Apa impian seorang kaki pancing kolam? Saya percaya ramai yang setuju dengan saya bahawa impian mereka satu iaitu ingin memancing di kolam pancing terhebat di dunia, iaitu kolam Bungsamran.
Nama pusat memancing Bungsamran di Bangkok, Thailand bukanlah asing dalam arena pancing di Asia Tenggara mahupun di dunia.
Bungsamran sudah lama dikenali sebagai kolam pancing terbesar di dunia.
Pada 31 Mac 2017, Bungsamran dipindahkan ke lokasi baharu yang terletak di Chachoengsao, lebih kurang 45 minit dari Bangkok.
Kolam ini seluas 139,000 meter persegi dan kedalamannya mencecah 50 meter. Terdapat lebih 40 jenis spesies ikan air tawar di sini.
Dipercayai patin Mekong sahaja terdapat 20,000 ekor dengan spesimen terbesar seberat 200kilogram. Manakala spesies kap Siam atau Siamese carp hanya sekitar 4,000 ekor sahaja dengan spesimen terbesar seberat 160 kilogram.
Ads
Biarpun spesies Siamese carp ini agak kurang berbanding patin Mekong di kolam ini, namun spesies inilah menjadi ikan sasaran kepada kami untuk dipancing.
Kumpulan kami seramai 18 orang daripada Malaysia mewakili jenama Burn International, datang ke sini untuk cuba menaikkan ikan Siamese carp yang kurang didaratkan berbanding patin Mekong.
Kami tiba di pusat memancing ini lebih kurang pukul 8.30 pagi waktu tempatan dan terus memulakan sesi memancing kira-kira setengah jam kemudian.
Kami memilih untuk memancing di chalet. Chalet yang kami pilih agak selesa juga. Ia mempunyai sebuah bilik berhawa dingin, bilik air dan balkoni atau pelantar untuk memancing.
Ads
Sebaik sahaja memulakan sesi memancing, kami dapati aktiviti memancing di Bungsamran baharu agak mencabar berbanding lokasi lama.
Ini kerana kolamnya sangat luas dan ikan-ikan pula banyak bermain di kawasan tengah kolam, yang mana kami tidak berupaya untuk menghantar umpan ke spot tersebut.
Oleh yang demikian kami menggunakan hong (serbuk sekam padi) terlebih dahulu sebagai rasuah untuk menarik ikan-ikan menghampiri spot dalam radius balingan kami.
Taktik dan teknik yang kami gunakan namun tiada Siamese carp yang berjaya didaratkan kecuali patin Mekong sahaja.
Ads
Selepas makan tengah hari, kami menukar umpan dedak kepada roti hancur. Ternyata ia tepat pada masanya.
Tidak lama selepas itu Shahrul Nizam berjaya mendaratkan seekor Siamese carp bersaiz mega.
Ia satu kepuasan yang tidak terhingga kerana cabaran bertarung dengan Siamese carp jauh lebih seronok berbanding patin Mekong.
Sejurus kemudian Arebull, Hafiz, Azura, Haiza dan beberapa orang turut sama berjaya menaikkan Siamese carp.
Walaupun saiznya lebih kecil berbanding spesimen yang didaratkan oleh Shahrul Nizam, ia tetap satu kejayaan yang manis.
Dan kami sebenarnya agak bertuah kerana kebetulan banyak spesies ini baharu dilepaskan oleh pihak kolam.
Walaupun saiznya kecil sahaja namun pihak kolam membelinya dengan nilai 5,000 Baht seekor!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perjalanan dari Jeti Kong Kong untuk ke Rakit Pak Abu memakan masa hampir 10 minit. Sepanjang perjalanan kami memang dihidangkan dengan pemandangan memukau hutan paya bakau dan Jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merentasi Sungai Kong Kong.
Sesampai sahaja di rumah rakit yang berkeluasan 24 x 60 kaki ini sudah mampu menaikkan keghairahan kami untuk memancing. Apatah lagi bila dihidangkan cerita-cerita rakan pemancing yang pernah menaikkan pelbagai ikan gred A seperti merah, kerapu, jenahak, tebal pipi dan senangin.
Sebelum tiba di rumah rakit ini, penulis terlebih dahulu sempat berbual dengan pemilik rakit yang lebih mesra dipanggil Pak Abu. Menurut Pak Abu, rumah rakit ini mula dibina pada tahun 2009. Dikhabarkan ia menggunakan sebanyak 165 biji tong untuk menampung rumah rakit yang mampu memuatkan 10-15 orang pada satu-satu masa ini.
Namun akibat kerosakan yang ketara pada tahun 2013, Pak Abu terpaksa membaiki semula rumah rakit ini dengan kos yang lebih besar. Pada awal tahun 2014, Pak Abu mula menarik rumah rakit ini lebih jauh ke muka laut yang menghala ke Teluk Sengat iaitu berhampiran dengan Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru untuk memastikan hasil yang lebih baik buat kaki pancing yang berkunjung ke sini.
Ini menjadikan Rakit Pak Abu sebagai antara yang terunik di perairan Kong Kong ini kerana ia terletak lebih jauh dan berhampiran dengan laut luas berbanding rumah rakit lain yang kebanyakan terletak di kuala sungai. Tak hairanlah sambutan kaki pancing juga amat menggalakkan terutama di hujung minggu dan cuti umum.
Menurut Pak Abu, waktu terbaik untuk memancing di rumah rakit ini ialah sewaktu air kecil atau air menyorong besar. Ini kerana pada waktu itu arus agak kurang deras dan ikan-ikan banyak bermain di sekitar rumah rakit.
Namun, malang nasib kami kerana sewaktu kunjungan, kami berhadapan dengan air besar dan sudah tentulah arusnya cukup berdesup pada waktu itu.
Namun, rezeki tetap masih memihak kami apabila masing-masing dimeriahkan dengan tarikan ikan tebal pipi, duri, gerut-gerut, gelama dan seekor merah tunggal yang membaham umpan udang kopek.
Bagi yang kurang berminat dengan pancingan rumah rakit, jangan risau! Pak Abu juga menyediakan khidmat sewa bot untuk kaki pancing menduga perairan Kong Kong. Dengan khidmat sewa bot ini, pemancing boleh menduga lebih banyak lubuk di perairan Kong Kong dan lebih banyak teknik boleh diaplikasikan sama ada teknik casting, light jigging dan juga bottom.
Ada pelbagai lubuk terbaik untuk memburu ikan-ikan seperti siakap, merah, kerapu, siakap merah dan macam-macam lagi yang boleh anda terokai di sini. Apa yang penting, rajin-rajinkanlah diri bertanya tip dengan Pak Abu ataupun kaki pancing yang biasa memburu di perairan Kong Kong untuk mendapatkan hasil terbaik.
Port Dickson atau lebih mudah menyebutnya PD, merupakan pantai peranginan popular bagi penduduk berdekatan terutamanya bagi warga kota kerana jaraknya yang dekat.
Namun, mungkin tidak ramai tahu bahawa lautnya yang biru itu juga adalah spot pancingan popular terutama jika mengetahui rahsia lubuknya serta teknik untuk memikat ikan-ikan di sana.
TRIP AIR BESAR
Kami memilih air besar bagi trip jigging ini kerana kebiasaannya, ikan aktif tanpa mengira waktu. Kedatangan kami pada awal pagi disambut dengan hujan dan angin Selatan.
Menurut tekong Pak Din, hujan akan mematikan angin Selatan tersebut. Akhirnya sekitar jam 9 pagi, barulah kami dapat memunggah barang dan bersedia untuk menuju ke laut dalam keadaan yang masih gerimis.
Bot 24 kaki Pak Din dengan enjin 40 kuasa kuda terus membelah ombak sambil semua menahan kesejukan akibat kebasahan.
Spot pilihan ialah boya penanda kapal karam di laluan kapal. Hampir 20 minit barulah kami tiba di sana. Matahari masih lagi menyorok dan Pak Din menyarankan agar jig berwarna terang berkilat kebiruan atau merah jambu digunakan.
Belum sempat kami membaling jig, Pak Din bergegas menghidupkan enjin kerana beliau telah mengesan boiling di belakang bot.
Kami yang telah bersedia hanya menunggu bot untuk sampai sahaja sebelum memulakan aksi pertama. Semua melontar hampir serentak dan Maed terus sahaja mendapat tarikan pertama.
Kemudian diikuti oleh tekong Pak Din selang beberapa saat sahaja, juga sedang menahan asakan.
Maed akhirnya dapat menawan seekor talang bersaiz remaja manakala Pak Din pula terlucut ketika hendak menaikkan ikan tadi.
Saya turut merasai tarikan namun ikan dapat melepaskan diri ketika separuh perlawanan. Azrul dan K.I tetap cekal berjigging walaupun masih belum menerima sebarang sambaran.
TARUHAN TEKNIK CAST JIG
Pak Din menyarankan agar kami memasang mata tiga pada jig bagi memastikan ikan lekat kukuh.
Bot kemudiannya terpaksa dialihkan kerana ikan telah beralih arah pula. Cepat sungguh ikan tersebut hilang daripada pandangan.
Untuk mengesan boiling kami hanya perlu mengikuti dan memerhatikan kawanan burung yang turut sama memburu ikan. Di mana ada burung, di situ ada boiling.
Tanpa membuang masa, sekali lagi, semua melontar jig serentak. Teknik cast jig diguna-pakai pada ketika ini kerana ikan bermain di atas. Giliran K.I mendapat sambutan dan drag terus menerus berbunyi.
Pak Din juga turut serta menahan asakan, sama seperti aksi pertama tadi. Setelah berhempas pulas berlawan tarik tali menggunakan set ringan, akhirnya kedua-duanya berjaya menewaskan talang.
Azrul yang rajin berjigging menerima sentapan padu dan tali terus menerus keluar tanpa henti. Ia tidak kelihatan seperti larian talang.
Tanpa diduga, tali terputus begitu sahaja tanpa sempat mengepam joran. Menurut Pak Din, pastinya itu adalah tenggiri batang.
Selepas kejadian putus tadi, tiada lagi kelihatan kelibat ikan bermain air dan kawanan burung pula menghilang entah ke mana.
Kami beralih berhampiran boya di mana terletaknya kapal di dasar. Maed yang menggunakan popper menerima 2 kali sambaran namun tidak lekat.
Saya yang masih bermain cast jig `atas air’ menggunakan jig Metalic Sardine 40gm menerima satu sambaran dengan larian pantas ketika jig berada di depan bot sahaja.
Belum pun reda dengan asakan larian ikan tadi, Azrul pula mendapat tarikan di sebelah saya. Kelam kabut kami membetulkan posisi masing-masing. Agak lama juga sebelum kami dapat melihat. Kelibat ikan.
“Tenggiri….!” Jerit Pak Din.
Kami berdua berjaya mendapat tenggri bunga dan tangguk digunakan untuk menaikkan kedua-dua ekor ikan tersebut bagi mengelakkan ia terlucut.
Walaupun tidak besar, ia tetap satu tangkapan yang berharga dalam trip ini.
Suasana sunyi selama hampir setengah jam dikejutkan dengan sambaran popper Maed. Akhirnya berjaya juga ikan melekat di popper tersebut setelah mata tiga ditukar.
Tewas talang tersebut angkara popper Yozuri. Dalam masa yang sama, K.I turut kelihatan sedang bertarung di belakang bot.
Seekor lagi Talang tumpas. Ketika ini, kami berjigging dasar kerana tiada kelibat ikan di atas air.
Sambil itu, tekong Pak Din tidak kurang hebatnya kerana sambil ligat bersembang, rupanya dalam diam beliau sedang lawan tarik tali dengan sang ikan. Spesies yang sama juga berjaya ditumpaskan lagi.
GANGGUAN SI PENGACAU
Tiba-tiba kami terlihat sekawan ikan lumba-lumba sedang melakukan “rondaan”. Serta-merta kami tahu bahawa sekejap lagi pasti ikan akan lari menyelamatkan diri.
Tiada lagi sambaran walaupun kami mencuba berkali-kali di tiga spot yang berbeza.
Kesempatan ini kami gunakan untuk makan tengah hari dan berehat. Matahari yang dari tadi suram, kini mula terik membakar kulit.
Setelah kira-kira satu jam lebih sedikit berehat, kami bergerak semula untuk mencari ikan.
Saya menukar ke mikro jig, semata-mata ingin mencuba nasib. Jig Bakau 23gm akan diuji. Tanpa disangka, balingan kedua saya disambut dengan junaman demi junaman.
Setelah berjaya mengawal lariannya, ikan mula di pam naik. Seperti biasa, seekor lagi talang ditawan. Aksi tadi disambung oleh Azrul dan K.I pula.
Masing-masing menahan asakan dan dalam pada itu, Maed yang menukar kepada popper rare barunya, turut mendapat sambaran.
Nampaknya triple hook up sedang berlaku ketika ini. Ketiga-tiga mereka terpaksa menukar posisi bagi mengelakkan tali terbelit. Tumpas lagi sepsis Talang.
Nampaknya kami berpesta talang pada waktu ini. Spesies seperti GT, aruan tasik atau pun sagai langsung tidak kelihatan.
Kelibat ikan lumba-lumba masih kelihatan. Ia sedikit sebanyak telah mengganggu ikan-ikan di kawasan ini.
Rata-rata bot lain yang turut berada di sini tiada sambaran, senasib seperti kami. Namun kami tetap berusaha.
PESTA TALANG
Bot mula dialihkan sambil Pak Din mencari spot-spot terbaik. Agak jauh juga kami bergerak ke spot baru untuk mencuba nasib.
Hampir 10 minit berlalu, Pak Din memecah kebuntuan dengan bunyi drag beliau. Maka bermulalah pesta Talang kami lagi.
Boleh dikatakan kami semua mendapat sambaran paling tidak dua kali seorang. Pelbagai saiz berjaya dinaikkan.
Rabut dan terlucut juga dirasakan sama banyak dengan jumlah sambaran kami berlima.
Menjelang petang, kami beralih ke kawasan berbatu Tanjung Tuan. Di sini, airnya cetek namun berpotensi untuk mencari spesies lain.
40 minit telah berlalu, masih tiada hasil. Maed akhirnya mendapat satu sambaran padu dan melentur jorannya.
Masing-masing bersorak mengatakan GT telah terjerat. Sangkaan kami meleset apabila senangin kasar yang menjelma dan ia selamat di tangguk naik.
Trip ini berakhir dengan tangkap tersebut. Berjaya juga kami mendapat ikan gred A.
Walaupun tiada GT atau tenggiri batang mahu pun spesies mega lain, sambaran talang tetap menghiburkan dan mendebarkan.
Misi memancing adalah untuk merasai adrenalin dan “karen” tarikan ikan kerana pengalaman tersebut tidak ternilai.
Tekong Pak Din telah memberikan servis terbaik kepada kami dengan tidak lokek memberi tunjuk ajar serta pelbagai tip dan teknik yang betul di samping berbual sepanjang masa!!
Trip ini juga telah membuktikan bahawa perairan PD masih kaya dengan ikan sekali gus menafikan kata-kata sesetengah pihak yang kerap mengatakan ianya tiada hasil.
Pada 12 Oktober lalu, Saya mendapat jemputan satu trip santai dari tekong bot 44 dan teman-teman dari Tumpat untuk menyertai misi mereka menduga spot-spot yang lama mereka tinggalkan.
Trip tersebut dirancang untuk 3 hari 2malam sebagai garis panduan dan rujukan tekong 44 untuk beliau meletak harga pakej yang berpatutan dan khidmat servis terbaik pada masa akan datang.
Setelah berfikir panjang dan memohon kebenaran ibu saya dan juga KDN (isteri saya). Mereka menyokong dan memberi lampu hijau dengan ikhlas.
Setelah semua perancangan dan taktikal diatur hampir sempurna dengan menyenaraikan saudara Pok Har 50 sebagai mastermind, saudara Faie Kaido, Hilman Yusoff, Serol dan saya sebagai crew.
Tekong 44 menyiapkan keperluan asas bot seperti bahan api, air bersih, makanan, ais dan memeriksa bot dengan teliti dibantu oleh co-skipper, saudara Sero DBJ.
Tekong 44 menelefon sy memaklumkn utk menterjemahkan perancangan pada 15-17 oktober 2019 .
Kami berkumpul di jeti Pengkalan Che Lat, Tumpat jam 1.00 pagi 15 Oktober. Tekong mula keluar dari jeti belayar dalam keadaan tenang jam 1.30 pagi Selasa.
Perjalanan ke spot pertama sejauh 45 batu nautika mengambil masa 5 jam dengan kemampuan bot 44 yang boleh mencapai kelajuan 18 knot.
Kira-kira jam 6.00 pagi saya merasakan tekong memperlahankan tempo kelajuan bot dan menandakan kami sudah hampir sampai di lokasi. Setelah beberapa minit memerhatikan sonar, tekong mengarahkan Sero melabuhkan sauh.
Tekong 44 mengambil kesempatan melelapkan mata seketika sementara menunggu hari siang. Saya, Hilman, Faie dan Pok Ha 50 berehat bersembang sambil menikmati makanan ringan.
Jam 7.00 pagi kami mula memancing. Tempo keaktifan ikan pelagik agak kurang pada waktu ini mungkin kerana pertukaran arus.
Kira-kira jam 9.00 pagi selelah agak lama menggayakan teknik fast jigging, kami diasak gerombolan tenggiri yang baru masuk ke spot. Jam 12.00 tengah hari pertama kami berjaya menewaskan kira-kira 30 ekor tenggiri.
Keletihan mula mencacatkan rentak kami. Pok Har 50 mengarahkan kami ‘cool down’ sementara menunggu beliau memasak menyediakan makan tengah hari.
Menu hari pertama kami kari ikan tenggiri dan ikan tongkol goreng. Sungguh nikmat menikmati juadah di atas bot andainya kita tidak terlibat dengan mabuk laut.
Jam 2.00 petang kami beralih ke lokasi kedua kira-kira 5 batu nautika. Di situ kami diasak oleh kawanan ikan tongkol yang rakus.
Setelah keadaan kurang rancak, tekong memaklumkan untuk belayar sejauh 27 batu nautika ke arah timur. Lokasi yang ingin dituju ialah pelantar Cakerawala.
Kami berhenti sementara di lokasi kapal karam utk menyejukan enjin bot. Di situ kami bermain light jig jenis luminous. Ikan cupak rakus meligan kepingan jig yang dimainkan. Kami berjaya mendaratkan kira-kira 20 ekor cupak berskala 2-3 kilogram seekor.
Jam 12.00 malam tekong meneruskan perjalanan, kami tiba di pelantar Cakerawala jam 3.00 pagi.
Setelah agak dekat merapati pelantar Cakerawala, kami tidak dibenarkan untuk memasuki apatah lagi memancing di sekitar pelantar kerana ia berbahaya kepada kami dan pekerja di atas sana. Juga terdapat kerja-kerja selenggara di bawah air oleh petugas pelantar.
Kami akur dan tidak terkilan kerana memahami SOP mereka. Bagi kami dapat sampai dan mengambil gambar kenangan sudah cukup bermakna. Tekong menjauhkan bot dari pelantar. Kami bersauh kira-kira 3 batu nautika dari pelantar.
Di situ kami merehatkan tubuh dan minda sementara menunggu untuk patah balik ke spot-spot unjam laut.
Hari kedua
Kami berada kira-kira 65 batu nautika dari dataran. Kami memancing pelbagai teknik. Ikan pada hari kedua juga sungguh frenzy hingga membuatkan kami lupa untuk makan tengah hari.
Jam 6.00 dengan hasil pancingan yang agak memuaskan, Tekong 44 dan Sero mula menyusun atur hasil tangkapan ke dalam tong bagi mengekalkan kualiti ikan. Sebelah malam kami lebih byk berehat sambal santai memancing ikan cupak.
Hari ketiga
Jam 9.00 pagi kami mula merancakkan tempo pancingan kami. Lepas satu spot ke spot unjam lain kami terjah. Alhamdulillah pertambahan hasil pada hari ketiga juga agak memuaskan. Tenggiri pada hari ketiga juga bersaiz bagak.
Kami bersauh di kepala unjam sementara menunggu Pok Har 50 menyediakan makan tengah hari. Kami menghulurkan umpan teknik bottom. Di situ kami berjaya memperolehi ikan kerapu, asu-asu, merah tanda dan jenahak.
Sesekali barracuda berjaya kami daratkan dek kerana arus mula mati tetapi gelombang dan angin timur agak besa.
Setelah usai makan tengah hari dan menyegarkan tubuh, Tekong 44 memberitahu kami untuk menamatkan misi kerana keadaan laut sudah mula bergelora ditambah pula kuantiti ais sudah mula berkurang. Perjalanan pulang ke jeti sejauh 60 batu nautika pasti mencabar.
Sepanjang perjalanan kami tidak menghadapi masalah besar kerana mengikuti dan menurut ombak dan angin monsun membuatkan perjalanan pulang kami cepat dan tenang.
Profil trip
Jetty – Pengkalan Che Lat,Tanjung Kuala,Tumpat,Kelantan
Bot – Bot 44
Skipper – Abe Har 44
Team: Paradorm Simphat dan Team Predator Killers Tumpat.
Hasil: Tenggiri 90, cupak 35, asu-asu 6, kerapu 6, merah tanda 3, jenahak 1, ebek1, MJ dan GT 1.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...