
SOALAN:
Boleh tak admin beri sedikit tip bagaimana nak casting ikan bulan dan bandang? Saya dah beberapa kali try casting guna popper dan SP tapi langsung tak usik.
JAWAPAN:
Ikan bulan (tarpon) dan bandang (ladyfish) mempunyai satu persamaan iaitu aksi akrobatik ketika bertarung dalam usaha menanggalkan mata kail yang tertancap dalam mulut. Aksi inilah yang sebenarnya membuatkan pemancing berasa seronok untuk casting spesies ini.
Bagi kedua-dua spesies ikan ini, ia boleh dipancing dengan kaedah konvensional iaitu menggunakan umpan (ikan kecil atau udang hidup) dan juga teknik moden iaitu teknik mengilat atau casting. Walau bagaimana pun teknik mengilat lebih disukai oleh pemancing masa kini.
Bagi teknik mengilat, kebanyakan kaki pancing akan menggunakan gewang mikro atau bersaiz kecil. Mungkin korang boleh cuba gunakan gewang minnow, mini popper atau spinnerbait.
Sebaik-baik gewang ialah gewang yang menyamai saiz diet spesies tersebut. Boleh juga gunakan gewang bersaiz besar tetapi potensinya mungkin tidak sebagus gewang-gewang kecil dan persembahkan gewang dengan pelbagai cara untuk memujuk ikan ini membaham gewang.
Selain gewang, umpan tiruan yang efektif ialah soft plastic dan micro jig. Anda boleh menggayakan soft plastic dengan cara karau, henti seketika, karau dan henti. Selain itu anda juga boleh cuba gunakan teknik jerk dalam persembahan soft plastic.
Begitu juga dengan teknik menggunakan mikro jig. Anda boleh pelbagai teknik sehinggalah spesies tersebut membaham gewang. Pokok pangkalnya mestilah rajin dan tidak berputus asa.
Penggunaan mata kail pula sebaiknya gunakan mata kail yang halus terasnya dan tajam. Tak perlu mata kail yang tebal dan kuat kerana apa yang penting mata kail tersebut dapat menembus pipi rahang spesies ini yang agak keras, tidak kiralah sama ada mata kail tunggal atau mata tiga.
Geng Hiking Berkomplot Di Tasik Kenyir

Perjumpaan semua geng lama diadakan di Tasik Kenyir sambil santai memancing untuk aktiviti selingan. Perjumpaan selepas hampir berbelas tahun berpisah membawa haluan masing-masing adalah terdiri daripada kalangan ahli gunung yang beralih minat seperti mana saya iaitu memancing.
Mengimbau kembali 20 tahun lampau ketika kami bertandang ke Tasik Kenyir bukan kerana tarikan ikan tetapi kerana tarikan Kenyir Ecofest Gagau Challenge.
Mengimbau kenangan lama, perlumbaan mendaki Gunung Gagau dan aktiviti mendaki gunung adalah riadah utama bagi kami semua. Malah sepanjang trip di Kenyir ini banyak menceritakan suka-duka perlumbaan tersebut. Menjadi pasukan terakhir berlepas seawal pagi tidak merisaukan pasukan kami.
Setiap pasukan dianggotai 3 orang lelaki dan seorang wanita sudah berlepas ketika kami masih leka memamah sarapan nasi goreng berlaukkan baung yang dipancing pada malam hari. Selesai sarapan kami masih bersandar di batang pokok sambil menghembus asap rokok di tengah kawasan yang nyaman.
“Kau orang bila nak bergerak dah lewat lewat sangat ini,” ujar pengurus pasukan dan tukang membuat nasi goreng.
Diringkaskan coretan dari kedudukan tercorot kami mengejar satu persatu pasukan di hadapan dan tiba di garisan penamat pada jam 4.00 petang di tangga kelima dari hampir 30 pasukan. Macam tak percaya pulak. Masa itu tenaga kuat dan kami jenis manusia ‘trekking’ macam orang gila, tak reti nak berhenti.
Di tapak khemah bersebelahan dengan sungai menyaksikan beberapa ekor kelah mega dinaikkan boatman sebagai hidangan peserta pada malam berikutnya. Dari situ ramai di kalangan kami berkata pasti suatu hari nak bertandang untuk memancing pula.
Berubah Fizikal
Melihat paras rupa geng yang dah masuk pencen ini menampakkan perubahan ketara di kalangan kami. Perut lebih menonjol tapi masih mampu mendaki gunung tanpa bantuan. Gelak ketawa separuh perjalanan sebelum sepi melelapkan mata di separuh lagi perjalanan bot menuju ke kawasan kuala Sungai Cacing.
Kuala sungai sudah dipenuhi bot yang tiba lebih awal dari kami. Terpaksalah berlabuh agak jauh sedikit di muka dua kuala Sungai Cacing dan Sungai Terenggan.
Ada yang mula menyiapkan peralatan pancing manakala selebihnya lebih teruja melihat panorama sekeliling. Nasib baik ada juga di kalangan kami yang minat gewang. Setidak-tidaknya ada ‘partner’ memancing sepanjang 3 hari berikutnya.
Kami merancang untuk cuba sungai dahulu dan selepasnya meninjau suak-suak yang begitu lama tidak bertandang. Ketika ramai masih bersantai atas boathouse, saya bersama Husin masuk ke sungai hingga hujung kawasan larangan taman. Air semakin mengeruh teruk bila tiba di cabang sungai cetek dan aktiviti mengilat kurang sesuai.
Begitu pun gewang tetap dilontar di kawasan sekeliling setelah menyedari riak-riak sebarau menghambur di permukaan di kawasan air keruh. Dari hulu hingga menghala ke muara sungai kami pulang di boathouse dengan berpeluh kosong. Kosong dengan hasil dan berpeluh untuk hidupkan enjin yang semput.
Memandangkan ramai geng kami adalah jenis santai memancing, janji joran di air tanpa mempedulikan sangat bab joran. Suasana boathouse lebih menyerlah berbanding siang. Tidak kira kekerapan getuan ikan pada paras sederhana atau tiada langsung mereka ini tidak kisah.
Kopi ‘O’ cicah dengan biskut kering sambil berborak pasal kisah silam mendaki gunung sambil sesekali terhenti apabila baung dan lampam mengena mata pancing. Juadah yang sama juga ketika berkhemah di tepi sungai, lereng gunung mahupun puncak gunung, minuman panas dengan biskut untuk tenaga meneruskan perjalanan keesokan hari.
Kerana tiada kuasa persaingan untuk keluar memancing, awal pagi menjadi tidak begitu awal bagi kami yang lebih tertumpu pada mengilat. Bahagian yang paling malas ialah menghidupkan enjin sangkut yang uzur dimamah jam perjalanan sebelumnya. Seumpama senaman otot lengan pagi hari untuk hidupkan enjin yang semput.
Dari berdua kini bertiga bergerak mencari suak-suak yang berpotensi untuk mengilat. Memang sukar mengesan sebarau di kala air menyusut lebih dari 30 kaki. Sebarau lebih banyak merayau di kawasan terbuka berbanding suak bila musim hujan yang lewat tiba.
Begitu pun tak salah mencuba dan mencuba di serata spot hingga persimpangan ke Gua Bewah. Sambil bergurau kata nak beriadah dan lepak di Kenyir jadi ikan soal kedua.
Kalau dapat melihat aksi lenturan joran sekadar hiburan buat penggemar mengilat. Pening juga memilih jenis dan aksi gewang sesuai di kala ikan tidak begitu galak.
Ketika ini gewang yang pernah menerima sambaran dipilih kerana dirasakan peluang lebih tinggi. Dari puluhan gewang dilontar, tiga mendapat sambaran dan dua berjaya lolos dari mata gewang.
Ketika beberapa sambaran mengena saya sebenarnya sudah perasan kesan tapak kaki baru berdekatan gigi air. Saiz tapak gadang dan saiz kecil menunjukkan kawanan gajah bersama anak baru melepasi suak tersebut. Cuma diamkan diri sambil mengawal sampan ketika dua orang rakan saya melontar gewang.
Namun mata tetap memerhati sekeliling kawasan. Sekian lama berlalu barulah mereka berdua perasan mengenai kewujudan tapak kaki berkenaan. Apabila disergah oleh mereka jangan cari pasal barulah tangan mencapai ‘starter’ enjin sangkut. Mana tidak kalau ia menerpa enjin pulak tak mau hidup tidak ke menjadi kes naya!
Balik berehat dan bersantai di boathouse lebih elok pada tengah matahari memacak di kepala. Petang pula kami meneruskan saki baki waktu terluang dengan memancing bersama geng-geng yang sedang bersantai di atas boathouse.
Sejarah Penemuan & Penciptaan Mata Kail!!

Dalam dunia memancing, terdapat pelbagai jenis reka bentuk mata kail. Reka bentuk, saiz dan material mata kail pula adalah pelbagai dan bergantung kepada tujuan penggunaan mata kail tersebut.
Kepelbagaian ini merangkumi daripada mata kail pelbagai guna hinggalah kepada rekaan untuk penggunaan khusus. Mata kail direka untuk memegang umpan samada hidup, mati atau tiruan.
Penggunaan mata kail mungkin telah bermula beribu-ribu tahun dahulu. Antara mata kail terawal yang direkodkan ialah dari Palestin sekitar 7000 tahun lampau.
Pada tahun 2011, ahli arkeologi menemui telah menemui artifak mata kail di Gua Jerimalai, Timor Leste dipercayai berusia antara 16 000 – 23 000 tahun yang lalu.
Sejarah merekodkan rekaan mata kail diperbuat daripada berbagai jenis material. Ini termasuklah kayu, tanduk haiwan, tulang manusia, batu, tembaga, besi hinggalah kepada material yang digunakan sekarang.
Ketika lewat 50-an, masyarakat Norway masih menggunakan kayu juniper untuk membuat mata kail memancing ikan Burbot.
Mata kail daripada keluli mula membuat kemunculan di Eropah sekitar kurun ke-17 dan pembuatannya memerlukan kepakaran.
Mata Kail Tunggal, Berkembar dan Mata Tiga
Mata kail biasanya direka samada jenis bermata tunggal – mempunyai satu cangkuk; berkembar – mempunyai dua cangkuk; atau mata tiga – mempunyai tiga cangkuk.
Jenis berkembar biasanya digunakan untuk sesetengah umpan tiruan serta merupakan mata kail tradisional fly fishing bagi Atlantik Salmon flies.
Jenis mata tiga pula digunakan bagi kebanyakan umpan tiruan serta umpan lain yang sesuai.
Mata kail untuk umpan pasif merupakan jenis mata kail yang biasa kita lihat. Jika anda perhatikan lebih teliti, rekaan mata kail ini masih mempunyai sedikit perbezaan antara satu sama lain.
Antara nama mata kail jenis ini termasuklah Salmon Egg, Beak, Shark Hook, Aberdeen, Short Shank, J Hook, Circle Hook, Offset Worm, Tuna Circle, Carp Hook, Long Hook dan
lain-lain. Masing-masing direka khas dan mempunyai kelebihan masing-masing untuk diaplikasikan pada situasi tertentu.
Mata kail bagi fly fishing biasanya lebih kecil. Mata kail jenis ini dinamakan flies dan mempunyai pelbagai bentuk rekaan dan berwarna warni pada mata kail.
Rekaan flies biasanya menggunakan serangga sebagai pengaruh rekabentuk dan idea.
Antara nama mata kail jenis ini termasuklah Viking, Keel, Kendal, Limerick, Swimming Nymph, Captain Hamilton, Model Perfect dan lain-lain

Istilah duri pandan atau barb merujuk kepada cangkuk atau duri halus di bahagian bawah mata cangkuk. Kebanyakan rekaan mata kail mempunyai duri pandan.
Duri pandan bertujuan agar ikan tidak mudah terlepas setelah tercangkuk. Namun penggunaan duri pandan juga boleh memudaratkan ikan dalam sesetengah situasi.
Trip Throwback – Tenggiri Penyelamat Trip Jigging Pulau Jarak

Perairan Pulau Sembilan hingga ke Pulau Jarak bukanlah padang pancing asing bagi saya. Saya pernah beberapa kali melangsungkan trip memancing ke perairan Pulau Sembilan, namun setakat Pulau Sembilan saja.
Atas beberapa sebab terutamanya cuaca, trip memancing ke perairan Pulau Jarak sering berakhir di Pulau Sembilan. Malah, ada juga setakat berlegar-legar dan berlindung di perairan Pulau Pangkor.
Kali ini saya ke perairan Pulau Jarak lagi. Untuk sekian kalinya saya mengandaikan trip memancing ke Pulau Jarak akan terbantut lagi. Apatah lagi ketika memandu secara solo ke Lumut, cuaca agak kurang memberangsangkan.
Hampir seluruh negeri hujan turun termasuk negeri Perak yang menyambut kedatangan saya dengan hujan juga. Tapi mujurlah… (lega yang amat) trip hari pertama ini cuaca merestui kami. Tiada hujan yang turun dan angin yang menjadi penentu sesuatu trip memancing ke perairan jarak juga agak ramah.
Walau bagaimana pun berikutan cuaca yang tidak menentu itu, tekong bot Baby Tuna mengambil keputusan menguji kawasan berdekatan terlebih dahulu sebelum ke perairan Pulau Jarak.
Mungkin disebabkan faktor cuaca yang agak muram dan arus turut sama lemah-gemalai, ia sangat mempengaruhi hasil pancingan kami hari itu. Seolah-olah ikan mengambil kesempatan di sebalik cuaca yang murung dengan berkurung di dalam sarang masing-masing.
Membawa ke petang apa yang kami peroleh adalah ikan-ikan kecil yang menjadi diet pemakanan kepada ikan-ikan pemangsa monster. Terutamanya spesies conor dan pelbagai spesies kerapu berstatus juvenil. Tatkala waktu memancing berbaki kurang dua jam, barulah suasana kembali meriah di Baby Tuna.
Ia bermula dengan jig yang saya gunakan disambar sesuatu sehingga menyebabkan perambut putus ketika dalam proses jig tenggelam ke dasar. Hampir serentak pada waktu seorang lagi pemancing di bahagian hadapan bot mengalami situasi yang sama.
Namun nasib berbeza dialami oleh dua orang pemancing yang berada di bahagian tengah bot. Melihat pada kesan gigitan pada tali perambut yang agak tidak kemas, saya jangkakan ia adalah perbuatan alu-alu.
Namun spesies yang berjaya dinaikkan oleh dua pemancing di bahagian tengah bot rupanya adalah spesies Spanish mackerel ataupun tenggiri.
Menyedari kehadiran spesies bergigi tajam itu hampir kesemua pemancing beralih arah daripada memburu boron kepada spesies tenggiri. Hasilnya, beberapa ekor lagi tenggiri berjaya didaratkan. Sementara beberapa orang pemancing lain kehilangan jig termasuklah saya sendiri.
Setelah kawanan tenggiri yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba, kami meneruskan sesi memburu boron sehingga tamat tempoh memancing dan bertekad untuk memburunya lagi pada keesokan hari.