Lluvia de Peces (Rain of Fish) merupakan satu fenomena misteri di mana hujan yang turun tak hanya membawa air tetapi membawa ikan yang berlaku setiap tahun di kawasan Yoro, Honduras. Fenomena ini juga dikenali sebagai aguacero de pescado dan telah menjadi festival tahunan bagi komuniti di sana.
Penjelasan Fenomena
Terdapat beberapa penjelasan berkaitan fenomena yang berlaku sekitar bulan Mei atau Jun ini. Antara yang paling popular ialah, dalam keadaan cuaca yang mengakibatkan angin kuat seperti ribut taufan, akan terhasil puting beliung atau tornado kecil.
Ads
Apabila tornado ini bergerak ke kawasan air, organisma kecil seperti ikan atau katak akan ditarik ke atas dan dibawa sehingga beberapa batu jauhnya. Tornado ini mampu membawa organisma tersebut sehingga ke kawasan yang agak jauh sebelum ikan ini akan bertebaran jatuh selepas ribut.
Misteri
Ads
Walaupun penjelasan tersebut dikatakan antara yang paling logik, namun terdapat beberapa persoalan yang masih menjadi misteri. Walaupun pakar kaji cuaca menjelaskan fenomena ini merupakan kejadian meteorologi, persoalan timbul apabila kesemua ikan yang turun bersama hujan ini merupakan spesies air tawar sahaja. Bahkan, ikan-ikan ini dalam keadaan sempurna di mana mempunyai mata. Selain itu, ikan yang turun juga merupakan bersaiz kecil sahaja.
Beberapa persoalan ini masih belum dapat dirungkai secara saintifik. Penduduk tempatan pula kebanyakannya percaya fenomena ini terjadi kerana doa seorang paderi Katholik iaitu Father Jose Manuel Subirana yang meminta rezeki untuk penduduk yang miskin.
Apa pun penjelasan terhadap fenomena ini, Rain of Fish tetap menjadi antara fenomena misteri. Tak memancing pun boleh tunggu ikan jatuh dari langit. Di Malaysia, kejadian seperti ini belum lagi pernah terjadi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Apabila pokok padi mula membuah atau sudah mula terbit dan air dari sawah mula dibuang ke parit, ia waktu yang menyeronokkan bagi saya, sebab ketika inilah waktu yang best memancing ikan puyu. Lagipun ketika ini, saiznya kasar dan besar-besar.
Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis. Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit je sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukannnya ular dan boleh di makan.
Nenek selalu memberikan sihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain. Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Seawal umur 10 tahun lagi aku sudah mula memancing bersama rakan-rakan sebaya. Lokasi yang kami pilih biasanya sungai kecil di belakang rumah, terusan sawah atau lombong terbiar. Joran yang kami pakai biasanya buluh kecil yang panjang melentur atau pelepah sawit yang diraut kemas.
Ikan yang ditangkap juga merupakan spesies biasa bagi ikan sungai seperti sepat, haruan, keli, puyu atau sesekali apabila bernasib baik, dapatlah kami ikan belida atau udang sungai yang besarnya setakat 100 gram.
Namun itu semua sudah cukup menggembirakan kami, anak-anak kampung yang masih belum lagi pandai menonton televisyen atau bermain ‘games’ pada telefon bimbit yang pintar seperti budak zaman sekarang.
Kalau tidak memancing, kami akan memanjat pokok buah-buahan atau pergi melastik burung punai yang banyak ketika musim menuai tiba.
Aku masih lagi terkenang pada satu kejadian aneh yang berlaku ketika aku, Mie, Faizal dan Zamree pergi memancing di sebuah ‘bonda’ (panggilan pada terusan kecil yang mengalir ke sawah bertujuan untuk mengairi kawasan sawah. Ia adalah dialek orang Minangkabau di kawasan Kuala Pilah).
Kami pergi memancing sebaik sahaja pulang dari kelas mengaji Tuan Haji Hamdan. Aku rasa waktunya dalam pukul 5.30 petang.
Berbekalkan umpan cacing yang dimasukkan ke dalam tin susu yang kami sediakan sebelum itu, kami meredah semak belukar untuk mencari port memancing yang sesuai. Kawasan itu memang sunyi. Hanya terdapat sebatang pokok ara yang tumbuh melangit dengan akarnya yang terjuntai. Nun di kejauhan, terbentang sawah padi sedang menghijau.
Kalau diikutkan cerita nenek, kawasan di situ agak keras. Banyak peristiwa aneh dan misteri yang berlaku di situ terutamanya pada waktu senja dan tengah malam. Namun pada kami, budak-budak lasak dan nakal yang baru berusia sembilan tahun, hanya keseronokan yang di fikiran.
Apatah lagi apabila mengenangkan ikan keli masak lemak kuning yang dimasak kuahnya pekat-pekat atau ikan puyu gemuk goreng berlada. Itu semua menambahkan lagi semangat kami untuk meneruskan aktiviti memancing pada petang itu.
Memang rezeki kami agak murah pada petang itu. Selain port yang strategik, aku tidak tahu mengapa setiap kali kami melabuhkan joran batang buluh dengan berumpankan cacing tanah, ikan-ikan darat seperti keli, sepat dan haruan galak memakan umpan kami seolah-olah tidak memilih bulu.
Setiap 2,3 minit pasti kami akan menaikkan ikan yang agak besar. Ini membuatkan semangat kami tambah membara sehingga kami berempat seakan-akan berlumba untuk menaikkan ikan terbanyak.
Dalam keasyikan memancing itu, aku dan kawan-kawan seakan terleka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Hari sudah remang senja. Kawasan sekitar mula diterpa dengan kegelapan malam namun keasyikan menaikkan ikan membuatkan kami berempat meneruskan aktiviti memancing tanpa rasa takut atau curiga. Di dalam kepala hanya satu yang kami fikirkan, mahu memancing seberapa banyak ikan untuk dibawa pulang.
Kami berempat bagaikan dirasuk tentang ikan yang dikail. Kami tidak kisah dengan baju yang sudah lencun dek peluh atau kawasan sekitar yang sudah semakin gelap. Kepenatan langsung tidak terasa hinggakan apabila telingaku mendengar laungan azan bertalu-talu dan tiba-tiba aku dan kawan-kawan bagaikan tersedar daripada mimpi panjang yang menakutkan.
Ketika itulah baru kami terpinga-pinga serta saling berpandangan sesama sendiri. Ikan yang ditangkap bagaikan tiada erti apabila kami dapati di sekitar kami adalah satu kawasan gelap yang sungguh asing pada pandangan mata. Ketika itu, aku rasa bagai mahu menangis. Terkenang akan ibu, abah dan adik-adik di rumah. Aku tidak dapat mengagak waktu ketika itu.
Mungkin pada firasatku baru pukul 7.30 malam. Suara azan berlaung lagi. Zamree dan Mie menjerit sekuat hati memanggil ‘Mak’. Aku pula perlahan-lahan membaca surah An Nas bersama ayat Qursi. Aku cuba menenangkan diri dan membaca ayat-ayat itu di dalam hati.
Tidak sampai sepuluh minit, kami ternampak suluhan lampu bersimpang siur di hadapan kami. Rupa-rupanya suluhan lampu-lampu itu datangnya dari sekumpulan pemuda kampung yang datang mencari kami berempat. Kami dipeluk dan dicium dalam keadaan kami terpinga-pinga kehairanan.
Tiba di rumah, barulah aku tahu kisah sebenar yang berlaku. Apabila kami tidak pulang sehingga jam 7.45 malam, abah mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Empat Kampung tentang hal ini. Apatah lagi bila bapa Mie, Zamree dan Faizal memberitahu perkara yang sama. Operasi mencari bermula pada jam 8.00 malam. Dan kami hanya dijumpai pada jam satu pagi!
Semenjak hari itu, aku dan kawan-kawan tidak lagi berani keluar memancing di kawasan ‘bonda’ berkenaan. Aku tidak tahu mengapakah aku tidak terasa sudah duduk memancing sambil bertinggung di kawasan itu hampir tujuh jam lamanya. Namun, aku bersyukur, aku dan kawan-kawan selamat.
Tindakan segelintir pengusaha atau individu ikan hiasan yang ‘membuang’ ikan peliharaan mereka ke dalam sungai, lombong atau kolam takungan mengundang gangguan keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di perairan umum.
Ikan berkenaan boleh menjadi dominan dan membiak dalam perairan umum serta menjadi pemangsa kepada ikan asli yang sedia ada di perairan negara.
Ia juga boleh menyumbang kepada bawaan penyakit baru dan punca sebaran serta rebakan penyakit dalam perairan umum.
Difahamkan, pengusaha atau individu terbabit dikatakan tidak mampu memelihara habitat berkenaan disebabkan beberapa faktor antaranya kos makanan yang tinggi selain tidak mahu membelanya lagi.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan (DOF) sudah mewartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan beberapa jenis ikan hiasan yang dilarang import.
Terdapat kajian yang membuktikan sifat agresif ikan larangan import ini di perairan negara hingga menjejaskan kawasan berkenaan.
Ikan yang disimpan dalam keadaan terkawal seperti di rumah tidak begitu membimbangkan namun apa yang dikhuatiri apabila ikan ini tidak lagi mampu dijaga atas faktor usia atau memerlukan belanja tinggi.
Jalan yang mudah diambil adalah dengan melepaskan ke perairan umum. Ikan asing ada yang bersifat agresif seperti ikan peacock bass (genus cichla).
Ia cepat membiak dan pemangsa kepada ikan tempatan dan dikenal pasti sebagai penyebab ketidakseimbangan ekologi di habitat baru didiaminya.
Ikan flower horn bersifat lasak termasuk mengadaptasi di kawasan dilanda banjir. Ia membiak dengan mudah dan mempunyai tabiat makan yang aktif.
Spesies ini boleh mengganggu ekosistem. Ikan yang bersifat memberi tuah akan dijaga dengan baik sementara yang tidak digemari penternak berkemungkinan dibuang ke perairan.
Ikan arapaima boleh membesar hingga tiga meter dan berkemungkinan dilepaskan ke perairan umum apabila penternak tidak mampu menampung kos makanan.
Peraturan Perikanan berhubung larangan mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan genus ikan larangan dalam jadual sudah diwartakan sejak 1990 dan juga penambahan genus dalam jadualnya melalui pindaan 2011.
Segelintir masyarakat seperti kalangan pekedai akuarium dan pengguna masih tidak peka dan tidak mengambil berat mengenainya, walaupun DOF membuat hebahan meluas melalui pelbagai medium termasuk program dialog, pameran dan siaran akhbar.
Ini berlaku kerana sikap tidak peka dan tidak prihatin kepada kepentingan, keselamatan serta ancaman kepada sumber perikanan semasa.
Ia berlaku kerana sikap mementingkan keuntungan dan keseronokan serta tidak mahu sama-sama bertanggungjawab menjaga ekosistem asli perairan kita selain tidak sama-sama berusaha mencegah ancaman spesies ikan asing yang boleh membahayakan.
Peraturan ini melarang mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan genus ikan yang disenaraikan dalam jadual kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan.
Pelanggaran kepada larangan dalam peraturan perikanan mengikut Akta Perikanan 1985 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
Sementara pelanggaran kepada Akta MAQIS 2009 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...