Pening la… pening la nak pilih lure untuk casting sebarau ni. Macam-macam pendapat sampai tak tau nak pegang yang mana satu. Jadi, boleh tak admin buat sedikit huraian tentang pemilihan lure untuk sebarau berdasarkan kesesuaiannya di kawasan air dalam, air cetek serta kepelbagaian lokasi padang pancing?
JAWAPAN:
Asas utama menggewang ialah kita perlu mengenali spesies buruan. Sebarau yang diketahui mendiami sungai, empangan dan tasik boleh membesar sehingga 4 kilogram (satu saiz yang jarang sebarau dapat mencapai tahap ini kerana masalah tangkapan berlebihan). Saiz yang lumrah diperdaya dengan gewang adalah 500gm hingga 1.5kg.
Ads
Untuk sebarau 200gm hingga 500gm, cuba gewang kecil 5cm atau dipanggil gewang mikro tanpa mengira jenama.
Set pancing aksi ringan paling sesuai digunakan. Perhatikan struktur tempat ikan bermain. Kalau air cetek, guna gewang selaman cetek atau permukaan manakala air dalam guna gewang selaman dalam seperti jenis minnow.
Ads
Warna gewang turut memainkan peranan terutama warna yang seakan ikan sasaran. Warna oren mendominasi pilihan pemancing kerana ia seakan warna anak toman/haruan.
Sebarau memang pantang melihat anak toman. Justeru, warna gewang oren, merah atau emas mudah dan cepat disambar mangsa.
Ads
Bagaimanapun warna kekuningan turut menarik minat sebarau asalkan kena pada tempat dan waktunya. Seni lontaran, gaya karauan dan halaju karaun gewang turut memainkan peranan meningkatkan sambaran.
Jangan terlalu banyak melontar secara blind cast kerana bimbang akan menakutkan ikan serta memberi impak terhadap minat ikan menerjah gewang. Tetapi yang penting, kalau kita pergi trip memancing seboleh-bolehnya jangan hanya membawa satu gewang. Cuba bawa beberapa jenis dengan kombinasi dan warna berlainan.
Buat penilaian melalui pengalaman sendiri -cabang ilmu yang terbaik dari sumber yang kita boleh percaya 100%. Kalau cerita orang lain tentu lebih hebat dari apa yang sebenarnya berlaku.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Salam strike admin yang hensem. Saya ada satu kemusykilan. Macam mana kita hendak memilih saiz assist hook untuk jig yang nak kita guna. Maksud saya dari segi panjang kevlar dan juga saiz mata kail untuk untuk dipadankan dengan jig?
JAWAPAN:
Satu soalan yang bagus. Sebenarnya tiada formula khusus untuk memilih saizmata kail untuk jig dan berapa panjang tali kevlar. Namun, untuk mengelakkan kegagalan fungsi mata kail mencangkuk ikan, saya amalkan satu formula sendiri.
Jika anda perhatikan, kebanyakan mata kail untuk jigging memiliki gap yang agak lebar. Tujuan adalah untuk meningkatkan prestasi strike. Sifirnya cukup mudah, gap atau lebar mata kail mestilah melebihi kelebaran saiz jig yang digunakan.
Sekiranya mata kail yang digunakan lebih kecil dari saiz lebar jig, kemungkinan mata kail tersebut tidak akan tercangkuk pada mulut ikan apabila ia menyambar jig, disebabkan terlindung oleh badan jig yang lebih lebar.
Sekiranya sudah membeli mata kail yang mana kelebaran lebih kecil berbanding badan jig, perkara ini masih boleh diatasi dengan menghasilkan assist hook berkembar (dua mata kail).
Assist hook berkembar ini banyak digunakan dalam teknik jigging perlahan berikutan kebanyakan jig yang digunakan bersaiz lebar.
Sementara panjang kevlar pula sebaiknya melebih setengah dari panjang badan jig. Jika menggunakan dua mata kail (atas dan bawah) pula, pastikan kedua-dua mata kail tersebut tidak tercangkuk antara satu sama lain.
Aku ada member, Min… dia ni punya gebang boleh tahan la jugak. Katanya, dia pernah casting dapat ikan puyu guna gewang. Betul ke puyu makan gewang, Min?
JAWAPAN:
Pemancing ni memang ada pelbagai ragam. Ada yang sembang kencang tapi macam tong kosong. Ada juga yang kaki gebang tapi bukan sembang kosong. Contohnya macam member anda itulah. Bagi sesiapa yang tidak mengetahui tabiat pemakanan ikan puyu pasti menganggap ia hanya sembang bikin bimbang.
Untuk mengetahui kebenaran di sebalik kenyataan member anda memperoleh ikan puyu dengan teknik casting menggunakan gewang itu, kita mestilah melakukan sedikit kajian tentang diet ikan puyu.
Ikan puyu ialah haiwan maserba. Maserba membawa erti ikan puyu memakan hampir apa saja makanan. Di habitat asalnya, selain menjadikan tumbuhan akuatik, ikan puyu turut memakan serangga kecil atau moluska. Malah, dalam keadaan terdesak ikan puyu turut bertindak kanibal dengan memakan sesama spesies untuk kelangsungan hidup.
Atau dalam erti kata lainnya, apa saja gewang yang menyerupai diet pemakanan puyu yang melintas di hadapannya, berkemungkinan besar ia akan menyambarnya.
Secara peribadi pula saya tidak pernah casting puyu secara khusus tetapi pernah memperoleh puyu ketika casting haruan. Tidak pasti ia secara kebetulan atau tidak, puyu berkenaan benar-benar menyambar sesudu yang digunakan.
Malah saya pernah juga melihat rakan memperoleh puyu dengan menggunakan gewang mikro dan terbaru, umpan katak yang digunakan oleh seorang rakan untuk casting haruan turut sama berjaya mendaratkan seekor puyu yang agak besar saiznya.
Boleh dikatakan saya masih baru memulakan hobi memancing di kolam air masin. Saya menggunakan udang hidup dicangkuk di bahagian ekor dan menggunakan pelampung.
Apabila pelampung tenggelam, saya terus menggulung tali dengan perlahan. Apabila tangsi tegang sedikit saya terus membuat sentapan. Tetapi malangnya mata kail terlucut.
Boleh tak admin beritahu di mana salah dan silap saya dan terangkan teknik memancing ikan kolam air masin dengan betul?
JAWAPAN:
Teknik memancing di kolam air masin sebenarnya hampir sama saja dengan memancing ikan liar di muara atau laut. Yang membezakannya hanya setting peralatan yang digunakan.
Melakukan sentapan balas sejurus ikan menyambar umpan adalah satu tindakan yang kurang tepat.
Kebiasaannya pemancing akan membenarkan umpan dikemam ikan seketika. Apabila tali pancing menegang dan keluar dari spool menandakan umpan mula ditelan dan dilarikan ikan buat seketika, barulah dilakukan sentapan balas.
Mata kail terlucut kebiasaannya berpunca daripada:
– Saiz mata kail yang kurang sesuai. Kes di sini mata kail adalah kecil berbanding mulut siakap. Saiz dicadangkan adalah 3/0 atau 4/0.
– Mata kail terlalu besar untuk mulut ikan. Kemungkinan kes ini adalah mustahil kerana saiz 2/0 memang muat untuk siakap sekecil 500 gram.
– Mata kail kurang tajam. Mata kail tidak akan kekal tajam buat selama-lamanya. Kesan cucukan kepada umpan dan sebagainya boleh menyebabkan mata kail tumpul. Pastikan mata kail tajam setiap kali memancing.
– Terlalu cepat merembat umpan kerana ikan mungkin hanya menggonggong ketika melarikan umpan. Bagi masa lama sedikit supaya umpan betul-betul berada sepenuhnya dalam mulut ikan.
– Teknik pasang umpan. Jika cangkuk di bahagian ekor kurang menjadi cuba pasang mata dekat bahagian kepala udang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...