
SOALAN:
Saya ada terdengar tentang istilah pemancing rekreasi. Jadi, saya nak tanya kat admin la… pemancing rekreasi ni pemancing macam mana? Apa beza dengan memancing yang biasa dibuat oleh kaki pancing?
JAWAPAN:
Jika ditanya secara peribadi maka saya akan menjawab tiada apa-apa perbezaan pun antara pemancing rekreasi dan pemancing biasa kerana memancing itu sendiri adalah aktiviti rekreasi. Jadi secara logiknya tiada perbezaan antara keduanya. Pemancing rekreasi atau pemancing biasa kedua-duanya adalah pemancing yang berekreasi.
Walau bagaimana pun jika ingin dibuat pecahan istilah, dalam konteks perikanan pada dasarnya boleh dikategorikan kepada tiga iaitu; pemancing rekreasi, pemancing sara diri dan pemancing komersial.
Pemancing rekreasi ini lebih menjurus kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti memancing untuk mencapai kepuasan hobi secara individu. Kumpulan pemancing rekreasi ini pula biasanya juga digelar pemancing sukan (melakukan aktiviti sukan memancing) dan lebih dekat dengan konsep tangkap dan lepas, bag limit dan sebagainya.
Sementara pemancing sara diri pula ialah mereka yang melakukan aktiviti menangkap ikan atau hidupan marin sebagai makanan atau pendapatan keluarga. Sebagai contoh seseorang yang memancing udang galah dan menjual hasil tangkapannya. Begitu juga dengan nelayan kolam yang menyara hidup dengan menjual hasil tangkapannya.
Kumpulan pemancing komersial pula ialah mereka yang membuat aktiviti perikanan dalam skala besar untuk mendapatkan pendapatan yang besar seperti pengusaha kolam akuakultur, kolam pancing dan nelayan bot besar.
Korang Tanya Umpan Jawab -(S6S26)- Faktor musim tengkujuh??

SOALAN:
Malaysia mengalami musim tengkujuh setiap tahun. Apakah musim tengkujuh juga merupakan faktor dan mempengaruhi spesies ikan di perairan yang mengalami tengkujuh?
JAWAPAN:
Terdapat dua musim tengkujuh atau monsun utama di Malaysia iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya selain dua inter-monsun yang berlaku di antara dua monsun utama tadi.
Monsun Timur Laut yang berlaku sekitar November–Januari merupakan monsun yang memberi kesan besarterutama industri nelayan dan memancing di Pantai Timur Semenanjung.
Monsun atau musim tengkujuh ini juga mempengaruhi spesies di perairan terbabit. Permulaan musim, spesies ikan daripada kumpulan mackerel (tenggiri, alu-alu), threadfin
(senangin, kurau dan lain-lain) dan juga croaker (gelama) lebih banyak sementara gouper (kerapu) akan berkurang kerana akan bergerak lebih jauh ke tengah laut.
Waktu terbaik untuk memancing akan kembali sekitar April selepas inter-monsun.
Waktu ini spesies grouper dan snapper akan kembali menghampiri ke kawasan pantai dan pemancing boleh menikmati aktiviti memancing sehingga Oktober.
Atau dalam erti kata lain, perubahan musim sedikit sebanyak turut merubah tabiat dan habitat ikan.
Apabila habitat dan tabiat berubah, maka untuk memancingnya juga kita perlu berubah spot, taktik dan teknik pancingan.
Walaupun berubah habitat dan tabiat, ikan-ikan tersebut tidaklah bermigrasi atau berhijrah jauh dari habitat asal.
Cuma, apabila ia berganjak lebih jauh ke tengah laut maka peluang untuk memancingnya tentulah sukar berikutan kesukaran untuk turun ke laut ekoran laut bergelora pada musim tengkujuh.
Korang Tanya UMPAN Jawab – (S1Q7) – Hukum Pertandingan Memancing? ©

SOALAN:
Apakah hukumnya menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah termasuk dalam kategori judi?
JAWAPAN:
Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan,yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa, “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).
Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)
Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).
Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam.
Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).
Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.
Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian.
Walau bagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak. Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:
- Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).
- Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya, “Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku.”
Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.
Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan.
Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
- Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
- Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
- Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
- Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
- Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Soal Jawab Mancing – Boleh Tak Guna Set BC Untuk Jigging?

SOALAN:
Saya dapati rata-rata pemancing menggunakan baitcaster reel bila bermain teknik slow pitch jigging tetapi bila bermain teknik light jigging mereka akan menggunakan spinning reel. Boleh tak baitcaster digunakan untuk light jigging?
JAWAPAN:
Saya bersetuju dengan anda bahawa hampir majoriti pemancing menggunakan overhead reel bila mengaplikasikan teknik slow pitch jigging. Berbanding spinning reel, kegunaan overhead reel ini lebih pratikal dalam banyak aspek. Dan atas sebab yang sama juga kenapa lebih ramai pemancing menggunakan spinning reel berbanding baitcaster atau overhead reel.
Jadi, jawapan kepada soalan anda ialah boleh. Anda boleh menggunakan baitcaster atau overhead reel untuk teknik light jigging. Sebenarnya bukan sedikit pemancing menggunakan overhead reel untuk light jigging. Secara peribadi, saya juga menggunakannya.
Sebaliknya pula saya merasakan overhead reel ini lebih menyeronokan berbanding spinning reel. Pertama, overhead reel lebih sensitif yang membolehkan sebarang ragutan ikan dapat dirasai walaupun ketika jig sedang turun ke dasar. Malah untuk mencari overhead reel yang memiliki gear ratio tinggi lebih mudah berbanding spinning reel. Kebanyakan pemancing lebih senang menggunakan spinning reel mungkin disebabkan beberapa perkara.
Pertamanya, dengan menggunakan spinning reel lebih mudah untuk memainkan aksi jerking atau twitching ketika melakukan karauan pantas. Keduanya, spinning reel lebih mudah untuk melakukan cast pada sudut-sudut yang sukar.
Ketiga, penyeliaan selepas memancing menggunakan spinning reel lebih mudah berbanding overhead reel. Dan dari aspek ekonomi pula, spinning reel ini boleh digunakan untuk teknik pancingan lain sama ada di perairan air masin atau pun air tawar.
Jadi, jika sudah ada kekili yang boleh dipelbagaikan kegunaannya, kenapa perlu beli overhead reel yang agak terbatas kegunaannya.