Antara jenama yang menjadi kebiasaan ketika ini ialah jenama Berkley. Namun di sini, Umpan membawakan sedikit sebanyak SP keluaran Jepun yang mungkin menjadi pilihan anda untuk mencubanya.
Antara produk dari Negara Matahari Terbit ini termasuklah keluaran daripada jenama Jackall, Ima, Evergreen dan Keitech.
Sebagai alternatif pilihan bagi umpan katak tiruan. Jackall Xeno Buzz mampu meliputi kawasan dipenuhi teratai, berlumpur dan cetek.
Sesuai untuk menduga spesies seperti haruan dan toman. Disesuaikan dengan mata tanpa ladung, Xeno Buzz pilihan tepat untuk mengilat di kawasan berumpai.
Ads
Produk terbaru daripada Jackall. Super Pin Tail seolah-olah seperti anak ikan kecil sebenar. Direka supaya kelihatan seperti anak ikan yang cedera. Dilengkapi dengan mata 3 dimensi menambahkan lagi realistik soft plastic Jackall ini. Pasti menjadi antara produk wajib dalam kotak pancing anda.
Rekaan Shad Tail memberikan anda renangan yang menggoda. Dengan ekor yang melebar, ia memberikan aksi renangan yang menggoda dengan hanya sedikit tindakan pada kawalan kekili anda.
Ads
Terdapat dalam pelbagai warna yang digemari oleh pemangsa. Siri iShad dari Jepun ini mampu memberikan pilihan kepada anda dalam menggoda mangsa
Glossy Shad hampir menyerupai Super Pin Tail, namun rekaan pada ekornya berbeza. Ekor Glossy Shad mempunyai bentuk dayung yang menyebabkan renangan lebih kuat dan pergerakan yang mampu menarik perhatian pemangsa.
Jackall Glossy Shad merupakan pilihan tepat bagi penggunaan dalam kawasan air yang jernih tidak kira mengalir atau tidak.
Ads
Cover Craw dihasilkan dengan protein bermutu dan padat. Reka bentuknya membenarkannya meluncur dengan mudah di celah-celah kawasan yang sukar. Juga disuntik dengan bau yang mampu menarik perhatian ikan pemangsa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Panduan yang diberikan sedikit sebanyak berkongsi peranan dan tanggungjawab yang boleh dilakukan bagi seorang pemancing. Gunakan panduan mudah ini untuk dikongsi bersama pemancing lain.
Tak Buang Sampah Merata
Panduan mudah ini sering dipandang remeh, namun ia merupakan asas dan perkara paling mudah untuk dilakukan. Jika anda pergi memancing di hutan atau di mana-mana, pastikan anda membawa pulang sampah atau menanamnya.
Jangan sesekali membiarkan sampah merata-rata terutama jenis plastik dan polimer. Begitu juga dengan botol minuman berkaca, jangan sesekali membuangnya terus ke dalam air dan membiarkannya tenggelam kerana ia lebih memburukkan keadaan dasar sungai.
Tak Membazir Tangkapan
Anda tidak perlu untuk menangkap secara berlebihan jika untuk dijadikan makanan. Jika ingin membawa pulang, amalkan konsep bag limit. Malah, ikan yang bersaiz kecil dan tidak sesuai dimakan, lebih wajar untuk dilepaskan kembali.
Cukup sekadar bergambar sebelum dilepaskan untuk dijadikan kenangan. Sesetengah spesies mengalami ancaman kepupusan.
Mungkin bagi sesetengah tempat atau kawasan masih banyak, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana mungkin ia telah sukar didapati bagi kawasan lain pula.
Patuhi Etika
Peraturan dan etika memancing wujud untuk memelihara ikan dan sumbernya agar kita terus dapat menikmati dan berkongsi keseronokan memancing. Tiada sebab untuk anda memancing secara semberono tanpa mengikut etika dan peraturan memancing. Keseronokan memancing perlu seiring dengan etika dan peraturan terhadap sumber dan ikan itu sendiri.
Ambil Tanggungjawab
Setiap pemancing perlu melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral terhadap sumber. Pemusnahan sumber seperti kegiatan menuba, bom ikan, penggunaan elektrik dan lain-lain perlu dicegah bersama-sama.
Walaupun di Malaysia, pemancing tidak diiktiraf, tidak ada salahnya jika kita pemancing, mengambil peranan ini terlebih dahulu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Siapa tahu suatu hari nanti, kerajaan melihat pentingnya peranan pemancing, mungkin akan ada ‘Jabatan Pemancing’ untuk kita berhubung terus untuk sebarang masalah.
Lindungi Kawasan Lubuk
Jangan sesekali memusnahkan atau menokok tambah kecantikan asli sesuatu kawasan. Kita sering melihat lakaran atau torehan nama pada batu atau pokok di hutan kononnya sebagai kenangan abstrak pernah ke sana.
Ia tidak patut berlaku malah sebenarnya perbuatan ini lebih mencacatkan persekitaran dan nilainya. Biarkan pokok-pokok atau bunga-bunga tumbuh meliar dan jangan sesekali memetik atau merosakkannya.
Sentiasa belajar
Seorang pemancing yang bagus akan sentiasa terus belajar untuk menambahkan ilmu dalam memancing. Ini termasuk meningkatkan teknik memancing, meluaskan ilmu tentang sifat ikan dan sentiasa tahu jika apa yang pemancing lakukan boleh mendatangkan akibat buruk kepada sumber.
Dengan ini, anda mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada punca masalah. Anda tidak perlu untuk terus tahu tentang segalanya, namun anda mampu untuk belajar sesuatu daripada setiap trip yang anda lalui.
Berkongsi ilmu
Setiap pemancing perlu berkongsi tentang kesedaran dan ilmu dengan pemancing lain. Malah ia mampu menarik perhatian bagi individu lain untuk terjun ke dunia memancing. Berkongsi ilmu sebegini lebih mendatangkan manfaat berbanding hanya kita yang tahu dan praktikkannya.
Bot jenis fiber berwarna merah kuning terikat kukuh di jeti berhampiran chalet Zamri. Kami sampai seawal jam 4.00 petang, namun Zamri meminta kami menunggu satu jam lagi untuk air pasang penuh. Setengah jam sebelum masuknya waktu Asar, kami berenam termasuk tekong bernama Pak Hasan memulakan perjalanan.
Misi kami hanyalah satu, iaitu membawa pulang banyak hasil tangkapan ikan terutama ikan besar yang boleh dijadikan lauk keesokan harinya. Apatah lagi sebelum keluar dari rumah, isteri pula sudah berpesan (tetapi separuh menyindir) jangan lupa bawa pulang ikan laut, bukannya ikan pasar.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mamat dan Zarin memegang erat pada bahagian tepi bot. Naza pula berlagak selamba. Zamri dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.
Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Hasan memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Boya 16. Masing-masing melabuhkan umpan di situ. Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Zamri . Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.
Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang. Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Zamri memerintahkan Pak Hasan menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.
Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Hasan mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang. Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengah-tengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia. Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!
Aku cuba memberitahu Zamri dengan kerlingan mata. “Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Zamri . Agak keras dan sinikal. Zarin dan Mamat pula aku lihat sudah pucat. Naza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.
“Cuba kau azan”, kata Zamri apabila melihat Pak Hasan seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.
Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Hasan berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega. Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib.
Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia. Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.
Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.
“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zarin sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa. Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.
Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata. Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zarin menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.
Nasib baiklah Pak Hasan berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zarin ke dalam chalet Zamri. Di sini Zarin diubati seorang ustaz yang dibawa oleh isteri Zamri yang sudah dimaklumkan melalui telefon.
Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.
Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zarin hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut. Hanya aku dan Naza yang rajin mengikut Zamri turun memancing. Mamat pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini.
Aku sendiri hanya keluar memancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..
Memancing dapat kerapu, memanglah syok, sebab dah terbayang nak masak apa. Selain masak stim limau, stim halia, goreng, tiga rasa, kerapu juga sedap dimasak masam manis. Apa kata lepas ni, dapat je kerapu buat sendiri resipi di bawah ini di rumah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...