Lewat petang sauh dibongkar menuju ke lokasi utama setelah hentian pertama tiada tanda-tanda ikan pemburu berkeliaran. Tak payah tunggu lagi kata tekong. Waktu kami tiba belum nampak lagi kelibat bot nelayan berhampiran, rasa was-was bermain di fikiran.

Ikan dah habis ke? Bila tanya ikan apa yang biasa dipancing di kawasan tersebut, tekong Othman yang sentiasa sengih selamba memberitahu ‘macam-macam ada’ kat sini.

 

Seperti biasa hirisan sotong segar dan ikan selayang menjadi pertaruhan. Dalam leka memancing layan akan-anak ikan kerisi dan tambak, sekali sekala sentapan mengejut mengena joran aksi sederhana.

 

Awal malam kehadiran kumpulan aruan tasik pula sering melenturkan joran.  Puas melayan penangan aruan tasik lepas seekor demi seekor sampai kami kecoh dalam ruang bot yang sempit.

 

Tidak lama selepas itu spesies cobia ini mula menyepi walaupun dihidangkan dengan sotong cumit segar malah hidup lagi.

“Nak tengok pari besar?” suara awak-awak tekong memberi cadangan sambil memasang kepala sotong jarum yang paling besar.

Kami berehat sambil melihat sahaja awak-awak tekong menyediakan peralatannya memancing pari. Sambil menunggu elok juga alas perut dengan kari sotong ala kadar.

 

Tidak sampai 20 minit menunggu, tangsi koyan yang diselitkan pada kaki pembantu tekong Othman menegang keluar. Barulah nampak beliau membuka langkah bersilat menahan larian pari berkenaan.

Tekong Othman datang membantu, 2 lawan 1. Elok juga saranan untuk dipasang pada joran kami ditolak kerana pari bukanlah buruan utama kami bertandang ke mari.

IKLAN

 

Melihat cara mereka berdua bergilir melayan pari, masing-masing melonjak untuk melihat saiz pari yang memerlukan kudrat 2 tenaga manusia. Hampir setengah jam mereka berdua layan barulah kelibat di permukaan.

‘Besornya’, bunyi yang terpacul dari mulut seorang dari rakan penulis. Nasib baik tak kena pada joran medium action, kalau kena jenuh mengepam pari ke atas.

 

Masalah kedua ialah untuk menaikkan pari ke bot. Tekong kemudian menarik perlahan-lahan pari ke arah hadapan bot tempat simpanan ikan bagi memudahkan ia dinaikkan dan di simpan. Tengok saiz kami anggarkan lebih dari 60 kg. Kalau saya pasti putuskan je pari kerana cukup faham masalah untuk menyimpan dan proses menyiang juga rumit.

 

Setelah selesai urusan mereka berdua, kami mengambil alih aktiviti memancing. Namun aktiviti memancing terpaksa berhentikan dahulu apabila hujan mula berderai.

Elok juga hujan memberikan waktu rehat walaupun dalam keadaan yang cukup tidak sempurna. Janji dapat berteduh dari kebasahan. Sakit badan bersesak dalam tirisan hujan sampai ke pagi.

IKLAN

 

Seawal pagi hujan kembali reda memberi peluang untuk kami memancing semula menghabiskan sisa-sisa waktu sebelum berangkat pulang. Sedang menyiapkan perambut baru, kedengaran beberapa ekor ikan meloncat dari permukaan air dari jauh.

 

Tenggiri! Dengan cepat perambut tenggiri dipasang berumpankan sotong jarum malam tadi yang di candat.

Dua kali sotong dilontar ke arah lokasi tenggiri meloncat, sambaran diterima tidak lama selepas umpan jatuh. Sayang ikan bijak dan mudah memutuskan perambut dawai 40lb yang digunakan.

 

Sambaran kedua mengalami masalah sama, beberapa saat larian, tali tiba-tiba sahaja kendur. Umpan hidup ketika itu tiada, jig juga tiada dalam list, terpaksa guna umpan mati yang ada. Tenggiri memilih sedikit pasal umpan di kawasan ini, hanya sotong yang masih bercahaya sahaja digunakan.

 

IKLAN

Sambaran ketiga turut membuatkan kami buntu apabila tidak semena-mena perambut boleh putus. Mungkin seekor yang melarikan umpan dan yang lain turut mengejar umpan yang sama sebab itu perambut dan juga perambut tangsi menjadi mangsa.

 

 

Kali keempat barulah dapat solid hook up dan akhirnya tenggiri 8 kg menjadi milik kami. Masa galak umpan pula sukar, kalau dapat umpan hidup pasti cepat disambar. 1 berjaya ditewaskan dalam 6 kali rabut dan putus perambut. Nasib baik apabila tenggiri senyap, joran dasar pula bersilih ganti melentur.

 

Kali ini ebek pula menyerang berselang seli dengan haruan tasik. Terpaksa umpan dihulurkan jauh sedikit dari dasar. Ketika yang di belakang tertumpu pada tenggiri, 2 orang pemancing haluan bot pula fokus pada pengumpanan dasar.

 

Senyap tenggiri, geng haluan terus mendapat sambaran rakus. Kedua-dua joran menerima sambaran dalam selang 2 minit. Strike pertama berjaya ditangani tidak lama selepas itu manakala strike kedua terpaksa menerima bantuan awak-awak untuk menarik tali secara manual setelah joran tidak mampu mengepam.

 

Pari ketiga terpaksa ditewaskan dalam perlawanan berat sebelah 2 lawan 1. Selepas pari dinaikkan ebek masih lagi berkeliaran di kawasan kami berada. Selepas itu silih berganti kami setiap orang merasai penangan ebek Kemaman sebelum mengakhiri trip semalaman memancing.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI