Bermula diperhangat dengan gambar-gambar tangkapan siakap liar dalam Whatsapp grup oleh rakan saya, Shah, maka bermulalah sesi mesyuarat alam maya mencari bila tarikh yang sesuai untuk turut sama menerjah ke spot berkenaan.

 

Akhirnya tak sampai seminggu, komplot sehari telah berjaya diaturkan ke sana. Walaupun pada awalnya, lebih dari dua buah kereta yang dijadualkan turut serta, tetapi hanya lima orang sahaja termasuk saya yang confirm.

 

Ini disebabkan kami terpaksa memilih bukan hari hujung minggu bertandang ke sini. Selepas solat Subuh di lokasi berhampiran dan keadaan masih lagi gelap kami sudah pun memulakan sesi casting.

 

Trip Retro – Buru Siakap Kunci Air

 

Lubuk hujung kampung

 

Spot siakap yang dimaksudkan oleh Shah merupakan aliran sungai pasang surut yang mempunyai kunci air yang mengawal masuk dan keluarnya air ke laut lepas. Ia terletak di daerah Batu Pahat, Johor.

 

Menurut Shah yang pernah sekali bertandang sebelum itu, tidak ramai yang mengetahui spot berkenaan ada siakap dan sebenarnya lagi, siakap di situ bukanlah ada sepanjang masa dan ia bermusim.

 

Dalam setahun katanya, berlaku dua kali kumpulan-kumpulan ikan siakap memasuki pintu masuk kunci air sebelum ia bertebaran masuk dan keluar dalam aliran parit-parit kecil di kawasan sekitar.

 

Jika bukan musimnya, hendak mencari seekor dua pun susah. Kami berpecah dua kumpulan mengikuti dua cabang aliran sungai berkenaan sambil berharap awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk mendapat strike.

 

Jauh kami berjalan, akhirnya Zul dan Din mula yang berada paling hadapan memecah kebuntuan apabila popper Roosta yang dimainkan berulang-ulang kali disambar rakus dan Din yang begitu setia mempertaruhkan gewang Duo Toto pula menyusul selepas itu.

IKLAN

 

Saya kemudiannya berpecah dengan mereka dan menyusul mengikuti Ramli dan Shah di satu cabang aliran lagi.

Satu strike yang diterima oleh Ramli, namun saiz siakap yang lagi masih baby telah selamat dilepaskan kembali. Tetapi ada juga siakap yang bersaiz enak dijadikan hidangan diperolehi oleh kami bertiga.

 

Trip Retro – Buru Siakap Kunci Air

 

Panas membahang

 

Disebabkan cuaca yang cepat sahaja terik walaupun jarum jam belum menunjukkan angka 12 tengah hari telah memaksa kami untuk berehat seketika.

Sebuah warung kampung yang terletak tidak jauh dari kunci air tersebut menjadi lokasi kami berehat, membasahkan tekak sambil makan tengah hari.

 

Akhirnya semua order yang sama bila terlihat menu asam pedas. Fuhh memang terangkat habis bila nasi panas dihidangkan dengan asam pedas ikan pari dan ikan kembung dan sayur ala kampung style.

 

IKLAN

Ketika menikmati hidangan, Shah memberitahu kunjungan kami pada hari berkenaan sedikit langkah kiri, apabila kunci air tidak akan dibuka walaupun air sedang pasang ketika itu.

Katanya lagi, patutlah strike siakap agak slow. Kira-kira jam 3 petang, kami  menyambung sesi pancingan walaupun mengetahui hal tersebut dengan memanjangkan langkah meredah ke arah aliran sungai berhampiran kebun kelapa sawit.

 

Memang betul, jika ikan yang terbiasa mengikuti arus seperti siakap di kawasan muara ini, walaupun ia ada, tetapi jika tiada arus, ikan tidak galak dan pasif mengejar, kecuali jika

umpan betul-betul disuakan di depannya. Ia sama juga seperti di laut. Jika arus mati, memang ikan tidak aktif memakan umpan.

 

Trip Retro – Buru Siakap Kunci Air

 

Kawasan di kebun kelapa sawit ini agak terhad untuk casting terutama di kiri dan kanan berhampiran tebing sungai kerana ia dipagari pokok dan semak samun. Cuma, di mana ada ruang, di situlah kami cuba melontarkan gewang.

 

Soft plastic yang praktikal

 

Memasuki kawasan yang sukar ini, saya segera menukar dari menggunakan gewang hard lure kepada soft plastic (sp).

IKLAN

Pada saya ia lebih praktikal jika tersangkut tidaklah ralat sangat. Ini kerana lokasi yang sempit kes gewang sangkut dibangkar kayu di dalam sungai atau tersangkut dahan pokok amat tinggi.

 

Sp Berkley Power Bait warna putih, misalnya memang sudah cukup lama terbukti menewaskan siakap baik pancingan di kolam air masin ataupun lokasi sebegini.

 

Kerap kali berlakunya ‘ketukan’ dan kejadian ‘misscall’. Mungkin ada siakap di sini sudah cerdik dan Shah sendiri ada memberitahu, dia juga mengalami kejadian yang sama termasuklah kunjungannya yang terdahulu, iaitu siakap di sini cepat belajar.

 

Mungkin sudah agak culas disebabkan pernah terlucut dek kunjungan pemancing dahulu. Alhamdulillah, walaupun air mati, masing-masing masih mendapat strike.

 

Cuma saiznya sahaja sedang-sedang besar tapak tangan. Sebelum mengakhiri komplot petang itu, Din berjaya memperoleh satu strike yang agak kasar.

Walaupun berhadapan kesukaran menaikkan ikan berkenaan, siakap hampir 2kg berkenaan berjaya juga dinaikkan.

 

Trip Retro – Buru Siakap Kunci Air

 

Ramli yang melontarkan gewang tidak jauh dari tempat Din strike, tiba-tiba dikejutkan dengan strike yang juga agak kasar, tetapi agak terlewat kerana siakap tersebut telah berjaya menyusup dan terus sangkut.

Akhirnya terpaksalah menarik hingga putus kerana tiada cara untuk menyelamatkannya lagi.

 

Sejak dari itu, langsung tiada lagi strike dan kira-kira hampir jam 7 malam, kami mengambil keputusan untuk pulang kembali ke Shah Alam.

Walaupun trip ini hanya sehari sahaja, kami tetap memanjatkan rasa syukur kerana masingmasing tidak pulang dengan tangan kosong.

(Oleh: MohdHasrizal)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI