Sekiranya anda ke benteng pemecah ombak, terutamanya benteng yang ditambak jauh ke tengah laut, jangan lepaskan peluang memancing di situ.
Ikan apa yang ada kat celah batu? Banyak ikan beb…!
Ada ke kerapu di sebalik batu? Ya, memang betul. Memang kerapu sering menjadikan struktur kawasan berbatu sebagai lokasi mencari makanan malah sebagai rumah persembunyiannya.
Di kawasan tambak berbatu, cari kawasan lubang-lubang yang agak dalam airnya (Untuk mengetahui lubang tersebut dalam atau tidak boleh survey dahulu kawasan tersebut sewaktu air surut dan tandakan kawasan-kawasan yang berpotensi).
Tekniknya sangat mudah. Jika anda terlupa bawa set pancing pun masih boleh memancing kerapu. Apa yang penting hanya perlu ada tali pancing, mata kail dan umpan.
Anda hanya perlu menghulurkan tali dan mata kail berumpan sahaja. Tidak perlu batu ladung. Namun lebih seronok jika ada set pancing.
Jika ingin menggunakan joran, tidak perlulah menggunakan joran pantai. Memadai joran biasa bersaiz 5 hingga 8 kaki. Kekili pula gunalah kekili yang tahan air masin.
Umpan udang kopek paling efektif digunakan. Boleh juga gunakan udang hidup, umpun-umpun dan hirisan sotong.
Apabila menjatuhkan umpan ke dalam lubang batu, mainkan sedikit umpan itu agar ia bergerak-gerak di dalam air kemudian biarkan seketika.
Jika tiada sambaran mainkan lagi umpan itu untuk menarik perhatian ikan.
Jika lama tiada sebarang sambaran ataupun kawasan tersebut telah dikuasai spesies pengacau seperti buntal dan sesirat, anda bolehlah berpindah ke lubang-lubang batu yang lain.
Penting untuk anda sentiasa menjaga joran anda. Ini kerana, apabila sang kerapu menyambar umpan, ia akan terus membenamkan dirinya masuk ke dalam batu.
Jadi untuk mengelakkan kail anda tersangkut ke batu, anda harus segera menyambar joran apabila kerapu menyambar umpan.
Waktu paling efektif memburu kerapu ialah ketika air gerak pasang sehinggalah pasang penuh.
Selain kerapu, ikan-ikan lain seperti semilang, tetanda, siakap, kitang dan bayan juga boleh dieratkan dengan teknik ini.
Pada akhir Mac hingga Julai setiap tahun, ialah musim yang paling sesuai untuk mencandat sotong kerana angin kencang musim tengkujuh timur laut di Laut China Selatan mulai reda. Maka musim sotong mengawan dan bertelur akan bermula.
Pada lumrahnya, sotong-sotong yang jauh dari laut dalam mula berkunjung ke tempat-tempat tertentu untuk bertelur di sekitar perairan Terengganu terutama berhampiran Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Redang dan beberapa tempat lain.
Apabila musim mencandat tiba, di sekitar perairan tersebut kelihatan bagaikan berpesta dengan kerlipan lampu kalimantang yang dipasang saban malam.
Kehadiran cahaya lampu kalimantang yang berkerlipan itu bertujuan menarik perhatian sotong yang sedang mengawan di kawasan berkenaan untuk berkumpul dan bermain di sekitar kawasan yang diterangi cahaya lampu berkenaan.
Ada juga kebanyakan pengusaha perkhidmatan bot candat menggunakan lampu limpah berkuasa tinggi untuk menarik perhatian sotong-sotong.
Istilah kandang sotong
Kebiasaanya waktu mencandat sotong bermula senja dan berhenti apabila waktu subuh. Hasil candat akan bertambah kiranya seseorang yang menjumpai kawasan sotong bertelur iaitu tempat di mana berjuta-juta sotong akan berkumpul dan bertelur pada satu tempat.
Tempat ini juga dikenali sebagai ‘kandang Sotong’. Kandang sotong yang dihuni oleh berjuta-juta sotong ini tidak terdapat seekor ikan pun kerana tahap permakanan sotong ini terlalu agresif sehinggakan mereka memakan sesama sendiri.
Jika terdapat ikan pun ialah ikan tenggiri, aruan tasik atau jerung yang berada di luar kawasan sekitarnya untuk memakan sotong itu.
Kaedah mencandat menggunakan mata candat twist di kawasan kandang sotong ini adalah yang paling efektif sekali iaitu dengan kaedah appolo, candat diikat dua atau tiga pada mainline.
Kebiasaannya candat yang diturunkan belum sampai ke dasar sudah ada sotong terkait pada candat.
Saiz sotong candat
Mencandat sotong biasanya jarang dilakukan apabila bulan mengambang penuh kerana ketika itu sotong bergerak bebas, ada juga yang mencandat pada waktu begini kerana
ianya tidak memberi target yang tertentu seperti di tempat kandang sotong atau di sekitarnya.
Adakalanya juga mendapat hasil yang lumayan. Bagaimanapun, sotong yang ditangkap pada bulan mengambang lebih besar saiznya berbanding yang ditangkap pada bulan gelap.
Sebaliknya, saiz badan yang gemuk itu akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh. Mencandat di waktu bulan gelap lebih sesuai kerana lampu yang dipasang akan menarik perhatian sotong untuk mendekati cahaya.
Cara mencandat sotong
Pencandat yang berpengalaman biasanya akan memasang tiga atau empat candat pada satu tali. Kaedah ini dinamakan apolo.
Tali candat akan dilepas ke dasar laut dan sesekali dihejut-henjut supaya mata candat kelihatan seolah-olah hidup di dalam air dan menjadi daya penarik untuk sotong pemangsa.
Jika sudah bertemu rentaknya, kerja mencandat semakin mudah. Lazimnya hasil tangkapan setiap seorang pencandat mampu memperolehi tidak kurang dari 50kilogram
dan pernah capai 100 hingga 300kilogram sotong semalaman jika terjumpa dan mencandat di kandang sotong.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...