Lubuk-lubuk berpotensi di laut Makassar kebanyakkannya berkedalaman 150 meter hingga 250 meter.
Berdasarkan kedalaman tersebut, dua teknik asas memancing boleh dipraktikkan iaitu jigging dan bottom fishing.
Jika mengamalkan teknik jigging maka dua kaedah pula boleh dipraktikkan iaitu jigging di pertengahan air menerusi speed jigging dan jigging di permukaan dasar menerusi slow pitch jigging.
Sekiranya anda mengamalkan pancingan dasar atau bottom fishing, elakkan dari menggunakan tali sulam yang terlalu tebal diameternya atau melebihi 100 lb pound.
Ads
Ini kerana ia menghasilkan getaran (dengungan) kuat di dalam air sekali gus menarik perhatian ikan pemotong tali seperti barracouta mengerjakan tali tersebut.
Elakkan juga tali berwarna-warni kerana ia turut menyumbang sebab yang hampir sama di dalam air.
Sebaiknya gunalah tali sulam satu warna yang halus diameternya dengan kekuatan antara 50lb hingga 80lb sahaja dan berkapasiti 500 meter.
Dan pastikan anda tidak lupa membawa tali simpanan yang mencukupi.
Ads
Jika ingin memburu ikan pelagik seperti tuna yang lazimnya berlegar di pertengahan air, gunalah jig dengan berat antara 80 gm hingga 150 gm.
Sebaiknya pilih la jig yang boleh memotong arus dengan baik dan memiliki tahap luminous yang baik. Harus diingat, walaupun jigging di pertengahan air ia melibatkan kedalaman sehingga 100 meter.
Tidak kiralah jigging pada siang hari apatah lagi pada malam hari. Malah aktiviti jigging pada malam hari adalah lebih efektif.
Ads
Manakala peralatan yang sesuai digunakan padanan kekili mendatar siri 6000 hingga 8000 yang mampu memuatkan tali sulam 30 lb hingga 50lb dengan kapasiti tali 300 meter.
Manakala kekuatan joran pe 2-4 hingga pe 3-6. Begitu juga jika ingin menggunakan kekili menegak.
Sekiranya ingin mensasarkan ikan-ikan demersal seperti ruby snapper, kerisi bali dan pelbagai jenis kerapu maka aplikasi teknik jigging perlahan atau slow pitch jigging.
Padanan kekili dan joran yang mampu memuatkan tali sulam 40lb hingga 60lb sebanyak 400 meter, dengan kekuatan kekili pe 2-4. Manakala jig pula antara 250 gm hingga 400 gm.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
“Perjalanan dunia memancing saya bermula dari kecil lagi. Bak kata orang ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Ketika kecil saya sering menemani arwah bapa menjala dan ke laut di Pantai Punggol. Tangkapan hasil menjala seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain dijadikan lauk-pauk kami sekeluarga.
Selepas pemergian arwah bapa, minat ke laut bertukar menjadi hobi mengail dan mula menggunakan ambo (koyan).
Kemudian saya mula minat untuk mencuba gunakan joran dan kekili. Saya terpegun dengan ketekunan seorang wanita tua memancing dan melalui beliau saya belajar cara-cara memancing dan membuat perambut.
Saya mula berkawan dengan kawan-kawan yang ‘gila’ memancing dan hampir setiap hari walaupun penat selepas bekerja, dapat memancing dua tiga jam pun dah kira seronok.
Port yang sering saya dan kawan-kawan kunjungi di sekitar Singapura adalah Tanjong Rhu, Fort Road, Pantai East Coast, Punggol, Sembawang, Labrador, Hyundai, Changi dan Pasir
Ris. Untuk ke tempat ini memang tiada masalah bagi saya kerana tinggal di kawasan timur.
Menerusi laman sosial, saya peroleh lebih ramai kenalan pemancing dan dapat mendalami teknik memancing.
Bila tertubuhnya pelbagai kelab memancing di laman sosial, saya amat tertarik dan menyertai Team Gill’s Paradise Fishing W/Friends (GPFWF).
Tim ini bukan sahaja tertumpu pada teknik pancingan pantai atau surfcasting, malah turut turun ke laut memancing dengan bot, kolam dan juga sangkar.
Uniknya dari tim GPFWF ini mereka tidak kisah dan tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman, ilmu, tip, lubuk dan bermacam macam lagi.
Kekuatan ahli ini terletak dari pengasasnya yang tidak suka mengongkong ahlinya.
Saya juga ada menyertai pelbagai tim lain yang mengundang saya memancing walaupun saya seorang sahaja pemancing wanita yang berani menyahut undangan dan tidak mengenali di antara satu sama lain.
Sebaliknya saya berbesar hati menerima pelbagai tawaran daripada pemancing dari tim yang lain tidak saya kenali.
Mungkin disebabkan saya membesar di kalangan kawan-kawan lelaki, tambahan pula adik beradik saya semuanya lelaki jadi saya tidak berasa kekok, malahan selesa dan lazimnya secara spontan saya terima tawaran memancing daripada pihak yang mengundang saya.
Setiap event atau aktiviti memancing sama ada di pantai, sangkar atau laut dalam sering sahaja membuat saya teruja kerana tidak tahu spesies ikan apa yang akan memakan umpan.
Apatah lagi apabila saya dapat mendaratkan ikan yang bersaiz mega. Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan ialah dapat menaikan ikan yu kemejan.
Lebih teruja ketika itu saya menggunakan set ringan atau setup light tackle. Saya masih ingat joran yang digunakan ialah Hammer II Jig PE2-4 dipadankan dengan kekili ATC
Valour SW5000 dan tali sulam Dr. Braid Extreme x8 (30lbs). Suasana ketika itu tegang dan kelam-kabut namun atas panduan teman yang juga penganjur trip, Hafiz dari Team Spike
Buntalz ANGLERS (SBA), saya berjaya menaikkan ikan itu. Akibatnya empat hari kemudian saya terpaksa ambil cuti sakit kerana sakit.
Dari situ saya mula meluaskan wilayah memancing ke luar negara pula khususnya Malaysia dan Indonesia.
Ada banyak lagi padang pancing di luar negara yang ingin saya terokai jika berpeluang untuk menambahkan lagi pengalaman memancing dan mendaratkan pelbagai spesies yang mampu memberi cabaran sebenar.”
Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Pancingan kelong telah lama wujud di Malaysia tetapi masih kurang pendedahan sehingga sukar untuk kita meraih infonya.
Jika ada pun, hanya merujuk kepada lokasi dan kejayaan trip, tetapi kurang dari segi teknikal dan persembahan.
Maka wujudlah tanggapan negatif dan kurang menyenangkan merangkumi hasil tangkapan, kos, spesies buruan dan sebagainya.
Untuk memperoleh hasil tangkapan yang baik di kelong, aspek-aspek seperti teknik persembahan, umpan terbaik, musim, tarikh dan waktu, pasang surut air, kedudukan
balingan, peralatan dan kelengkapan, spesies sasaran, pergerakan ikan serta kedudukan kelong perlulah difahami terlebih dahulu, sebelum bersandarkan kepada nasib semata-mata.
Semua ini boleh boleh diperoleh melalui kekerapan kita ke sesuatu lokasi dan pengalaman daripada otai.
Memancing di kelong sebenarnya satu gaya pancingan yang pasif. Apabila ke kelong, kita perlu ingat bahawa hasil bergantung sepenuhnya kepada musim dan pergerakan ikan.
Oleh kerana kelong adalah satu struktur tetap di pesisir laut, kita tidak bebas mengikut pergerakan ikan dan terpaksa menunggu kumpulan ikan bergerak menghampirinya.
Peluang ini perlulah digunakan sebaik-baiknya, di mana kita perlu memerah segala teknik dan tenaga yang bakal mempengaruhi hasil tangkapan nanti.
Walau bagaimana pun, sangat sukar untuk kita meramal waktu ini. Tetapi salah satu caranya, kita boleh merujuk kepada pergerakan ikan umpan seperti tamban.
Untuk menentukan musim ikan pula, sebaik-baiknya rujuklah kepada penjaga kelong. Mengikut pemerhatian, kebanyakan ikan biasanya didaratkan antara bulan April hingga September.
Oktober hingga Februari pula lebih sinonim dengan musim tengkujuh, justeru kurang sesuai.
Pasang surut air dan cuaca turut mempengaruhi pergerakan ikan. Waktu terbaik ialah air pasang pagi atau petang, tetapi pagi lebih menjanjikan.
Tengah hari bukanlah tak sesuai tetapi aktiviti biasanya sedikit terganggu dengan faktor cuaca terik dan tiupan angin kuat.
Malam pula biasanya dihabiskan dengan pancingan dasar dan koyan.
Terdapat tiga kaedah pancingan yang biasa digunakan di kelong iaitu menghanyut, dasar dan koyan.
Menghanyut adalah teknik utama yang biasanya dilakukan pada waktu siang untuk menyasarkan spesies seperti todak, talang pandan, talang, parang, alu-alu, senangin dan apabila tiba musimnya tenggiri dan alu-alu besar pula diburu.
Spesies talang pandan dan todak biasanya berada di sekitar kelong setiap waktu, manakala yang lain lebih dipengaruhi oleh musim dan pasang surut.
Air bunga pasang dan bunga surut adalah waktu terbaik. Air mati pula kurang sesuai untuk buru spesies mega.
Tamban merupakan umpan terpenting dan saiz umpan yang besar menjanjikan hasil yang besar.
Ikan selar pula kurang dapat perhatian. Sebaik-baiknya gunakan apollo saiz 5, 7 atau 9 dari jenis sisik / kulit ikan untuk mencari tamban dan selar.
Apollo juga kadangkala mampu menjerat sagai, todk dan talang pandan. Untuk memancing alu-alu besar, umpan talang pandan dan todak saiz 200 ke 400gram adalah yang terbaik,
malah ada pemancing menggunakan talang sehingga 900gram untuk menunggu alu-alu belasan kilo.
Menghanyut tanpa pemberat dan pelampung lebih efektif, dan biarkan ikan hanyut mengikut arah arus.
Umpan yang dihanyutkan berhampiran kelong mudah menjerat talang, talang pandan dan todak. Jika menyasarkan tenggiri dan alu-alu, sebaik-baiknya lepaskan umpan kira-kira 50 meter atau lebih dari kelong.
Ini memberi kelebihan untuk kita melemahkan mangsa sebelum ia menghampiri kelong, takut-takut nanti ikan melakukan pecutan terakhir ke arah tiang kelong.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...