
SOALAN:
Benarkah lebih baik mengikat gewang secara terus pada leader lebih baik daripada menggunakan kili? Dan apakah kili yang sesuai untuk disambungkan kepada gewang?
JAWAPAN:
Memang tepat sekali mengikat terus gewang pada leader lebih baik daripada menyambungkannya pada kili.
Namun ia akan menimbulkan kesulitan dalam proses penukaran gewang. Ini kerana setiap kali ingin menukar gewang, ikatan perambut perlu dipotong dan dibuat yang baru.
Ia bukan saja memakan masa malah ia akan menyebabkan leader perlu dipotong akan menjadi semakin pendek. Semakin banyak gewang ditukar maka semakin pendek leader jadinya.
Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan kili yang bersesuaian. Penggunaan kili yang besar akan menyebabkan renangan gewang akan terjejas kerana ia mengjalang pergerakan air menerusi lidah terhalang.
Sekaligus menyebabkan gewang tidak berenang dengan cantik. Jadi, gunalah kili yang lebih kecil tetapi kuat dan tahan lasak.
Sebenarnya banyak terdapat kili yang kecil dan kuat terjual di pasaran. Anda boleh mencarinya dengan mudah atau tanyalah pekedai untuk khidmat nasihat bagi mendapatkan kili yang sesuai untuk gewang.
Begitu pun, saya lebih menyukai kili dari jenis coastlock snap swivel yang bersaiz kecil kerana ia tidak banyak menjejaskan aksi renangan gewang dan tahan lasak.
Trip Retro – Jerangkung Sungai Kuantan

Kalau merujuk kepada nama saintifiknya, berbelit juga lidah hendak menyebut. Tetapi bagi kaki pancing, si perayap dasar ini mempunyai pelbagai nama mengikut dialek masing-
masing seperti pak janggut, jerangkung, sepit biru, agang, adoi-adoi, apek, jenggo dan bermacam-macam lagi.
Udang galah menghuni sungai air tawar dan air payau dari utara tanah air hingga ke selatan tidak ketinggalan Sabah dan Sarawak.
Ia diburu kerana keseronokan memancingnya selain rasa yang enak dan harga yang tinggi di pasaran.
Selain Rompin yang terkenal dengan udang galah, ibu negeri Pahang juga apa kurangnya iaitu Sungai Kuantan yang begitu meriah terutama di hujung minggu dengan kehadiran bot-bot pemancing dalam misi memburu penghuni bersepit di dasarnya.
Saya juga tidak ketinggalan menduga penghuninya. Jam 8 pagi, saya dan Nazam sudah terpacak di tepi tebing Sungai Kuantan menunggu kehadiran seorang lagi rakan, Azuan, empunya bot.
Setelah memasukkan barang-barang dan set alatan pancing, enjin Mercury 3hp dihidupkan maka bermulalah pencarian sepit biru Sungai Kuantan.
Walaupun enjin sangkut milik Azuan kecil kuasa kudanya namun terbukti mampu memacu bot fiber 12 kaki yang memuatkan kami bertiga.
Faktor arus Sungai Kuantan yang lemah gemalai juga membantu. Kalau arusnya laju memang tidak bergeraklah bot dibuatnya.
Kami yang turun padang bukan pada hujung minggu nyata lega kerana terdapat hanya 3 buah bot sahaja pada pagi itu.
Menyusuri sungai yang airnya kuning kemerah-merahan agak mengusarkan hati. Apakah udang sudi menjamah umpan yang bakal dihulurkan.
“No problem.. saya suka juga memancing kalau air macam ni,” jawapan Azuan menghambat kerisauan di hati.
Sekurang-kurangnya ia dapat menyedapkan hati sendiri.
Lebih kurang 5 minit perjalanan, Azuan selaku tekong mematikan enjin, sauh dilabuhkan dan tunggu apa lagi.
Lima batang joran saya segera memulakan tugas dan mata mula tertumpu pada hujung joran.
Azuan mendaratkan tangkapan pertama bersaiz remaja. Beberapa minit kemudian hujung joran saya bergetar tanda umpan telah dingap.
Kekili dikarau dan hasilnya seekor anak ikan yang tumpang sekaki menjamu selera.
Nazam dan Azuan mempunyai marking lubuk yang banyak untuk dikunjungi. Lepas satu lubuk, satu lubuk dicuba yang mana bot diparkir di tengah sungai dan umpan dilempar ke arah lubuk sasaran.
Apabila kulit mula terasa perit dipanah cahaya matahari, kami beralih ke lubuk yang hampir dengan kawasan rimbunan pokok.
Di lubuk teduh yang pertama kami singgah, suasana menjadi kelam kabut sedikit.
Apa tidaknya, joran Nazam membongkok diasak penghuni sungai yang belum diketahui apakah gerangannya. Yang pasti ia bukannya kerja si udang.
Kekili di karau. Tangsi sekejap tegang, sekejap kendur dan akhirnya mangsa menampakkan muka.
Seekor belida dalam lingkungan 2kg telah meragut umpan. Sayangnya di saat-saat akhir ia berjaya memutuskan perambut.
Kemunculan belida tadi nampaknya berjaya membakar kembali semangat kami yang mula luntur sedikit kerana keletihan setelah berpanas separuh hari.
Makin kerap umpan diperiksa dan ditukar. Umpan isi ikan yang dibiarkan terlalu lama akan menyebabkan ia bertukar warna menjadi kekuningan akibat faktor air.
Sudah pasti udang enggan menghampiri. Dalam erti kata lain, kalau nak dapat hasil kenalah rajin memeriksa umpan.
Lubuk Mengkuang adalah lubuk terakhir dikunjungi sebelum kami bertolak pulang. Dengan hasil tangkapan yang agak lumayan untuk sesi pancingan separuh hari, memang berbaloi turun memancing di Sungai Kuantan.
Bagi mereka yang berani dan untuk lebih mencabar, bolehlah memancing pada waktu malam yang pastinya menjanjikan hasil yang memuaskan hati.
Sememangnya memancing udang galah mempunyai feel dan keseronokan tersendiri.
Merasai henjutan di hujung joran yang lembut menggamit peminatnya turun memancing walaupun ada ungkapan ‘di mana ada udang, di situ ada buaya’.
Kita hanya mencari sedikit rezeki sambil melayan hobi.
Trip Tenggiri : Jigging VS Live Bait

Apabila diberitakan oleh tekong tersohor perairan Pelabuhan Kelang iaitu Pokmud, bahawa tenggiri ditemui memasuki salah satu kawasan boya, berhampiran dengan kawasan kapal
parkir, saya segera mengatur trip mengejut bersama dua orang rakan. Ekoran status trip itu lebih menjurus kepada trip percubaan, Pokmud meminta kami mengisi minyak bot saja.
Nasib kami agak baik kerana tidak perlu membuang banyak masa mencari umpan hidup berikutan di kawasan boya itu sendiri sudah boleh mendapatkan selar kuning dan tamban.
Kami mempercepatkan lagi proses mencari umpan sekaligus memulakan sesi memancing ikan sasaran, bot ditambat terus pada boya.
Pokmud memulakan sesi memburu tenggiri dengan menggunakan umpan hidup. Umpan dilabuhkan ke dasar, digantung pada paras pertengahan air dan dibiarkan hanyut di permukaan air.
Ketiga-tiga teknik pancingan itu dilakukan bagi mengesan zon strike. Sementara kami bertiga di bahagian hadapan bot pula melakukan teknik pancingan yang berbeza juga.
Seorang mencuba teknik casting dengan gewang. Seorang lagi mencuba dengan teknik fast jigging dan saya pula bermain slow pitch jigging.
Waktu air bergerak pasang sepenuhnya tidak banyak berbaki sekitar tiga jam saja. Apabila pasang mati dan bergerak surut serta berubah arah nanti, kami harus meninggalkan boya itu kerana ikan-ikan berpindah lubuk.
Untuk tempoh 3 jam lebih ini saya perlu buktikan sesuatu. Saya adakan satu cabaran untuk melihat teknik mana yang lebih cepat menjerat tenggiri.
Sama ada teknik moden atau konvensional yang lebih efisien.
Hampir satu jam berlalu, salah satu pancing Pokmud mengena. Joran pancingan dasar Pokmud yang mengena.
Memandangkan ia teknik pancingan dasar, saya yakin bukanlah tenggiri membaham umpan selar kuning. Dan terbukti ia bukannya tenggiri.
Saya jangkakan talang, rupanya aruan tasik. Tidak lama kemudian jig saya pula diragut ketika mengetuk dasar.
Sepadan dengan tabiat mencari makan di dasar, saya sekadar mendaratkan mentimun.
Tatkala kami bertiga mula memperlahankan rentak setelah bekerja keras hampir dua jam, dengan hanya berjaya mendaratkan mentimun tunggal dan cencaru, salah satu pancing Pokmud mengena lagi.
Kali ini bukan set pancing dasar yang mengena. Dalam masa yang agak singkat, seekor tenggiri bersaiz sederhana berjaya didaratkan.
Setengah jam kemudian, seekor lagi tenggiri yang berjaya didaratkan. Kali ini agak kasar juga sekitar 5 kilogram. Kedua-dua tenggiri itu mengambil umpan di pertengahan air.
Dengan pendaratan dua ekor tenggiri oleh Pokmud itu secara tidak langsung menamatkan cabaran yang saya adakan.
Terbukti teknik moden yang kami praktikkan gagal menewaskan cara konvensional menjerat tenggiri.
Ternyata umpan hidup yang merupakan diet sebenar menjadi pilihan tenggiri. Dan sebelum arus mati dan berubah arah, Pokmud sekali lagi membuktikan kehandalannya apabila berjaya mendaratkan seekor ikan mandi abu melalui teknik jigging perlahan.
Berejam lamanya kami bermain jigging perlahan tanpa hasil memberangsangkan tetapi Pokmud berjaya menghasilkan sesuatu dalam masa yang singkat.
Ia benar-benar umpama satu tamparan kepada kami sekaligus mengangkat bendera putih!
Trip Santai Buru Si Lampam Liar

Mungkin pada tanggapan sesetengah orang, memancing ikan lampam bukanlah satu cabang memancing yang popular.
Senang cakap, takde kelas! Tapi kami tidak peduli itu semua. Pedulilah apa orang nak kata janji kami seronok dengan aktiviti dilakukan.
Pedulilah ada kelas tak. Memancing je pun… buat apa nak kena ada kelas atau tak. Lagi pun apa yang kami lakukan bukanlah satu kesalahan.
Aktiviti mencari lampam agak sinonim dengan kami. Sebenarnya bukan lampam saja yang kami gemar pancing.
Kami lebih gemar memancing ikan-ikan liar termasuklah baung dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan-ikan manis.
Biasanya ikan yang kami dapat itu kami akan bakar atau masak di tempat itu juga.
Oleh kerana itulah kami mencari ikan-ikan liar di sungai, tasik, lombong atau kolam (bukan kolam pancing komersial) yang bersih dan sihat kualiti airnya.
Bila air cantik barulah ikan yang dipancing enak dan manis rasanya.
Hobi memancing untuk ikan berlauk ini juga merupakan salah satu alternatif riadah.
Walaupun memancing agak santai dan rilek tetapi kebanyakan kawasan memancing yang kami pergi tidak boleh diakses dengan kereta secara terus.
Sesetengah tempat kami terpaksa berjalanan kaki sehingga setengah jam.
Biarpun agak penat untuk ke lokasi tetapi merasa aman dan damai dikelilingi alam semulajadi yang indah dan tenang.
Ia sama sekali tidak sama dengan suasana memancing kolam-kolam memancing bebayar.
Disebabkan itulah kami ke merata tempat semata-mata mencari ikan berlauk…. walaupun ia cumalah lampam.
Dan walaupun ia cuma lampam tetapi keenakkannya sukar untuk diperbandingkan. Lampam digoreng garing-garing pun sudah cukup sedap diratah begitu saja.
Apatah lagi kalau dibuat gulai tempoyak atau goreng berlada.
Pada kebiasaannya kami memancing lampam menggunakan umpan alternatif berasaskan dedak, roti dan pes perisa.
Lebih kurang sama dengan umpan yang digunakan untuk memancing di kolam berbayar. Cabaran memancing lampam adalah kesabaran perlu tinggi.
Lampam perlu dirasuah dengan bancuhan dedak yang banyak. Dan apabila ada seekor lampam yang terkena mata pancing, selepas itu barulah keseronokan bermula.
Keseronokan berganda jika menggunakan set pancingan ultra ringan. Tarikannya memang mengujakan!