Sekitar tahun 90an semasa kemaruk pada dunia pancingan, di mana saya sanggup membeli bot fiber dan enjin semata-mata minat pada mengail. Pernah 2-3 kali memancing pada waktu malam di atas bot fiber dan juga pernah melalui pengalaman mendebarkan sewaktu mengail pada waktu malam diganggu sesuatu .
Sewaktu itu kami 4 orang dengan menggunakan 2 bot fiber memancing di sekitar Sungai Johor di Estet Nam Heng, Ulu tiram. Malam itu bulan penuh diterangi dan cantik pemandangan persekitarannya, dimana kami memancing saling berhampiran.
Semasa sedang asyik menukar umpan ruat bakau dan ikan pula menyambar tak henti2 tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu suara yang teramat asing bagi kami… suara seolah-olah mengerang dan menangis hiba.
Ads
Ketika itu masing senyap terdiam, tiada suara sindir-menyindir kedengaran. Serta-merta bulu tengkuk meremang berdiri. Masing-masing berbisik bertanyakan bunyi apakah gerangan?
Serta merta keadaan menjadi senyap termasuk gertuan ikan juga. Ketika sedang asyik bertanyakan soalan yang tak terjawab, tidak semena-mena bot fiber kami terolang-aling seperti ada alun ombak seolah-olah ada bot melintas lalu.
Di dalam kepala mulalah memikirkan yang bukan-bukan. Iyalah, mana ada bot melintas. Buaya ke?!
Ads
Teringat cerita orang tua-tua… suatu ketika ada pemancing menaiki bot telah didatangi tetamu tak diundang, `terperuk’ duduk menumpang di hadapan bot mereka dengan rambut panjang mengurai, pakaian lusuh, serta berbau busuk meloyakan.
Tetamu mereka adalah langsuir datang tanpa diundang sambil membelangkangi pemancing tersebut. Terisak-isak menangis, mengeluh dan akhir sekali mengilai….. sehingga membuatkan pemancing tersebut gelabah ketakutan lalu pengsan…!
Ads
Eeeeeii… menyeramkan! Akhirnya kami bergegas hidupkan enjin bot lalu menarik sauh dan berpatah balik menuju ke jeti. Kemudian terus balik membatalkan hasrat untuk memancing malam itu.
Masing-masing tertanya bunyi apakah itu? Benda apakah yang mengolang-olingkan bot fiber kami?
Kejadian tadi menjadikan satu kemusykilan yang tak terjangkau oleh akal kami. Memang ramai yang menganggap ini tahyul tetapi bagi mereka yang pernah mengalami kejadian-kejadian pelik seperti pengalaman saya tadi. Memang tidak disangkal, ada kehidupan lain iaitu alam mistik selain alam realiti ini.
Perancangan untuk memancing di Sungai Bernam telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.
Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Cek Ta di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pak cik yang duduk makan di situ tentang Sungai Bernam.
Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuklah baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Sungai Bernam ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram. Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairankan, pagi itu gewangku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Pengalaman ketika menjala udang di bawah jambatan sekitar Pulau Indah, Port Klang. Waktu tu tengah malam dah.. saya dan abang cuma berdua.
Pada awalnya kami menjala di kawasan tiang bawah jambatan yang ada banyak lampu dan ada restoran seafood, jadinya keadaan bercahaya la jugak tapi sebab takde udang kat kawasan tu kami beralih di tiang sebelah yang mana di situ agak gelap.
Masa tengah berjalan tu saya tukang pegang touch light abang yang tebar jala. Tiba-tiba masa tengah berjalan tu saya ternampak pasu tembikar tanah liat yang bentuknya macam tempat simpan abu mayat.
Mulut ni boleh pulak terlepas tegur benda tu kat abang saya tapi dia buat tak tau ajelah.
Selang beberapa minit saya saja suluh-suluh kawasan situ… tiba-tiba saya perasan ada sesuatu tengah perhati kami dari belakang. Masa tu tak terfikir apa pun.
Lampu pulak saya tak suluh kat benda tu sebab fokus kat abang yang tengah tebar jala. Lama-lama tenung baru la perasan benda yang saya nampak tu sedang berdiri, pakaian putih, sosoknya macam orang tua tengah pandang kami yang sedang menjala.
Jaraknya kira-kira 15 kaki dari kami tapi muka tak nampak sebab gelap. Masa tu jantung pun apa lagi macam nak gugur beb! Dan-dan lepas tu toleh depan abang saya dah gerak nak balik.
Menggelupur la aku berlari dalam lumpur tu. Abang saya tak nampak cuma dia pun ada cakap masa tu roma dia tiba-tiba naik. Tu dia ajak balik terus tu. Akibatnya tiga hari aku demam beb… haha.
(Catatan: Najib Mohd Said)
TEMAN MEMANCING
Pengalaman ini berlaku ketika saya memancing di tepi sebatang sungai. Agak pelik juga setelah berjam-jam lamanya memancing namun saya langsung tak dapat apa-apa hasil.
Padahal sebelum ini sungai tersebut tidak pernah menghampakan. Paling tidak dapatlah juga ikan kecil-kecil.
Bila dah rasa pelik tu saya perhatilah juga di sekeliling tapi tak nampak apa-apa yang pelik. Tapi saya dapat rasa macam ada sesuatu yang tak kena.
Jadi dengan tawakal dan tenang saya beralih dalam jarak 10 langkah dari tapak. Tak sampai lima minit memancing kat situ barulah saya dapat hasil.
Dalam pada masa yang sama saya baru ternampak kawan saya yang memancing di seberang sungai.
Rupanya kawan memancing di seberang sungai tu dah memberi isyarat. Dia dah nampak kelibat budak duduk sebelah saya dan memancing bersama dengan saya.
(Catatan: Hakunan Matata)
HILANG ATAS BOT
Peristiwa ni berlaku sekitar bulan May 2016. Aku bersama tujuh rakan lain memancing sekitar perairan Tioman.
Dipendekkan cerita, setiba kami di lubuk pertama masing-masing sibuk melabuhkan umpan tanpa peduli antara satu sama lain.
Lima jam berlalu setibanya kami di lubuk kedua aku dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena tapi bila ingatkan pesanan orang tua-tua aku pun tak jadi tegur.
12 Jam berlalu… rupanya apa yang aku rasakan itu turut disedari rakan pancing yang lain juga.
Masuk jam yang ke-18, seorang rakan memancing mula menegur. Tersentak semua orang atas bot.
Rupanya semua perasan ada salah seorang daripada rakan kami telah menghilang. Aku pun bertindak sebagai ketua yang tak dilantik mencari si polan yang hilang.
Dari belakang bot ke depan ke kiri ke kanan masih tak jumpa. Aku pun cuba cari di kabin bot. Terkejut aku melihat sekujur tubuh tak bergerak.
Aku kejutkan dia tapi dia tetap tak bergerak tetapi masih bernafas… ahhh lantak kau la.
Kami pun teruskan aktiviti memancing dan pada masa yang sama masing-masing cuba kejutkan dia namun tetap tak berjaya.
Setelah 23 jam tidur tanpa henti akhirnya si polan tu sedar juga dan terus memancing seperti tiada apa-apa berlaku. Bila ditanya dia diam saja.
Apabila trip selesai kami pun bawa dia jumpa seseorang. Setelah diselidik, dikaji, diserapah.. cisss! Rupanya si polan tu overdose ubat mabuk.
Kenangan kisah seram sewaktu trip pancing dan memburu ini berlaku kira-kira tujuh tahun lalu. Lokasinya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Waktu itu kami cuma berenam. Kami mula memancing pada waktu tengah hari hinggalah ke lewat petang. Hasil memancing dapatlah kelah berapa ekor. Apabila hari hampir senja, kami bergerak naik balik ke tapak perkhemahan.
Dalam perjalanan kami semua terasa macam ada orang yang sedang berjalan tidak jauh di hadapan kami seramai tiga empat orang. Saiz orang tu paras pinggang kami je! Tiba-tiba seorang demi seorang kawan kami ni menegur dan suluhkan lampu, terus makhluk tu lari sambil memekik. Kami pun lari terus ke arah kem. Sampai di kem hujan pun turun beserta angin kuat.
Rupanya dalam kelam-kabut itu salah seorang kawan hilang entah ke mana. Malam itu kami tak senang duduk memikirkan nasib kawan yang hilang. Namun kami tak dapat nak pada malam itu. Kami plan nak cari pada esok hari dan memohon pertolongan Allah yang tau nasib dia pada malam tu.
Pada keesokan pagi sekitar jam 5.40 kami laungkan azan dan berdoa agar kawan tu ditemukan dan kami pun bergerak untuk mencarinya. Setelah beberapa jam mencari, sekitar jam 9.00 pagi akhirnya bertemu juga. Kami terlihat kawan kami ini duduk di banir pokok ara yang sangat besar dan menyeramkan. Kawan kami tu langsung tak bersuara.
Kami lihat keadaan sekeliling pokok tu agak bersih. Aķar pokok sebelah belakang tu bentuknya seperti buaian. Memang seram gila. Kami terus papah dia ke kem dan kemas barang untuk balik. Sepanjang perjalanan dia langsung tak bersuara… mukanya pucat semacam je.
Setelah tiba di kawasan perkampungan, kami pun bawa kawan kami itu berjumpa dengan seorang ustaz untuk berubat. Pada malam itu barulah dia sedar dan boleh bercakap. Dia beritahu time kami jumpa orang yang saiz paras pinggang tu lalu dan lari, dia terlihat ada perempuan tua sedang duduk di atas dahan merenungnya.
Dia cuba untuk teriak panggil kami tapi suaranya tak dapat keluar dan badan jadi kaku. Kami terus lari dan dia rasa punyalah seram time tu. Perempuan terus turun dan berkata kau ikut aku. Dia pun dibawa ke tempat di mana kami menemuinya. Perempuan tu duduk di buaian sambil mengilai.
Rupanya tempat tu memang keras. Dah ada dua orang pekerja kem balak yang hilang sehingga kini. Orang kem balak yang beritahu kami selepas kejadian itu.
Asal je senja orang kem tak berani nak lalu kat situ biar pun guna kenderaan. Ada satu perempuan tua selalu kat pokok ara dekat sungai tu. Sana memang banyak kelah mega tapi orang tak berani nak pergi ke lubuk tersebut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...