Beberapa bulan lepas saya bersama dua rakan rapat, Shahrul dan Fazli mengulangi trip yang pernah kami lakukan pada awal tahun yang lalu. Seperti biasa trip bidan terjun ini dilakukan pada saat-saat akhir. Dan seperti biasa juga urusan bot tambahan, umpan, perambut mata kail, malah joran untuk memancing sekali pun saya akan minta Yeop (abang ipar) sediakan.
Dengan menggunakan bot sewaan saya dan Fazli mengekor saja Yeop yang membawa Shahrul kerana Yeop lebih arif mengesan lubuk-lubuk berpotensi. Pada awal pagi ketika arus bergerak surut kami lebih banyak memancing merapati tebing kerana menurut Yeop awal-awal pagi udang lazimnya berkumpul berhampiran tebing sungai.
Ads
Spot pertama kurang memberangsangkan lalu kami berempat berpindah ke arah hilir. Di spot kedua ternyata agak memberangsangkan. Tidak lama berada di spot kedua saya berjaya menaikkan seekor jenggo menggunakan umpan udang kertas. Sementara Fazli yang menggunakan umpan umpun-umpun lebih banyak mendaratkan udang galah namun bersaiz kecil.
Apabila udang galah semakin kurang menjamah umpan sebaliknya lebih banyak dicuri ikan-ikan pengacau, kami berpindah lagi. Namun Yeop dan Shahrul kekal di lubuknya.
Menjelang tengah hari dan setelah berpindah beberapa kali kami kembali ke tempat Yeop dan Shahrul. Rupanya mereka sudah ke tengah sungai. Hajat kami bermegah dengan hasil tangkapan terpaksa dilupakan saja apabila hasil tangkapan jauh lebih banyak dan besar dari hasil kami.
Ads
Kali ini kami tidak berpisah jauh lagi dengan lubuk pilihan Yeop. Mungkin disebabkan kurang sabar menanti dan kerap berpindah menyebabkan hasil tangkapan berkurang.
Ketika arus semakin lemah kami bergerak lebih jauh ke tengah sungai dan apabila arus kembali bergerak laju, kami berempat berpindah ke arah tebing bertentangan pula. Namun usaha kami untuk menyaingi tangkapan Yeop dan Shahrul sudah terlewat.
Ads
Sebaliknya kami semakin pedih mata melihat mereka menaikkan udang demi udang sedangkan jarak antara kami tidaklah sejauh mana.
Dan sebelum matahari terbenam di ufuk timur, kami sempat mengumpul dan menimbang kesemua hasil tangkapan. Tak sangka hampir lima kilogram juga udang galah dan jenggo yang kami perolehi. Secara tidak langsung tanpa sedar ia membuatkan saya pula yang terkena getah jenggo setelah berjaya keluar dari badi kumpau jenggo.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Petang Jumaat itu aku tidak melakukan apa-apa aktiviti. Kebosanan mula datang melanda. Hendak pergi bermain bola, tidak rakan yang boleh diajak. Hendak pergi melastik burung, seekor burung pipit pun tidak kelihatan dari lepas azan Zuhur tadi. Fikir punya fikir, akhirnya aku mengambil keputusan untuk pergi memancing keseorangan.
Aku sebenarnya suka memancing di sebuah kolam ikan terbiar yang terletak hampir dua kilometer dari jalan besar untuk masuk ke kampung. Dahulu kawasan itu ada enam kolam ikan yang agak luas juga yang di usahakan oleh seorang anak muda penduduk kampung itu juga. Namun entah di mana silapnya, projek menternak ikan itu menjadi lesu dan akhirnya terbengkalai terus.
Lima kolam sudah ditimbus kembali manakala satu lagi sengaja dibiarkan untuk anak-anak muda kampung memancing ikan. Selalunya aku berjaya memancing ikan keli, tilapia dan baung. Ada juga kawan-kawan yang berjaya menangkap rohu seberat dua kilogram.
Pendek kata, walaupun kolam itu seperti terbiar tidak terjaga namun masih ada spesies yang menghuni di dalamnya boleh tahan juga besarnya.
Aku hanya sempat mencari cacing dan cengkerik untuk dijadikan umpan. Cukuplah, bisik hatiku. Aku cuma mahu memancing selama dua jam. Kalau ada ikan yang menjadi mangsa, bolehlah aku jadikan lauk untuk santapan makan malam. Andainya tiada rezeki, tiada apa yang harus aku keluhkan kerana niatku sekadar mahu mengisi masa lapang sahaja.
Biasanya, pada waktu petang Jumaat begitu, kolam terbiar ini memang ‘meriah’ dengan kehadiran kaki pancing. Namun nasibku pada petang itu agak malang. Kawasan itu sunyi sepi. Tidak ada kelibat manusia lain di situ seolah-olah mereka semua sudah berjanji untuk tidak datang.
Aku memandang jam di tangan. Tepat jam lima petang. Cuaca masih terang. Dengan bacaan lafaz Bismillah, aku lontarkan umpan ke tengah kolam.
Umpanku adalah cengkerik. Aku tidak mensasarkan mangsa. Apa saja ikan yang memakan umpanku, itulah rezekiku pada petang itu. Alhamdulillah, menjelang jam 6 petang, aku sudah memperoleh 4 ekor ikan keli yang sederhana besar dan dua ekor baung.
Aku berasa sangat puas hati. Aku bercadang ingin memancing sebelum azan Maghrib berkumandang. Kira-kira 20 minit lagi, aku bercadang akan balik ke rumah.
Ketika asyik melayan henjutan joran, tanda umpanku mengena lagi, secara tiba-tiba aku merasakan seperti ada angin sejuk bertiup menerpa kuat ke muka ku. Secara automatik, bulu romaku mula meremang.
Aku cuba tenangkan hati dengan membaca ayat Kursi dan surah An Nas. Tiba-tiba telingaku seperti menangkap suara perempuan menangis dengan suara yang sungguh sayu dan sangat mendayu-dayu.
Hatiku menjadi tidak keruan. Serentak itu juga bunyi ranting-ranting patah kedengaran di bahagian belakang aku duduk. Sekilas, aku memandang ke belakang. Tidak ada apa yang kelihatan.
Semuanya kosong. Tidak ada sebarang tanda menunjukkan ada pergerakan manusia atau binatang di situ. Hatiku mula risau dan seram. Beberapa kali aku beristifar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja.
Sebaik sahaja aku mula mengemas, sesuatu yang aneh berlaku. Cuaca persekitaran mulai gelap seperti jam 8 malam. Aku memandang jam tangan. Baru pukul 6.20 petang. Takkan dalam sekelip mata, cuaca boleh bertukar rupa.
Hatiku semakin resah. Bulu roma di tengkuk semakin meremang dan badanku terasa seram sejuk yang teramat sangat. Dalam kegelapan yang mula menerkup kawasan persekitaran, aku mula melangkah keluar dari kawasan itu sambil menjinjing ikan dan peralatan memancing.
Namun aku seperti gagal untuk menjumpai jalan pulang. Setiap kali aku melangkah, aku akan tiba kembali pada kolam ikan itu. Seolah-olah semua jalan keluarku terhalang oleh ‘sesuatu’ yang aku sendiri tidak pasti. Aku tidak tahu berapa lama aku berlegar-legar di situ.
Keletihan mula melanda dan akhirnya aku terduduk di atas ban pasir dengan rasa kecewa yang teramat sangat. Ketika inilah telingaku mula menangkap suara perempuan yang menangis mendayu-dayu yang bertingkah dengan suara bayi yang menangis kuat seolah-olah meminta susu.
Suara-suara ini begitu mengangguku hingga hatiku menjadi semakin tidak keruan. Cuaca semakin gelap dan hanya nampak samar-samar sahaja.
Aku memandang ke dada langit. Segalanya kosong. Tiada awan, bulan atau bintang. Hanya kegelapan yang melanda tanpa awan putih yang berkepul-kepul seperti kebiasaannya.
Tiba-tiba di hadapanku, aku Nampak seperti kelibat seorang wanita berambut panjang dan memakai gaun putih labuh melintas di hadapanku. Semerbak harum wangi bunga tanjung hutan melintasi hidungku. Harumnya sehingga aku seperti terbuai-buai dengan keasyikan untuk menghidunya.
Dalam keadaan badan yang lemah kerana penat, hanya pandangan mata sahaja yang mampu aku lakukan untuk terus memandang kelibat wanita itu. Dia berjalan perlahan tetapi seperti tidak menjejak tanah! Dia seolah-olah berada dalam keadaan di awang-awangan. Aku hanya fokus memandang ke arahnya tanpa dapat memikirkan perkara lain.
Dalam keadaan khayal itulah, telingaku dapat menangkap suara azan yang sungguh mendayu dan menggetarkan jiwa. Serentak itu terasa namaku dipanggil berulang-ulang kali. Aku juga dapat melihat sorotan lampu suluh di kawasan itu. Aku hanya mampu menjerit ALLAH sebelum aku tidak sedarkan diri.
Pandanganku menjadi gelap seketika. Apabila aku membuka mata kembali, rupa-rupanya aku sudah baring di hadapan serambi rumah ibu. Kawasan itu penuh dengan saudara mara dan jiran tetangga. Ibu memelukku dan aku berasa terpinga-pinga dengan apa yang aku nampak. Akhirnya aku mengetahui kisah sebenar.
Aku tidak pulang sehingga jam dua pagi. Kerana teramat risau ibu memberitahu JKKK kampung akan hal ini. Usaha mencariku mula dilakukan oleh penduduk kampung. Jam 5 pagi, aku dijumpai pengsan di tepi kolam ikan terbiar dalam keadaan meracau-racau sambil tanganku menunjuk ke satu arah semak. Aku dipapah balik ke rumah.
Walaupun kejadian ini sudah dua tahun berlalu namun ia tetap kekal dalam ingatanku hingga ke saat ini. Kata orang kampung, aku disakat oleh puntianak namun realitinya sebenarnya aku tidak tahu.
Hampir 1 jam meredah denai, akhirnya mereka berlima sampai ke lubuk yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras di bahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka. Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.
“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Azam. Semua mengikut arahan Azam tanpa banyak soal.
Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Zainal kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar. Mizan dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.
Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai. Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.
Menjelang waktu Maghrib, Azam sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.
Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 50-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.
“Boleh pak cik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Azam hanya memandang saja. Zainal dan Mizan pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.
“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Hairi menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
“Tak takut ke memancing di tengah-tengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.
“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Hairi menjawab. Azam menjeling tajam ke arah Hairi! Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari di tiup angin.
“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Hairi. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya. Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.
Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.
Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur. Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.
Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang. Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.
“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.
“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah!” jawab lelaki itu bersahaja.
Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat. Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.
Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan. Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Lesung. Pengalaman yang dilalui tersebut menyebabkan mereka menjadi serik terutama kepada Hairi!
Tidak terhitung spesies ikan berenang melalui lautan, sungai, dan tasik di planet bumi. Namun, dalam artikel ini, kami akan fokuskan pada ikan air tawar terbesar. Dengan mengenepikan ukuran panjang, 10 ikan besar ini tetap mengesankan.
Nile Perch (Lates niloticus)
Panjang: 198 cm
Berat: 226 kg
Lokasi: Sungai Nil dan Congo, Tasik Chad dan lembangan sungai lain.
Identiti pengenalan: Mata hitam dengan gelung cincin mata kekuningan.
Siberian Taimen (Hucho taimen)
Panjang: Menghampiri 213 cm
Berat: 104 kg
Lokasi: Sungai-Sungai Rusia
Identiti pengenalan: Bright salmon tail
Electric Eel (Electrophorus electricus)
Panjang: 243 cm
Berat: 20 kg
Lokasi: Lembangan Amazon dan Orinoco
Identiti pengenalan: Berkebolehan mengalirkan kejutan arus elektrik.
Bull Shark (Carcharhinus leucas)
Panjang: 243 cm
Berat: 131 kg
Lokasi: Estuari, sungai dan tasik-tasik di Afrika
Identiti pengenalan: Bermuncung dan bergigi tajam serta agresif.
Arapaima (Arapaima gigas)
Panjang: Melebihi 305 cm
Berat: 181 kg
Lokasi: Sungai dan tasik Amerika Selatan
Identiti pengenalan: Bersisik merah terang atau jingga di bahagian sirip kaudal.
Mekong Giant Catfish (Pangasianodon gigas)
Panjang: Mencapai 305 cm
Berat: 294 kg
Lokasi: Lembangan Sungai Mekong di Asia Tenggara
Identiti pengenalan: Satu-satunya keluarga catfish yang tak bergigi.
Wels Catfish (Silurus glanis)
Panjang: 487 cm
Berat: 299 kg
Lokasi: Lembangan dan sungai di Eropah tengah dan timur.
Identiti pengenalan: Rahang mulut bawah yang besar dan sesungut panjang.
Giant Freshwater Stingray (Himantura chaophraya)
Panjang: Sekitar 500 cm
Berat: 453 kg hingga 590 kg
Lokasi: Sungai dan estuari Thailand
Identiti pengenalan: Umpama piring terbang dan ekor bersengat.
White Sturgeon (Acipenser transmontanus)
Panjang: 610 cm
Berat: 449 kg
Lokasi: Sungai dan estuari Amerika Utara dan Pasifik.
Identiti pengenalan: Berkepala seperti penyodok, rata dan bersisik seperti tulang.
Beluga Sturgeon (Huso huso)
Panjang: 610 cm hingga 731 cm
Berat: 1,133 kg
Lokasi: Lembangan dan estuari Caspian dan Laut Hitam
Identiti pengenalan: Berkepala seperti penyodok, rata dan bersisik seperti tulang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...