Cerita bab ikan spesies snakehead (ikan berkepala ular) memang biasa jika di semenanjung Malaysia.

Tetapi haruan (channa striatus), bujuk (channa lucius) jika diamati ia semakin sukar dicari terutama sekali jika berdekatan dengan kawasan penempatan terutama di semenanjung.

 

Walaupun haruan dianggap masih mudah diperolehi di sesetengah tempat, tetapi kebanyakan kaki pancing semenanjung kini terpaksa menjelajah jauh ke pelosok kebun-kebun kelapa sawit, parit, paya dan sebagainya untuk mencari haruan.

 

Bujuk pula memang sudah semakin sukar diperolehi, hingga terpaksa meranduk masuk ke ceruk kawasan pembalakan, paya gambut dan sebagainya.

 

Pengalaman saya berkunjung ke daerah kecil Matu-Daro yang terletak di dalam bahagian Mukah, Sarawak bersama Lai Malie, rakan dari Mukah Caster Group cukup mengujakan.

Ini kerana, rakan saya ini membawa saya ke wilayah di mana terletaknya port yang saya simpulkan ia sebagai kandang bujuk.

Ikan bujuknya cukup banyak, sehingga nak cari haruan pun susah!.

 

Dalam nisbah 10 kali strike, 6-7 ekor adalah bujuk, selebihnya barulah ikan runtu dan haruan.

Dalam komplot tersebut, ia turut disertai oleh beberapa orang caster dari Mukah Anglers Grup dan Matu- Daro Anglers Group yang lain iaitu Ruzain Narumy, Lai Sacs, Lanang Anglers, Mann Levi’s dan Cikgu Ismith.

 

Menariknya sebelum komplot ini diaturkan, saya belum pernah berjumpa dengan mereka. Hanya bersembang di laman sosial Facebook sahaja.

 

LUBUK BUJUK

 

Komplot bermula sebaik sahaja saya, Lai Malie dan Ruzain tiba dari Mukah yang mengambil masa hampir 2 jam perjalanan untuk tiba ke Matu Daro ini.

IKLAN

Mujurlah semasa tiba di Batang (Sungai) Igan, feri ‘ngam-ngam’ sampai dan kereta kami tidak perlu tunggu lama untuk menyeberang ke sana.

 

Sebaik tiba di Dewan Serbaguna Kampung Tian, Matu, kami kemudiannya bergerak menaiki kereta ke lokasi.

Konsep pencarian spesies ikan berkepala ular ini amat mudah. Hanya memancing di pinggir jalan raya menuju ke Daro sambil secara ‘Touch n Go’, iaitu beralih tempat ke hadapan jika tiada mendapat sambutan.

 

Ada beberapa perkara yang merangsang keterujaan pada diri saya ketika di sana. Setiap kali berhenti di satu-satu lokasi, mendapatkan strike cukup mudah.

Sudahlah tepi jalan raya, keluar sahaja dari kereta, lontarkan umpan di parit sebelah kiri dan kanan jalan, karau beberapa kali dan strike!

Paling best pakai apa sahaja umpan tipu semua bujuk kat sini hentam. Amboi senangnya kata saya!

 

Menariknya lagi, bujuk adalah spesies snakehead yang paling banyak dinaikkan, sesekali runtu yang akan mengena dan kemudian barulah haruan.

Wah… Memang seronok sangatlah. Jauh bezanya jika dibandingkan trip saya mencari snakehead di semenanjung.

 

Menurut Lai Malie, Matu-Daro adalah antara daerah paling banyak spesies snakehead ini, berbanding di kawasan-kawasan lain di Sarawak.

IKLAN

Terdapat beberapa faktor mengapa di daerah kecil ini populasi spesies snakeheadnya amat banyak berbanding di kawasan lain.

 

Pertama, masyarakat Melanau di sini memang tidak makan langsung sebarang ikan berkepala ular ini, mereka hanya makan ikan laut, kerana ikan laut murah dan mudah diperolehi memandangkan penempatan di sini berdekatan dengan laut.

 

Kedua, faktor geografi Matu-Daro yang dikelilingi kebun, hutan pokok sagu dan banyak dikelilingi oleh sungai, parit dan tiada aktiviti pertanian yang ekstrem menggunakan racun perosak menyebabkan ikan di sini membiak dengan baik.

 

Dan ketiga adalah, tidak ada kaki pancing yang ekstrem memancing spesies-spesies ini. Jika ada pun boleh dibilang dengan jari.

Bujuk, runtu, haruan di sini juga masih belum kenal apa itu gewang.

 

Bagi geng-geng Matu-Daro Anglers sendiri pun mereka sebenarnya lebih gemar casting dan mencari ‘Mak Janda’ (gelaran popular untuk siakap merah atau mangrove jack), siakap putih, bulan yang banyak menghuni sistem-sistem sungai muara di sini serta trip ke laut.

 

Ujar Mann Levi’s yang berasal dari daerah ini, memang sukar nak tengok orang Melanau makan ikan darat, kecuali orang Iban ataupun pekerja-pekerja kontrak ladang, buruh asing yang mengeluarkan dan membersihkan batang-batang pokok sagu.

IKLAN

 

Jika mereka memancing pun, hanyalah memancing ikan puyu menggunakan batang buluh menggunakan umpan cacing.

 

Jika bujuk, runtu atau haruan yang mengena, ikan tersebut akan dilepaskan kembali. Bahkan tidak kurang juga yang melemparkannya ke darat kerana faktor ‘geram’ kerana asyik ikan ni sahaja yang mencuri umpan.

 

Patutlah ikan-ikan di sini hidup aman tenteram, rupa-rupanya tiada gangguan. Warna air sungai, paritnya yang gelap kehitaman tetapi bersih (air tanah gambut) antara faktor,

mengapa bujuk, haruan ataupun runtu yang banyak kami perolehi bentuk yang sihat dan warna yang menarik.

 

TIKAM TEBING

 

Sepanjang trip sehari tersebut, saya perhatikan kadar sambaran bujuk, haruan ataupun runtu yang lebih kasar lebih mencakup di kawasan yang bereba seperti ranting-ranting

pokok yang tumbang dan samai di kawasan teduh, terutama di bawah dahan-dahan pokok yang menimbuni tepi tebing.

 

Rakan-rakan di sini menggelarnya ‘tikam tebing’ dan juga ‘kamikaze’ iaitu istilah gewang mesti dilontar tepat ke lubuk berpotensi di celah-celah dahan pokok yang merimbun hampir di gigi air.

 

Jadi, kes tersangkut memang tinggi kerana bukan mudah untuk menghantar tepat gewang ke kawasan tersebut.

Mujurlah sebelum datang ke sini, mereka sudah pesan awal-awal bawa banyak-banyak froggie (katak getah), katak rambutan (katak kayu/ buyun), soft plastic dan sebagainya sebagai insurans.

 

Banyaknya tangkapan bujuk di sini juga membuatkan kami ada kalanya tidak bergerak dan lama di satu-satu tempat. Kesemua tangkapan dilepaskan kembali.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI