Puteri Bunian Tasik Zahra!!

Share

 

Kali ini rakan baik saya Bob mengajak menjala di Tasik Zahra, sebuah tasik yang masih belum tercemar dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Halim dan Ben.

 

Pemanduan memakan masa tiga jam dan di sepanjang perjalanan Halim menceritakan tentang pengalaman misteri yang dialami ketika memancing di Sungai Koh dua bulan lepas. Sebelum tiba di destinasi, Ben selaku driver, mengajak kami bertiga mengeteh dahulu di sebuah warung kecil bersebelahan sawah padi yang sudah menguning dan hanya menunggu masa untuk dituai.

 

Saya hanya minum segelas Nescafe tarik dan sepinggan laksa yang kuahnya dibuat dengan menggunakan isi belut sawah dan dihiasi dengan telur puyuh bulat 3 biji. Memang sedap dan begitu menyelerakan.

 

Selesai makan, barulah kami meneruskan perjalanan. 20 minit kemudian, kami telah tiba di jeti. Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti. Rupa-rupanya Bob telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.

 

 

Perjalanan dari jeti ke pot pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.

 

Bob menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak. Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.

 

Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya. Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk. Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Ben.

 

Menjelang pukul tujuh malam, kegelapan menyelubungi kawasan kami. Suasana menjadi hening. Dada langit semakin kelam dan burung-burung berterbangan pulang ke sarang. Saya mengambil keputusan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara jamak.

 

Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya. Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.

 

 

Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung. Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.

 

Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Bob dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk. Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.

 

Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.

 

Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.

 

Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena. Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi. Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.

 

 

Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung. Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa. Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.

 

Selepas mendapat cincin itulah, rezeki saya bertambah setiap kali  keluar menjaring. Sesungguhnya saya percaya kuasa Allah SWT itu melebihi segala kuasa makhlukNya di muka bumi ini. Mungkinkah ikan kecil bersisik emas itu adalah tuan puteri yang hadir di dalam mimpi saya?

IKLAN