
Sekiranya anda baru belajar menggunakan baitcasting reel, saya mencadangkan lebih baik menggunakan tali braided. Sebaiknya guna braided yang lebih besar diameternya. Saya tidak menyarankan anda menggunakan tali tangsi kerana sifat tali tangsi yang bermemori atau berspring ini akan menyebabkan tali tangsi tidak dapat disimpan dengan kemas di dalam spool.
Apabila susunan tali tangsi tidak kemas pada spool ia akan menyebabkan kesukaran atau mengganggu kelancarannya keluar dari spool apabila melakukan lontaran. Akibatnya tali mudah kusut atau jadi sarang burung. Kelancaran balingan akan menjadi lebih teruk apabila tali tangsi `patah’ akibat dari kekusutan tersebut.
Jika anda menggunakan braided berdiameter halus sebagai permulaan pula anda akan berhadapan dengan sakit kepala untuk meleraikannya apabila kusut. Tahap kesukaran untuk meleraikannya berpuluh kali ganda lebih susah berbanding menggunakan tali tangsi. Jadi gunalah braided berdiameter besar.
Berkenaan dengan saiz pula, anda boleh gunakan saiz yang dikehendaki. Namun pastikan ia sepadan dengan setup pancing dan juga jenis pancingan yang anda ingin lakukan.
Soal Jawab Mancing – Apa Jadi Kalau Umpun-Umpun Diganti Dengan Umpan Cacing Tanah?

SOALAN:
Saya ada satu masalah besar min! Kalau kita ganti umpun-umpun dengan cacing biasa nak mancing kat tepi laut boleh ke tak? Masalahnya kat tempat saya nak mancing ni tak jumpa orang jual umpun-umpun. Kalau cacing biasa tu senang la nak korek kat mana-mana.
JAWAPAN:
Memang besar masalah anda ni… hahaha. Terus terang saya katakan bahawa sehingga kini saya belum pernah lagi memancing di muara atau pantai menggunakan cacing tanah. Jadi, untuk memberikan jawapan secara tepat adalah diluar kemampuan saya.
Secara teori saya berpendapat, cacing tanah kurang sesuai untuk digunakan di perairan air masin. Saya melihat dari aspek cacing tidak mampu bertahan dengan tahap saliniti tinggi. Contoh paling hampir adalah air garam digunakan untuk mengeluarkan cacing dari dalam tanah. Jika cacing tahan terhadap air garam, pasti ia tidak akan keluar dari tanah dan kemudian mati.
Walau bagaimana pun cacing juga digunakan untuk memancing udang galah di kawasan air payau. Ini menunjukkan pada tahap separuh masin dan separuh tawar sebegini, organ cacing kekal berfungsi sepenuhnya.
Namun saya tidak pasti bagaimana keadaan organ dan tekstur badan cacing apabila berendam di dalam air masin. Yang pasti tempoh hayat tidak akan kekal lama. Teori ini kekal sebagai teori sekiranya tidak dipraktikkan. Sebagai pemancing, tidak ada salah dan silapnya untuk mencuba.
Saya percaya tiada siapa yang akan tertawakan anda kerana menggunakan umpan cacing untuk memancing di muara atau pantai. Melainkan mereka yang pernah mencuba dan sudah menimba pengalaman untuk tidak menggunakan lagi cacing tanah bagi pancingan air masin.
Soal Jawab Mancing – Kenapa Ada Ikan Pari Berbau Hancing Yang Amat?

SOALAN:
Saya memang suka gila makan ikan pari. Masalahnya kekadang terkena jugak ikan pari yang bau hancing. Jadi, boleh tak nak minta petua macam mana nak elak atau hilangkan bau hancing pari?
JAWAPAN:
Memang terencat selera bila dihidangkan dengan pari asam pedas dengan nasi panas tapi bila nak suap ke mulut, bau hancing dari ikan pari tersebut terlebih dahulu menyucuk hidung. Mengapakah perkara sedemikian boleh terjadi? Apakah penyebabnya? Di bawah ini saya senaraikan beberapa sebab yang diperolehi dari beberapa sumber.
Pertama, ikan pari ini sebenarnya macam orang perempuan juga, ia beranak dam bukannya bertelur. Oleh yang demikian, dikatakan ada ketikanya pari ni datang bulan (period). Maka, bila pari ni datang bulan satu badan dia akan bau hancing.
Kedua, ketika menyiang ikan pari pastikan tidak terpotong bahagian pundi kencingnya. Sekiranya terpotong maka satu badan pari akan berbau hancing malah akan lebih teruk daripada bau ikan pari yang period tadi.
Untuk menghindari kejadian ini berlaku maka haruslah bijak ketika memilih ikan pari untuk dibeli. Berikut dinyatakan sedikit tip membeli pari; pertama, semasa memilih kalau boleh pastikan isi ikan pari tersebut tidak berwarna gelap, sebaliknya berwarna cerah.
Kedua, cium terlebih dahulu sama ada bau hancing atau pun tidak. Tidak perlu malu untuk melakukan perkara ini. Ketiga, selepas tangkap atau beli ikan pari haruslah ditelangkupkan badannya. Jangan biarkan ia terlentang kerana sekiranya ia kencing maka tak kenalah pada badannya.
Sekiranya terbeli juga ikan pari yang berbau hancing, ia mestilah dineutralkan dengan bahan asid seperti air perahan limau, lemon, cuka atau asam jawa. Inilah sebabnya kita mesti gunakan asam jawa dan sedikit garam untuk perapkan ikan pari selama 20 minit sebelum masak dan bersihkan dengan membilas air bersih.
Soal Jawab Mancing – Mohon Pencerahan Kegunaan Gewang Selaman Cetek Dan Dalam?

SOALAN:
Saya masih baru dalam dunia casting gewang. Jadi saya mohon penjelasan tentang perbezaan antara gewang selaman cetek dan selaman dalam? Terutama dari segi penggunaannya. Bila masa nak guna gewang selam cetek dan selam dalam.
JAWAPAN:
Paling mudah untuk mengetahui spesifikasi sesuatu jenis gewang adalah dengan cara melihat corak bip atau lidahnya. Tahap atau status selaman sesuatu gewang bergantung kepada reka bentuk lidah gewang.
Jika lidah gewang besar dan menirus 30 darjah ke bawah bermakna ia adalah selaman dalam. Semakin besar atau panjang lidah gewang bermakna semakin dalam renangannya.
Bagi selaman cetek, saiz lidah adalah kecil dan menegak ke bawah sehingga 80 darjah. Kadangkala ia berbentuk `L’ kecil. Lazimnya spesifikasi gewang ini tertera pada kotak pembungkus. Deep runner membawa maksud selaman dalam dan shallow runner pula membawa maksud selaman cetek.
Sementara bagi fungsi kegunaan ini pula merujuk kepada kedalaman air. Bagi gewang selaman cetek, ia boleh digunakan digunakan di kedua-dua paras kedalaman air. Ia berfungsi untuk memikat pemangsa yang mencari makan di pertengahan air atau di bawah permukaan air.
Manakala gewang selaman dalam hanya sesuai digunaikan di kawasan air yang dalam. Sekiranya ia digunakan di perairan yang cetek maka ia menyodok dasar atau tersekat. Jika menyasarkan pemangsa yang mencari makan di dasar air maka gewang selaman adalah pilihan yang tepat.
Namun, kebanyakan dasar perairan negara kita dipenuhi dengan struktur atau objek yang akan menjadi halangan kepada selaman gewang. Atau dalam erti kata lain gewang tersebut akan mudah tersangkut.