
Ikan gred A macam jenahak dibuat masak apa pun sedap! Nak-nak lagi kalau dibuat kari ala utara. Tak payah buat satu ekor, ambil bahagian kepala saja pun dah padu. Peghhh… habaq pun tak guna aih dia punya mari! Berminyak muncung dibuatnya.
Bahan-Bahan:
- 1 Ketul kepala ikan jenahak dibelah dua
- 6 Sudu besar rempah kari ikan (bancuh dengan secawan air)
- 4 Ulas bawang merah (ditumbuk)
- 3 Ulas bawang putih (ditumbuk)
- 1 Tangkai daun kari
- 1 Sudu teh halba campur
- 4 Sudu besar air asam jawa pekat
- 700 ml santan pekat
- Kacang bendi
- Minyak masak untuk menumis
- Garam, gula, serbuk perisa
CARA-CARA PENYEDIAAN:
- Panaskan minyak dalam periuk. Kemudian tumiskan bawang yang ditumbuk dan halba campur sampai kekuningan.
- Masukkan rempah kari dan daun kari. Tumiskan sehingga naik minyak.
- Masukkan santan dan kacau rata. Kemudian baru masukkan kepala ikan.
- Kemudian masukkan air asam jawa, garam, gula dan serbuk perasa.
- Sebelum ia mendidih, masukkan pula kacang bendi atau tomato jika suka.
- Biarkan ia mendidih dan kacau sekali-sekali agak santan tidak pecah minyak.
- Tutupkan api dan ia siap untuk dihidangkan.
8 Alasan Biasa Kansel Trip Memancing!!

Kegagalan untuk menyertai sesuatu komplot atau trip memancing pada saat-saat akhir sememangnya lumrah dalam dunia memancing. Ada di antaranya disebabkan oleh hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan dan ada juga yang sengaja berdalih. Untuk berdalih maka banyaklah alasan yang direkacipta. Antara alasan yang biasa digunakan ialah…
URUSAN KERJA
Kena kerja pada saat-saat akhir merupakan alasan yang paling banyak digunapakai. Terutamanya jika dalam trip tersebut tiada rakan setempat kerja yang turut serta. Kalau ada rakan sekerja yang turut serta sudah tentu alasan tersebut tak boleh digunapakai.
KENDURI KAHWIN
Tak kiralah sama ada ahli keluarga, rakan atau jiran tetangga yang mengadakan kenduri kahwin ia merupakan antara alasan yang kerap digunakan. Lazimnya ia akan disusuli dengan ayat penyata… `kalau aku tak pergi kenduri tu apa pulak orang kata’. Biasanyalah.

SAKIT
Alasan jatuh sakit pada hari kejadian (trip) ini biasanya tidak dinyatakan sebaliknya ahli trip yang lain akan tahu sendiri apabila menghubunginya. Biasa juga dia mereka ni akan batuk dulu sebelum jawab salam. Suara pun macam keluar tak keluar. Secara otomatik jugak orang yang menghubungi akan faham dan takkan bertanya panjang lebar lagi.
KELUARGA SAKIT
`Sorry bro… anak aku sakit!!’ Mungkin juga dengan alasan nak hantar mak, isteri, adik, kakak atau sesiapa saja ahli keluarga yang ada ke hospital. Ia merupakan alasan common yang biasa dipergunakan.
KEMATIAN
Ia merupakan alasan yang agak ekstrem tetapi tetap digunapakai terutamanya kepada pemancing yang sudah kehabisan alasan untuk diberikan. Malah ada sesetengahnya yang ingin menguatkan hujah sanggup menyatakan neneknya yang sudah meninggal, meninggal lagi buat kesekian kalinya.
LUPA
Alasan lupa mungkin agak jarang kedengaran kerana sememangnya hampir mustahil bakal pengantin lupa untuk ke majlis perkahwinan. Namun ia masih digunapakai terutamanya kepada pemancing yang sudah kehabisan idea untuk mencipta alasan lain.
SILAP TARIKH
Alasan tersilap tarikh trip hampir menyamai alasan lupa juga. Lazimnya ia digunapakai oleh pemancing yang berkeyakinan tinggi dalam temberang. Kalau tak cukup ilmu lakonan dan sandiwara sememangnya sukar untuk meyakinkan pemancing lain bahawa dia betul-betul tersilap tarikh.
KENDERAAN ROSAK
Kenderaan rosak pada hari kejadianjuga merupakan alasan yang popular. Namun untuk menggunakan alasan ini lazimnya mereka akan menyatakan hal tersebut pada waktu yang tepat. Tidak boleh beritahu kawan-kawan trip terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.
Kerapu Terbaik & Termahal Idaman Ramai!!

Kerapu tikus atau boleh dianggap seperti raja di kalangan keluarga kerapu atau grouper. Ini kerana ikan ini diletakkan sebagai spesies kerapu yang paling mahal di pasaran. Dengan isinya yang lebih halus, sedap dan lebih berkualiti, tak hairanlah harganya begitu tinggi di pasaran.
Habitat ikan kerapu tikus ini adalah di sekitar kawasan karang laut seperti di perairan Pantai Timur dan yang paling banyak sekali di perairan Sabah. Diet utama ikan ini adalah hirisan sotong dan ikan dan teknik yang biasa digunakan pemancing adalah teknik pancingan dasar.
Harga pasaran: RM100 ke atas per kilogram. Jika dieksport ke luar negara ia mampu mencecah harga USD40 per kilogram. Fuhhh!
Ikan kerapu pisang merupakan spesies kerapu kedua termahal yang ada di perairan Malaysia. Spesies ini mempunyai tona yang menarik pada badannya iaitu merah menyala dan terdapat bintik-bintik kecil berwarna putih, kuning atau biru pada badannya dan ekornya pula berbentuk seperti bulan sabit. Ia sering menjadikan kawasan karang sebagai habitat utamanya. Spesies ini juga sangat lazat dijadikan hidangan. Tak hairanlah harganya begitu mahal di pasaran.
Harga pasaran: RM50-RM75/kg (harga peraih) RM75-RM150/kg (harga restoran) mengikut kawasan.
Spesies kerapu ini merupakan kerapu yang paling biasa dinaikkan kaki pancing Malaysia. Sering menjadikan kawasan karang, kapal karam, kawasan berbatu sebagai habitat persembunyiannya. Lebih terkenal sebagai pemangsa hendap yang mampu memberikan tantangan kepada kaki pancing. Ikan kerapu jenis ini biasanya boleh terpedaya dengan umpan sotong atau udang hidup, hirisan sotong, ikan, dan kini ia juga boleh diperdaya dengan besi jig.
Harga pasaran: RM30-RM50/kg (harga peraih) RM50 ke atas per kg (harga restoran)
Senarai bernilai tinggi
Nama Tempatan Nama Saintifik Saiz Maxima
Tikus / Belida Cromileptes altivelis 40cm
Pisang Plectropomus oligacanthus 65cm
Pisang / bara Plectropomus maculatus 100cm
Bara Plectropomus laevis 100cm
Chono / Sunuh Plectropomus leopardus 120cm
Deria Hebat Ikan Yang Manusia Takde!!

Sebagai pemancing seharusnya kita perlu tahu tahu morfologi, anatomi serta sifat-sifat ikan. Sebagaimana kita, ikan juga mempunyai deria malah ikan memiliki deria yang tidak dimiliki oleh manusia.
baca juga 9 fakta menarik ikan bujuk
DERIA PENGLIHATAN
Ikan mempunyai penglihatan yang baik, namun matanya berbeza dengan manusia. Lensa mata ikan berbentuk bulat bagi membolehkannya melihat di dalam air.
Ikan air tawar tidak mempunyai kelopak mata untuk menentukan jumlah cahaya yang memasuki matanya untuk melihat. Jadi ikan ini akan bergerak ke kedalaman yang berbeza untuk mengawal cahaya yang masuk.
Kebanyakan ikan boleh melihat warna, disebabkan itu kita dapat perhatikan banyak gewang tiruan di pasaran dalam pelbagai jenis warna. Kedudukan mata ikan membolehkannya melihat sisi kanan dan kiri dalam satu masa.
Posisi ini juga menyebabkan titik buta di hadapan dan belakangnya pada jarak tertentu.
Oleh kerana cahaya akan membias apabila memasuki air, ikan sebenarnya boleh melihat keluar permukaan air tanpa perlu menghalakan penglihatannya ke atas.
Jadi jika anda melihat ikan di dalam air, kemungkinan besar ikan itu juga melihat anda.
DERIA BAU
Ikan dapat mengesan bau menerusi nostril yang dipanggil ‘nares’ yang seakan lubang hidung terletak di atas mulutnya.
Menerusi organ ini, ikan dapat mengesan mangsa, pemangsa dan lokasi asalnya walaupun telah berenang sejauh ribuan batu.
Walaupun ikan mempunyai deria bau yang baik, kebanyakan ikan tidak bergantung kepada deria ini kerana apa yang ikan dapat kesan melalui bauan pada satu masa bergantung kepada kekuatan dan arah arus air.
DERIA RASA MENGESAN MAKANAN
Kebanyakan ikan mampu merasa melalui reseptor rasa di dalam mulut, deria ini selalunya kurang digunakan oleh kebanyakan ikan terutama ikan pancingan sukan.
Lain pula halnya bagi kumpulan ikan catfish. Ikan seperti keli dan baung pula menjadikan deria ini sebagai organ utama dalam mencari makanan kerana kumpulan ini mempunyai
deria bau dan rasa yang cukup berkesan dengan menggunakan misainya yang dipanggil barbel.
DERIA RASA MENGESAN GETARAN
Garisan lateral ialah satu garisan halus melintang pada badan ikan yang memanjang dari kepala hingga ke ekornya.
Garisan lateral ini mempunyai organ sensor yang membolehkan ikan mengesan perubahan suhu dalam air dan mengesan sebarang getaran yang berlaku di dalam air.
Walaupun dalam keadaan air yang keruh, garisan lateral akan bertindak seperti sonar untuk mengesan lokasi, kelajuan dan saiz sesuatu objek di sekelilingnya.
baca juga ikan berbadan lut cahaya
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan