Selepas beberapa kali berbincang dengan Chilid, rakan yang membawa saya ke Hulu Berakit dahulu, akhirnya saya kembali lagi ke mukim ini. Kali ini kunjungan saya disertai beberapa orang rakan dari KL iaitu Hassan, Ramli, Pozi dan Zul yang teringin sangat merasai pengalaman memancing di dalam hutan.

 

Tapi kali ini ke lokasi baru iaitu Hulu Sungai Lembing yang terletak tidak jauh dari mukim yang sama. Menurut Chilid, Sungai Hulu Lembing ini dijumpai oleh rakan-rakannya yang gemar masuk hutan mencari spot-spot memancing baru selain hasil bantuan pekerja balak yang memberitahu terdapat sungai di lokasi berkenaan.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

 

Dengan perancangan sama untuk bermalam, trip ini bukan semudah trip terdahulu. Laluannya terlalu banyak mendaki bukit yang sebetulnya sudah layak dipanggil gunung. Ini kerana ketika kami tiba dan melalui di satu laluan permatang, gegendang telinga kami berdengung kerana faktor ketinggian selain laluan berkenaan berkabus pada waktu tengah hari.

 

Keadaan jalan juga cukup teruk dan berbatu kerikil menyebabkan ada di antara motosikal kami terjatuh kerana kesukaran mengawal ketika menuruni bukit curam. Paling teruk, beberapa kali tiub motosikal Ramli dan saya sendiri bocor terus dan kami kehabisan tiub ganti.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

 

Mahu tidak mahu, terpaksa sumbat daun-daun dan rumput sebagai ganti tiub untuk mengurangkan beban tayar. Selepas beberapa kali jatuh, akhirnya kami tiba juga di penghujung jalan balak, sebelum kami meninggalkan motosikal dan trekking pula selama sejam untuk sampai ke campsite.

 

Hujan Lebat

IKLAN

 

Walaupun cuaca sebelumnya baik, tetapi hukum alam tidak siapa dapat menghalang. Dalam keseronokan kami melayan tarikan tengas dan baung di hadapan khemah selepas makan malam, kami dikejutkan dengan dentuman guruh dan pancaran kilat di langit. Angin juga menderu kuat dan tidak lama hujan turut dengan selebatnya.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

 

Dalam tempoh beberapa minit sahaja, air sungai menjadi semakin keruh dan tiba di tiang khemah. Serta-merta kami mengangkat khemah berkenaan dan menebas semak di atas bukit dalam keadaan hujan bagi mendirikan khemah baru. Habis terbantut usaha untuk memancing malam tersebut.

 

Keesokan paginya, air telah beransur surut, tetapi masih lagi keruh. Perancangan tetap diteruskan untuk turun ke bahagian hilir untuk casting dan juga bottom di lokasi yang berpotensi. Zul, Pozi, Azi, Chilid dan saya turun ke hilir, manakala Hassan dan Ramli terpaksa tinggal akibat terseliuh terjatuh dari motosikal semalam.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

IKLAN

 

Sepanjang berjalan meniti di atas batu dan mendaki tebing berbatu, banyak spot menarik yang kami temui, sayangnya, air masih lagi keruh. Cubaan casting menggunakan sesudu bersaiz kecil lebih menjadi, berbanding sesudu besar.

 

Air Semakin Dalam

 

Sepanjang turun ke bahagian hilir, kami perhatikan airnya semakin dalam. Sampai satu tahap kami terpaksa terjun dan terus berpaut pada batu untuk ke tebing sebelah sana, kerana kaki sudah tidak jejak di dasar sungai.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

 

IKLAN

Kira-kira empat jam perjalanan, kami memutuskan untuk berhenti kerana tiada cara untuk kami melintas sungai kerana airnya terlalu dalam dan deras. Tambahan pula tebing batu tinggi menyukarkan kami untuk turun lebih jauh.

 

Di lubuk dalam ini, kami mengambil keputusan untuk memancing dasar untuk tujuan mencari lauk makan malam. Apa yang boleh dikatakan, kami memang tidak menang tangan melayan tarikan tengas hanya menggunakan umpan cacing tanah yang digali di tebing sungai. Cuma tiadalah saiz-saiz XL.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

 

Sesekali, anak kelah juga berjaya diperolehi, sekali gus membuktikan Sungai Hulu Lembing memang kaya dengan khazanah populasi ikannya. Puas melayan bottom, kami berpatah balik pulang ke khemah sambil terus memancing dasar dan juga casting di spot terbaik.

 

Malam itu, semua tengas saiz kasar kami salai untuk dibawa pulang dan selebihnya sebagai lauk makan. Menu asam pedas ikan tengas dan juga baung menyebabkan kami puas meratah ikan sampai habis.

 

Trip Redah Hulu Sungai Lembing

 

Menurut Chilid, dia percaya bahagian hilir sungai ini ikan-ikannya saiznya lebih besar, tetapi halangan utama untuk sampai adalah jika mengikut terus jalan air dan agak berbahaya kerana berbatu licin dan deras.

 

Selain itu, sungai ini betul-betul melalui celah gunung kerana tiada langsung tebing berpasir ataupun mendatar jika mahu memasang khemah. Jika melalui jalan darat, akan mengambil risiko tinggi kerana tebingnya tinggi dan curam.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI