
Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu dia berkata; “Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Qur’an kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus.”
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
(HR Muslim No: 4268) Status: Hadis Sahih
Keterangannya:
- Rasulullah adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti.
- Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan, tanpa memikirkan sebarang kerugian.
Antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
- Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa juga kepada golongan fakir miskin.
- Konsep “memberi” (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum, bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan-bulan lain.
Kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi – menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat, tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
- Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal”
(QS an-Nahl: 96)
- Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.
- Tadarus al-Quran juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.
Disakat Cik Ponti Di Lubuk Mancing

Petang Jumaat itu aku tidak melakukan apa-apa aktiviti. Kebosanan mula datang melanda. Hendak pergi bermain bola, tidak rakan yang boleh diajak. Hendak pergi melastik burung, seekor burung pipit pun tidak kelihatan dari lepas azan Zuhur tadi. Fikir punya fikir, akhirnya aku mengambil keputusan untuk pergi memancing keseorangan.
Aku sebenarnya suka memancing di sebuah kolam ikan terbiar yang terletak hampir dua kilometer dari jalan besar untuk masuk ke kampung. Dahulu kawasan itu ada enam kolam ikan yang agak luas juga yang di usahakan oleh seorang anak muda penduduk kampung itu juga. Namun entah di mana silapnya, projek menternak ikan itu menjadi lesu dan akhirnya terbengkalai terus.
Lima kolam sudah ditimbus kembali manakala satu lagi sengaja dibiarkan untuk anak-anak muda kampung memancing ikan. Selalunya aku berjaya memancing ikan keli, tilapia dan baung. Ada juga kawan-kawan yang berjaya menangkap rohu seberat dua kilogram.
Pendek kata, walaupun kolam itu seperti terbiar tidak terjaga namun masih ada spesies yang menghuni di dalamnya boleh tahan juga besarnya.
Aku hanya sempat mencari cacing dan cengkerik untuk dijadikan umpan. Cukuplah, bisik hatiku. Aku cuma mahu memancing selama dua jam. Kalau ada ikan yang menjadi mangsa, bolehlah aku jadikan lauk untuk santapan makan malam. Andainya tiada rezeki, tiada apa yang harus aku keluhkan kerana niatku sekadar mahu mengisi masa lapang sahaja.
Biasanya, pada waktu petang Jumaat begitu, kolam terbiar ini memang ‘meriah’ dengan kehadiran kaki pancing. Namun nasibku pada petang itu agak malang. Kawasan itu sunyi sepi. Tidak ada kelibat manusia lain di situ seolah-olah mereka semua sudah berjanji untuk tidak datang.
Aku memandang jam di tangan. Tepat jam lima petang. Cuaca masih terang. Dengan bacaan lafaz Bismillah, aku lontarkan umpan ke tengah kolam.
Umpanku adalah cengkerik. Aku tidak mensasarkan mangsa. Apa saja ikan yang memakan umpanku, itulah rezekiku pada petang itu. Alhamdulillah, menjelang jam 6 petang, aku sudah memperoleh 4 ekor ikan keli yang sederhana besar dan dua ekor baung.
Aku berasa sangat puas hati. Aku bercadang ingin memancing sebelum azan Maghrib berkumandang. Kira-kira 20 minit lagi, aku bercadang akan balik ke rumah.
Ketika asyik melayan henjutan joran, tanda umpanku mengena lagi, secara tiba-tiba aku merasakan seperti ada angin sejuk bertiup menerpa kuat ke muka ku. Secara automatik, bulu romaku mula meremang.
Aku cuba tenangkan hati dengan membaca ayat Kursi dan surah An Nas. Tiba-tiba telingaku seperti menangkap suara perempuan menangis dengan suara yang sungguh sayu dan sangat mendayu-dayu.
Hatiku menjadi tidak keruan. Serentak itu juga bunyi ranting-ranting patah kedengaran di bahagian belakang aku duduk. Sekilas, aku memandang ke belakang. Tidak ada apa yang kelihatan.
Semuanya kosong. Tidak ada sebarang tanda menunjukkan ada pergerakan manusia atau binatang di situ. Hatiku mula risau dan seram. Beberapa kali aku beristifar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja.
Sebaik sahaja aku mula mengemas, sesuatu yang aneh berlaku. Cuaca persekitaran mulai gelap seperti jam 8 malam. Aku memandang jam tangan. Baru pukul 6.20 petang. Takkan dalam sekelip mata, cuaca boleh bertukar rupa.
Hatiku semakin resah. Bulu roma di tengkuk semakin meremang dan badanku terasa seram sejuk yang teramat sangat. Dalam kegelapan yang mula menerkup kawasan persekitaran, aku mula melangkah keluar dari kawasan itu sambil menjinjing ikan dan peralatan memancing.
Namun aku seperti gagal untuk menjumpai jalan pulang. Setiap kali aku melangkah, aku akan tiba kembali pada kolam ikan itu. Seolah-olah semua jalan keluarku terhalang oleh ‘sesuatu’ yang aku sendiri tidak pasti. Aku tidak tahu berapa lama aku berlegar-legar di situ.
Keletihan mula melanda dan akhirnya aku terduduk di atas ban pasir dengan rasa kecewa yang teramat sangat. Ketika inilah telingaku mula menangkap suara perempuan yang menangis mendayu-dayu yang bertingkah dengan suara bayi yang menangis kuat seolah-olah meminta susu.
Suara-suara ini begitu mengangguku hingga hatiku menjadi semakin tidak keruan. Cuaca semakin gelap dan hanya nampak samar-samar sahaja.
Aku memandang ke dada langit. Segalanya kosong. Tiada awan, bulan atau bintang. Hanya kegelapan yang melanda tanpa awan putih yang berkepul-kepul seperti kebiasaannya.
Tiba-tiba di hadapanku, aku Nampak seperti kelibat seorang wanita berambut panjang dan memakai gaun putih labuh melintas di hadapanku. Semerbak harum wangi bunga tanjung hutan melintasi hidungku. Harumnya sehingga aku seperti terbuai-buai dengan keasyikan untuk menghidunya.
Dalam keadaan badan yang lemah kerana penat, hanya pandangan mata sahaja yang mampu aku lakukan untuk terus memandang kelibat wanita itu. Dia berjalan perlahan tetapi seperti tidak menjejak tanah! Dia seolah-olah berada dalam keadaan di awang-awangan. Aku hanya fokus memandang ke arahnya tanpa dapat memikirkan perkara lain.
Dalam keadaan khayal itulah, telingaku dapat menangkap suara azan yang sungguh mendayu dan menggetarkan jiwa. Serentak itu terasa namaku dipanggil berulang-ulang kali. Aku juga dapat melihat sorotan lampu suluh di kawasan itu. Aku hanya mampu menjerit ALLAH sebelum aku tidak sedarkan diri.
Pandanganku menjadi gelap seketika. Apabila aku membuka mata kembali, rupa-rupanya aku sudah baring di hadapan serambi rumah ibu. Kawasan itu penuh dengan saudara mara dan jiran tetangga. Ibu memelukku dan aku berasa terpinga-pinga dengan apa yang aku nampak. Akhirnya aku mengetahui kisah sebenar.
Aku tidak pulang sehingga jam dua pagi. Kerana teramat risau ibu memberitahu JKKK kampung akan hal ini. Usaha mencariku mula dilakukan oleh penduduk kampung. Jam 5 pagi, aku dijumpai pengsan di tepi kolam ikan terbiar dalam keadaan meracau-racau sambil tanganku menunjuk ke satu arah semak. Aku dipapah balik ke rumah.
Walaupun kejadian ini sudah dua tahun berlalu namun ia tetap kekal dalam ingatanku hingga ke saat ini. Kata orang kampung, aku disakat oleh puntianak namun realitinya sebenarnya aku tidak tahu.
Ramai Tidak Tahu Ikan Puyu Terbaik Untuk Tenaga Lelaki

Sebagai pemancing dan lelaki yang mementingkan status kelelakian anda, adalah sangat penting untuk korang jadikan ikan puyu sebagai menu utama. Nak tau kenapa… ini dia sebabnya.
Presiden Persatuan Usahawan Penternak Puyu Kelantan (Pupuk), Mohd Izzat Mohd Zubir berkata, ikan puyu digunakan secara meluas di Indonesia untuk merawat dua penyakit yang sering dihidapi manusia.
Menurutnya, spesies ikan darat atau air tawar itu dikatakan mampu mengatasi masalah osteoporosies atau tulang reput selain mengatasi masalah LEMAH TENAGA BATIN LELAKI.
“Di negara jiran itu mereka memproses tulang ikan puyu menjadi serbuk sebelum dibuat kapsul kerana dikatakan tulang puyu mampu menguatkan tulang dan merawat masalah tenaga batin lemah,” katanya.
Mohd Izzat berkata, khasiat tersebut membuatkan ikan puyu mendapat permintaan tinggi selain popular sebagai makanan eksotik termasuk di negara ini.
Menurutnya, menyedari potensi besar dalam industri ikan puyu telah mendorong pelbagai pihak mula menternak ikan puyu secara komersil.
“Di negara ini, ikan puyu lebih popular sebagai makanan eksotik yang diproses dengan pelbagai cara termasuk pekasam,” katanya ketika ditemui di rumah seorang penternak ikan puyu, Ridzuwan Mustafa, 50, di Kampung Keluang.
Mohd Izzat memberitahu lagi, sehubungan itu persatuan menggalakkan orang ramai yang berminat agar menceburi bidang penternakan ikan puyu kerana ia memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara serius.
Menurutnya, pihaknya mengesyorkan penternak memelihara ikan puyu baka Chumphon 1 yang diimport dari Thailand kerana baka jenis ini mempunyai rasa dagingnya yang lebih manis dan lemak.
“Spesies ini juga boleh mencapai saiz melebihi 3 kg seekor selain tempoh masanya yang lebih singkat untuk membesar berbanding ikan puyu tempatan,” kata graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini.
Ujar beliau, penternakan ikan puyu baka Thailand semakin menjadi pilihan kerana penjagaannya mudah dan tidak memerlukan perhatian serius termasuk tidak cerewet dari aspek pemakanan.
Ridzuwan bercita-cita menjadi penternak ikan puyu yang berjaya dan dapat membekalkan ikan untuk pasaran tempatan.
Menurutnya, di negara ini ikan puyu boleh dipasarkan secara hidup, pekasam, ikan kering, sejuk beku dan umpan hidup (umpan pancing).
“Ikan spesies ini boleh dipasarkan seawal sebulan iaitu setelah mencapai ukuran 5.08 sentimeter (2 inci) panjang bagi tujuan umpan hidup yang dijual dengan harga sekitar RM1 seekor.
“Harga ikan puyu hidup semasa di pasaran dari baka ini mencecah RM20.00 sekilogram manakala harga benihnya adalah 30 sen seekor,” katanya yang turut membekalkan benih ikan ini untuk penternak dari Kelantan dan Terengganu.
Mohd Izzat berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha menambah bilangan penternak ikan itu di negeri khususnya di daerah Besut daripada 30 orang sekarang kepada bilangan lebih besar memandangkan bekalan ikan puyu tidak dapat memenuhi permintaan pasaran,
Sementara itu salah seorang penternak, Ridzuwan berkata, dia mula berjinak dalam ternakan ikan puyu pada Mac lalu sebanyak 3,000 ekor selepas mengetahui potensi ternakan ini yang sangat besar.
Menurutnya, dia membela ikan tersebut dalam dua kolam buatan dan satu kolam tanah di halaman rumah.
“Saya merancang untuk membesarkan perusahaan saya namun berharap agensi berkaitan atau kerajaan dapat membantu penternak sepertinya untuk memajukan lagi dalam bidang ini,” katanya.
Kelebihan Melewatkan Sahur & Menyegerakan Berbuka

Dari Abu Dzar RA, bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: “Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini…”
Lalu baginda menyuruh untuk bersahur dan baginda pun bersahur seraya bersabda: “Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepatkan berbuka.”
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ
(HR. Ahmad No: 20530) Status: Isnad Hasan
Keterangannya:
- Rasulullah adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa. Ia juga adalah amalan para Nabi.
- Antara amalan yang perlu dicontohi ketika berpuasa ialah segera berbuka apabila masuk waktu berbuka.
- Melewatkan bersahur juga merupakan amalan Rasulullah dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya.
- Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA dari Zaid bin Tsabit:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
“Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah”,
Anas berkata kepada Zaid: “Berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?”
Zaid menjawab: “Sekitar bacaan al-Quran 50 ayat”
(HR Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 – 15 minit sebelum subuh).
‘Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.”
(Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)
Semoga kita dapat mengikuti sunah Nabi SAW dengan bersegera berbuka apabila masuk waktu dan melewatkan sahur.