Sekitar tahun 90an semasa kemaruk pada dunia pancingan, di mana saya sanggup membeli bot fiber dan enjin semata-mata minat pada mengail. Pernah 2-3 kali memancing pada waktu malam di atas bot fiber dan juga pernah melalui pengalaman mendebarkan sewaktu mengail pada waktu malam diganggu sesuatu .
Sewaktu itu kami 4 orang dengan menggunakan 2 bot fiber memancing di sekitar Sungai Johor di Estet Nam Heng, Ulu tiram. Malam itu bulan penuh diterangi dan cantik pemandangan persekitarannya, dimana kami memancing saling berhampiran.
Semasa sedang asyik menukar umpan ruat bakau dan ikan pula menyambar tak henti2 tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu suara yang teramat asing bagi kami… suara seolah-olah mengerang dan menangis hiba.
Ads
Ketika itu masing senyap terdiam, tiada suara sindir-menyindir kedengaran. Serta-merta bulu tengkuk meremang berdiri. Masing-masing berbisik bertanyakan bunyi apakah gerangan?
Serta merta keadaan menjadi senyap termasuk gertuan ikan juga. Ketika sedang asyik bertanyakan soalan yang tak terjawab, tidak semena-mena bot fiber kami terolang-aling seperti ada alun ombak seolah-olah ada bot melintas lalu.
Di dalam kepala mulalah memikirkan yang bukan-bukan. Iyalah, mana ada bot melintas. Buaya ke?!
Ads
Teringat cerita orang tua-tua… suatu ketika ada pemancing menaiki bot telah didatangi tetamu tak diundang, `terperuk’ duduk menumpang di hadapan bot mereka dengan rambut panjang mengurai, pakaian lusuh, serta berbau busuk meloyakan.
Tetamu mereka adalah langsuir datang tanpa diundang sambil membelangkangi pemancing tersebut. Terisak-isak menangis, mengeluh dan akhir sekali mengilai….. sehingga membuatkan pemancing tersebut gelabah ketakutan lalu pengsan…!
Ads
Eeeeeii… menyeramkan! Akhirnya kami bergegas hidupkan enjin bot lalu menarik sauh dan berpatah balik menuju ke jeti. Kemudian terus balik membatalkan hasrat untuk memancing malam itu.
Masing-masing tertanya bunyi apakah itu? Benda apakah yang mengolang-olingkan bot fiber kami?
Kejadian tadi menjadikan satu kemusykilan yang tak terjangkau oleh akal kami. Memang ramai yang menganggap ini tahyul tetapi bagi mereka yang pernah mengalami kejadian-kejadian pelik seperti pengalaman saya tadi. Memang tidak disangkal, ada kehidupan lain iaitu alam mistik selain alam realiti ini.
Oleh: Zulkifflee Hussin
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perjalanan menuju ke lubuk idaman mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Kesempatan itu saya mengambil kesempatan untuk melabuhkan badan di dalam kabin. Bot yang terbuai akibat alunan ombak membuatkan saya benar-benar di alun mimpi indah.
Benar kata orang-orang tua, tak baik tidur selepas Asar. Tidur saya petang itu walaupun nampak nyenyak pada pandangan mata kasar namun saya gelisah sebenarnya akibat mimpi ngeri yang dialami.
Dalam mimpi itu saya ternampak bot yang saya naiki dimasuki oleh makhluk besar seperti sotong kurita yang besar. Saya juga nampak dengan jelas bagaimana Mat Deris dibelit oleh makhluk berkenaan sebelum dibawa masuk ke dalam laut. Saya terbangun sambil beristighfar panjang dan meludah sedikit ke sebelah kiri.
Saya meraup muka sambil memandang sekeliling. Sudah gelap rupanya. Jam di tangan menunjukkan jam 7.45 malam. Maghrib sudah masuk. Saya bergegas mengambil wuduk. Ketika itulah saya bertembung dengan Mat Deris dan Izzat yang sudah melabuhkan joran di belakang bot.
Dengan menggunakan set sekili Tica Taurus 6000 dan joran Shimano Beast Master, saya mengharapkan dapat menaikkan ikan tenggiri bersaiz besar. Dengan teknik drift berumpankan tamban hidup, joran saya disentap oleh tenggiri bersaiz 10 kilogram.
Naik lenguh juga tangan saya ketika ‘pertarungan’ menaikkan tenggiri itu ke dalam bot. Alhamdulillah, tercapai juga impian untuk mendapatkan tenggiri.
Menjelang tengah malam, tangkapan kami menjadi semakin berkurangan dan Pok Din mengambil keputusan untuk menukar lubuk. Perjalanan ke lubuk kedua ini mengambil masa selama hampir 1 jam. Saya berbual dengan Mat Deris, manakala Padil tertidur.
Laut yang tadinya tenang tiba-tiba bergelora akibat hujan lebat yang turun berserta ribut petir yang disertai dengan angin yang kuat. Bot yang kami naiki membuai tinggi mengikut alunan ombak yang tinggi. Kami semua terpaksa berpaut di dalam bot.
Air laut juga sudah mulai masuk ke dalam bot. Situasi mencemaskan ini mengingatkan aku pada kisah-kisah tentang pelayaran di laut dalam.
“Ribut besar! Pakai jaket keselamatan” pekik Pok Din. Dia sedang bertungkus lumus menjaga kemudi. Aku dapat lihat wajah Pok Din cemas dengan keadaan yang tidak terduga itu.
“Ini angin tenggara!” kata Izzat separuh menjerit. Aku percaya dengan kata-kata Izzat kerana dia adalah anak nelayan yang dibesarkan dengan laut.
Bot yang kami naiki terumbang-ambing dipukul ribut. Hatiku resah dan sedikit takut. Tiba-tiba aku ternampak Mat Deris berlari ke belakang bot. Mungkin mahu menyelamatkan jorannya. Aku memekik memanggil nama Mat Deris dalam keadaan hujan lebat dan angin yang berdesir kuat.
Tiba-tiba entah dari mana datangnya, aku ternampak ombak besar berbentuk jejari sotong kurita bagaikan ‘merangkak’ naik ke dalam bot lalu cuba menarik apa saja isi yang ada di dalam bot keluar. Pada masa yang sama Mat Deris yang sudah berjaya mencapai jorannya sedang berusaha untuk berjalan masuk ke dalam kabin. Ketika itulah ombak berbentuk jejari sotong kurita itu ‘mencapai’nya lalu menariknya ke dalam laut.
Aku, Izzat dan Padil terpaku menyaksikan peristiwa yang berlaku di hadapan mata kami. Tiga saat selepas itu baru aku tersedar dan terus melaungkan azan sebanyak tujuh kali. Ribut beransur tenang dan kami berlari ke tepi bot untuk mencari kelibat Mat Deris di dalam laut yang masih bergelora namun kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.
Hampir tiga jam kami mencari-cari Mat Deris namun tetap tidak berhasil. Pok Din memaklumkan tentang kecelakaan itu kepada pihak berkuasa. Menjelang jam enam pagi, bot kami dihampiri oleh bot maritim dan gerakan mencari diperluaskan lagi kawasannya namun, jasad Mat Deris masih belum dijumpai.
Waktu kami pulang ke jeti, orang ramai sudah memenuhi kawasan itu dan kepulangan kami disambut dengan soalan yang bertubi-tubi dan air mata daripada kaum keluarga Mat Deris.
Badan yang letih dan hati yang sedih membuatkan kami tidak mampu untuk menerangkan apa-apa. Hanya kepada pihak berkuasa kami membuat laporan tentang peristiwa kemalangan yang berlaku.
Sudah dua tahun berlalu sejak kejadian ini. Jasad Mat Deris masih lagi bersemadi di dalam perairan di kawasan Pontian. Aku, Padil dan Izzat tidak lagi keluar memancing. Hobi kami bertukar terus sejak tragedi yang berlaku.
Ada kala, pada satu-satu ketika, aku terfikir sama ada mimpi yang aku alami sebelum kejadian itu adakah merupakan satu amaran atau sekadar mainan tidur menjelang senja. Dan hingga kini juga, tiada jawapan pada persoalan itu!
Menurut cerita kawan-kawan yang pernah ke sana, terdapat banyak spesies yang mendiami sungai tersebut seperti baung, lampam dan sebarau. Selain daripada memancing, kami juga bercadang untuk memasang racik dan memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang selalu kelihatan di hutan berhampiran.
Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting. Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api. Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ. Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi. Rasanya kalau dilanda tsunami pun, Shahril pasti tidak sedar akibat kekenyangan membaham baung masak asam tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah. Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya.
Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat. Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik.
Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat. Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga. Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya. Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal. Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.
Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya dan kawan-kawan lepak kat kedai kopi Pak Abu. Kami lepak di kedai Pak Abu berdekatan simpang kampung. Di sini kami akan berkongsi cerita. Dan menjadi kebiasaan, topik utama yang kami kongsi pastinya tentang ikan dan lubuk-lubuk ikan.
Rata-rata di antara kami semua adalah kaki pancing tegar. Di mana ada lubuk, di situlah kami akan terokai. Pada satu malam minggu, sedang kami asyik berborak tentang lubuk-lubuk yang telah kami teroka, datang seorang pak cik dalam lingkungan umur 50-an menyapa kami.
“Kamu semua ni dah teroka semua lubuk ikan kat Malaysia ni ke?,” Sapa pak cik tersebut sambil tersenyum.
Saya pun menyapa balik pak cik itu, “Takdelah pak cik, kita orang teroka lubuk yang pernah orang pergi sahaja, itu pun kalau ada orang yang cerita tentang lubuk tersebut.” Pakcik itu pun tersenyum sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah saya. Selepas itu, kami berborak panjang dengan pakcik itu. Di memperkenalkan namanya Pak Wahab.
Mulai saat itu, Pak Wahab mula menceritakan pengalaman-pengalaman tentang ikan dan lubuk-lubuk yang pernah diterokai. Kami semakin teruja untuk mendengarnya. Pada masa itulah, Pak Wahab menawarkan kepada kami satu lubuk yang jarang-jarang dikunjungi orang.
Cerita Pak Wahab lagi, di situ terdapat pelbagai jenis ikan dan berat ikan tidak kurang dari 1 kg. Dia pernah menaikkan seekor ikan sebarau seberat 3kg di situ dan pelbagai jenis lagi ikan yang puratanya 2-5 kg.
Dan lubuk itu dinamakan lubuk Batu Dalam. Asal usul nama lubuk itu tidak pula diceritakan kepada kami. Ia terletak di hulu Sungai Dungun. Lokasinya tidaklah jauh dari kampung kami. Kami semakin teruja dan berhasrat untuk mengunjungi lubuk tersebut.
Keesokan harinya, Fizul, Siran dan Firus datang ke rumah. Mereka mengajak saya untuk ke lubuk rusa itu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke sana selepas Zuhur dengan menggunakan 2 buah motosikal.
Kami menuju ke lubuk rusa berpandukan arah yang diberitahu oleh Pak Wahab malam tadi. Walaupun salah seorang daripada kami tidak pernah sampai ke situ, jalan yang diberitahu oleh Pak Wahab tidaklah susah sangat. Jalannya pun tidak lah teruk dan bahaya kerana ia melalui jalan ladang kelapa sawit sahaja.
Selepas 2 jam perjalanan, akhirnya kami selamat tiba di lokasi yang dihajatkan. Masing-masing tersenyum lebar kerana lubuk yang kami dengar dari mulut Pak Wahab sudah berada di depan mata. Air sungai jernih menghijau.
Pokok-pokok rendang tunduk mencecah permukaan air. Di situ terlihat juga anak sungai kecil yang menuruni lereng bukit dan batu besar sebelum memasuki sungai di hadapan kami. Lubuk sebeginilah yang menjadi kegilaan kaki casting.
Belum sempat saya membetulkan joran dan memasang umpan, satu kelibat ikan sebarau menyambar anak ikan sudah kelihatan. Saiznya agak kasar, mungkin 2kg ke atas. Apa lagi, masing-masing menguji kepakaran masing-masing.
Beberapa minit selepas itu, kami mengambil keputusan untuk berpecah. Saya dan Fizul ke kawasan berbatu. Manakala Firus dan Siran menuju ke kawasan berpasir.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun nampak kelibat ikan sebarau mengejar anak ikan, tetapi seekor ikan pun belum kami perolehi. Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi hitam. Angin bertiup kencang sehingga ada pokok tumbang berhampiran kami.
Saya berasa risau dan mengajak Fizul, Siran dan Firus segera pulang. Kami bergegas menuju ke arah motosikal. Belum sempat kami menghidupkan motosikal, tiba-tiba Siran menyebut kalimah Allah dengan kuat sambil menuding jari ke atas.
Alangkah terkejutnya saya, apabila mendongak ke langit. Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar berada di hadapan kami. Matanya yang besar, kelihatan merah menyala.
Rambutnya pula panjang menegak hingga mencecah pucuk pokok yang tinggi. Tiada tangan dan kaki, hanya bertubuh besar, tinggi dan berwarna hitam. Makhluk tersebut tidak berkelip sambil menganga menampakkan taring.
Kami terdiam sambil memandang sesama sendiri. Tubuh saya waktu itu menggigil dan terasa sejuk seperti berada di dalam peti ais. Mujurlah rakan saya, Firus adalah anak kepada seorang ustaz.
Dia melaungkan azan sambil membawa ayat Kursi dengan kuat. Serta-merta lembaga hitam berkenaan hilang dan cuaca berubah cerah. Firus menyeru kami beristighfar dan beredar dari kawasan itu dengan segera.
Mujurlah kami tidak diapa-apakan oleh lembaga hitam berkenaan. Kami selamat sampai ke kampung lewat maghrib. Sepanjang perjalanan, kami tidak bergurau seperti biasa kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
Malam keesokan harinya, kami duduk bersembang di kedai Pak Abu. Cuma Siran tidak dapat join kerana demam dan masih terkejut. Waktu itu Pak Wahab datang menghampiri kami. Dia bertanyakan tentang lubuk yang kami pergi dan kami menceritakan apa yang telah kaki lalui kepadanya.
Kami hanya memandang sesama sendiri dan saya berkata kepadanya “kenapa tempat tu keras sangat Pak Wahab?” Pak Wahab tersenyum dan memberitahu lubuk rusa itu memang keras dan berpenunggu. Dia terlupa memberitahu kepada kami perkara sebenar dan pantang larang tempat tersebut.
Di situ sebenarnya ada pantang larang. Tidak tahulah ia perkara benar atau tidak. Sesungguhnya peristiwa berkenaan akan saya ingat sampai bila-bila.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...