Saya pernah memancing ikan tenggiri tetapi tak pernah lagi dapat. Boleh tak admin kongsi cara-cara bagaimana nak pancing tenggiri yang paling senang nak dapat?
JAWAPAN:
Salah satu keistimewaan tenggiri kerana ia boleh dipancing melalui pelbagai teknik, asalkan kena tempat dan gayanya. Boleh dikatakan saya sudah mencuba kesemua teknik memancing tenggiri dengan menggunakan umpan hidup ataupun umpan tiruan.
Ads
Di antara teknik memancing Tenggiri yang popular ialah; menunda atau trolling menggunakan gewang atau ikan hidup atau mati. Kelajuan bot mestilah sekitar 3 hingga 7 batu nautika. Gewang selaman dalam bersaiz 15cm ke atas amat sesuai.
Mengilat atau casting. Teknik ini menjadi pilihan ramai kaki pancing. Selain umpan ikan mati, gewang, sesudu dan bulu itik adalah jenis yang terbaik untuk menggoda tenggiri. Teknik ini memerlukan kerajinan dan usaha berterusan bagi menjamin potensi menerima sambaran tenggiri.
Ads
Teknik seterusnya mengunjun atau lebih popular dengan panggilan jigging. Ia menjadi pilihan kaki jigging tegar yang gemarkan aksi yang lebih mencabar. Jigging Tenggiri banyak cabaran dan kekuatan stamina. Namun teknik yang paling berkesan ialah teknik menggunakan umpan hidup secara berhanyut di permukaan atau pertengahan air.
Teknik berhanyut atau drifting ini adalah teknik paling popular di kalangan kaki pancing. Teknik hanyut bergantung kepada faktor arus dan angin. Kalau arus lemah, umpan boleh dihanyutkan tanpa pemberat. Ladung kecil pula digunakan sekiranya arus bergerak laju.
Ads
Penggunaan belon juga sesuai dan bantuan angin membantu menghanyutkan umpan jauh sedikit dari kedudukan bot.
Manakala untuk teknik pertengahan air, teknik ini berkait rapat dengan penggunaan ladung besar. Umpan dilabuhkan hingga mencecah dasar dan kemudian dikarau kira-kira 7 depa dari dasar.
Ini bagi memastikan umpan berada di kawasan selalunya lingkungan Tenggiri meronda, iaitu di pertengahan air. Sentiasa hulur atau naikkan umpan sehingga jumpa parameter kedudukan tenggiri berada.
Jika memancing tenggiri pakai umpan ikan hidup, biasanya saya akan guna wayar steel. Tapi kalau jigging tenggiri, kalau saya pakai cara sama ok ke? Saya takut nak cuba sebab takut kena gelak.
JAWAPAN:
Kena gelak kerana mempraktikkan sesuatu di luar kebiasaan sudah menjadi perkara lumrah dan ia berlaku tidak hanya dalam dunia memancing saja. Kesan daripada gejala ini menyebabkan kita tidak berani untuk mencuba.
Tidak dinafikan penyambungan wayar steel atau kabel ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi aksi sebenar sesuatu jig yang digunakan. Namun pada saya, kesan tersebut terlalu kecil hampir tidak menjejaskan langsung aksi jig. Melainkan jika menggunakan poundage kabel yang terlalu besar.
Saya sendiri jika jigging tenggiri pada waktu, wajib saya akan menggunakan kabel. Biasanya saya guna kabel 20-40lb. Panjang kabel tidak akan lebih dari sejengkal. Saya lebih rela kena gelak tetapi dapat ikan daripada kena gelak kerana jig lebuh dihentam tenggiri kerana tak pakai kabel. Dah lah ikan terlepas, jig pulak melayang.
Malah saya juga pernah menggunakan kabel ketika bermain jigging perlahan pada waktu siang hari. Saya percaya ramai yang tahu betapa pentingnya perlu memainkan jig dengan aksi sebenar dalam aplikasi jigging perlahan.
Malah kabel yang digunakan adalah dari jenis keras berkekuatan 60lb. Dan saya berhasil mendapat ikan!
Sudah lama saya perhati aksi-aksi pemancing menjerat tenggiri di perairan utara tanah air terutamanya di daerah Yan, Kedah. Saya sebenarnya teringin jugak nak try tapi boleh dikatakan sifar pengetahuan untuk menjerat tenggiri di sini. Jadi, boleh tak admin berikan sedikit tip kepada saya untuk menjerat tenggiri tuas?
JAWAPAN:
Jika anda ingin menjerat tenggiri, cuba dapatkan informasi dari kaki-kaki tuas untuk mempastikan tenggiri sudah masuk tuas atau belum. Begitu juga berkenaan dengan lokasi atau tuas mana yang ada tenggiri kerana kawasan perairan Yan memang luas, banyak tuas dan berlainan tuan. Tuas-tuas ini ada banyak bahagian seperti tuas darat, tuas tengah, tuas balak, tuas dulang dan tuas Sg. Udang.
Untuk makluman semua, kesesuaian teknik yang betul amat penting dalam menentukan kejayaan dalam sesuatu trip kerana tenggiri di tuas Yan begitu cerewet. Banyak teknik yang perlu dipratikkan untuk menjerat tenggiri seperti casting temenung kojol, drift, jigging, trolling, casting bulu dan gewang. Pastikan anda mencuba semua teknik yang disebutkan utk menjerat tenggiri kerana citarasa tenggiri kadangkala tidak sama.
Contohnya casting temenung sahaja ada pelbagai versi dari segi teknik dan tempo. Untuk mempelajarinya carilah kaki-kaki tuas sejati atau rajin-rajinlah berkunjung ke tuas. Bukan bermakna sekali anda gagal terus tak mahu mencuba.
Adakah semua gewang yang digunakan di air tawar boleh digunakan untuk air masin? Ataupun terdapat gewang yang khas untuk perairan air masin?
JAWAPAN:
Sebenarnya hampir semua gewang boleh digunakan di perairan air masin dan air tawar, kecuali gewang yang dihasilkan dari material logam yang mudah berkarat.
Namun ia bukanlah tidak boleh digunakan, sebaliknya kurang sesuai kerana bahan materialnya sahaja.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, semua gewang dicipta untuk menarik perhatian ikan bagi melihat, mendengar atau merasai pergerakan gewang tersebut.
Dan amat jarang kita temui gewang yang tertera pada kotak bungkusannya sama ada untuk kegunaan air masin atau air tawar sahaja.
Apa yang menjadi tidak boleh sebenarnya adalah diri kita sendiri. Mungkin disebabkan sudah terbiasa menggunakan sesuatu gewang tersebut hanya di perairan air tawar, maka
kita dengan sendirinya membuat garis panduan sendiri sehingga tidak berani untuk mencubanya di perairan lain selain air tawar.
Begitu juga dengan mata kail (mata tiga) yang terdapat pada gewang berwarna silver atau chrome dikatakan sesuai untuk air masin sahaja dan mata kail berwarna coklat atau hitam sesuai untuk air tawar sahaja.
Hakikat sebenarnya mata kail silver atau chrome boleh digunakan di air masin atau air tawar. Manakala mata kail coklat atau hitam kurang sesuai digunakan di air masin hanya kerana ia mudah berkarat, bukannya tidak boleh digunakan.
Tidak ketinggalan perkakasan terminal yang lain seperti split ring, snap atau snap swivel yang digunakan bersama bersama gewang sebaiknya pilihlah yang kalis air masin kerana ia boleh digunakan di kedua-kedua perairan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...