(Oleh : Zafri Anglers)

Teknik jigging boleh dikatakan semakin berkembang di daerah Mukah, Sarawak. Disebabkan kayanya sumber marin di perairan ini, maka ia telah menarik minat ramai kaki pancing di sini mempraktikkan teknik ini.

 

Saya, Ismail, Jerome, Helmi dari Mukah Anglers Group (MAG) dan Mann Levi’s dari Matu Daro Fishing (MDF) telah berkesempatan jigging di perairan Mukah.

Ia disusuli trip kedua tiga hari kemudian meskipun keadaan cuaca tidak menentu. Biasalah jika dah penghujung tahun sebegini musim hujan telah tiba.

 

Seawal pukul 5 pagi kami telah bergerak ke lokasi tekong iaitu di Kampung Penipah yang jaraknya kira-kira 20 minit berkereta dari Bandar Mukah.

Setelah tiba di lokasi tanpa membuang masa kami terus memunggah segala peralatan yang kami bawa ke dalam bot.

 

Tekong Suhaimi

 

Trip kali ini kami menggunakan khidmat tekong Suhaimi. Ini adalah pengalaman pertama saya menggunakan khidmatnya.

Dari apa yang saya dapat tahu Suhaimi mempunyai point jiggingnya sendiri.

 

Walaupun perairan Mukah berpotensi besar untuk spot jigging, wujud masalah mencari tekong yang cenderung kepada jigging.

Lagipun kebanyakan tekong adalah nelayan harian yang lebih gemar menggunakan jaring untuk menangkap ikan.

Pendek kata, tekong jigging yang ada memang terhad dan sentiasa full booking.

 

Kami memulakan perjalanan ke spot pertama yang memakan masa selama 30 minit dari Kuala Sungai Penipah.

Setelah bot mengambil posisi yang betul jig dihulurkan serentak sambil unjunan dibuat beberapa kali.

 

Strike pertama daripada tekong membuatkan kami rasa teruja. Ikan pisang-pisang berskala kecil berjaya dinaikkan menggunakan jig 40 gram.

Tidak lama kemudian, tekong sekali lagi mendapat strike dan hampir 5 minit bertarung, seekor jemuduk berskala 1 kg berjaya dinaikkan.

 

Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Kelihatan langit mula mendung serta awan kelabu dari arah laut menandakan hujan akan turun.

Keadaan permukaan laut yang mulai bergelora membuatkan saya mula risau dengan keadaan cuaca.

 

IKLAN

Tekong memberitahu cuaca tidak dalam keadaan baik, namun dia cuba untuk bertahan, selagi tidak mendatangkan bahaya.

Kami bertawakal dan menyerahkan keputusan kepada tekong. Mungkin dia enggan kami kecewa dengan trip itu jika kami balik terlalu awal.

 

 

Jerome yang pertama kali turun jigging seterusnya mendapat strike, seekor kerapu saiz 500 gram menjadi koleksi pertama beliau.

Sesi sakat menyakat member menjadi penghibur hati kami yang belum mendapat strike. Saya dengan penuh sabar terus mencuba tanpa putus asa.

 

Yes, strike pertama menggunakan jig Storm Koika Silver 20 gram membuatkan saya teruja.

Joran Viper Fatale P.E 0.6-1.8 melentur U terus. Seekor talang berjaya saya daratkan, hati ada senyum usik rakan-rakan yang lain.

 

Tekong mengarahkan kami untuk menaikkan jig. Disebabkan spot tersebut agak hambar tanpa sambaran daripada penghuni dasar, perjalanan ke spot seterusnya mengambil masa 10 minit. Kali ini, Ismail pula mendapat strike.

Seekor anak sagai berjaya beliau daratkan. Memang rezeki Ismail apabila tidak lama kemudian, sekali lagi lagi dia mendapat strike.

 

Kali ini agak kasar sentapan daripada penunggu dasar, akhirnya seekor gerepoh @ GT berskala 1 kg berjaya dinaikkan menggunakan jig 38 gram.

Kali ini, Ismail punya yang tersenyum panjang. Selepas itu langsung tiada strike, tekong memberitahu kami untuk pindah lagi ke spot lain.

 

Cuaca tidak mengizinkan 

 

Tengah seronok berjigging, tiba-tiba jig saya terbelit pada tali utama Jerome. Puas juga saya membuka belitan sebelum tekong memberitahu supaya jig saya dibuka dari snap baru senang nak leraikan belitan tali.

IKLAN

 

Sewaktu Jerome memegang tali utamanya dengan jignya masih hanyut dalam air, tiba-tiba jig yang masih berada di bawah air disambar oleh ikan.

Situasi menjadi cemas dan kalut bila tekong mengarahkan supaya tali dipotong. Saya terpaksa akur dan terus memotong tali tersebut.

Nasib betul jig sempat dibuka tadi, kalau tak memang berlaku insiden saya tercangkuk mata kail jig. Rupa-rupanya seekor talang saiz hampir 2 kg menyambar jig Jerome.

 

Kami berpindah lagi ke spot lain. Kali ini kami terserempak dengan kawanan burung yang banyak tekong terus mematikan enjin.

Mann Levi’s orang pertama yang menurunkan jig terus mendapat sambaran. Joran Viper Venom melengkung diuji penghuni dasar yang belum kelihatan.

Akhirnya mangsa seekor jemuduk berjaya dinaikkan. Apa yang menarik spot ini kami telah mendapat strike bertubi-tubi sehingga tidak sempat nak bergambar dibuatnya.

 

Antara ikan yang diperolehi di spot tersebut ialah ikan sagai, jemuduk, anak kerapu, merah dan tanda.

Dalam keseronokan kami berjigging, tekong akhirnya memberikan isyarat untuk kami segera menggulung naik tali tanda akan pulang ke jeti apabila keadaan laut semakin bergelora dan tidak mengizinkan untuk kami bertahan lebih lama.

 

Dalam perjalanan, kami bertawakal, agar tidak berlaku apa-apa kemudaratan. Tetapi kami terpaksa juga menempuh hujan lebat dalam keadaan laut bergelora.

Hampir sejam, kami tiba di pangkalan tepat jam 12 tengah hari. Syukur Alhamdulillah.

 

Trip kedua

 

Tiga hari kemudiannya, saya bersama Helmi, Yusry dan Ismail repeat semula. Saya berharap yang cuaca pada hari tersebut baik, tidak seperti trip sebelumnya dan kami masih lagi menggunakan khidmat tekong Suhaimi.

IKLAN

 

Jam 7 pagi kami memulakan perjalanan ke spot yang pertama yang memakan masa 30 minit perjalanan dari pangkalan muara Sungai Penipah.

Hujan renyai-renyai membuatkan saya risau dengan keadaan cuaca. Tiba di spot pertama tekong terus membetulkan posisi bot supaya berada pada posisi yang sesuai.

 

Nampaknya tekong memulakan aksi pemanas badan dengan menaikkan seekor anak ikan pisang-pisang yang terpedaya dengan unjunan jig handmade tekong Suhaimi sendiri.

Tidak lama selepas itu saya pula strike anak ikan sagai. Ini satu petanda yang baik kata saya.

Giliran Helmi pula menyusul dengan joran PE 0.8-2 terus melentur akibat asakan peragut jig. Rupa-rupanya pecutan ikan sagai berskala 1 kg. Boleh tahan juga aksi pecutannya.

 

Kebanyakan strike yang kami perolehi selepas itu ialah anak ikan kerapu yang semuanya kami lepaskan semula disebabkan saiz yang masih kecil.

Di spot kedua yang jaraknya 15 minit perjalanan dari spot pertama, joran PE 0.8-1.5 milik saya disentap rakus penunggu dasar secara tiba-tiba.

 

Sangkaan saya ikan sagai, tetapi yang berjaya dinaikkan adalah jenahak tanda. Ia kali pertama saya memperoleh spesies ini menggunakan teknik jigging.

Selepas itu, tekong Suhaimi, Helmi dan Ismail pula secara bergilir-gilir mendapat strike ikan jemuduk dan sagai semuanya berskala 1 kg ke atas.

 

 

Sedar tak sedar jam menunjukkan angka 2 petang. Langit mendung kelabu membuatkan kami tidak sedar masa berlalu pantas.

Tekong memberitahu dia akan membawa kami ke point kerapu strawberi. Ia membuatkan kami begitu teruja kerana spesies kerapu ini sememangnya menjadi idaman setiap pemancing.

 

Tiba di lokasi, saya, Helmi dan Ismail masing-masing berjaya menaikkan beberapa ekor kerapu strawberi di spot tersebut dalam anggaran saiz 500gram- 1.5kilogram.

Alhamdulilah, dapat juga lesen walau saiz kecil. Di point yang sama, kami turut menaikkan ikan sagai, gerepoh, jemuduk, kerapu dan todak.

 

Nun di hujung kaki langit, awan hitam berarak kuat dan deruan kuat angin juga kian terasa.

Enggan mengulangi skrip yang sama tiga hari lalu, tekong terus sahaja memecut pulang dan selamat sampai pulang ke pangkalan sebelum hujan lebat.

 

Jelas trip tersebut kami sangat berpuas hati dengan khidmat tekong Suhaimi serta hasil tangkapan yang kami perolehi.

Ini mungkin trip terakhir kami untuk tahun ini disebabkan keadaan cuaca di perairan Mukah tidak menentu sekaligus petanda musim tengkujuh bakal menjelang tiba.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI