Dikelilingi karang hidup dan terletak berhampiran dengan laluan kapal menjadikan kelong ini sebagai lokasi utama permainan ikan dan sering didiami spesies gred A.

Ini terbukti apabila pelbagai jenis ikan seperti kerapu, merah, jenahak, tebal pipi, kurau, siakap dan pari sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini.

 

Malah, saiz yang dinaikkan bukan kecil-kecil anak, ada pemancing yang pernah menaikkan ikan pari seberat 20kg, siakap 13kg dan kerapu 10kg ketika memancing di sini.

Lokasi ini juga menjadi tempat permainan ikan-ikan pelagik seperti selar, kembung dan tamban yang sesuai dijadikan umpan untuk memancing.

 

Kemudahan Terbaik

 

Untuk ke kelong ini, ia memakan masa lebih kurang 15 minit dengan menaiki bot dari Pangkalan  Penghulu Serkat.

Kemudahan yang ada di sini memang serba mencukupi. Dilengkapi 4 buah bilik rehat dengan tandas yang selesa serta dapur untuk memasak menjadikan kelong ini bukan sahaja sesuai untuk kaki pancing, malah sesuai untuk seisi keluarga.

IKLAN

 

Tidak cukup dengan itu, di sekeliling kelong turut dilengkapi dengan rod holder bagi memudahkan kaki pancing meletakkan joran mereka sambil menunggu ikan memakan umpan.

Kerusi juga turut disediakan di sekitar kawasan memancing berserta dengan tangguk dan gancu untuk membawa naik ikan besar ke atas kelong.

 

Menurut pengusaha kelong yang lebih mesra dipanggil En. Afis, pada masa hadapan beliau akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi membesar dan menaiktarafkan kelong ini untuk menjadi homestay memancing tengah laut.

 

Beliau yakin dengan usaha ini, ia mampu menarik lebih ramai kaki pancing dari serata Malaysia dan sekali gus menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan memancing negeri Johor.

IKLAN

 

Majalah Umpan sempat meluangkan masa merasai pengalaman memancing di Kelong Maswira ini. Meskipun ditemani cuaca penghujung tahun yang tidak menentu disertai dengan angin kuat, kami tetap komited untuk mencuba nasib.

 

Terbukti hasil di sini memang terbaik. Meskipun berdepan cuaca tidak menentu kami masih mampu menaikkan seekor pari berskala 4kg selain beberapa ekor kerapu, tebal pipi, semilang dan pelbagai spesies lain.

 

Untuk memancing di sini, adalah amat digalakkan untuk membawa rod panjang 13 – 15 kaki untuk memburu pari dan tebal pipi.

Jangan risau untuk membaling rod panjang kerana kelong ini mempunyai kawasan yang luas untuk membuat lontaran jauh.

IKLAN

Oh, jangan lupa membawa batu ladung lebih juga kerana kebarangkalian untuk sangkut juga amat tinggi kerana kelong ini dikelilingi karang hidup.

 

Bagaimana ke sini?

 

Sekiranya anda dari arah Utara, keluar dari plaza tol Simpang Renggam dan menuju ke Pontian.

Setibanya di Pontian, anda boleh berpandukan kepada papan tanda menuju ke Taman Negara Tanjung Piai.

Sebelum tiba di Tanjung Piai, anda akan dapat melihat papan tanda Kelong Maswira kerana kedudukan Kelong Maswira hanya kira-kira 1.5 kilometer sebelum anda tiba di Tanjung Piai.

 

Port Ngeteh – Kelong Maswira!!

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI