
SOALAN:
Boleh tak admin jelaskan saiz batu ladung yang sesuai untuk digunakan bila memancing di laut dalam?
Dan berapa banyak pula yang perlu dibawa sebagai stok?
JAWAB:
Salah satu lagi terminal tackle yang perlu diambil kira untuk memancing di laut dalam ialah batu ladung.
Ada banyak aspek yang perlu diketahui dalam penggunaan batu ladung ini. Antaranya ialah hubungan dan kaitannya antara lokasi dan arus.
Malaysia mempunyai dua pesisir pantai atau perairan utama iaitu pantai barat dan pantai timur. Kedua-dua perairan pantai ini memiliki struktur bumi yang berbeza.
Pantai barat atau perairan Selat Melaka lebih sempit berbanding pantai timur atau perairan Laut China Selatan.
Kalau di pantai barat, had maksimum saiz batu ladung yang biasa digunakan ialah bersaiz #32 atau berat metrik 1.5kg.
Manakala di pantai timur pula had maksimum saiz batu ladung ialah #24 atau berat metrik 1kg. Berbezaan ini disebabkan perbezaan arus di pantai barat lebih deras berbanding di pantai timur berikutan laluan yang sempit.
Begitu juga halnya di Sabah dan Sarawak, di mana arus lautnya lebih kurang sama seperti Pantai Timur Semenanjung kerana ia berkongsi laut yang sama iaitu Laut China Selatan.
Kebiasaannya, memancing di laut dalam hanya perlu membawa batu ladung mati bersaiz dari #8 hingga ke #24 atau #32 jika memancing di pantai barat.
Berapakah jumlah yang perlu dibawa? Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada durasi masa memancing dan yang penting ialah sentiasa mempunyai batu ladung tambahan sebagai langkah keselamatan.
Ia sebagai bekalan jika berlaku kejadian tali pancing sangkut atau putus akibat dari gigitan ikan, terkena karang yang tajam, tersimpul dengan tali rakan-rakan yang terpaksa diputuskan atau kehilangan yang tak diduga.
Korang Tanya Umpan Jawab -(S7S23)- Apa itu kepala air??

SOALAN:
Kepala air ni apa, min? Apa pulak kaitannya dengan memancing?
JAWAPAN:
Merujuk kepada Kamus Dewan, fenomena kepala air membawa maksud permulaan atau penghabisan air bah.
Atau dalam kata lain ialah limpahan air yang besar yang membanjiri sungai dan berlaku secara tiba-tiba. Ia turut dikenali sebagai ibu air atau lidah air.
Fenomena kepala air ini berpunca dari aliran air dalam kuantiti yang besar. Ia mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama.
Lazimnya ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan kadangkala meragut nyawa.
Punca kejadian Punca atau sumber kepala air:
Hujan dihulu sungai dengan kadar luar biasa, akibat daripada itu akar pokok tidak dapat memainkan peranan menahan air untuk diserap ke dalam tanah.
Begitu juga dengan kawasan takungan atau tadahan di hulu menjadi penuh maka ia terus melimpah dan masuk ke sungai dengan banyak.
Berlaku tanah runtuh akibat pembalakan atau semulajadi. Pokok-pokok yang dipotong dibiarkan atau runtuhan semulajadi menumbangkan pokok dan ini akan menghasilkan empangan-empangan kecil yang menakung air.
Kesannya, jika ia tidak dapat menahan tekanan untuk menakung air ia akan pecah dan berlakulah limpahan air yang besar.
Hujan di kawasan tanah tinggi pergunungan lebih dari kebiasaan. Walaupun akar pokok memperlahankan proses air mengalir kesungai namun jika hujan berlaku lebat dan lama, maka air akan melimpah masuk kesungai dengan kadar yang banyak dan laju.
Jika empangan pecah dan berlakunya gempa bumi. Namun kedua-dua kejadian amat jarang dan hampir tidak berlaku di negara kita.
Dan tentu saja kefahaman tentang kepala air ini perlu diambil berat oleh pemancing terutamanya pemancing yang menggemari aktiviti memancing di sungai pergunungan.
Di kawasan sungai pergunungan inilah lazimnya berlaku kejadian kepala air.
Pro Newzie Anglers Beraksi Di Tasik Temenggor ™

Selesai misi menakluki layaran Kuala Rompin terlaksana, agenda seterusnya adalah pencarian sang toman pula.
Walaupun terdapat lokasi berdekatan di daerah Rompin mengenai kewujudan spot toman, namun disebabkan kekurangan maklumat ia tidak dibincangkan secara terperinci.
Memandangkan produk toman yang di promosi di luar negara ialah Tasik Kenyir dan Tasik Banding maka hanya kedua lokasi ini yang diketahui warga asing.
Beberapa paparan dan risalah mengenai memancing toman di kedua-dua tasik terbabit diketengahkan kepada mereka dan akhirnya Tasik Banding dipilih kerana ia berdekatan dengan `pit stop` akhir iaitu hotel di Pulau Pinang.
Tempahan hotel terbaik di Pulau Pinang pada hari terakhir sebelum penerbangan balik ke negara asal mereka menjadi faktor penentu pemilihan Tasik Banding.
Program asal tiada perubahan maka perlulah memandu dari Kuala Rompin menuju ke Tasik Banding.
Mujurlah kali ini penulis ditemani dua lagi kaki casting yang menunggu di ibu kota bagi mengurangkan penat memandu berseorangan.
Dalam perjalanan sempat juga mereka singgah dan bersembang dengan Nick Ooi pemilik kedai pancing di Subang Jaya.
Perbualan mengenai fly fishing termasuk teknik memerangkap toman adalah agenda utama di samping pembelian beberapa set pancing fly untuk kegunaan di Tasik Banding.
Dari jam 8 pagi kami bergerak dari Kuala Rompin, jam 10 malam barulah tiba ke destinasi yang dituju, Rumah Rakit Mad Shah.
Sepanjang perjalanan Geng Newzie ini akan meminta saya memberhentikan kenderaan apabila ternampak kumpulan monyet.
Cuma permintaan terakhir mereka tidak mampu saya penuhi. Bukan apa, mereka suruh saya berhentikan kereta di Lebuh raya Gerik apabila ternampak sekumpulan gajah kira-kira jam 9 malam.
Nak ambil gambar kata mereka, tapi saya kata kita cari nahas. Namun setelah diberi penerangan serba sedikit mengenai kemungkinan bahaya yang bakal menanti, Newzie akhir faham dan kami meneruskan perjalanan meninggalkan kumpulan gajah dalam kegelapan di tepi lebuh raya.
Untuk misi toman selama dua hari saya menggunakan khidmat tekong Syed@Shed dan tekong Mie. Dua orang tekong muda yang rajin dan mahir dengan selok-belok tasik.
Manakala Bacang dan Belu membantu geng Newzie dari segi pemilihan gewang. Hari pertama, kedua orang tekong mencadangkan agar mencuba kawasan sekitar Sungai Ketir di Tasik Temenggor.
Fokus utama ialah fly toman walaupun ia agak sukar menjerat toman dengan teknik begini. Brett, Mike dan Mark adalah kaki fly manakala Derek lebih bersantai sahaja. Mike, Derek bersama Bacang dan Belu berada dalam sebuah bot.
Manakala saya bersama Brett dan Mike dalam sampan kedua. Dua buah bot bergerak seiringan dan kemudiannya berpecah sebaik sahaja memasuki zon Sungai Ketir.
Sebelum memancing, mereka lebih gemar menikmati keindahan tasik dan panorama. Kami banyak menghabiskan masa bersiar dan melewati tepian tasik dengan perlahan sambil membenarkan Brett dan Mark merakamkan gambar untuk penerbitan artikel mereka di New Zealand nanti.
Puas menikmati pemandangan termasuk melihat perkampungan Orang Asli barulah kami bergerak menuju ke spot casting pilihan tekong.
Pada sesi permulaan kami tertumpu pada aktiviti casting kerana toman biasanya lebih aktif bila matahari meninggi.
Dengan set fly yang dibeli di kedai Nick Ooi, Brett terlebih dahulu berjaya menjerat sekor sebarau yang terpikat dengan fly berwarna merah.
Keadaan sampan memaksa hanya seorang sahaja yang fly di hadapan, manakala seorang lagi akan casting di belakang sampan.
Ketika Brett seronok melayan set fly dengan sebarau, Mark tak senang duduk dan terus mencapai joran.
Tiga kali casting akhirnya beliau pula yang berjaya memikat sebarau. Kali ini gewang milik Brett yang dibawa dari New Zealand menjadi pilihan sebarau.
Setelah sesi fotografi selesai, kami bergerak ke dalam lagi menuju kawasan kuala sungai.
Enam ekor sebarau pada sesi pagi bukanlah suatu keputusan yang bagus. Tapi di sini hasil sebarau bukan elemen utama, sasaran sebenar belum lagi dimulakan.
Kedua-dua bot bertemu di air terjun untuk menyejukkan badan sambil menikmati jagung rebus di tengah hutan. Sesi petang sekali lagi sampan berpecah mencari spot toman pula.
Slot kali ini banyak menumpukan penggunaan teknik fly dalam cubaan mereka untuk merakam gambar toman dengan teknik fly.
Spot kami lewati banyak terdapat toman muncul di permukaan. Namun kerana mereka belum faham mengenai toman, banyak cubaan gagal.
Set fly perlu jatuh tepat pada kedudukan toman mengambil udara. Faktor angin dan ‘timing’ yang betul-betul ngam menjadi penentu.
Kalau gewang lebih senang, bila muncul sepantas kilat gewang dilontar dan menyelam berhampiran kawasan toman yang timbul sebelumnya.
Pujian harus diberikan kepada mereka kerana tidak kenal erti mengalah.
Satu persatu tabiat toman dikaji. Cuma bila dan di mana toman akan muncul masih tertanya-tanya. Fly juga ada kekurangan ‘bunyi’ bagi menarik perhatian toman sewaktu ia jatuh ke air.
Masa untuk melayangkan umpan fly perlu dipercepatkan supaya ia jatuh tatkala toman belum lagi menyelam jauh ke dalam air.
Sehingga petang hanya satu sahaja terkaman toman tersasar sedikit dari umpan fly. Seekor toman berjaya dipancing tetapi dengan lontar gewang ke arah ‘boiling’.
Hanya untuk menunjukkan toman berada di situ cuma belum ada jodoh lagi untuk umpan fly. Setidaknya usaha semakin hampir menjadi kenyataan.
Petang hari pertama ditangguhkan misi kerana terpaksa ‘check-in’ lebih awal di Belum Rainforest Resort setelah bilik terapung tidak sesuai bagi mereka.
(Hari kedua)
Sesi hari kedua mereka ditemani oleh dua orang rakan saya bagi memberi ruang lebih selesa dalam sampan.
Hari kedua mereka sesi pagi pencari toman di Temenggor dan tengah harinya pula menjejak toman kawasan taman Belum.
Mereka memohon untuk dipendekkan masa kerana ingin berehat lebih lama di resort. Tugas sukar bagi juru bot kerana terpaksa berusaha lebih untuk memastikan toman berjaya dijerat dengan teknik fly.
Cerita seperti semalam juga berlaku untuk hari kedua dengan sedikit perubahan. Terkaman toman tepat pada umpan fly yang jatuh ke air tetapi Mike tergamam seketika dengan bunyi terkaman toman sehingga lupa untuk menarik tali untuk menyentap mata kail. Sekelip mata toman berjaya melarikan diri bersama set fly yang terputus dari tali utama.
Begitu juga dengan kisah Brett dan Mark, masing-masing terpegun dengan cara toman menerkam umpan fly. Banyak yang harus mereka pelajari supaya misi untuk menjerat toman dengan fly berjaya dirakamkan.
Malah bunyi toman menerkam umpan terus menjadi bualan mereka sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang.
Pastinya cerita ini tidak tamat di Malaysia sahaja, kisah dan produk toman kita akan mewarnai pentas New Zealand di suatu masa nanti.
Saya masih ingat kata-kata Derek, sepanjang berada di Malaysia, menikmati jagung manis yang direbus di tengah hutan adalah bahagian yang paling diingatinya. “This is the best part”, ujarnya ketika memamah jagung rebus.
Event Throwback – Katak Tipu VS Katak Betul

Katak hidup atau katak tiruan? Yang mana lebih efektif untuk memburu haruan? Pasti itu antara persoalan yang terbuku di minda seorang pemancing terutamanya bagi yang baru menjejakkan kaki di dalam hobi ini. Mungkin ada yang beranggapan katak hidup lebih menjadi pilihan, namun ada juga yang lebih menggemari umpan tiruan untuk memburu spesies ini.
Event memancing haruan sambil bersantai ini memang telah lama dirangka. Trip sebegini boleh dikatakan sebagai salah satu aktiviti wajib bagi Kelab Memancing Tasik Puchong Prima dan Puchong Prima Fishing Boat Charter.
Bezanya, kali ini, aktiviti berkonsepkan pertandingan untuk mencari juara yang dapat menjinakkan haruan terbesar. Biarpun berkonsepkan pertandingan, namun tiada yuran penyertaan akan dikenakan kepada ahli.
Jeffry selaku organizer trip kali ini juga memperkenalkan sedikit twist untuk aktiviti kali ini. Twist yang dimaksudkan ialah melalui trip ini mereka akan mengetengahkan teknik casting cara tradisional dan moden. Justeru itu, trip kali ini telah diberi nama “Tradisional vs Moden: Katak vs Lure”.
SPOT BERPOTENSI
Apabila tiba hari yang dinantikan, semua ahli yang menyertai trip ini berkobar-kobar untuk ke lokasi yang di maksudkan iaitu di kawasan Dengkil, Selangor. Untuk ke lokasi ini, perjalanannya agak mencabar juga kerana ia bolehlah dikatakan agak terceruk sedikit.
Apa pun, demi misi trip kali ini, semuanya kami tolak ke tepi. Trip kali ini telah disertai oleh 18 orang ahli. Pada asalnya 25 orang dijangka menyertai komplot ini, namun atas sebab-sebab tertentu hanya bilangan ini sahaja yang dapat mengikuti trip yang dianjurkan untuk kali yang ke-4 ini.
Sampai sahaja ke lokasi, kami mendapati banyak spot yang amat berpotensi untuk menduga spesies berkepala ular ini. Mana tidaknya melihat keadaan air berwarna gelap sahaja telah membuatkan semua ahli trip berkobar-kobar.
Tanpa membuang masa semua ahli mempertaruhkan umpan masing-masing. Daripada katak hidup, ke katak tiruan dan pelbagai jenis gewang lain telah dihulurkan untuk menjinakkan spesies ini. Sebaik sahaja umpan dilabuhkan tidak menang tangan kami dibuatnya. Ada yang strike, namun banyak juga yang rabut akibat kelicikan spesies ini.
KING OF HARUAN
Apa yang dapat disimpulkan melalui trip ini ialah, spesies haruan ini tidaklah begitu memilih umpan. Apa sahaja yang lalu di hadapannya pasti akan disambar tidak kiralah katak hidup mahupun gewang.
Melalui hasil yang diperolehi oleh peserta trip ini, kami amat berpuas hati dan objektif utama penganjuran memang dapat dicapai melalui trip singkat ini.
Aktiviti kemuncak trip ini merupakan majlis penyampaian hadiah bagi juara haruan terbanyak dan terbesar yang dipancing menggunakan katak hidup dan gewang. Bagi kategori katak hidup, Ia telah dimenangi oleh saudara Zulkifli, manakala bagi kategori gewang pula, gelaran juara disandang oleh saudara Muhamad Riduan. Zamivan pula menggondol kategori tangkapan terbanyak bagi trip kali ini.
MEMANCING SAMBIL BERAMAL
Di akhir acara, pihak organizer juga turut membuat kutipan derma untuk disalurkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih. Melalui kutipan ini, Ia telah berjaya mengumpulkan RM200 untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Aktiviti sebegini dianggap sebagai suatu yang positif dan amat wajar dicontohi oleh kelab memancing yang lain.
Akhir kata, untuk trip akan datang, diharapkan agar aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi. Di samping dapat melepaskan gian terhadap dunia memancing, sekurang-kurangnya aktiviti sebegini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa yang sama turut membuat amal jariah untuk membantu pihak yang kurang bernasib baik.