
SOALAN:
Saya ada sedikit soalan. Bolehkah kita melakukan floating pada waktu malam? Contohnya menggunakan ikan hidup seperti selar dan kembung? Sama juga, bolehkah kita jigging waktu malam? Apakah teknik yang sesuai selain dari floating dan jigging sekiranya pancingan malam?
JAWAPAN:
Memancing sewaktu malam adalah satu kaedah yang amat saya gemari sekali dan selalunya saya memancing dengan 4 kaedah iaitu:-
Pertama, memancing dengan menggunakan pelampung iaitu dengan penggunaan belon, styrofoam atau pelampung komersial.
Memancing cara ini di laut dengan menggunakan ikan atau sotong selalunya kita akan dapat ikan seperti ikan aruan tasik, alu-alu, tenggiri, gerepoh dan banyak lagi terutamanya sekira nya kita melepaskan umpan anda lebih kurang 3 – 5 meter di luar kawasan cahaya lampu bot anda.
Kedua, saya juga memancing secara tradisi yang dipanggil gek-gek (bahasa loghat Kedah) di mana sebiji batu ladung kecil bersaiz no 2 atau 3 dipasang lebih kurang 3 – 4 meter dari umpan sekor ikan atau sotong.
Tali utama kemudian dilepaskan lebih kurang 30 – 40 meter ke dasar laut. Cara ini adalah untuk memancing di kawasan pertengahan air untuk mencari ikan gerepoh, tenggiri, ebek dan pelbagai lagi ikan ‘sukan’ berada di pertengahan air.
Ketiga, saya juga suka jig pada waktu malam di mana saya selalu menggunakan jig jenis lut sinar atau luminous. Cara pergerakan mengarau perlulah pantas atau separa pantas.
Keempat, satu lagi cara memancing adalah memancing dasar dengan menggunakan tanduk di mana ladung di biarkan mencecah dasar laut dan diangkat lebih kurang 1 ke 2 kaki dari dasar.
Sekiranya memancing ikan jenahak saya selalunya membiarkan batu ladung mencecah dasar terus. Tali perambut pula lebih kurang 1-2 meter panjang.
Pengalaman Pertama Menduga Tasik Bakun

Empangan Bakun sudah dikenali ramai dengan keluasan kawasan takungan air yang merupakan terbesar di Malaysia. Tasik yang mempunyai keluasan permukaan air yang hampir sebesar republik Singapura dengan kepelbagaian bentuk muka bumi, semestinya menjanjikan satu arena mengilat yang pasti menawarkan 1001 pengalaman.
Perkenalan saya dengan rakan sekerja dari Bintulu Sarawak iaitu Richard telah membuka satu peluang baru kepada saya dan rakan-rakan untuk merancang satu trip 3 hari 2 malam ke Tasik Bakun. Trip ini di sertai oleh rakan-rakan pemancing dari Sibu Sarawak iaitu saya, Zyul, Ayie dan Pak Anjang serta Richard selaku guide kami.
Pak Anjang menyarankan agar kami berangkat pada sebelah malam dari Sibu agar kami dapat berehat di rumah Richard dan masa memancing yang lebih panjang memandangkan kami akan mengharungi perjalanan yang agak jauh. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 5 jam dari Sibu ke Sungai Asap disambut dengan mesra oleh Richard walaupun jam sudah hampir pukul 2 pagi.
HARI PERTAMA
Keletihan akibat perjalanan selama 5 jam dan tidur yang tidak mencukupi tidak melunturkan semangat kami untuk menduga penunggu Tasik Bakun. Suasana damai di kawasan kampung Richard sememangnya amat menyegarkan, jauh berbeza dengan suasana kota yang sibuk.
Seawal pukul 7 pagi lagi, kami telah memunggah bekalan dan enjin bot ke dalam Hilux milik Pak Anjang. Semangat kami berkobar-kobar walaupun masih ada 2 jam perjalanan ke jeti Tasik Bakun dengan mengharungi jalan balak yang berlubang-lubang. Dari Bakun, kami perlu mengharungi perjalanan ke rumah rehat yang mengambil masa 1 ½ jam.
Setibanya kami di rumah rehat, kami berehat seketika mengalas perut sebelum memulakan aktiviti pancingan kami. Yang menariknya tentang rumah rehat kami itu ialah ia terapung di atas air. Menurut Richard, rumah itu dibina oleh keluarganya pada lokasi asal tanah mereka sebelum tempat tersebut menjadi empangan.
Satu pengalaman yang amat unik dan menarik. Menurut Richard sekitar Tasik Bakun banyak terdapat banyak anak-sungai dan jeram berbatu yang merupakan syurga mengilat sebarau dan tengas. Kami menjadi semakin bersemangat walaupun keletihan. Mi segera yang dimasak pun tidak dihiraukan kerana asyik menyiapkan senjata mengilat masing-masing.
Kami memulakan kembara dengan menaiki bot yang dikemudikan oleh Richard sendiri ke destinasi yang pertama. Satu cabaran terpaksa kami tempuhi kerana jalan masuk ke kawasan sungai berbatu dipenuhi dengan timbunan sisa balak yang hanyut. Bot terpaksa diikat pada sebatang pokok dan kami terpaksa meredah semak dan air yang dalam sebelum sampai ke kawasan yang lebih cetek.
Pak Anjang memulakan aksi hari pertama dengan satu sambaran yang kuat daripada penghuni sungai. Rupa-rupanya seekor haruan yang agak besar saiznya. Suasana sungai sangat tenang dan mendamaikan. Kami mengilat sambil berjalan di sepanjang sungai yang berbatu itu. Pencarian penghuni sungai berbatu itu pada mulanya tidak memberangsangkan.
Namun Richard tersenyum sambil memberitahu “Tunggu sehingga kita sampai ke lubuk yang pertama”. Namun kami tetap melontar gewang sambil berjalan dan sambaran demi sambaran yang kami terima agak mengujakan. Setiap karauan gewang kami pasti disambar oleh sebarau juvenil.
Setibanya kami di lubuk yang pertama kami tidak membuang masa dan terus mengilat. Amat mengejutkan kami apabila seorang demi seorang berjaya menewaskan sebarau. Sememangnya sungai ini belum tercemar dengan aktiviti-aktiviti manusia. Sebarau bersaiz 500-700 gram sentiasa membaham gewang yang kami lontarkan. Setelah hari beransur petang kami trekking kembali ke tempat di mana bot ditambat pada paginya.
Petangnya kami sampai ke rumah rehat dan segala otot pada kaki sudah terasa perit hasil trekking seharian. Pada sebelah malamnya kami berborak sambil menikmati makanan yang disediakan oleh Richard sambil ditemani deruan bunyi generator rumah rehat ini. Sememangnya masakan dengan bahan minima amatlah lazat dan licin dibedal semuanya.
HARI KEDUA
Seawal pukul 6 pagi saya bersama Pak Anjang dan Richard telah keluar menggunakan bot di sekitar kawasan rumah rehat untuk mengilat sementara Ayie dan Zyul melayan fly di rumah rehat. Harapan menggunung untuk cuba mencari sebarau bersaiz kasar di sekitar kawasan itu namun hanya disambut oleh sebarau remaja sahaja.
Tanpa melengahkan masa, kami balik ke rumah rehat untuk bersarapan dan menyiapkan kelengkapan mengilat. Timbunan kayu balak di sungai berbatu lebih banyak berbanding hari sebelumnya namun Richard mengambil keputusan untuk membawa masuk bot sambil meredah timbunan balak.
Objektif pada hari kedua adalah untuk sampai ke lubuk-lubuk yang lebih jauh ke hulu sungai sambil mencari ikan trofi untuk trip ini. Amat meletihkan apabila perlu melangkah batu-batu yang besar dan licin. Sememangnya tidak dinafikan ikan air tawar terutamanya sebarau sememangnya banyak sehinggakan kami boleh melihat kawanan ikan ini di kawasan air yang cetek. Tidak ketinggalan spesies kejor atau dikenali sebagai semah di Sarawak juga banyak terdapat di sungai ini.
Strike demi strike membuatkan kami sangat teruja. Terutama dari spesies kejor sememangnya mempunyai kudrat dan larian laju yang berbeza dari sebarau. Joran bersaiz ringan yang kami guna menyebabkan tentangan dari kejor dan sebarau bersaiz 500 gram ke 700 gram amat mengujakan.
Teknik karauan laju diperlukan untuk menarik minat penghuni sungai ini dan lontaran tepat ke kawasan bawah jeram semestinya akan ada sambaran walaupun seolah-olah tempat tersebut tidak berpenghuni.
Kawasan air yang deras ini selalunya akan mendapat sambaran dari spesies kejor yang pantas. Gewang-gewang selaman dalam yang berwarna terang dan sesudu merupakan tarikan kepada penghuni sungai ini. Penggunaan shallow runner pada karauan laju juga terbukti berkesan.
Pada sebelah petang, saiz sebarau yang dinaikkan semakin memberangsangkan. Lontaran Richard yang tepat pada satu lubuk berbatu di sahut oleh satu sambaran yang kasar oleh penghuni sungai. Pak Anjang sempat merakamkan detik-detik pertarungan Richard dengan sebarau seberat 1.5kg. Sebarau pertama yang bersaiz atas satu kilogram berjaya ditewaskan.
Kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di sebuah lubuk sebelum pulang. Boleh tahan juga lubuk ini kerana banyak sambaran dari sebarau dan kejor yang bersaiz kasar. Zyul memulakan aksi rehat kami apabila deep diver yang dilontarnya tiba-tiba ditarik dengan kuat.
Joran dengan kekuatan 4lb-10lb melentur dengan kuat sekali mengalih tumpuan kami kepadanya. Selepas bertarung hampir 10 minit dia berjaya menewaskan kejor bersaiz 1.3kg. Kudrat larian spesies ini bagaikan torpedo, lebih-lebih lagi bila mengawal lariannya dengan tali mono 10lb!
Lubuk yang kecil tetapi mempunyai banyak penghuni sungai yang sentiasa menantikan gewang-gewang kami. Sehinggakan saya dan Ayie beberapa kali menerima sambaran pada masa yang sama ‘double strike’. Pada jam 6 petang kami balik ke rumah rehat. Walaupun keletihan namun kegembiraan terukir diraut wajah kami.
HARI TERAKHIR
Kami bercadang untuk singgah sebentar di kawasan air terjun dalam perjalanan balik. Dikatakan kawasan air terjun ini juga banyak sebarau bersaiz kasar. Setibanya di kawasan air terjun ini, kami memasuki kawasan secara senyap dan tanpa membuang masa terus melakukan lontaran gewang. Lontaran pertama Pak Anjang terus ditarik dengan kasar ke arah reba dengan kuat sekali.
Dengan pengalaman dan tenang Pak Anjang berjaya menaikkan seekor sebarau bersaiz 1.4kg. Sememangnya gewang berwarna terang dan selaman dalam yang digunakan oleh Pak Anjang amat menarik minat sebarau-sebarau di kawasan ini. Aktiviti memancing kami ditamatkan pada sebelah tengah hari dengan bergambar beramai-ramai di kawasan Empangan Bakun.
Pengalaman dan kenangan mengilat di Tasik Bakun tidak akan kami lupakan. Walaupun rata-rata saiz yang dinaikkan tidaklah mencapai tahap mega, namun kepuasan menaikkan pelbagai spesis sehingga tidak terkira adalah sangat-sangat memuaskan. Semua hasil tangkapan kami lepaskan untuk memelihara tempat ini untuk masa hadapan.
Keletihan tergambar diraut wajah setelah sampai ke jeti dan kami masih perlu meneruskan perjalanan balik yang jauh selama 7 jam lagi. Kami pasti akan kembali ke tasik ini lagi pada masa hadapan untuk menjejak saiz-saiz mega yang belum didaratkan!
(Oleh: Haidzar & zyul)
GALERI
Event Trobek – Pengalaman First Time Join Event Jenggo

8:00 am
Peserta dikumpulkan dan diberi taklimat oleh Abang AS. Taklimat merangkumi, peraturan pertandingan, lokasi dibenarkan memancing dan juga pembahagian ahli kumpulan. Alhamdulillah saya dapat local guide, NAZRI, rakan 1 bot dengan saya yang merupakan jurumudi ialah orang Lumut, Perak.
Nazri telah siap-siap menyediakan bot dengan enjin dan extra minyak, untuk masuk ke belah dalam lagi katanya. Lokasi pertama kami di hulu sungai, dalam 15 minit perjalanan bot. Memang kawasan ini sunyi dari orang dan persekitaran yang cukup mendamaikan, di sini Nazri telah mengajar saya beberapa teknik mengudang yang berkesan dan umpan yang biasa digunakan.
Memang saya langsung tak bawa umpan memandangkan Abang AS dah maklum hanya umpan yang dibeli di sekitar Jeti pada pagi pertandingan sahaja dibenarkan (guna untuk pertandingan).
Strike… terasa henjutan pada Joran dan cepat-cepat saya karau, alah anak udang sahaja yang kena. NAZRI meminta saya menggunakan rod simpanannya.
“Rod akak tuh besar sangat… nak tangkap ikan layor ker kak?” perli dia lagi… tergelak kami berdua dengan keadaan tersebut.
Memang rod UL nie dah banyak kali menumpaskan Ikan Layaran, oleh kerana ianya berstatus UL saya menjangkakan sesuai untuk udang juga. Setelah menukar kepada rod yang sesuai kepunyaan Nazri barulah saya merasa nikmat layanan bermain dengan udang, rasa macamana udang menggigit, sampailah kepada menaikkan udang. Sensitiviti rod meningkat seiring dengan saiz rod yang halus.
10.30 am
Udang dan ikan dah banyak dalam bot nie, namun tiada seekor pun yang layak dipertandingkan memandangkan saiznya yang sederhana dan kecil. Kami beralih beberapa port lagi mencari udang juara untuk diri kami.
Pada waktu ini tangkapan saya sahaja dah lebih 10 ekor tapi yang saiz kecil saya lepaskan kembali, nak siang pun malas kalau kecik nie. Lagipun biarlah dia besar dulu kata hati saya, agaknya dah terbiasa dengan konsep CATCH & RELEASE di KUALA ROMPIN. Tergelak Nazri dengan saya.
11.00 am
Saya berjaya mendapat udang yang agak besar, wah boleh dipertandingkan nie kata hati saya, Nazri pun menjerit, wooo kak besar tuh.. Tapi udang nie OKU lah, sepit dia sebelah jer, sebelah lagi dah takder.. kesian dia, kita lepaslah boleh? Tergelak si Nazri dengan perangai saya, kak kalau macam tuh sampai bila kita nak menang kak, hmm okeylah.. tapi kalau dapat yang besar lagi kita lepaskan yang oku nie ek… Geleng kepala Nazri dengan perangai saya.
Rakan-rakan bot lain yang kami selisih cukup tertib dan senyap memancing, bot kami jer riuh rendah tergelak, ketawa bercerita hal memancing di mana-mana. Walaupun baru kenal, rasa dah macam member lama dah. Banyak juga bot selain daripada bot yang masuk game ni, sempat sembang dengan 1 bot dari kawasan jeti lain.
Dia dah 3 hari memancing di situ, pada hari sebelumnya dia mendapat hasil tangkapan mencecah 5 kilo katanya. WOW, saya mesti usaha lagi boleh belanja anak-anak makan udang yang mama dia tangkap nanti.
Menjelang tengahari kami berlindung di bawah jambatan, rupanya kat sini saja berbelas ekor yang naik dan saiz yang kasar-kasar rupanya. Cis kat sini rupanya ko duduk, kalau tau dari pagi aku lepak sini kata Nazri. Abang AS yang ikut memancing sejak dari pagi stay di bawah jembatan menaikkan udang yang berskala besar dan banyak pula.
Bermula dari tengahari sampai menjelang jam 6.00 petang kami tak berganjak dari spot bawah tiang jambatan tersebut, game tamat jam 7.00 malam memandangkan cuaca masih terang lagi tapi rata-rata pemancing dah landing pada jam 6.00 petang untuk berehat dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.
Dalam pada waktu ini juga, proses menimbang udang di jalankan oleh urusetia. Yang membanggakan saya ialah udang OKU yang saya tangkap pagi tadi berjaya saya lepaskan, supaya dia membesar dengan sihat.
6.45 pm
Acara penyampaian hadiah dilangsungkan. Acara sempoi sahaja di tepi Jeti Pak Musa meninggalkan kenangan yang cukup bermakna. Ada rakan pemancing yang dating dari Muar, ada yang dari Temerloh dan sebagainya. Tak lupa juga nak bagi tau korang semua, saya berjaya mendapat tempat ke-7, udang terberat dengan berat 160gram.
Okey what untuk beginner udang macam saya, lepas sembang-sembang dan bersiap untuk balik, suami pun sampai dengan anak-anak. Anak-anak cukup teruja tengok hasil tangkapan mama mereka dalam lingkungan 2kg, rata-rata peserta hari tersebut mendapat hasil sekitar 2kg setiap orang.
Pertandingan ini mendidik saya untuk mencintai sungai kita kerana hasil yang dinaikkan amat menggalak kan, mungkin pihak berkuasa tempatan boleh menaikkan lagi status Pemancingan Udang Galah di Teluk Intan supaya boleh mencapai kepesatan pemancingan seperti di Kuala Rompin yang terkenal dengan Layaran dan Udang Galah. Rakan pemancing yang cukup sporting walaupun saya seorang bunga disitu, cukup professional dan membantu saya yang BUTA memancing udang ini.
(Oleh: RosJery @ Rosmaniza Johari)
Soal Jawab Mancing – Kenapa Braided Saiz Sama Tapi Berbeza Ketebalan?

Soalan:
Saya agak keliru dengan tali pancing terutamanya tali sulam atau braided. Terdapat jenis tali yang poundage sama namun diameter berbeza. Boleh tak admin jelaskan serba sedikit soal ini?
Jawapan:
Saya faham dengan jelas kekeliruan yang saudara maksudkan. Ketika nisbah penggunaan tali tangsi mengatasi tali sulam, persoalan ini sudah pun timbul. Namun ia tidak begitu ketara berbanding ketika ini di mana penggunaan tali sulam menguasai pelbagai segmen pancing.
Itu belum campur dengan persoalan kenapa tali sulam ini leper dan tali sulam itu bulat. Semuanya membuatkan pemancing semakin celaru pemikiran untuk memilih tali yang sesuai.
Untuk permudahkan situasi ini kita hanya perlu faham perkara yang paling asas. Boleh dikatakan pelbagai jenis tali terutama tali sulaman mempunyai kekuatan (poundage) yang sama namun diameter berbeza mengikut sulaman dan tetapan jenama masing-masing.
Justeru itulah kenapa tali sulam keluaran A berkuatan 30lb memiliki diameter 0.22 mm, sedangkan tali sulam keluaran B memiliki kekuatan 30 lb tetapi diameter 0.18 mm. Ini cuma sebagai contoh sahaja.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, perbezaan ini berlaku dari aspek diameter sahaja tetapi poundagenya tetap sama.
Biasanya tali buatan US dan Eropah memiliki diameter yang lebih tebal berbanding buatan Jepun. Namun ini tidak menjadi masalah kerana kekuatannya tetap sama.
Bagi perbezaan diameter tali pula, perbezaan ini perlu disesuaikan dengan kadar muatan tali pada spool kekili anda selain mempengaruhi jarak balingan. Biasanya, pada spool kekili akan ada label menunjukkan kadar muatan tali mengikut diameter.
Logiknya, tali berdiameter lebih kecil akan memuatkan muatan tali yang lebih panjang, namun tetap bergantung kepada kedalaman spool kekili.