan berdasarkan larian padunya, tekong mengandaikannya, ia penangan gerong belang, hampir 10 minit
bertarung, akhirnya ikan yang betul diteka oleh tekong memunculkan diri di permukaan air.
Selang berapa lama, dua orang abang ipar saya turut menerima henjutan padu serentak, apalagi agak kelam-kabut dibuatnya. Mujurlah salah seekor ikan tidak menjunam ke bawah bot serentak, kalau tidak, alamak habislah tali berbelit.
Selepas berhempas pulas, akhirnya berjaya juga abang ipar saya menaikkan ebek dan juga gerong belang sekitar 3 hingga 4 kg. Masing-masing tersenyum lebar.
Nampaknya memang rezeki kami, sudah dapat lesen bergasak dengan ikan yang terkenal memiliki daya juang yang tinggi.
Sebelah petangnya, tekong Zamri mengajak kami ke satu lubuk karang terbelah, kira-kira setengah jam dari lubuk pertama. Di sini, kami berjaya menaikkan beberapa ekor lagi ebek dan aruan tasik, cermin dan sagai sebagai habuan untuk dibawa pulang.
Lewat petang, kami menamatkan trip dan pulang semula ke jeti Kampung Merchong. Syukur, kerana trip kali ini berjaya menaikkan beberapa spesies yang kuat melawan dan ikan-ikan kecil lain untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
(Oleh: Sufian Nayan)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sempena cuti hujung tahun, saya berkesempatan melawat sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak.
Memandangkan saya peminat pancingan sungai pergunungan, peluang tersebut tidak disia-siakan dengan membawa set memancing ringkas untuk menduga penghuni sistem sungai di Ulu Baram, salah satu sungai terbesar di Sarawak selepas Sungai Rejang.
Namun, kerana kekurangan informasi mengenai keadaan di sana, saya dibuli teruk kerana set tidak sepadan dan kekurangan peralatan.
Dari itu, saya telah merancang rapi satu trip ‘balas dendam’ setahun berikutnya dan berjaya merasai sendiri pengalaman hebat bergasak dengan ikan yang digelar raja sungai pergunungan dengan kaedah casting atau mengilat.
PERANCANGAN DIATUR
Setibanya di Miri, di mana saya bersama isteri dan adik yang juga kaki mengilat telah dijemput oleh Henry Agang selaku guide kami dan bermulalah perjalanan Ke hulu Sungai Baram melalui jalan balak selama 8 jam.
Kami tiba di sebuah perkampungan etnik Kenyah kira-kira jam 7.00 petang. Tidak banyak infoyang boleh dilakukan malam itu kecuali menyiapkan diri serta peralatan untuk keesokan harinya.
Tempat penginapan kami boleh dikatakan mewah dengan keadaan rumah panjang yang cantik dan bersih, bekalan air pergunungan yang tiada had serta generator untuk bekalan elektrik.
Pagi berikutnya, walaupun saya bangun awal kerana tidak sabar untuk melontar gewang, namun perjalanan belum dapat diteruskan kerana masalah bot dan enjin sangkut. Menjelang tengah hari barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek untuk dimudiki.
Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan lubuknya yang kurang dalam.
Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat.
Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya. Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama. Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan.
Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam.
Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan.
Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan. Rapala FatRap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi.
High light hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot. Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai.
Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami. Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung.
Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum. Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan. Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
Jika dipancing dengan cara biasa yang anda maksudkan itu ialah pancingan dasar atau bottom fishing, jawapannya ialah boleh.
Secara umumnya, apa saja spesies ikan yang menyambar gewang boleh dipancing dengan teknik konvensional ini.
Ini kerana konsep asal penciptaan gewang adalah meniru morfologi dan aksi ikan, udang atau serangga yang menjadi diet sebenar ikan-ikan pemangsa ini.
Sebaliknya ada beberapa spesies ikan yang boleh dipancing dengan teknik konvensional ini tidak boleh dipancing dengan menggunakan gewang.
Selain pancingan dasar menggunakan pemberat, ikan sebarau dan peacock bass juga boleh dipancing dengan teknik apungan.
Atau lebih mudah untuk difahami dengan menggunakan pelampung sama ada kekal di suatu tempat ataupun dihanyutkan.
Sementara umpan yang sama boleh digunakan bagi kedua-dua teknik ini.
Sebarau dan peacock bass ialah spesies karnivor iaitu haiwan yang memakan benda hidup seperti ikan kecil atau haiwan lain.
Jadi, umpan terbaik untuk memancing kedua-dua spesies ini ialah anak ikan atau kecil yang hidup di habitat yang sama.
Selain anak-anak ikan atau ikan kecil, sebarau dan peacock bass juga boleh dipancing dengan menggunakan anak udang, cacing, cengkerik dan serangga lain.
Sudah agak lama saya tidak turun memancing bersama seseorang yang saya anggap sebagai sumber rujukan pancingan laut dalam.
Kali terakhir saya memancing dan bermalam di atas sampan Tamizam atau lebih mesra dengan panggilan Pok Mud sudah melebihi setahun.
Justeru apabila ada kelapangan masa untuk turun memancing bersama beliau, pastinya saya tidak akan lepaskan peluang begitu sahaja.
Apatah lagi pemancing yang akan turun memancing bersama Pok Mud kali ini adalah seorang tokoh eko pelancongan yang banyak membawa pelancong dari luar negara khususnya dari Eropah memancing di perairan negara.
Walaupun bukanlah tekong sepenuh masa namun pengalaman namun pengalaman Pok Mud sebagai pemancing dan tekong bukanlah baharu setahun jagung.
Perairan Perlabuhan Kelang atau Pintu Gedung, laluan kapal, paloh atau zeezone hinggalah ke sempadan antarabangsa, semuanya sudah lama menjadi padang mainan beliau.
Hanya disebabkan beliau lebih selesa dengan pancingan dasar dan sampan yang digunakan juga direka bentuk bagi keselesaan menotok (teknik pancingan dasar berhanyut), maka populariti beliau di kalangan pemancing moden atau jigger kurang menjadi sebutan.
Namun ramai yang tidak menyedari pengalaman tekong-tekong pancingan dasar ini sangat efektif jika dimanfaatkan untuk trip jigging.
Hampir jam dua petang barulah kami berempat bergerak keluar dari Pangkalan Pengail menuju ke Pintu Gedung.
Sementara menanti arus bertukar lemah, manakala angin selatan masih bertiup kencang, kami berlabuh dan memancing di pintu selat terlebih dahulu.
Saya hanya memerhati Aziz Daud, Haji (kenalan Aziz Daud) dan Pok Mud memancing.
Aziz Daud dan kenalannya menerima strike namun berakhir dengan kekecewaan akibat rabut dan masalah teknikal. Apabila arus mula berubah, Pok Mud terus ke Pintu Gedung dalam keadaan angin selatan semakin menderu.
Mereka bertiga menotok sementara saya pratikkan jigging perlahan di bahagian hadapan sampan.
Hanyutan pertama selepas melintasi beberapa zon potensi strike, Pok Mud membuka tirai tangkapan dengan mendaratkan seekor jenahak skala berat satu kilogram lebih menggunakan umpan udang lipan.
Tidak lama selepas itu, Pok Mud ulangi berhanyut di spot yang sama.
Kali ini saya lebih fokus berjigging dan ternyata berhasil. Jenahak hasil ‘umpan besi’ yang saya gunakan membuka mata Aziz Daud untuk mencuba umpan lain pula.
Satu joran beliau gunakan umpan udang lipan dan satu lagi joran beliau gunakan umpan udang tiruan (soft plastic shrimp lures).
Hasil dari hanyutan seterusnya di spot yang sama lebih mengujakan.
Empat sentapan berlaku hampir serentak. Namun hanya Pok Mud sahaja yang berjaya mendaratkan.
Tidak lama kemudian, giliran udang getah yang digunakan Aziz Daud mengena. Walaupun saiznya agak kecil, namun itulah jenahak pertama yang didaratkan menggunakan udang getah tiruan di Pintu Gedung.
Begitu juga dengan jenahak yang saya daratkan. Menurut Pok Mud, saya merupakan orang pertama yang berjaya mendaratkan jenahak menggunakan jig di lubuknya itu.
Apabila arus bertukar deras, kami beralih ke lubuk yang lebih jauh ke tengah.
Namun sehingga hampir jam 11 malam tanpa tambahan hasil lagi, kami menamatkan trip dibuai angin selatan dan kembali ke jeti.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...