Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada kepupusan `Raja Sungai’ iaitu spesies ikan kelah. Atau dalam erti kata lainnya, walau apapun alasan yang diberikan, sedikit sebanyak kita sebagai pemancing merupakan penyumbang kepada kepupusan ikan kelah hari ini.
Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan tempat perlindungan dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.
Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.
Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir. Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.
Ads
Sama ada anda datang ke Tasik Kenyir sebagai pemancing atau pelancong, sewajarnya SIK di Lubuk Kejor, Sungai Petang disenaraikan dalam tentatif anda. Pada dasarnya Santuari Kelah Sungai Petang ini dibina dengan objektif mengekalkan sumber akuatik dan bio diversity, menjadikan Sungai Petang sebagai pusat pembenihan ikan, memulihara dan mengggalakkan pembiakkan spesis ikan asli Tasik Kenyir, membangun dan mempertingkatkan produk pelancongan berasaskan eco tourism serta memulihara alam sekitar bagi menentukan habitat ikan tidak tercemar.
Kehadiran kita ke SIK sebenarnya bukanlah tiket untuk memenuhkan tabung pihak yang mengusahakan santuari ini sebaliknya membantu populasi ikan yang kian terancam kepupusannya. Hanya di sini sahaja pemancing atau sesiapa sahaja bukan sekadar dapat melihat malah menyentuh dan bermain-main dengan spesies raja air tawar iaitu kelah merah.
Ads
SIK Sungai Petang terletak di Sungai Petang dengan jarak sekitar 21 kilometer dari Pengkalan Gawi. Menaiki bot laju ia memakan masa sekitar 40 minit perjalanan ke Pos Kawalan Santuari Kelah Sungai Petang, seterusnya anda akan dibawa ke Hentian 1. Dari Hentian 1 anda akan merentas denai dan meniti jambatan gantung dengan jarak sekitar 1.7 kilometer sebelum tiba ke lubuk untuk menimba pengalaman yang tak ternilai bermain dengan spesies idaman para pemancing satu Malaysia ini.
Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu. Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).
Ads
Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.
Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari. Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Komplot Silaturahim Team Pacak Strike (TPS) merupakan acara yang dinanti-nanti oleh para ahli saban tahun.
Pada tahun ini kami telah bersetuju memilih Kolam Pancing KMK, yang terletak di Sik, Kedah sebagai lokasi komplot kerana prasarananya yang lengkap.
Terdapat dua buah kolam di KMK. Kolam 1 merupakan kolam berlauk. Para pemancing boleh membawa pulang semua hasil pancingan di Kolam 1.
Antara spesies yang ada di dalam Kolam 1 ialah rohu, pacu dan tongsan.
Kolam 2 pula merupakan kolam tangkap dan lepas. Spesies yang menghuni Kolam 2 ialah patin Mekong, patin, tongsan, pacu, keli dan jelawat.
Pemilik kolam mesra dipanggil Abang Zul dan Kak Suezly.
TPS merupakan sebuah group Facebook (www.facebook.com/groups/TeamPacakStrike) yang ditubuhkan pada tahun 2014 sehingga kini.
Komplot ini telah dianjurkan pada 25 Ogos 2018. Jam 8.30 pagi para peserta komplot mendaftar diri. Pada 9.00 pagi taklimat berkaitan komplot diberikan oleh M.Nasir Ghazali TPS.
Pertandinagn memancing akan dimulakan pada 9.30 pagi hingga 1.30 petang. Seramai 40 ahli yang dapat turut serta komplot kali ini.
Antara ahli-ahli TPS yang dapat turut serta ialah Zack Zainal, Thebearu Nizam, NazimChik, Shahrin, Pidot Sehak, Ramli Hussin, Pakku, Naz Damaift, Muhd Adam, Amizan Azmi, Syahir Aed, Ikan Darat CRS, Kirin CRS, Zam Kenari, Firdaus, Bihi, Fatah, Badrul, Ady Jebat, Jdy Jdy, Ady Kenyalang, Jf Facehook, Suhaila, Jan, Bang Ya, Fazlan, Yusnizam, Khairul, Bob, Rohairy Bezz.
Objektif utama komplot ini dianjurkan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli dan membantu mempromosikan kolam-kolam pancing demi merancakkan lagi hobi memancing ini.
Disamping itu, komplot ini juga dapat memberi banyak faedah seperti berkongsi pengalaman dan ilmu-ilmu berkaitan dunia pemancing tidak kira sama ada di kolam, sungai, lombong, tasik mahupun lautan.
Sarapan pagi dan makan tengah hari juga disediakan oleh ahli dan pengusaha kolam.
Alhamdulillah rezeki jangan ditolak, kawan kenalah cari. Acara wajib setiap komplot TPS ialah pertandingan memancing. Pelbagai aksi dan gelagat dapat dilihat sepanjang pertandingan berlangsung.
Keakraban, kemesraan dan keikhlasan dapat dirasai dan dinikmati. Antara spesis ikan yang berjaya dipancing sepanjang pertandingan berlangsung ialah mekong, patin, pacu dan jelawat.
Aktiviti ini juga dapat mengurangkan stress dan dapat meningkatkan tahap kesabaran para ahli TPS. Bagi memeriahkan komplot ini berbagai-bagai hadiah disediakan oleh admin TPS.
Antara hadiah yang disediakan ialah wang tunai, rod pancing, blank rod for custom, produk papa paste dan peralatan memancing. Tahniah kepada para pemenang.
Terima kasih kepada penyumbang hadiah Ikan Darat CRS, Adha & Man Daim Papa Paste, Rohairy Bezz, Pakku dan TPS.
Alhamdulillah, komplot kali ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami Team Pacak Strike.
Setelah bersarapan di jeti awam, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan.
Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot.
Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
Kami menaiki boathouse Sahabat Alam untuk masuk ke Royal Belum. Sebanyak 3 bot fiber ditempah oleh penganjur untuk keluar memancing.
Selesai meletakkan barang masing-masing, ahli trip sibuk mempersiapkan kelengkapan sambil bersuai kenal sesama mereka.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas.
Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini.
Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan.
Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing.
Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing.
Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju.
Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan keempat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain.
Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook.
Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong.
Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut.
Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa pula sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot.
Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka.
Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper.
Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah.
Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman.
Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi.
Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan
sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran.
Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali. Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa.
Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun.
“Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku.
Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan.
Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik.
Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot.
Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang.
Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya.
Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut.
Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain.
Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau.
Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini.
Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram.
Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung.
Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ.
Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan.
Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat.
Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
PENUTUP
Trip kali ini dianggap berjaya dan menyeronokkan. Kebanyakan ahli trip berpuas hati dan gembira dengan perjalanan program yang diatur.
Tekong-tekong dari boathouse Sahabat Alam amat mesra dan penginapan juga selesa.
Semua yang hadir ingin datang lagi ke sini malah ada yang telah berkira-kira tarikh yang sesuai pada masa akan datang. Jika ada kesempatan, saya juga ingin ke sini lagi.
Seawal jam 4 pagi kami bersiap untuk turun ke jeti memandangkan pertukaran masa di Labuan lebih awal berbanding Semenanjung. Kami mula bergerak ke spot pertama iaitu kawasan karang luas. Jarak pancingan sejauh 35 batu nautika mengambil masa satu jam bersandarkan enjin bot kembar 115 kuasa kuda. Menurut Haji Nasir, target utama di sini ialah spesies kerapu sunuh dan kerapu bara. Jig yang disarankan sekitar 40 g – 80 g.
Tiba di spot karang luas, kami mulai mengunjun jig. Tidak menunggu lama Hidayat mendapat sambaran pertama iaitu kerapu bara berskala 1kg dengan padanan rod Expert Graphite Independence kekuatan pe 2.5 dengan teknik slow jigging.
Tidak lama, Kaizer dan Firdaus pula mendapat sambaran di spot yang sama. Ternyata kawasan batu karang ini penuh dengan spesies kerapu. Teknik slow jigging dengan menggunakan jig 40 g hingga 60 g amat efektif di sini.
Sedang saya tekun mengunjun jig besi di bahagian hadapan bot, kedengaran suara riuh rendah di belakang bot. Rupanya Johari Jamil mendapat sambaran padu yang datang dari dasar. Kelihatan di permukaan air seekor ikan kerapu anggaran 5 kg yang agak jarang ditemui.
Menurut Tekong Haji Nasir, spesies ini dikenali sebagai kerapu pulut oleh penduduk tempatan dan ikan ini tergolong antara ikan gred A selain harganya agak mahal di pasaran. Tidak beberapa lama selepas itu, Firdaus pula menerima strike daripada spesies sama dengan anggaran berat 2 kg.
Setelah seharian mengunjun jig, hasil tangkapan kami amat memuaskan dengan tangkapan kerapu bara dan kerapu tikus memonopoli hasil tangkapan. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, lantas tekong bersuara menyarankan kami untuk pulang ke jeti dan meneruskan aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Keesokannya, tekong membawa kami ke spot berdekatan pelabuhan iaitu kawasan kapal karam. Di sini target utama kami ialah kerapu ‘tong gas’. Tekong menyarankan kami melepaskan jig besi setelah hon bot dibunyikan untuk mengelakkan jig tersangkut di atas kapal karam ini.
Setelah mendapat kedudukan yang sesuai, Faizal Nizam menjadi orang pertama mendapat tarikan padu daripada dasar. Selang beberapa minit, seekor kerapu anggaran 2 kg tewas menyerah diri. Sang kerapu nampaknya tidak berdaya melawan padanan rod Expert Graphite Mirage PE 0.8 – 1.5.
Setelah kami jauh berhanyut dan tiada sambaran daripada penghuni dasar, tekong menyarankan kami berpatah balik kepada kedudukan asal tadi. Selang beberapa minit jig kami mencecah dasar, tiba-tiba seorang demi seorang mendapat tarikan padu.
Tidak semena-mena, bagai pesta suasana kami di atas bot apabila triple strike berlaku. Firdaus mendahului dengan ebek kapak berskala 9 kg hasil padanan rod pink Expert Graphite Genius PE1-3 diikuti oleh Hidayat dan Johari Jamil.
Masing-masing mendapat strike daripada ebek kapak yang cukup terkenal dengan larian spool outnya. Setelah berhempas pulas bertarung, kelihatan wajah kepuasan terpancar pada setiap team Expert Graphite ini. Hasilnya, sebanyak 8 ekor ebek kapak tewas pada hari itu tanpa sebarang masalah. Terbuktilah jenama mampu milik ini tidak kurang hebatnya dan ternyata lasak sepanjang trip di Labuan ini.
Jam menunjukkan tepat pukul 1 petang, menandakan tamatnya aktiviti jigging setengah hari kami di perairan Labuan. Meskipun hanya sehari setengah di perairan Labuan, namun pengalaman bertarung dengan spesies ikan di sini sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...