Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) merupakan pertandingan memancing ikan berparuh (billfish) berstatus antarabangsa dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui agensinya Kementerian Pelancongan Malaysia (Motac) Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), dengan sokongan penuh Tourism Pahang Malaysia dan Pejabat Parlimen Rompin. Acara yang di kolaborasi oleh Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) serta dibantu oleh Persatuan Memancing Rompin selama tiga hari bermula dari 15 hingga 17 September bertempat di Lanjut Golden Beach & Golf Resort.
Antara barisan dif kehormat yang hadir pada majlis pelancaran dan penyerahan tajaan RPBIC.
Menurut anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, pertandingan ini yang merupakan acara tahunan sejak 2004, berjaya meletakkan Rompin sebagai antara destinasi pelancongan khususnya untuk kaki pancing.
“Edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM44,000 dan melibatkan 13 buah negara termasuklah Malaysia sebagai tuan rumah. Sementara penyertaan kali sedikit merosot apabila 14 pasukan daripada Indonesia dan Filipina menarik diri pada saat-saat akhir. Hanya 78 orang peserta dan 26 buah bot memancing terlibat dalam acara ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran RPBIC 2017, Sabtu lalu.
IKLAN
Hasan Arifin (tengah) ketika sesi sidang media.
Turut hadir dalam acara perasmian dan pelancaran peserta RPBIC 2017 ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya, anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Pegawai Daerah Rompin Datuk Mohd Zulkifli Hashim
Menurut Edros Yahya, acara yang dianjurkan bagi mempromosikan Rompin sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti memancing spesies berparuh kepada pemancing tempatan, serantau dan antarabangsa.
IKLAN
Antara bot memancing yang bersedia untuk memulakan kejohanan.
“Penyertaan bagi acara RPBIC tahun tampak sedikit suram berikutan 14 pasukan menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kejadian itu tidak berlaku, ia sebenarnya satu pencapaian memberangsangkan sebagaimana acara pada tahun lalu yang berjaya mengumpul 40 pasukan terdiri daripada 120 orang peserta.
“Biarpun kami hanya mampu mengumpulkan 78 orang pemancing dari 13 buah negara namun 40 orang peserta sekali menjadi peserta paling ramai yang menyertai acara ini adalah peserta dari luar negara berbanding hanya 38 orang sahaja peserta tempatan.
IKLAN
“Selain Malaysia, negara lain yang menyertai acara ini terdiri daripada negara Austria, Singapura, Thailand, Taiwan, China, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei, Filipina, Afrika Selatan, India dan Norway.”
Para dif kehormat membunyikan siren pelepasan para peserta.
Memandangkan aktiviti memancing spesies berparuh ini mampu menjana pertumbuhan yang baik, beliau amat berharap konsep ‘tangkap dan lepas’ perlu diterapkan bukan sahaja oleh peserta RPBIC malah kepada semua pemancing dan bukan hanya di Rompin sahaja malah di mana jua spesies layaran ini dipancing. Dan Edros Yahya turut mengumumkan di media sosial Isnin lalu tarikh 14-16 September 2018 telah dipilih bagi melangsungkan RPBIC kali ke-15.
Pemancing sabotaj Sungai Selangor? Biar betul! Tapi kenapa selepas tiga hari dihalau dari lokasi memancing baru berlaku tumpahan minyak? Apa-apa pun mari kita lihat petikan dan tajuk-tajuk berita berkenaan isu ini.
“KUALA SELANGOR – Tiga individu yang memancing di pontun milik Two B Machineries, kontraktor Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dipercayai menjadi punca pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat KSSB malam tadi, mereka mendakwa terdapat tiga pemancing di kawasan pontun itu beberapa hari sebelum pencemaran berlaku.
Katanya, berdasarkan keterangan KSSB, kemungkinan pemancing berkenaan bertindak membuka klip dua tong minyak yang mengandungi lebih 100liter diesel dan menumpahkannya ke dalam Sungai Selangor.
“Mungkin pemancing itu membuat sabotaj selepas diarahkan keluar dari kawasan terbabit.
“Pada mulanya, mereka tidak menghiraukan arahan untuk keluar itu kerana leka memancing namun tetap keluar selepas diminta berbuat demikian,” katanya pada sidang media di Loji Sungai Selangor Fasa 2 (SSP 2), di sini hari ini.
Bagaimanapun, Noor Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan sama ada pencemaran terbabit disebabkan tindakan sabotaj atau kecuaian selain turut mengenal pasti tiga individu berkenaan.
Katanya, setakat ini pihaknya hanya mendapat info suspek menaiki motosikal jenis Honda EX 5 namun tidak mempunyai nombor pendaftaran motosikal terbabit.
“Ramai pemancing yang selalu datang ke ke situ namun kita tidak dapat sahkan individu mana yang melakukan tindakan berkenaan.
“Kawasan pontun itu terbuka mengikut laluan air dan kemungkinan banyak ikan di bawah pontun itu hingga ada yang memancing di situ,” katanya.
Beliau berkata, siasatan menyeluruh berkenaan perkara itu akan dijalankan bersama pihak KSSB, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.” – Berita Harian Online.
Awal-awal pagi lagi, saya telah bangun dan bersiap. Saya membelek apakah warna gewang yang mahu dipertaruhkan. Antara gewang yang saya bawa termasuklah top water, minnow dan juga selaman dari jenama Rapala, Storm serta Halco, termasuklah gewang yang dikatakan killer Halco Sorcerer 125.
Manakala set joran yang saya bawa adalah joran 10-25lb berserta kekili Daiwa Ryoga 160HL yang dipadankan dengan tali 25LB dan perambut 40lb. Kami melalui banyak spot yang berpotensi. Namun hanya GT juvenil dan siakap merah sahaja menjadi penghibur.
Sentapan yang kuat pada mulanya saya anggap tembaring, tetapi hanyalah siakap merah yang terlekat di mata tiga gewang. Situasi yang sama juga berlaku pada sebelah petangnya. Kali ini lebih teruk kerana perubahan air pasang surut yang terlalu cepat bagaikan torpedo menyebabkan ia langsung tidak sesuai untuk casting dan juga trolling.
Apa yang menggerunkan saya adalah, selain tembaring, sungai ini juga dipenuhi buaya dan mereka menasihati, buat tidak tahu sahaja fasal itu. Setakat ini, buaya di Sungai Paitan pernah tidak kacau orang. Walau diberi jaminan oleh mereka, rasa gerun itu sebenarnya tidak boleh dielakkan.
Pada sebelah petangnya kami mencuba nasib di sebuah anak sungai yang agak terpencil yang dipenuhi dengan daunan nipah yang tenggelam. Kami mencuba menggunakan gewang selaman dalam tetapi hanyalah kawanan bulan yang sudi menyambar.
Kami menukar teknik menggunakan gewang permukaan. Sentapan pertama hasil daripada lontaran Ujang telah disambut oleh sang tembaring. Aksi akrobatik ikan yang menyambar gewang di tepi sampan kami membuatkan semua tergamam tapi sayangnya kurang kemas.
Semua yang berada di atas sampan menukar gewang pensil termasuk la saya sekali. Balingan ke celah-celah dahan nipah yang tenggelam membuahkan hasil apabila di sambut kemas sang kanai. Ternyata kudrat ikan ini amat dasyat! Kekili dan joran saya di henjut habis, saya cuba mengetatkan drag sedikit demi sedikit dan akhirnya tembaring berskala anggaran lebih 3 kilo menunjukkan dirinya di tepi sampan.
Di dalam hati saya, “yesss akhirnya dapat lesen! Tetapi sayang sekali henjutan ala-ala torpedo di saat akhir membuatkan saya berputih mata.
Sahabat saya, Ralf yang berada di belakang sampan membuat lontaran yang sama ke arah belakang dan akhirnya menerima sambaran sang kanai dan berjaya mendaratkan kanai berskala 1.5kg.
Kami semakin bersemangat untuk memburu spesies ini. Semakin hari menjelang malam semakin banyak sentapan ganas sang kanai diterima, tetapi semuanya tidak berjaya didaratkan. Hati semakin membara untuk membalas dendam pada keesokan hari.
Hari Ketiga
Hari ketiga casting, saya berdoa semoga ada tembaring yang berjaya didaratkan. Daus dan Farhan membawa kami ke jaluran delta Sungai Paitan yang lain pula. Kali ini berhampiran dengan muara laut.
Pagi itu, kami memulakan aksi dengan trolling terlebih dahulu. Daus berkata kepada saya, hari ini kami pasti akan berjaya mendaratkan hasil. Malangnya sehingga ke tengah hari saya masih belum mendapat apa-apa sambaran.
Hanya todak dan baby GT sahaja yang sudi menyambar gewang. Bot yang satu lagi juga belum ada menampakkan tanda tembaring akan diperoleh. Sesi sebelah petang, kami bertukar lokasi lagi.
Akhirnya, tiba di satu spot yang berpotensi, saya melontarkan gewang permukaan Zerek trail weaver 65cm ke arah tebing. Karauan selepas lontaran kali ketiga, tiba-tiba sahaja air di permukaan berkocak perlahan dan terus serta-merta sahaja tali menegang.
Saya hanya mampu menahan tali yang mencurah keluar dari kekili Ryoga 1016HL dengan karauan begitu sukar dilakukan. Akhirnya larian yang disyaki tembaring ini gagal dikawal dan akhirnya putus selepas ia memasuki reba. Terkesima saya seketika.
Ralf akhirnya memecah kebuntuan apabila dia menaikkan seekor tembaring yang masih baru. Tidak lama kemudian, dua kali lagi Raif menerima strike, namun tetap gagal menaikkan apabila dengan mudah gewang tersangkut direba.
Di lubuk berhampiran, saya sekali lagi mendapat sambaran, namun gagal menaikkan ikan ini. Kesnya sama sahaja iaitu, tali mencurah keluar bagaikan air walaupun drag diketatkan habis.
Malam itu, kami rancak bercerita perihal kejadian yang berlaku di siang harinya sambil saya sempat juga berkenalan dan lepak dengan beberapa orang pemuda kampung yang pulang dari memancing dasar. Dengan menggunakan umpan ikan jenjulung dipotong dua, mereka pun berjaya memperoleh tembaring dan kerapu.
Hari Keempat
Ia hari terakhir saya di Sungai Paitan ini. Sama seperti hari semalamnya saya beranggapan hari ini tuah akan mengiringi nasib saya. Namun malangnya, saya dan Ralf asyik dibuli sahaja.
Kami hanya merasai tarikannya sahaja. Alam akhirnya berjaya memperoleh seekor tembaring, namun ia masih bersaiz juvenil. Saya pula masih kumpau. Hari itu, kami hanya memperoleh siakap merah dan alu-alu sahaja.
Perjalanan Pulang
Dalam kapal terbang pulang ke Semenanjung, saya masih terbayang peristiwa sepanjang memancing di Sungai Paitan ini. Saya begitu mengagumi kehebatan dan kegagahan tembaring ini. Peristiwa dibuli tembaring menyebabkan saya bertekad untuk datang lagi ke Sungai Paitan ini.
Sepanjang tempoh lautan bergelora, pelbagai acara pancingan ’atas darat’ mengambil-alih. Ada yang ke tasik, casting sebarau. Ada yang mencari toman dan juga peacock bass. Tidak kurang juga yang meresap ke paya mengilat haruan.
Segelintir turun ke kolam komersial untuk pacak patin, rohu dan pacu. Yang penting jari yang diserang ‘parkinson’ mesti diubati segera.
Dek kerana kerinduan terlampau, maka D’ Senu Anglers telah membulatkan nekad untuk turun juga. Trip pancingan bottom yang dirancang sekian lama menjadi nyata. Lapan orang pemancing yang akan menyertai trip ini sudah pun bersedia.
Bateri untuk kegunaan mesin elektrik sudah dicas penuh. Batu ladung besar penumbuk pun dibawa. Sambil menunggu rakan yang belum sampai, kami ngeteh dulu. Bila sudah cukup komplot, kami terus bertolak dalam pukul 12.30 pagi dan subuh kami sampai di jeti Mersing.
Kami menggunakan khidmat Tekong Azahar. Selesai barang keperluan dan peralatan tempur dimasukkan ke atas bot, maka bot menyusur kuala menuju ke perairan Pulau Aur.
Macam biasa, siapa yang asyik menguap dari tadi mengambil tempat di dalam dek bot untuk melelapkan mata.
Yang lain menyiapkan perambut dan sebagainya sebelum sampai ke port memancing. 4 jam perjalanan, tekong singgah di unjam pertama untuk mencari ikan umpan.
Acara apollo cukup meriah. Selar, tamban, selar kuning dan anak kembung menghiasi mata apollo setiap kali dinaikkan. Satu tong ikan acara apollo kami perolehi. Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti.
Selebihnya boleh dibawa balik, goreng! Tekong Azahar tidak mematikan enjin bot sepanjang kami ‘mengapollo’ anak-anak ikan. Teknik berhanyut ini nampaknya lebih menjadi. Berpuas hati dengan umpan yang diperoleh, kami menuju ke spot pertama.
TAMBAK YANG BERLAMBAK
Labuhan pertama, kami diserang gerombolan ikan tambak. Tidak menang tangan kami melayan. Kekili elektrik menjerit di depan dan di belakang bot. Tekong tersenyum.
Walaupun pun kepala terasa pening-pening lalat (nak mabuk la tu) tetapi hilang kerana keasyikan melayan tambak. Sesekali kaci menyapa umpan.
Tidak ketinggalan jenahak juga sudi menjadi penghuni tong Coleman yang kami bawa. Jebong atau ikan ayam yang enak turut sama menyelit.
Berhenti sejenak menarik ikan apabila kami menerima isyarat daripada tekong, masa untuk ‘orang’ pulak makan. Masakan Tekong Azahar memang ‘terangkat’.
Ya lah… segar dari ladang katakan. Misi bottom diteruskan selepas makan malam di mana tambak terus mendominasi tangkapan.
Hari kedua kami memancing sambit bot berhanyut. Nampaknya anak-anak kerapu saiz hidangan pula mengambil bahagian. Perambut dua mata sering menghasilkan double strike. Ikan merah dan ibu kerisi juga turut memenuhi carta tangkapan kami.
Suasana atas bot menjadi riuh-rendah apabila kami diterpa sekumpulan dorado@ belitung. Kelam-kabut kami melayan pancing masing-masing. Aksi lompatan demi lompatan sang belitung disambut dengan sorak gembira.
Berpesta belitung kami pagi tersebut. Berbelas-belas ekor belitung sempat dilayan dengan set light casting yang ‘sengaja’ dibawa. Pemancing yang tidak standby, tengok saja lah..
Seekor selar segar dicangkuk ke mata kail dan dilontar jauh oleh Borhan@Kilat. Sebaik sahaja mencecah air, umpan terus direntap ganas dan kekili berlagu nyaring.
Joran Expert Graphite yang baru dibeli dan ditukar cincinnya dipadankan dengan kekili Bossna 4000, melentur habis. Tali 30lb sepanjang 200 meter nampaknya surut hanya beberapa saat. Pecutan awal yang penuh bertenaga tidak boleh berbuat apa-apa.
Satu lompatan akrobatik yang cantik menampakkan si pencuri umpan. Mersuji yang punya angkara. Apa lagi..bersorak lah kami satu bot. Kilat hanya dapat menahan joran 8 kaki yang melendut-lendut.
Lantas Tekong Azahar mengarahkan semua menaikkan pancing dan tekong segera mengejar ke arah ikan tersebut. Tiba-tiba ikan berpatah balik ke arah belakang. Tekong membuat U-turn. Drama kejar mengejar masih berlangsung. 25 minit ‘berperang’ jari mula terasa kebas lantas Kilat menghulur joran kepada Jeff untuk meneruskan pertarungan.
Mersuji dalam anggaran 50kg selamat dinaikkan ke lantai bot setelah 5 orang melayannya secara bergilir-gilir. Terima kasih banyak kepada tekong yang bertindak pantas. Kerjasama daripada pemancing lain juga adalah antara faktor yang membantu.
Kalau buat ‘dono’ sahaja sudah pasti meletup tali atau terbarailah mesin. Harapan untuk menatap wajah dan ‘memeluk’ mersuji tinggal harapan sahaja lah.
Keceriaan jelas terpancar di wajah geng D’Senu Anglers dan sudah tentu lah yang empunya lesen, si Kilat. Menurut Azahar selama lebih 10 tahun dia menjadi tekong di sini, telah banyak kali mersuji membaham umpan pemancing tetapi tidak berjaya menaikkan ikan tersebut.
Setelah selesai sesi bergambar dengan mersuji berkenaan, bot dihalakan ke jeti Pulau Aur. Kami mengambil peluang berehat di atas pulau setelah letih bertarung dengan ‘balak laut’ tadi,mandi,solat dan semestinya ngeteh. Ya lah..sudah dua hari tidak ‘pekena’ teh tarik.
Sewaktu perjalanan balik , enjin bot mati secara tiba-tiba. Beberapa kali cubaan menghidupkan semula enjin gagal. Tiupan angin kencang menghanyutkan bot kami sehingga hampir 2 km . Menggelabah juga kami dibuatnya.
Akhirnya tekong terjun ke dalam air untuk memeriksa bahagian bawah bot pula. Rupa-rupanya kipas sudah terbelit tali hanyut.
Itulah sebabnya sebarang sampah atau apa sahaja yang tidak diperlukan lagi semestinya dibuang di tempat yang sepatutnya. Jangan main campak sahaja sesuka hati. Kitalah yang sepatutnya menjaga kelestarian lautan kita. Betul tak bang..?
Dengan susah-payah tekong berjaya merungkai tali yang membelit kipas. Enjin dihidupkan dan bot meredah ombak menuju ke Jeti Mersing. Kami semua berpuas hati dengan trip ini.
Walaupun cuaca kurang elok dan alun yang membadai terutama pada sebelah malam angin monsun sering mengganas. Di samping tangkapan bonus ikan mersuji, hasil ‘pecah tong’ yang dibawa balik pastinya dua bulan kami tidak perlu ke pasar mencari lauk.