Ikan sembilang merupakan ikan dari keluarga ( familia ) Plotosidae, yang merupakan jenis ikan bermisai atau catfish (Siluriformes ). Ciri khas yang jelas adalah sirip dorsal yang bersatu dengan ekor.
Ada yang mengatakan sembilang seperti ikan linang dan belut sawah karena postur tubuhnya yang panjang. Ikan Sembilang bisa mencapai ukuran panjang hingga 100 cm, dengan besar kira-kira sebetis orang dewasa.
Di desa Kedung Malang, Kecamatan Kedung, Kabupaten Jepara, Jawa Tengah, kebanyakan warganya menganggap ikan sembilang ini adalah ikan keramat. Menurut warga terutamanya nelayan tempatan, ikan sembilang ini merupakan ikan yang pantang untuk dimakan oleh wanita hamil.
Ads
Warga setempat cukup yakin dan percaya bahawa bahwa pemberian nama sembilang itu dari bahasa jawa `ILANG’ yang membawa maksud `HILANG’.
Ads
Bagi mereka yang mempercayainya, jika perempuan hamil memakan ikan sembilang ini, maka kandungannya akan hilang dengan sendiri. Tidak kira berapa usia janin yang sedang dikandung akan ghaib begitu saja jika memakan ikan sembilang.
Setiap daerah lazimnya memiliki tradisi dan kepercayaan sendiri. Sama ada untuk mempercayainya atau tidak, terpulang pada diri sendiri.
Ads
Sekiranya anda ke desa ini, anda boleh bertanya tentang mitos ini kepada penduduk setempat. Sehingga kini masih ramai warga setempat masih meyakini akan mitos tersebut.
Walau bagaimana pun, kejadian mistik ini hanya berlaku terhadap wanita yang sedang hamil dan sama sekali tidak akan berlaku kepada wanita yang tidak mengandung.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hampir 1 jam meredah denai, akhirnya mereka berlima sampai ke lubuk yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras di bahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka. Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.
“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Azam. Semua mengikut arahan Azam tanpa banyak soal.
Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Zainal kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar. Mizan dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.
Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai. Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.
Menjelang waktu Maghrib, Azam sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.
Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 50-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.
“Boleh pak cik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Azam hanya memandang saja. Zainal dan Mizan pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.
“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Hairi menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
“Tak takut ke memancing di tengah-tengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.
“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Hairi menjawab. Azam menjeling tajam ke arah Hairi! Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari di tiup angin.
“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Hairi. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya. Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.
Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.
Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur. Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.
Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang. Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.
“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.
“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah!” jawab lelaki itu bersahaja.
Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat. Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.
Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan. Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Lesung. Pengalaman yang dilalui tersebut menyebabkan mereka menjadi serik terutama kepada Hairi!
Kisah ini terjadi di muara Sungai Tuaran. Menurut kawan kepada kawan saya, sesekali jika air cantik berbondong-bondong ikan gelama atau ikan putih masuk ke muara. Pengail yang bertuah akan dapat menaikkan berpuluh-puluh ikan yang datang secara bermusim itu.
Dan kejadian usikan yang akan saya ceritakan ini berlaku semasa air cantik sehingga ikan yang dipancing sungguh banyak sekali. Saya sengaja tidak mahu mendedahkan identiti pemancing kerana tidak mahu orang yang terlibat merasa malu.
Hafizuliz (bukan nama sebenar) telah bertandang ke muara Tuaran dengan berbekalkan udang hidup dan sedikit ikan basung sebagai umpan. Sejak memulakan pancingan pada jam 4.00 petang, tiada sebarang ikan mencuit umpan buat 2 jam pertama.
Apabila hari semakin gelap, sekonyong-konyong satu sambaran yang kuat hampir menarik joran kesayangannya ke dalam sungai.
Selepas bertarung hampir 7 minit, ikan putih anggaran 1.5 kilogram dinaikkan. Lontaran kali kedua bersambut dengan kadar segera dan ikan anggaran sebaya dinaikkan, kali ini perlawanan lebih singkat selepas drag diketatkan.
Sambaran demi sambaran menyebabkan Hafizuliz leka dan selepas umpan habis, jam tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam.
Sekonyong-konyong, semacam bau harum semerbak menusuk hidungnya. Tiba-tiba sahaja bulu romanya berdiri.
Cepat sahaja dia mengemas barang-barang dan barulah dia menyedari, dia sedang berseorangan memancing di sebuah muara sungai yang sunyi.
Dalam perjalanan menuju ke motosikal, bau harum menjadi semakin kuat. Mulut Hafizuliz kumat-kamit membaca sesuatu. Berseorangan memancing di lubuk sunyi bukan menjadi satu perkara asing buat Hafizuliz. Namun kali ini suasananya cukup berlainan.
Bulu roma terus tegak berdiri walaupun dia menguatkan bacaan ayat-ayat suci sebagai penguat semangat. Sebaik enjin motor dihidupkan, dia memecut dengan tergesa-gesa meninggalkan muara sungai dengan berbekalkan 10 ekor ikan putih pelbagai saiz.
Tiba di suatu selekoh, dia terlihat kelibat manusia. Hafizuliz sedikit lega. “Ahh… bagus juga ada orang. Sekurang-kurangnya ada orang yang menemani menghadapi suasana sunyi dan gelap”, bisik hatinya.
Apabila menghampiri lembaga itu, Hafizuliz terpaksa memberhentikan motosikalnya kerana rupa-rupanya seorang gadis yang sangat cantik berbaju putih rambu-ramba telah melambaikan tangan ke arahnya.
Bagai terpukau dengan kecantikan gadis itu, mata Hafizuliz tidak berkedip langsung. Sayup-sayup sahaja suara gadis itu menerobos gegendang telinganya.
“Bang, boleh tumpang bang? Rumah saya tak jauh dari sini, dekat hujung simpang depan tu aje..”. Segala-galanya berlaku begitu pantas.
Tidak lama selepas itu, Hafizuliz membayangkan sedang memboncengkan seorang gadis cantik berbaju putih dengan haruman menawan ke simpang yang dimaksudkan.
Sesampai di simpang yang dimaksudkan oleh gadis itu, yang kebetulan tidak berapa jauh dari tempat gadis itu mula menaiki motosikalnya, Hafizuliz memperlahankan motosikal.
Matanya meninjau ke sekeliling simpang dan terpandang batu nesan berceracak berkilat-kilat disinari bulan purnama.
Serentak dengan itu, dia menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada sesiapa membonceng di belakang motornya. Bagaikan menghadapi satu trauma maha hebat, dia memecut meninggalkan simpang misteri itu.
Kejadian Hafizuliz disakat gadis cantik di simpang kuburan tersebar luas di kalangan kaki pemancing. Muara Sungai Tuaran tidak lagi didatangi pemancing buat satu jangka masa yang lama.
Tetapi dua bulan selepas kejadian itu, muncul seorang pemancing yang baru sahaja bertukar ke daerah Tuaran dari semenanjung.
Akibat ketagih memancing, tanpa usul periksa, Rahim (bukan nama sebenar) telah memancing di muara berpenunggu itu berseorangan sahaja.
Kebetulan pula musim ikan gelama sedang masuk muara. Sejak jam 5.00 petang, tidak menang tangan dia melayan dua batang joran.
Semakin menghampiri maghrib, semakin rancak ikan mematuk umpan. Akhirnya Rahim kehabisan umpan dan mula meninggalkan muara Tuaran pada jam 12.30 tengah malam.
Kejadian yang dialami oleh Hafizuliz berulang semula. Seorang gadis berbaju serba putih dengan wangian semerbak telah melambaikan tangan untuk menumpang motornya.
Rahim yang tidak pernah mendengar gangguan hantu sebelum ini telah dengan senang hati menumpangkan seorang gadis yang tersangat cantik pada pandangan matanya.
Sesampai di simpang kuburan, Rahim memberhentikan motosikal. Gadis cantik itu memberi sebuah senyuman yang cukup manis.
Sambil mengucapkan terima kasih, si gadis berkata… “Abang bagus… Dulu saya cuba menumpang motor pemancing macam abang… TETAPI…BELUM SAYA NAIK, DIA SUDAH JALAN!”
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...