Kisah ini sudah lama berlaku namun ia terus kekal dalam kotak ingatan kami. Ia berlaku dalam ekspedisi memancing di Sabah. Ia bermula begini…
Dalam perjalanan kami semua terasa macam ada orang yang sedang berjalan tidak jauh di hadapan kami seramai tiga empat orang. Saiz orang tu paras pinggang kami je! Tiba-tiba seorang demi seorang kawan kami ni menegur dan suluhkan lampu, terus makhluk tu lari sambil memekik. Kami pun lari terus ke arah kem. Sampai di kem hujan pun turun beserta angin kuat.
Rupanya dalam kelam-kabut itu salah seorang kawan hilang entah ke mana. Malam itu kami tak senang duduk memikirkan nasib kawan yang hilang. Namun kami tak dapat nak pada malam itu. Kami plan nak cari pada esok hari dan memohon pertolongan Allah yang tau nasib dia pada malam tu.
Pada keesokan pagi sekitar jam 5.40 kami laungkan azan dan berdoa agar kawan tu ditemukan dan kami pun bergerak untuk mencarinya.
Ads
Setelah beberapa jam mencari, sekitar jam 9.00 pagi akhirnya bertemu juga. Kami terlihat kawan kami ini duduk di banir pokok ara yang sangat besar dan menyeramkan. Kawan kami tu langsung tak bersuara.
Kami lihat keadaan sekeliling pokok tu agak bersih. Aķar pokok sebelah belakang tu bentuknya seperti buaian. Memang seram gila.
Kami terus papah dia ke kem dan kemas barang untuk balik ke Tenom. Sepanjang perjalanan dia langsung tak bersuara… mukanya pucat semacam je.
Ads
Setelah hampir 6 jam kami tiba di Tenom, kami pun bawa kawan kami itu berjumpa dengan seorang ustaz untuk berubat.
Pada malam itu barulah dia sedar dan boleh bercakap. Dia beritahu time kami jumpa orang yang saiz paras pinggang tu lalu dan lari, dia terlihat ada perempuan tua sedang duduk di atas dahan merenungnya.
Ads
Dia cuba untuk teriak panggil kami tapi suaranya tak dapat keluar dan badan jadi kaku. Kami terus lari dan dia rasa punyalah seram time tu.
Perempuan terus turun dan berkata kau ikut aku. Dia pun dibawa ke tempat di mana kami menemuinya. Perempuan tu duduk di buaian sambil mengilai.
Rupanya tempat tu memang keras. Dah ada dua orang pekerja kem balak yang hilang sehingga kini. Orang kem balak yang beritahu kami selepas kejadian itu.
Asal je senja orang kem tak berani nak lalu kat situ biar pun guna kenderaan. Ada satu perempuan tua selalu kat pokok ara dekat sungai tu. Sana memang banyak kelah mega tapi orang tak berani nak pergi ke Lubuk Magung tu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berdekah-dekah mereka ketawa. Dek kerana sedapnya makan dalam hutan, mereka semua terlupa kepada sebarau yang dipanggang Akim.
Zainal berlari pantas menuju ke hujung khemah untuk mengambil ikan tersebut.
“Geng… tak ada la ikan tu, kau bakar kat sini tadi kan Akim?”. Mereka saling berpandangan sesama sendiri.
Memang di situlah Akim panggang sebarau yang dia dapat petang tadi. Ke mana hilangnya ikan itu.
“Binatang hutan kot yang curi ikan tu,” Fuad cuba menenangkan keadaan.
Setelah selesai makan, mereka berbual seketika sebelum masuk ke khemah masing-masing.
Dinihari Akim terjaga kerana terasa hendak buang air kecil, lantas mencapai lampu suluh dan bergegas ke belakang khemah.
Sewaktu hendak memasuki khemah dia terdengar suara orang sedang berbual. Suara itu datang dari arah tebing sungai.
Memang dia ternampak di bawah samar cahaya bulan, ada orang duduk di atas batu besar. Akim berjalan ke arah mereka.
“Oh…kau rupanya Zali, Amri. Tak tidur lagi ke?” Akim menyapa sambil kakinya melangkah ke atas batu.
“Mata tak mahu lelap, jadi kami lepak atas batu ni.. sembang-sembang. Kami masak mee segera tadi, banyak lagi lebih ni.. makanlah,” Zali mempelawa. Perut Akim memang terasa lapar.
Maklumlah di dalam hutan, lebih-lebih lagi di tepi sungai. Cuaca sejuk menyebabkan perut cepat lapar.
Akim makan dengan penuh berselera walaupun hanya sekadar mee segera kosong yang sudah kembang, tanpa kuah.
Hinggakan tidak sedar bila dia masuk ke khemah semula dan terlelap.
“Zali… kau dengan Amri malam tadi masuk tidur pukul berapa?” terpacul soalan dari mulut Akim ketika mereka duduk untuk bersarapan.
Zali agak kehairanan. Mengapa pula Akim bertanyakan soalan tersebut.
Mereka semua tidur awal kerana keletihan. Lantas Akim menceritakan apa yang terjadi waktu dinihari tadi. Zali dan Amri menafikan yang mereka bersembang di atas batu.
“Habis tu malam tadi… siapa?” Akim bersuara cemas sambil berlari ke arah batu besar.
Sebaik tiba di atas batu tersebut, alangkah terperanjatnya dia melihat banyaknya cacing tanah yang merayap-rayap. Tekak terasa mual.
Perutnya memulas tiba-tiba. Angin naik ke kepala dan terus termuntah.
Rakan-rakan yang mengekori terkejut melihat cacing-cacing yang keluar dari mulut Akim.
Badannya mulai lemah dan terpaksa dipapah ke khemah. Trip 3 hari 2 malam terbantut. Mereka segera berkemas pada pagi itu dan pulang.
“Ini air tanah liat putih. Saya sudah bacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa. Bagi dia minum,” kata Ustaz Salahuddin kepada Zali.
Menurut Ustaz, ikan yang dipancing Akim ‘ada tuan’ dan membalasnya dengan hidangan ‘mee segera semula jadi’.
Ustaz memberitahu Zali cerita lama sekitar tahun 50-an, di mana tiga orang pemburu yang tersesat menemui pulut kuning di dalam talam tembaga di atas batu besar di jeram tersebut.
Itulah sebabnya jeram tersebut dinamakan jeram pulut. Zali mengangguk-anggukkan kepala.
Sewaktu Zali melangkah kaki ke kereta, sempat Ustaz Salahuddin berpesan “Adat bertandang ke tempat orang, jaga tutur kata, pelihara tatasusila…”
Sejak daripada itu, Akim serik untuk bertandang ke lokasi memancing terutama sungai-sungai di dalam hutan.
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Kami tiba agak lewat di lubuk yang biasa kami memancing. Bezanya kali ini kami bercadang untuk memancing hingga lewat malam.
Biasanya kami memancing pada siang hari saja. Pak cik aku yang beria sangat nak memancing malam. Aku mengikut saja sebab belum pernah memancing malam.
Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton.
Lubuk di sungai tersebut sememangnya tumpuan orang setempat sama ada untuk memancing atau sekadar menontok orang lain memancing.
Zuuppppp…! Aku melepaskan tali pancing. Setelah semua joran dipasang, kami mula menunggu. Moga-moga kami berjaya hari ini, insya Allah.
Matahari sudah terbenam dan lubuk tersebut hanya tinggal kami berdua, namun joran kami masih belum terusik.
Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.
Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik.
Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?”, bisik hati aku.
“Sabar…” tiba-tiba saja pak cik aku bersuara seolah-olah mendengar suara hati aku. Mungkin juga dia dapat membaca bahasa gerak tubuh aku.
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk.
Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.
Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cik aku yang tadi berada tidak jauh dari aku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut.
Lembaga tersebut mengerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arah aku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.
Tiba-tiba aku rasa seluar aku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Lan! Lan oii…! Kau tengok apa tu?”
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur.
Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling aku.
Pak cik aku terus memanggil-manggil nama aku.
Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku tidak ingat apa-apa lagi. Apabila kembali membuka mata, aku dapati sedang terbaring di ruang tamu rumah.
Bukannya di lubuk sungai. Kelihatan ibu duduk tidak jauh dari tempat aku terbaring.
“Mana pak cik?” spontan aku bersuara.
“Pak cik ada kat luar tu…”, ibuku menjawab.
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.
Pak cik aku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
“Kau kena sampuk semalam agaknya…” Pak cik aku bersuara sambil tergelak kecil. Aku sekadar terkebil-kebil memandangnya.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut.
Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam walaupun bukan di lubuk tersebut. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...