IKLAN

 

Hasil daripada perbincangan sahabat-sahabat lama di selatan, kami mengatur langkah satu trip di bahagian timur negeri Johor.

Aliran sungai yang bercabang dari gambaran peta google, membuakkan rasa semangat untuk menerjah lubuk dan jeram yang sentiasa menjadi igauan kaki casting.

Bukanlah mengharap tangkapan bersaiz kasar tetapi cukuplah sekadar kita dapat melihat flora dan fauna di dalam hutan belantara dan jauh dari hiruk pikuk kota.

 

 

Seawal jam 6 pagi kami memulakan perjalanan dengan 3 buah pacuan 4 roda meneroka Sungai Lemakoh di Kampung Peta, Mersing Johor.

Laluan tanah merah yang pada awalnya mendatar pada jam pertama bertukar menjadi lebih mencabar dengan kecerunan bukit yang agak tinggi dan jalan yang basah.

Semua kenderaan perlu mengaktifkan pacuan 4 roda semasa mendaki dan menuruni bukit sebelum tiba ke lokasi.

Halangan biasa yang berlaku pada laluan sebegini adalah pokok tumbang yang perlu di alihkan bersama sama ahli lain.

 

 

Setibanya di lokasi matahari telah pun terpacak di atas kepala dan perut mula memberikan isyarat lapar.

Tukang masak yang mesra dipanggil Addy sebenarnya tekong laut dalam dan kebetulan beliau tidak turun ke laut dan sudi menjadi tukang masak dalam trip kali ini.

Menu makan tengah hari adalah ikan kembung yang dibawa lalu dimasak asam pedas memang cukup menyengat.

 

SESI PANCINGAN

Sesi pancingan pun bermula setelah perut di isi secukupnya. Dengan 11 orang pemancing kami berpecah kepada 2 kumpulan dengan 6 orang naik ke hulu dan 5 orang akan turun ke hilir.

Paras air yang agak cetek memperlihatkan anak-anak ikan kecil bermain dan lari apabila melihat kelibat kami.

IKLAN

 

Ada lubuk yang agak dalam dan mempunyai reba-reba kayu mati di sepanjang sungai ini. Kami menggunakan sesudu pelbagai jenis di bawah 10gram kerana saiz sungai yang tidak lebar dan adakala cetek.

Balingan demi balingan di kawasan air tenang tidak memberi apa-apa respons pada penghuni di kawasan ini.

 

 

Azrul yang biasa dengan keadaan sungai lebih peka mencuba di kawasan yang berarus laju. Sesudu Yozuri Altima 8 gram dikarau laju dari bawah melintasi kawasan jeram.

Hasilnya tengas yang bersaiz sederhana sudi menjamah sesudu beliau.

 

Kumpulan yang meneroka bahagian hilir juga berjaya mendaratkan beberapa ekor tengas bersaiz sederhana. Misi mencari mangsa bersaiz kasar masih belum berjaya.

Kawasan sungai yang agak surut akibat daripada kekurangan hujan menjadikan air sungai mengalir agak lesu sehingga menampakkan dasar.

 

IKLAN

 

Setelah makan malam, jam menunjukkan pukul 8 malam dan kami bermesyuarat menentukan hala tuju seterusnya.

Kami membuat keputusan keluar pada waktu malam dan seterusnya pada pagi esok kami akan ke lokasi lain di Negeri Pahang.

Perjalanan malam menjadi singkat kerana semua bimbang keluar dari kenderaan kerana najis gajah bersepah di laluan ini.

 

HARI KEDUA, SUNGAI KEDUA.

Pada hari kedua, kami memulakan perjalanan awal supaya dapat berada di lubuk pada masa matahari baru mengeluarkan cahaya.

Pada waktu yang samar begini ikan lebih bersifat agresif dan penggunaan popper amat efektif.

Paras air sungai juga kelihatan agak cetek cuma dibahagikan selekoh terbentuk teluk yang dalam. Warna air ke perangan dan gelap memperlihatkan penghuninya adalah spesies yang sukar di duga.

Menurut Shahzairy yang mengetuai trip ini, sungai ini dihuni oleh 4 spesies yang biasa didaratkan iaitu sebarau, bujuk, kerandang dan juga toman.

 

 

Kali ini kami bergerak secara berkumpulan tetapi menggunakan sistem ‘drop off’ di setiap lubuk. Teknik tunggu dan pujuk di setiap lubuk benar-benar menguji kesabaran.

Seawal memasuki pintu hutan ini kami telah dinasihatkan oleh Addy dengan binatang-binatang buas yang mendiami kawasan ini.

Lebih kurang 2 km memasuki dalam hutan saya mencium bau hamis yang kuat dan menandakan kawasan ini memang bertuan.

 

 

Ayoi yang memang lincah ke depan akan menjadi orang pertama sampai ke lubuk-lubuk yang berpotensi.

Penggunaan gewang flat rap OPSD kali ini berjaya memujuk spesies kerandang keluar dari tempat persembunyiannya.

Setelah sesi memujuk hampir 3 jam dibuat di sungai ini tiada lagi spesies yang sudi menyambar gewang dan kami sebulat suara untuk keluar dan meneroka satu lagi sungai tidak jauh dari sungai kedua ini.

 

14 kilometer ke sungai ketiga melalui bukit-bukit tetapi tidak mencabar seperti sungai pertama dan kedua.

Hulu Sungai Endau menjadi taruhan terakhir setelah berhempas pulas meneroka lokasi-lokasi baru.

Amin yang lebih gemar menggunakan sesudu Siam Spoon akhirnya berjaya mendaratkan spesies sebarau dan Shahzairy pula dalam diam-diam berada di hujung lubuk juga kelihatan sedang menarik sesuatu dari dalam air.

 

 

Rupanya sebarau yang agak kasar berada kemas di mata kail gewangnya.

Perjalanan yang singkat trip 2 hari 1 malam meredah 3 sungai dari dua negeri cukup memberi pengalaman bermakna buat kami.

Apatah lagi kawan kawan yang baru dikenali juga sekepala dan juga suka membuat jenaka yang tak masuk dek akal membuatkan trip kali ini meriah walaupun hasilnya belum boleh dikatakan berjaya.