Salah satu keseronokan memancing di laut, apatah lagi di perairan yang kita pernah sampai ialah kita takkan tahu spesies apakah yang akan memakan umpan yang dipertaruhkan.
Begitulah yang kami alami pada trip memancing di perairan Koh Adang, Thailand kira-kira 5 tahun lalu.
Objektif utama kumpulan adalah untuk mendaratkan spesies-spesies utama bersaiz monster seperti kerapu dan jenahak yang juga merupakan spesies utama perairan ini.
Tidak ketinggalan menyertai trip kami ini ialah Datuk Seri Maznah (DSM). Seperti biasa apabila beliau turut serta, saya akan menjadi pemandu pancingnya.
Setelah melabuhkan umpan pada set pancing sendiri, barulah saya sediakan set pancing dan umpan untuk DSM.
Memandangkan DSM lebih gemar pancingan konsep perambut apollo, maka saya buatkan perambut apollo dua mata kail dengan menggunakan umpan hirisan sotong segar.
Tidak sampai 5 minit setelah menyerahkan set pancing itu kepada DSM, kedengaran beliau sudah bersorak riang. Saya tumpang seronok mendengar desingan halus drag kekilinya.
Namun kegembiraannya tidak lama dan mendakwa ia tidak boleh dikarau lagi kerana tersangkut sesuatu.
Ads
Saya segera memberikan bantuan dengan mengambil alih set pancing pancing. Saya ketatkan sedikit drag kekili yang agak longgar.
Ia tidaklah tersangkut cuma terasa beban yang sedikit berat. Pada firasat saya mungkin telah tersangkut pada batu karang kerana seperti tiada tentangan.
Setelah beberapa kali mengepam dan mengarau kekili, saya dapat rasakan ada sedikit tentangan yang diberikan, namun aksinya tidak seperti sifat ikan.
Yakin dan percaya ia bukanlah batu karang, saya serahkan kembali set pancing tersebut kepada DSM.
Ads
DSM kembali berseri dan mengayuh kekili dengan gembira setelah diyakinkan ada sesuatu di hujung mata kailnya dan bukannya batu karang atau sampah yang tersangkut.
Sejenak suasana di atas bot menjadi kecoh apabila DSM berjaya menghela hasil tangkapannya ke permukaan air.
Lobster! Bagaikan serentak pula kami berteriak. Dan keadaan bertukar gawat seketika berikutan sukar untuk memasukkannya ke dalam tangguk.
Beberapa kali juga kedengaran jeritan kebimbangan apabila lobster tersebut menjunam secara mundur apabila menyentuh gelung tangguk.
Ads
Setelah beberapa mencuba akhirnya ia berjaya ditangguk sepenuhnya dan disusuli sorak-sorai sekalian anggota trip.
Lobster itu kemudian ditimbang dan agak memeranjatkan juga ia seberat 1.5kg. Selain menjadi tangkapan pembuka trip, ia juga merupakan spesies paling bernilai bagi kami dan tentu saja bagi DSM.
“Obor-obor beracun (Portuguese Man O War) dikesan di pesisir Pantai Paka. Pengunjung dinasihatkan berhati-hati kerana difahamkan racunnya masih aktif walaupun sudah mati.”
Tampak comel namun sengatannya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Obor-obor jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ masih beracun walaupun sudah mati. Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.
Dipanggil Portugese Man O’ War kerana sifat tubuh badannya seakan kapal perang yang sedang berlayar di lautan, Spesies ini sentiasa disalah tafsirkan sebagai jellyfish walhal ia sebenarnya siphonophore, haiwan yang terdiri daripada koloni organisma yang bekerjasama. Ia juga dikenali dengan nama ‘bluebottles’ kerana warna mereka yang bewarna ungu-biru.
Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat dan panjang tentekelnya mampu mencapai seperti manusia dewasa dan sengatannya mampu menyebabkan badan anda mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan akhir sekali boleh membawa kepada maut.
Sekiranya anda disengat, anda dinasihatkan bergegas untuk mendapatkan rawatan kerana simptom sengatan oleh haiwan ini dapat dilihat seawal 3 minit. Sehingga kini, masih tiada lagi penawar untuk racun ini dan pakar hanya mampu menyediakan ‘painkiller’ sahaja kepada pesakit untuk melegakan kesakitan.
Kemungkinan kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai Terengganu disebabkan faktor musim monsun timur laut. Setakat ini penemuannya dilaporkan di Pantai Seberang Takir.
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan laporkan kepada pihak berkaitan jika menemui obor-obor ini.
LAPORAN PEMANTAUAN
Rentetan: Paparan di akaun media sosial Facebook Kuala Terengganu Residen petang 23 Jan 2023 tentang kehadiran obor-obor jenis Portuguese Man o’War pihak Angkatan Pertahan Awam Daerah Kuala Terengganu / Kuala Nerus telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dengan Kekuatan 1 Pegawai Pasukan dan 3x Anggota dan telah menjumpai bangkai obor-obor tersebut yang terdampar di pesisiran pantai tersebut.
Hidupan ini juga disifatkan antara obor-obor yang berbisa dan sangat berbahaya yang mana boleh melumpuhkan mangsa dengan sengatannya selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.
Justeru itu, orang ramai turut dinasihati untuk tidak melakukan sebarang altiviti di persisir Pantai Seberang Takir buat masa ini dan mengambil langkah berhati-hati dengan hidupan berbisa ini.
Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.
Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan. Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.
Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau. Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.
Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.
Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja. Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.
Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin. Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.
Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoriti adalah toman. Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air. Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.
Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut. Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.
Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi. Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.
Hutan simpan Temenggor di Perak merupakan salah satu lokasi atau lubuk pancing tumpuan bagi kaki pancing. Keadaan hutan dan sungai pergunungan yang masih baik menjadikan Temenggor sebagai salah satu lubuk pancingan hebat. ebarau, tengas, dan raja sungai iaitu sang kelah masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan di sini.
Beberapa kali kunjungan penulis ke sungai pergunungan di Temenggor tidak pernah mengecewakan. Namun, apa yang sedikit mengecewakan ialah ikan target utama iaitu kelah yang agak sukar kerana beberapa masalah yang timbul.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama. Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi. Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu. Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok. Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
HENJUTAN PENGHUNI SUNGAI
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu. Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan. Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai. Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan. Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan. Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan. Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail. Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti. Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu. Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung. Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, AJ bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin. Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut. Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan. Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik AJ menjerit minta dikarau. Pantas AJ mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail. Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya. Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya AJ yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa. Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air. Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai. Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan. Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas. Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan. Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...