Jika dilihat melalui peta dunia, Pulau Anambas, Jemaja, Indonesia terletak di tengah-tengah Laut China Selatan dan amat berhampiran dengan perairan negara kita.

Pulau Anambas yang berkeluasan 246 batu persegi ini pernah diiktiraf oleh cnn.com sebagai antara 5 buah pulau tercantik di Asia Tenggara.

Selain keindahan dasar lautnya dan pusat pelancongan di Indonesia, perairan pulau ini juga mempunyai banyak sumber minyak dan gas antara terbesar di Indonesia.

 

Pulau Anambas

Pulau Anambas termasuk di dalam wilayah kepulauan Riau seperti pulau-pulau lain yang berhampiran seperti Pulau Jemaja, Pulau Natuna, Pulau Midai, Sintan, Metak, Pulau Bajau dan banyak lagi. Pulau ini juga telah membentuk kabupaten sendiri sejak tahun 2009.

 

Sebagai seorang pemancing, Pulau Anambas telah lama menarik perhatian saya. Menjadi cita-cita saya untuk menerokai segenap perairan laut di sana. Selain itu, perairan Pulau Anambas yang jarang-jarang diterokai oleh pemancing telah menguatkan lagi keinginan saya menduga perairan di sana.

 

Trip Retro – Fiesta Jigging Pulau Anambas (part 1)

 

Maka satu perancangan rapi telah dirancang untuk menduga perairan pulau tersebut. Kejayaan meneroka perairan Mapur, Merapas, Merakit dan Pulau Malang Biru, Indonesia pada tahun-tahun yang lepas menjadi rujukan kami dalam rancangan meneroka perairan lain.

 

Pertengahan tahun, kami seramai 11 orang dari team D7L berangkat Pulau Anambas semata-mata untuk menerokai khazanah lautan dan perairan pulau tersebut.

Memandangkan ini kali pertama kami ke sana, segala persiapan rapi dibuat pada setiap peralatan memancing kami.

 

Set pancingan dasar, set popping dan set jigging dibawa bersama menuju ke sana. Seperti trip tahun-tahun lepas, kami menggunakan khidmat feri dari Stulang Laut, Johor Bahru untuk menaiki feri ke Pulau Bintan.

Di sana, khidmat bot Sea Star pula ditagih untuk membawa kami ke perairan Pulau Anambas. Trip ini berlangsung selama 6 hari 5 malam.

 

IKLAN

Lubuk Kapal Kontena

Segala kemudahan pengangkutan dan tempat tinggal telah pun disediakan oleh pemilik bot Sea Star sebaik tiba di sana.

Nilai mata wang ringgit Malaysia lebih tinggi berbanding Rupiah memberikan kelebihan untuk kami membeli banyak bekalan makanan dan minuman di Pulau Bintan dan sememangnya ia amat murah. Malam itu, kami semua bermalam di chalet yang terletak di Trikora Beach.

 

Keesokan paginya, bot mulai bergerak menuju ke perairan Pulau Anambas. Jaraknya 150 batu nautika dari Pulau Bintan. Bot Sea Star berkelajuan 10-12 knot akan mengambil masa perjalanan selama 10 jam untuk sampai ke sana.

 

Trip Retro – Fiesta Jigging Pulau Anambas (part 1)

 

Sewaktu dalam perjalanan, Am selaku tekong bot Sea Star bercadang untuk singgah sebentar di beberapa lubuk berhampiran untuk sesi pemanas badan.

Saranan tersebut disambut dengan baik oleh kami kerana kelihatan semua ahli seperti tidak sabar-sabar lagi untuk memancing.

 

Selepas tiba di lubuk yang di maksudkan, kami mula memancing menggunakan teknik dasar. Tanpa perlu tunggu lama, beberapa ekor ikan gred A berjaya dinaikkan. Ikan ibu kerisi, merah, aruan tasik antara yang berjaya dinaikkan.

IKLAN

 

Selepas beberapa jam singgah di lubuk ini, bot kembali meneruskan perjalanan. Sempat juga saya berbual-bual dengan tekong Am untuk mendapat maklumat berkaitan.

Menurut Am, perairan di Pulau Anambas sebenarnya tidak mempunyai banyak lubuk berbanding tempat lain. Ini kerana keadaan struktur dasar lautnya yang landai dan berpasir.

 

Trip Retro – Fiesta Jigging Pulau Anambas (part 1)

 

Struktur berbatu dan karang amat sukar di temui di sini akibat aktiviti mengebom ikan yang amat ekstrem suatu ketika dulu. Ujarnya, hanya 3 lubuk sahaja yang boleh dikunjungi untuk trip kali ini.

Memancing berhampiran dengan Pulau Anambas pula adalah dilarang kerana ia telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan karang dan pusat pelancongan.

 

Pun begitu, Tekong Am memberi jaminan bahawa kami pasti akan puas memancing kerana lokasi yang dituju adalah kapal kontena karam. Sudah pasti penjelasannya membuatkan kami lebih bersemangat.

 

Selepas lebih 10 jam perjalanan dan kurang dari 1 jam sebelum sampai, tekong memberi isyarat agar kami bersiap sedia. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Setiap peralatan dan umpan telah diletakkan di tempat masing-masing.

IKLAN

 

Tiba sahaja di lokasi, tertera imej sebuah kapal setinggi 25 meter di dalam sonar. Paling menggembirakan kami, kelihatan banyak imej tompok-tompok berhampiran imej kapal karam di sonar menandakan kehadiran banyak ikan di kawasan ini.

Setelah bot berlabuh, acara pertama pun bermula dengan teknik pancingan dasar. Umpan sotong diturunkan.

 

Kelihatan ketika ini arus tidak terlalu laju dan memudahkan kami yang menggunakan kekili manual. Seperti diduga, banyak ikan dasar yang berjaya diperolehi. Ikan ebek, jemuduk, jenahak dan merah (Lutjanus erythropterus) banyak dinaikkan.

 

Trip Retro – Fiesta Jigging Pulau Anambas (part 1)

 

Pesta Jigging

Walaupun aktiviti memancing dasar banyak memberi hasil, kami seolah-olah tidak puas lagi memancing. Maka set jigging dikeluarkan untuk beraksi.

Saya yang menggunakan rod berkekuatan PE3-5 digandingkan dengan kekili siri 5000 bersama tali utama berkekuatan 40lb mula dihenjut untuk menarik perhatian ikan.

Tanpa tunggu lama, jig besi luminous seberat 80gram yang digunakan saya direntap oleh ikan.

 

Lebih kurang 5 minit beraksi, seekor ikan cupak bersaiz lingkungan 2kg kelihatan. Melihat kejayaan saya menaikkan ikan, rakan-rakan lain kini lebih bersemangat untuk melakukan aktiviti jigging berbanding memancing dasar.

 

Trip Retro – Fiesta Jigging Pulau Anambas (part 1)

 

Seekor demi seekor cupak berjaya dinaikkan. Walaupun majoriti ikan cupak dinaikkan, ia sudah cukup memberi kepuasan kepada kumpulan kami untuk berpesta jigging, terutama yang pertama kali merasai ‘karen’ jigging hingga terlupa untuk makan malam, hinggakan jam di tangan menunjukkan angka 4 pagi sehinggalah masing-masing masuk ke bilik tidur untuk melelapkan mata.

… bersambung

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI