Pucuk dicita ulam mendatang, hujan dicita banjir mendatang. Hampir kesemua ahli Alucast yang menyertai Megatrip menaruh harapan bakal bertemu dengan monsun gelombang kedua. Doa dan harapan seperti termakbul apabila beberapa hari sebelum bermulanya trip, hujan mula turun di pantai timur.

 

Bahkan lebih dari yang diimpikan apabila monsun yang dicita, bah pula yang mendatang. Lantas, cabaran dan halangan pun turut sama menjelma apabila beberapa tempat dan jalan ke Tasik Kenyir dinaiki air. Dan terpaksalah menempuh lencongan demi lencongan untuk sampai ke destinasi.

 

Ironinya, setibanya di Pangkalan Gawi pada petang harinya cuaca baik-baik saja. Seolah-olah monsun belum tiba di Tasik Kenyir. Cuaca yang baik memudahkan urusan ahli trip yang tiba awal dalam urusan loading barangan dan bot laju masing-masing sekadar dibasahi peluh.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

Ternyata cuaca tidak kekal lama. Menjelang senja, hujan turun dengan lebat dan berhenti untuk seketika saja membawa ke malam hinggalah keesokan harinya. Tatkala kesemua ahli megatrip seramai 69 orang dengan 33 buah bot laju yang majoritinya bot aluminium berserta 3 buah boathouse bersedia untuk memulakan trip, hujan masih turun merengek seperti tiada mahu berhenti.

 

Trip selama 5 hari 4 malam ini merupakan penyertaan kedua buat saya atas tajaan Hasya Joran yang merupakan penaja hadiah bagi trip memancing kelab pemancing terbesar tanah air ini. Kali ini saya berpeluang pula rakan casting kepada Nik Ammar, pemilik Hasya Joran Kota Bharu yang pernah menghiasi muka depan Majalah Umpan.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

Namun secara peribadi, seperkara utama kenapa saya begitu teruja untuk menyertai megatrip ini adalah inilah peluang untuk bertemu, memancing dan menuntut ilmu dari otai-otai dan sifu-sifu seperti Azuan Man, Azman Din, Rosli Rod, Abang Enal, Haji Md Nor, Haji Din Koko dan ramai lagi.

 

Tak ketinggalan selebriti dunia memancing tanah air, Nasir Yusof… Kebabomm! Hari pertama lebih kepada sesi pemanas badan yang sememangnya perlu dipanaskan lantaran seharian casting di dalam hujan. Ekoran yang berterusan juga, mana-mana pemilik bot laju yang tidak memiliki bilge pump atau beroperasi secara manual terpaksalah bersengkang mata bagi mengelak bot daripada karam.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

Hari kedua, kawasan taman negara khususnya di Gua Bewah menjadi padang casting dan trolling. Perubahan warna dan paras air di Tasik Kenyir mula ketara. Kejadian tanah runtuh dan gelinciran tanah dapat dilihat di merata pulau dan tanah besar. Begitu juga dengan kesan-kesan kejadian kepala air.

 

Dan ditambah dengan hujan turun dengan lebat, harapan untuk berpesta sebarau ternyata tidak kesampaian. Walau bagaimana pun faktor itu semua tidak menjejaskan Ah Biau, ahli trip undangan mendaratkan seekor siakap seberat 14.9 kg hasil casting di belakang Gua Bewah.

 

Hari ketiga, situasi dan keadaan cuaca masih sama. Hujan seperti tidak mahu berhenti dan ingin menenggelamkan Tasik Kenyir. Namun semangat ahli-ahli trip untuk keluar casting sedikit pun tidak luntur.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

Meskipun ada sebahagian kecil ahli yang mana tapak kakinya mula diserang kutu air akibat berendam dan kebasahan sepanjang hari. Lantaran hujan berterusan yang mengakibatkan banyak lubuk berpotensi menjadi keruh dan berkeladak, pencarian sebarau bertambah sukar.

Maka pulau-pulau yang ditenggelami air dan suak-suak yang tidak terlalu keruh menjadi spot terbaik menerima strike dari sebarau.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

Hari keempat juga tiada banyak bezanya. Malah situasi di Tasik Kenyir semakin menyedihkan dan menakutkan. Saya sendiri berhadapan dengan situasi yang mendebarkan. Tatkala sedang asyik menerima strike demi strike di sebuah sebuah suak, tidak semena-mena ada balak tumbang ekoran gelinciran tanah.

 

 

Bahkan banyak lubuk yang tidak selamat untuk diuji ekoran banyak pokok balak yang menanti waktu untuk tumbang. Malam keempat yang merupakan malam terakhir adalah malam yang dinantikan. Malam penganugerahan kepada ahli-ahli yang memperolehi tangkapan terbaik, penghargaan kepada ahli terbaik tahunan, serta cabutan bertuah berupa barangan pancing dari penaja-penaja.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

King Of Sebarau disandang oleh Haji Din Koko dengan tangkapan seberat 1.95 kg, King Of Toman disandang oleh Chor Norzaili dengan tangkapan seberat 4.15 kg dan King Of Siakap dijulang oleh Ah Biau dengan tangkapan seberat 14.9 kg. Manakala Man Of Alucast disandang oleh Rosli Rod, otai rod crafter.

 

Trip Retro – Megatrip Banjir Besar Alucast

 

Hari kelima yang juga hari keberangkatan pulang, cuaca bertukar baik sebaik-baiknya. Awal-awal pagi lagi matahari bersinar terang. Tentu saja ia dimanfaatkan sepenuhnya sambil bergerak pulang ke Pangkalan Gawi.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI