Hadiah bernilai hampir RM50,000.00 menanti para peserta dalam pertandingan memancing Cabaran Tanjung Malim di Tasik YDP Slim River esok, 31 Januari (Rabu).
Pertandingan yang dianjurkan Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah RM24,000 untuk juara, kedua sebanyak RM5,000 dan ketiga sebanyak RM2,000. Tempat ke-4 akan membawa pulang RM800, tempat ke-5 sebanyak RM500, ke-6 hingga ke-10 bakal memperoleh RM400. Manakala tempat atau ranking ke-11 hingga ke-20 sebanyak RM300 dan ke-21 hingga ke-50 membawa pulang RM250.
Selain ganjaran wang tunai turut ditawarkan 400 helai baju-T bagi peserta yang mendaftar awal, televisyen LED 32 inci sebagai cabutan bonanza dan hamper sebagai cabutan bertuah. Sementara yuran penyertaan RM90 bagi satu joran dan peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah.
Pengurus Besar Wakjali Event Management, Md Zali Kasran, berkata pertandingan yang bakal dilangsungkan ini adalah pertandingan yang pertama diadakan di Tasik YDP setelah lebih 12 tahun tiada sebarang pertandingan memancing dianjurkan di lokasi tersebut
Ads
“Pada awal penubuhan syarikat ini (Wakjali Event Management , Tasik YDP adalah antara venue yang pernah menjadi medan pilihan bagi pertandingan memancing anjuran syarikat ini. Namun, selepas itu tiada lagi pertandingan memancing seumpamanya dianjurkan di sini.”
“Pertandingan ini diadakan pada Rabu sempena cuti perayaan Thaipusam. Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan mulai jam 3.00 petang Selasa (30 Januari) sehingga hari pertandingan.”
Ads
“Menurut penduduk setempat, tasik ini dihuni patin liar bersaiz mega dan toman serta rohu. Namun beberapa spesies lain yang bersaiz kecil juga seperti lampam, tilapia, belut dan lain-lain juga menjadikan tasik ini tempat bernaung mereka,’’ katanya.
Bagi memberi keselesaan kepada para peserta, pihak penganjur telah melakukan pembersihan tasik sejak seminggu lalu dengan sasaran mengeluarkan rumput di kawasan tebing dan dalam tasik.
Ads
Menurut Md Zali lagi pertandingan ini merupakan pertandinga pertama dianjurkan Wakjali Event Management bagi tahun ini sebelum ke Melaka pada 4 Februari yang menawarkan hadiah RM100,000.00 untuk juara.
Seharian memancing di perairan Rompin, kemudian bergegas memandu pulang ke Shah Alam, seterusnya ke Kuala Dungun pula adalah satu marathon memancing yang amat memenatkan.
Hanya keterujaan untuk menduga perairan Pulau Tenggol saja berupaya mengubati segala kelelahan.
Sebelum menuju spot-spot berpotensi untuk pancingan dasar, unjam-unjam laut di luar kawasan taman laut Pulau Tenggol menjadi persinggahan kami bagi mencari umpan hidup seperti tamban, selar atau kembung.
Keterujaan penulis pada hari pertama terhadap potensi pancingan di Pulau Tenggol mula mengendur ekoran untuk mendapatkan seekor umpan hidup sekali begitu sukar.
Hasil daripada umpan hidup yang diperolehi, berjayalah juga seekor belitong. Sementara hasil daripada pancingan dasar boleh dikatakan hampir sifar.
Setelah seharian berhanyut memancing kerisi pada hari kedua, menjelang petang kami kembali lagi ke unjam-unjam ini untuk mencari umpan.
Sejurus tiba di kawasan unjam, gewang yang di karau kembali setelah melakukan tundaan secara tiba-tiba disambar secara kasar dan tidak menunggu si belitong atau dorado mempamerkan aksi akrobatik di udara.
Ekoran bateri yang digunakan kehabisan kuasa maka ‘bangla’ terpaksa digunakan secara manual bagi menaikkan dorado tersebut.
Setelah menanggalkan gewang dari mulut dorado, bagi tujuan keselamatan penulis mencampakkan kembali gewang tersebut ke air tanpa menyedari spool ‘bangla’ tersebut dalam keadaan free dan bot pula sedang berhanyut.
Perkara itu hanya disedari apabila tali pancing meluru keluar dari ‘bangla’ ekoran gewang dilepaskan hanyut itu disambar seekor dorado lain pula.
Selepas beberapa ekor dorado dinaikkan hasil dari gewang yang sama dan hasil dari Apollo turut sama di cukai sang dorado, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjeratnya dengan teknik jigging pula.
Mali jig 18 gm dilontar ke arah unjam dan di karau laju. Hanya sekali balingan saja, sudah mengena namun rabut.
Balingan kedua berjaya dan seekor dorado berjaya didaratkan. Balingan seterusnya pula giliran sang pemangsa pula yang berjaya memutuskan perambut sekali gus meleburkan seketul jig.
Mali jig 30gm pula digunakan.
Tidak sampai lima kali lontaran, jig yang dimainkan secara jigging casting segera disambut. Sebelum mata matahari tenggelam, 3 ekor dorado berjaya penulis daratkan daripada hasil 7 kali sambaran.
Sementara rakan-rakan lain yang turut sama berjigging berjaya menaikkan beberapa ekor tongkol dan alu-alu di samping dorado yang mendominasi tangkapan.
Tanpa umpan hidup atau umpan segar dari unjam, aktiviti pancingan malam diteruskan ke spot pilihan tekong.
Menggunakan saki baki umpan pasar, spot pilihan tekong ternyata didiami ikan-ikan berstatus mega.
Biar pun hanya seekor mayong bersaiz kasar berjaya dinaikkan, kejadian mata kail 4X yang berjaya diluruskan ikan, tali sulam 80lb dan perambut 100lb yang berjaya diputuskan membukti masih ada monster yang gagal didaratkan di spot tersebut.
Penulis yang lebih banyak berehat ekoran tidak membawa peralatan pancingan dasar tidak mengendahkan sangat kejadian tersebut.
Sebaliknya lebih memberikan perhatian terhadap aktiviti bot pukat tunda yang seolah-olah mahu menunda sama bot yang kami naiki yang mengarah ke kawasan taman laut Pulau Tenggol.
Sebelum pulang ke jeti Kuala Dungun keesokan harinya, kami sempat singgah di unjam yang sama.
Namun gerombolan dorado yang mendominasi kawasan unjam petang semalam sudah lesap entah ke mana. Ikan-ikan umpan juga menyepi begitu saja.
Seolah-olah kawasan tersebut telah dijarah hasil perutnya. Andaian penulis kawasan tersebut telah dijarah oleh bot-bot nelayan pukat tunda terbukti benar ekoran laporan
daripada maklumat rakan pemancing yang kembali ke kawasan tersebut beberapa jam kemudian menyatakan bukan saja ikan sudah tiada, malah buluh-buluh serta pelampung unjam turut sama telah lesap ditelan pukat tunda!
Bagi mengeratkan ukhuwah di antara pemancing yang menggemari spesies haruan sebagai mangsa pertarungan, satu pertandingan secara tertutup telah diadakan bagi mencari siapa juara. Acara yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sambutan dari 40 orang peserta yang hadir dari sekitar Lembah Kelang dan juga Perak.
Terusan sawah padi di Kampung Parit 3 Timur, Sungai Besar menjadi lokasi pertarungan antara ahli Kum Kum Caster yang di terajui oleh Mazli atau lebih dikenali sebagai Pak Su ini amatlah sesuai kerana musim padi yang telah tamat dituai membuatkan ikan-ikan di dalam sawah turun ke terusan utama.
Walaupun haruan yang berjaya didaratkan bersaiz sederhana tetapi pengalaman memujuk spesies ini antara yang paling menarik. Ini kerana format pertandingan melarang penggunaan umpan katak hidup, sebaliknya hanya umpan tiruan seperti jump frog, soft plastic ataupun gewang sahaja yang dibenarkan.
Pertandingan yang bermula jam 8.00 pagi pada awalnya menyaksikan cuaca yang cukup cerah namun sekitar jam 10.00 pagi hujan turun di kawasan pertandingan dan memaksa peserta mencari tempat berteduh.
Pertandingan tamat pada pukul 12.00 tengah hari menyaksikan tangkapan terkumpul hanya 6 ekor disebabkan ikan terlalu culas membaham umpan. Hanya yang banyak kes rabut yang membuatkan ikan tidak lekat pada mata kail.
Menggunakan format ikan terpanjang sebagai pengukur saiz 35cm menduduki tempat pertama setelah tiada lagi yang berjaya memintas. Waktu ini sebenarnya terusan sawah berada pada saat akhir sebelum sesi menanam padi bermula dan spesies haruan juga hampir habis dan menunggu kitaran air baru untuk sesi tumbesaran yang seterusnya.
Bagi saudara Edi Nor Hisyam yang juga tulang belakang kepada program mengucapkan tahniah kepada pemenang dan berharap acara ini akan diteruskan pada tahun hadapan bagi mengeratkan ukhuwah persahabatan sesama pemancing.
Hadiah untuk para pemenang telah disampaikan oleh Ketua Kampung Parit 2 & 3 Timur, Haji Ahmad Sabree.
Ikan kuku? Ikan kuku ni macam mana? Sedap sangat ke? Tempat mana kalau nak pancing ikan ni? Umpan apa nak pancing ikan ni?
Itu antara persoalan yang menerjah benak penulis beberapa purnama yang lepas. Harus diakui penulis sendiri agak jarang mendengarkan spesies ini menjadi perbualan biarpun di kalangan kaki pancing tempatan.
Untuk itu penulis terpaksa buat kajian dan mencari informasi berkaitan ikan ini. Setelah 3 purnama berguru dan turun ke lapangan pancing, ternyata tidak mudah untuk mendaratkan spesies kuku, tapi kepuasannya memang lain macam.
Patutlah geng-geng kaki menguku sering menyebut, sekali terkena getah kuku ni, alamatnya asyik nak menguku je!
SPESIES BERMUSIM GRED A
Ikan kuku atau seabream merupakan spesies muara yang dikelaskan daripada genus Acanthopagrus.
Ikan kuku sebenarnya lebih terkenal di kalangan pemancing di kawasan Pantai Timur Semenanjung malah di Sabah dan Sarawak juga terdapat pemancing yang memang saban tahun menunggu putaran musim untuk menerjah kandang kuku ini.
Menurut kebanyakan kaki menguku, spesies ini merupakan antara spesies ikan muara yang paling sedap isinya.
Malah jika mereka sendiri membuat analogi, jika dihidangkan pilihan hidangan ikan kuku dan siakap putih, maka hidangan siakap putih pastinya akan ditolak mentah-mentah.
Walaupun agak keterlaluan bunyinya, namun rata-rata pemancing kuku sependapat dalam perbandingan antara kedua spesies tersebut.
Mungkin juga dek kerana faktor kesukaran mengail spesies kuku, namun ini tidak menghalang untuk spesies kuku berada di dalam kelas ikan muara gred A.
Apa yang menariknya lagi, untuk memancing spesies ini bukannya sepanjang tahun. Sebaliknya terhad kepada masa tertentu dalam kitaran satu tahun.
Bagi pemancing di Pantai Timur, ketika musim tengkujuh atau musim hujan, inilah waktu yang paling sesuai untuk mula memancing ikan kuku.
Apabila musim hujan tiba, dikatakan spesies kuku akan mulai memenuhi kawasan muara sungai utama.
Terdapat dua jenis ikan kuku yang lebih dikenali iaitu kuku putih dan kuku batu. Kuku putih mempunyai warna yang lebih cerah manakala kuku batu pula lebih gelap.
Malah, rupanya juga berbeza sama sekali. Namun biasanya, pemancing kuku lebih cenderung memburu spesies kuku putih kerana dikatakan mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding kuku batu.
BERGURU DENGAN GENG NGAIL KUKU
Setelah melihat report dari geng pemancing di Pantai Timur, penulis menghubungi grup pemancing kuku yang dikenali Geng Ngail Kuku atau GNK untuk cuba merasai sendiri rahsia teknik pancingan spesies kuku ini.
Setelah menyusun jadual, akhirnya trip mengail kuku dibuat dengan tip dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan GNK setelah beberapa hari diracun oleh mereka yang kebanyakannya berpangkalan di Kuantan dan Kemaman.
Beberapa lokasi dan spot memancing kuku telah dirancang dalam trip ini kerana tidak mahu mengambil risiko kumpau jika menumpukan pada satu spot sahaja.
Jadi penulis merancang untuk cuba menguku di beberapa spot di Kuantan hingga ke Kuala Terengganu.
Tiba di Kuantan, penulis bertemu dengan Abang Rosdi (atau lebih dikenali sebagai Kail Beracun di FB), Teuku Munawir dan beberapa orang rakan dari GNK.
Mereka yang banyak memberikan rahsia teknik dan tip memancing sang kuku ini. Bertempat di Tanjung Api, kami memulakan cubaan memancing kuku.
Bukan mudah rupanya nak memancing kuku kerana spesies ini agak cerewet ketika memakan umpan.
Biasanya tali utama perlu dipegang untuk merasai sang kuku mengetuk umpan yang dihulurkan.
Selain itu, spesies pengacau seperti gelama dan kitang turut sama akan meligan umpan anda, namun sesekali tak rugi kerana siakap merah juga gemar membaham umpan yang dihulur untuk sang kuku.
Tetapi kesabaran dalam memancing kuku memang memberikan kepuasan jika anda berjaya menggoda sang kuku hingga ke daratan.
Semalaman di Tanjung Api membuahkan hasil dengan beberapa ekor kuku juvenil dinaikkan.
Spot kedua penulis memilih untuk singgah di Sungai Paka. Cubaan lapangan di Sungai Paka lebih singkat kerana memancing pada awal pagi hinga ke tengah hari sahaja kerana perlu menuju ke Kuala Terengganu pula.
Begitu pun, seekor kuku dan siakap merah berjaya dinaikkan dengan berumpankan ketam angin.
Cubaan di spot seterusnya iaitu Kuala Ibai agak suram kerana tiada hasil. Biasalah newbies main terjah sahaja.
Melihatkan seakan tiada potensi, kami memilih bertukar spot di benteng belakang Permai Inn.
Pilihan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Rasul tidak semena-mena menaikkan kuku lebih 1kg menggunakan umpan udang hidup.
PENGHUJUNG TRIP PERGURUAN
Untuk menamatkan trip jelajah terjah kuku ini, spot Tanjung Api sekali lagi menjadi pilihan sebelum pulang ke Shah Alam.
Kali ini lebih meriah dengan ramai ahli grup GNK turut serta. Alang-alang berkumpul ramai, Along iaitu pemilik kedai pancing setempat turut berbesar hati menaja hadiah sagu hati untuk ikan kuku terberat pada malam itu.
Bukan semata-mata untuk memenangi hadiah, acara kecil malam itu lebih kepada berkumpul antara ahli grup selain berkongsi teknik dan tip memancing kuku serta berkongsi pengalaman memancing yang lain.
Penulis sendiri turut berterima kasih kepada pihak GNK terutama Abang Rosdi yang mengalu-alukan kunjungan penulis ke sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...