Perancangan asal memburu ebek gincu pada tanggal 17 & 18 Januari terpaksa ditunda berikutan tiupan angin monsun timur laut masih menggila. Trip ini bukan saja terpaksa ditunda tarikh, players, lokasi malah spesies sasaran juga.
Sebagai ganti, hari kejadian dianjak 24 & 25 Januari, spesies sasaran bertukar ke tenggiri, perairan Pulau Tioman menggantikan perairan Rompin dan beberapa players turut sama bertukar ganti.
Lebih dua jam perjalanan dari Jeti Tok Empat Kuala Rompin, kami tiba di lokasi memancing pertama. Bot berhanyut di sisi unjam terlebih dahulu untuk menguji potensi lubuk. Fuzzly menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor cobia.
Ads
Di lokasi kedua bot segera ditambat pada tali unjam apabila menemui spesies sasaran. Fuzzly sekali menjadi player pertama selamat mendaratkan tenggiri. Kemudian 3-4 ekor tenggiri lagi turut selamat didaratkan. Sementara beberapa player lagi berputih mata gara-gara leader dipotong tenggiri.
Menjelang awal petang, hampir semua player memperoleh lesen tenggiri. Namun banyak juga unjam yang kosong tanpa spesies predator ini. Tiupan angin dan arus laut pula semakin deras menyulitkan lagi usaha menggayakan jig dengan sempurna. Dari jig 60gm terpaksa dinaikkan ke 80gm hingga 100gm.
Tenaga yang semakin berkurang ditambah pula jig semakin berat secara tidak langsung memperlahan rentak mengocok jig. Disebalik kelesuan mengarau jig ini tanpa disangka menjadi rentak yang disukai oleh spesies sepupu sepapat tenggiri… wahoo! Jig Syamil yang hampir ke permukaan air tanpa disangka disambar oleh ikan wahoo.
Menurut Tekong Mat, corak menyambar umpan ikan wahoo berbeza dengan tenggiri. Untuk memikat wahoo, jig perlu dikarau perlahan apabila memasuki kolum air 2-3 meter dari permukaan. Secara tidak langsung gaya persembahan jig kami segera berubah. Dikarau laju dari dasar untuk memikat tenggiri dan berubah perlahan apabila menghampiri permukaan air bagi memikat wahoo pula.
Teknik ini ternyata membuahkan hasil apabila Bob malah Mat sendiri turut sama menewaskan wahoo tidak lama selepas itu. Bahkan Mat boleh melihat secara jelas bagaimana wahoo mengambil jig yang hampir tiba di permukaan air kurang dari 2 meter.
Dengan belasan ekor tenggiri yang berjaya ditewaskan, 3 ekor wahoo dan beberapa ekor spesies lain, kami menamatkan sesi hari pertama dan menuju ke Pulau Tioman untuk bermalam dan berehat sekitar 15 batu nautika dari lubuk terakhir.
Keesokan harinya kami kembali memburu tenggiri dan wahoo sebagai bonus tangkapan. Hanya seekor wahoo berjaya ditewaskan oleh Edmund dan beberapa ekor tenggiri. Sebelum kembali ke jeti Kuala Rompin, kami memenuhkan tong ikan dengan hasil ikan apollo serta kerisi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Trip Jenggo Hunter kali ini ialah menjejak jenggo atau udang galah di Kanowit, Sarawak. Pekan Kanowit ini terletak dari bandar Sibu sejauh 57 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Trip kami kali ini disertai oleh sahabat saya Hamzi Muris, Hasmie Nyo, Malek Jarni, Munsang Lo, Zauricky dan saya sendiri, Pashaa Oo.
Kawasan yang sering kali diminati si jenggo ini ialah kawasan yang berkayu dan berbatu dan air sungai haruslah dalam keadaan cuaca yang panas dan tidak hujan selama 3 ke 4 hari. Si jenggo ini juga bergantung dengan faktor air jika air terlalu keruh peluang untuk menaikkannya adalah terlalu tipis.
Hari itu keadaan sungai tenang dan air pun tidak berapa keruh memang sesuai untuk menjenggo. Kami menggunakan umpan seperti umpon-umpon (perumpun) dan cacing tanah. Umpan inilah paling mujarab digunakan di sini. Jika ada jenggo di kawasan itu boleh dikatakan pasti pasti dapat strike.
Kami dengan tenang menuju menuju ke port yang paling diminati oleh si jenggo. Perjalanan memakan sedikit masa dengan menggunakan perahu kecil dan menggunakan enjin bot 3hp sahaja. Kami pun tidak terburu-buru. Pancing rilek-rilek santai saja.
Trip kami menggunakan 3 buah perahu ini boleh dikatakan berjaya juga. Kami dapat menaikkan sebanyak 5 kg lebih jenggo. Kami pun amat gembira dengan hasil yang kami dapat dan orang rumah juga dapat merasa. Selain dari itu trip kami kali ini membuktikan sungai pekan Kanowit Sarawak ini masih berpotensi untuk pancingan udang galah. Sekiranya tau lubuk si jenggo berada pasti dapat hasil yang amat memuaskan hati.
Dalam trip ini Hamzi Muris paling bertuah kerana dapat menaikkan sepit biru bersaiz mega atau nama panggilan kami `apek’. Selain udang galah, ikan belida turut memakan umpan umpon-umpon yang digunakan. Paling rare yang saya dapat ialah warna si jenggo ini lain dari yang lain pertama kali saya dapat menaikan warna si jenggo ini hitam semuanya.
Untuk santapan bersama keluarga tersayang syukur Alhamdulillah rezeki menyebelahi kami ini. Dengan in kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Majalah Umpan sudi berkongsi pengalaman dengan kami Insyallah lain kali kita akan berjumpa lagi dan kongsikan pengalaman memancing ini.
Pemancing yang ingin menduga perairan antarabangsa, amat memerlukan perancangan rapi sebelum turun ke laut.
Perairan Selat Melaka di antara Malaysia dan Indonesia, antara lokasi pancing yang baik dan ia menjadi lokasi sasaran kumpulan kami dengan menaiki bot yang berpengkalan di Tanjung Karang.
Dalam misi kali ini, kami memburu siakap batu ataupun pecah periuk lengkap dengan persiapan memancing dan juga umpan yang menjadi subjek utama untuk memburu spesies ini.
Teknik serta ‘skill’ yang dipelajari dari tekong amat berguna dipraktikkan ketika bertembung dengan apungan atau sampah hanyut.
Apungan pokok nipah atau apa juga ‘sampah’ yang hanyut di laut dianggap sesuatu yang menganggu ekosistem habitat laut.
Tetapi di setiap apungan yang hanyut, terdapat penghuni yang sentiasa berlegar-legar dan bertumpu di bahagian bawah apungan untuk mencari makanan.
Saiz apungan juga memainkan peranan dalam menentukan populasihabitat spesies ini.
Dari apa yang pernah tekong ceritakan kepada penulis, saiz apungan yang sebesar padang futsal boleh didominasi spesies ini sehingga mencecah 500 hingga 700 ekor dengan pelbagai saiz.
Spesies ini akan berlegar sekitar kedalaman 5 meter dari apungan yang hanyut. Ianya lebih mudah dikesan mengunakan polarized sunglass yang membolehkan jangkauan penglihatan sehingga 2 hingga 3 meter dari permukaan air.
Kebiasaannya apabila kuantitinya terlalu banyak ianya dapat dilihat seperti wujudnya kerumunan hitam berlegar di bawahnya.
Perjalanan ke lokasi
Seramai 12 orang menyertai trip kali ini. Matlamat utama bukanlah hanya ingin menjejak siakap batu ini, tetapi kami lebih tertumpu kepada penghuni demersal yang mendiami lubuk lubuk dalam simpanan tekong Jaman yang cukup berpengalaman di perairan ini.
Setelah dua jam berlepas dari jeti, satu apungan pokok nipah kami temui.
Menggunakan perambut kabel 30lb dan mata kail saiz 4 serta dicangkuk umpan sotong, kami tidak menunggu masa yang lama untuk mendapat strike pertama dari penghuni apungan.
5 ekor siakap batu berjaya didaratkan berskala 2 hingga 3 kilogram. Dalam perjalanan menuju ke perairan antarabangsa teknik trolling dipraktikkan tetapi tiada sambutan langsung daripada tenggiri atau spesies pemangsa lain.
Sedang bot memecah ombak tiba-tiba tekong memperlahankan kelajuan bot. Dilihat seperti ada yang tidak kena pada laluan ini.
Rupa-rupanya terdapat satu apungan yang lebih besar daripada apungan pertama yang kami temui sebelum ini.
Tanpa membuang masa lagi semua pemancing tertumpu ke arah apungan dan umpan di lontar serapat yang mungkin agar ianya jatuh betul-betul hampir dengan apungan tersebut.
Hasilnya, hampir 6 orang menerima strike serentak. Indra yang ketika itu berada di tengah badan bot kelihatan menerima asakan yang lebih hebat.
Kekili bersaiz 4500 memuntahkan tali tanpa henti sehingga sebahagian tali telah keluar dari gelendungnya. Rod aksi ringan melentur mencecah permukaan air.
Mangsa cuba melarikan diri dan menyeret tali ke bawah bot. Bimbang tali sulam berkekuatan 40lb bergesel dibahagian perut bot, Indra sedaya upaya melenturkan joran
mengikut rentak larian mangsa dan cuba membawa mangsa di lapangan yang tiada penghalang.
Hampir 15 minit aksi tarik menarik berlangsung, akhirnya tewas seekor pecah periuk berskala 6 kg. Beberapa ekor juga telah berjaya didaratkan berskala 2-3 kg seekor.
Secara puratanya kami hanya berpeluang melontar umpan disekitar apungan dalam masa 20 hingga 30 minit sebelum apungan tersebut hanyut jauh dari bot.
Sesi apollo
Sesi petang pula, kami di bawa menuju ke lubuk cencaru dan kali ini mata Apollo bersaiz 10 sahaja yang diturunkan kerana cencaru di sini bersaiz sederhana berskala lebih kurang 150 gram seekor.
Henjutan demi henjutan dengan kebanyakkan 6 mata apollo dipenuhi cencaru yang tergoda dengan apollo berbulu hijau.
Hampir 50 kg cencaru berjaya di pancing di lubuk tukun ini sehingga ada yang kepenatan dan tidak mahu lagi melayannya.
Kami membuat persediaan yang lebih rapi untuk sesi waktu malam menggunakan set yang lebih kasar.
Padanan rod 15-30lb dan kekili multiplier 2 kelajuan digunakan untuk menduga penghuni dasar dengan kedalaman hampir 70 meter.
Arus yang agak laju memaksa batu ladung bersaiz 24 diturunkan ke dasar.
Umpan udang lipan dan sotong cumit digunakan untuk sesi pancingan dasar di waktu malam.
Puas menanti, hanya beberapa ekor gerut-gerut sudi menjamah umpan dan juga beberapa ekor gelama bersaiz dibawah 1 kilogram.
Sasaran utama, kerapu, jenahak dan penghuni dasar lain tidak sudi menjamah umpan kami walaupun tekong telah bertukar ke lubuk kedua dengan kedalaman dasar 40 meter.
Akibat dari kelesuan dan tiada getuan langsung diterima dari penghuni dasar, sesi malam dihabiskan dengan tidur untuk ‘mengecas’ semula tenaga yang berkurangan akibat sesi apollo dari petang tadi.
Santapan pagi
Air yang berarus menyorong pasang membuatkan tekong bergegas menuju ke lubuk kapal karam untuk menggantikan sesi malam yang begitu hambar malam semalamnya.
Tepat berada betul-betul di atas kapal karam melalui bacaan kordinat GPS, kami segera melabuhkan umpan menggunakan perambut ala apollo batu di bawah dengan dua mata digantung. Matakail bersaiz 3/0 digunakan.
Belumpun sempat umpan mencecah ke dasar satu sambaran kuat terasa. Bimbang mangsa melarikan diri ke kawasan kapal karam, sentapan kasar dibuat bagi melemahkan mangsa supaya bermain di luar lingkungan kawasan rumah mangsa.
Permainan singkat yang memakan masa sekitar lapan minit berjaya mendaratkan spesies merah berskala 1.5 kg.
Cuaca yang semakin meninggi mengingatkan kami supaya tiba di jeti sebelum air surut semula kerana dibimbangi bot tidak boleh melalui persisir pantai lumpur yang cetek boleh menyebabkan bot kami terdampar di atas lumpur.
Kami tiba di jeti tepat pada waktunya dan bersyukur dengan rezeki yang diberi. Setelah dikira hasilnya hampir 100 kilogram cencaru berjaya dipancing dan hampir 70 ekor pecah periuk dan beberapa ekor spesies lain.
Jika ada kelapangan pasti kami akan kembali lagi ke sini lagi.
Awal-awal pagi lagi, saya telah bangun dan bersiap. Saya membelek apakah warna gewang yang mahu dipertaruhkan. Antara gewang yang saya bawa termasuklah top water, minnow dan juga selaman dari jenama Rapala, Storm serta Halco, termasuklah gewang yang dikatakan killer Halco Sorcerer 125.
Manakala set joran yang saya bawa adalah joran 10-25lb berserta kekili Daiwa Ryoga 160HL yang dipadankan dengan tali 25LB dan perambut 40lb. Kami melalui banyak spot yang berpotensi. Namun hanya GT juvenil dan siakap merah sahaja menjadi penghibur.
Sentapan yang kuat pada mulanya saya anggap tembaring, tetapi hanyalah siakap merah yang terlekat di mata tiga gewang. Situasi yang sama juga berlaku pada sebelah petangnya. Kali ini lebih teruk kerana perubahan air pasang surut yang terlalu cepat bagaikan torpedo menyebabkan ia langsung tidak sesuai untuk casting dan juga trolling.
Apa yang menggerunkan saya adalah, selain tembaring, sungai ini juga dipenuhi buaya dan mereka menasihati, buat tidak tahu sahaja fasal itu. Setakat ini, buaya di Sungai Paitan pernah tidak kacau orang. Walau diberi jaminan oleh mereka, rasa gerun itu sebenarnya tidak boleh dielakkan.
Pada sebelah petangnya kami mencuba nasib di sebuah anak sungai yang agak terpencil yang dipenuhi dengan daunan nipah yang tenggelam. Kami mencuba menggunakan gewang selaman dalam tetapi hanyalah kawanan bulan yang sudi menyambar.
Kami menukar teknik menggunakan gewang permukaan. Sentapan pertama hasil daripada lontaran Ujang telah disambut oleh sang tembaring. Aksi akrobatik ikan yang menyambar gewang di tepi sampan kami membuatkan semua tergamam tapi sayangnya kurang kemas.
Semua yang berada di atas sampan menukar gewang pensil termasuk la saya sekali. Balingan ke celah-celah dahan nipah yang tenggelam membuahkan hasil apabila di sambut kemas sang kanai. Ternyata kudrat ikan ini amat dasyat! Kekili dan joran saya di henjut habis, saya cuba mengetatkan drag sedikit demi sedikit dan akhirnya tembaring berskala anggaran lebih 3 kilo menunjukkan dirinya di tepi sampan.
Di dalam hati saya, “yesss akhirnya dapat lesen! Tetapi sayang sekali henjutan ala-ala torpedo di saat akhir membuatkan saya berputih mata.
Sahabat saya, Ralf yang berada di belakang sampan membuat lontaran yang sama ke arah belakang dan akhirnya menerima sambaran sang kanai dan berjaya mendaratkan kanai berskala 1.5kg.
Kami semakin bersemangat untuk memburu spesies ini. Semakin hari menjelang malam semakin banyak sentapan ganas sang kanai diterima, tetapi semuanya tidak berjaya didaratkan. Hati semakin membara untuk membalas dendam pada keesokan hari.
Hari Ketiga
Hari ketiga casting, saya berdoa semoga ada tembaring yang berjaya didaratkan. Daus dan Farhan membawa kami ke jaluran delta Sungai Paitan yang lain pula. Kali ini berhampiran dengan muara laut.
Pagi itu, kami memulakan aksi dengan trolling terlebih dahulu. Daus berkata kepada saya, hari ini kami pasti akan berjaya mendaratkan hasil. Malangnya sehingga ke tengah hari saya masih belum mendapat apa-apa sambaran.
Hanya todak dan baby GT sahaja yang sudi menyambar gewang. Bot yang satu lagi juga belum ada menampakkan tanda tembaring akan diperoleh. Sesi sebelah petang, kami bertukar lokasi lagi.
Akhirnya, tiba di satu spot yang berpotensi, saya melontarkan gewang permukaan Zerek trail weaver 65cm ke arah tebing. Karauan selepas lontaran kali ketiga, tiba-tiba sahaja air di permukaan berkocak perlahan dan terus serta-merta sahaja tali menegang.
Saya hanya mampu menahan tali yang mencurah keluar dari kekili Ryoga 1016HL dengan karauan begitu sukar dilakukan. Akhirnya larian yang disyaki tembaring ini gagal dikawal dan akhirnya putus selepas ia memasuki reba. Terkesima saya seketika.
Ralf akhirnya memecah kebuntuan apabila dia menaikkan seekor tembaring yang masih baru. Tidak lama kemudian, dua kali lagi Raif menerima strike, namun tetap gagal menaikkan apabila dengan mudah gewang tersangkut direba.
Di lubuk berhampiran, saya sekali lagi mendapat sambaran, namun gagal menaikkan ikan ini. Kesnya sama sahaja iaitu, tali mencurah keluar bagaikan air walaupun drag diketatkan habis.
Malam itu, kami rancak bercerita perihal kejadian yang berlaku di siang harinya sambil saya sempat juga berkenalan dan lepak dengan beberapa orang pemuda kampung yang pulang dari memancing dasar. Dengan menggunakan umpan ikan jenjulung dipotong dua, mereka pun berjaya memperoleh tembaring dan kerapu.
Hari Keempat
Ia hari terakhir saya di Sungai Paitan ini. Sama seperti hari semalamnya saya beranggapan hari ini tuah akan mengiringi nasib saya. Namun malangnya, saya dan Ralf asyik dibuli sahaja.
Kami hanya merasai tarikannya sahaja. Alam akhirnya berjaya memperoleh seekor tembaring, namun ia masih bersaiz juvenil. Saya pula masih kumpau. Hari itu, kami hanya memperoleh siakap merah dan alu-alu sahaja.
Perjalanan Pulang
Dalam kapal terbang pulang ke Semenanjung, saya masih terbayang peristiwa sepanjang memancing di Sungai Paitan ini. Saya begitu mengagumi kehebatan dan kegagahan tembaring ini. Peristiwa dibuli tembaring menyebabkan saya bertekad untuk datang lagi ke Sungai Paitan ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...